Bagaimanapun melihat pemergian rakan baiknya Yus Jambu secara tiba-tiba pada 30 November lalu, dia tidak menolak ini mungkin hikmah di sebalik keputusan menunda majlis bahagianya.

Walaupun masih sukar untuk mempercayai pemergian Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, kata Tauke, dia reda dengan ketentuan yang sudah tertulis.

“Memang sepatutnya kami bertunang pada 29 November, tetapi saya dan tunang tunda kepada 5 Disember. Memang saat itu tidak fikir apa-apa pun.

“Namun bila Yus pergi secara tiba-tiba Ahad lalu, baru saya faham perancangan yang sudah Allah tetapkan kepada kami. Sebagai teman paling rapat dengan arwah, tidak nafikan kehilangan dia memberi kesan yang sangat besar kepada saya,” katanya.
Jika ada yang menyoal bagaimana dia sanggup meneruskan pertunangan sedangkan baru sahaja kehilangan teman paling rapat, kata Tauke, setelah sekian lama membuat persiapan, baginya tidak salah untuk dia meneruskan majlis pertunangannya.
Malah katanya, tiada sebab orang lain mahu mempersoalkan perasaannya kini memandangkan hanya dia yang menghadapi perkara ini seorang diri.
“Saya sangat sedih dengan kehilangan Yus kerana kami sudah merancang macam-macam untuk karier masing-masing dan kumpulan Jambu sendiri. Tetapi kini tanpa dia, semua perancangan itu hanya akan tinggal kenangan.
“Dalam masa yang sama, saya tidak lihat ada salahnya saya meneruskan majlis pertunangan. Sebenarnya perancangan untuk bertunang ini sudah dilakukan lama. Saya juga tidak sangka akan kehilangan orang yang paling rapat dengan saya dalam waktu terdekat,” katanya.

Berbicara mengenai Yus, kata Tauke, dia tidak melihat ada cara lain buat kumpulan Jambu untuk diteruskan.
Malah katanya dia sudah bersedia untuk membiarkan sahaja Jambu menjadi kenangan seperti rakan baiknya itu.
“Saya tidak akan teruskan Jambu dengan orang lain, tiada siapa yang dapat gantikan tempat Yus. Jika benar pun saya akan tubuhkan kumpulan lain dan akan mulakan benda baharu. Jambu adalah kenangan paling mahal saya dengan Yus.

“Buat masa ini saya masih akan menggunakan nama Tauke Jambu sebab sudah terbiasa, bagaimanapun di masa depan saya yakin nama Jambu hanya akan mengingatkan kita kepada Yus yang selama hayatnya berjuang untuk menghiburkan peminatnya,” katanya.

Berkongsi momen terakhir dengan Yus, kata Tauke, mengenali rakannya itu, arwah bukan seorang yang sombong. Malah antara sikapnya yang paling dikenang sehingga kini adalah bagaimana sisi lembut seorang lelaki seperti Yus itu membuatkan orang luar mudah rasa selesa dengan dirinya.

“Sebenarnya antara impian terakhir Yus, adalah untuk berkahwin. Tetapi tiada jodoh dia dengan bekas kekasihnya.
“Mengenali Yus dia sangat menghormati orang, malah dengan siapa juga yang dia baru berjumpa dia akan buat seseorang itu seperti kawan yang sudah lama dia kenal. Itulah Yus yang saya kenal dan mungkin sukar sebenarnya untuk bertemu dengan orang sepertinya lagi,” katanya sedih.

Mahu cepat kahwin
Bukan niatnya mahu merahsiakan pertunangan, tetapi kata Tauke dengan apa yang pernah dilalui sebelum ini dia yakin tidak perlu untuknya terlalu gah berkongsi secebis kisah bahagia itu.

Jelasnya, selepas mengenali Nadia selama empat tahun dia yakin untuk memperisterikan gadis itu yang dianggap sebagai seorang yang sangat memahami dirinya.

“Saya tidak mahu terlalu berkongsi bukan dengan niat mahu berahsia. Cuma saya pernah melalui perkara di mana bila kita sudah merancang dengan baik tiba-tiba tidak jadi. Saya tidak mahu lalui perkara itu lagi. Lebih baik berhati-hati.
“Mengenali Nadia selama empat tahun saya yakin dia ikhlas berkawan dengan saya, sepatutnya saya mengikat tali pertunangan selama setahun. Namun jika ada rezeki lebih, mungkin akan mempercepatkan tarikh perkahwinan ini,” katanya.

Beza umur 13 tahun dengan bakal isteri kata Tauke bukan isu kerana yang penting buat dirinya ialah sikap matang yang dibawa Nadia.

“Saya percaya dengan jodoh, tua atau muda tidak menjamin kebahagiaan kita.

“Saya lihat Nadia cukup matang dalam membuat keputusan. Jadi tidak perlu rasanya untuk orang luar mempersoalkan umur kami,” katanya.