Showing posts with label Lori. Show all posts
Showing posts with label Lori. Show all posts

Tuesday, 8 January 2019

Jurutera syarikat maut langgar tayar lori tercabut

Mangsa dipercayai telah melanggar tayar sebuah lori yang tercabut dan tercampak ke besi penghadang jalan lebuhraya berkenaan.

KLANG - Seorang jurutera sebuah syarikat minyak maut selepas motosikal ditungganginya melanggar tayar sebuah lori yang tercabut sebelum tercampak mengenai besi penghadang jalan di Kilometer 21.8  Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), di sini hari ini. 
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, Nazarudin Yahya, 27 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala. 
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan ke Mahkamah Shah Alam atas urusan tertentu dari Klang. 
Katanya, mangsa bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak di Pulau Indah. 
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa telah melanggar tayar sebuah lori yang tercabut dan tercampak ke besi penghadang jalan lebuhraya berkenaan. 
"Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 
Jelas beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  - K! ONLINE

Saturday, 3 November 2018

Bas ekspres langgar lori simen

Lima penumpang termasuk tiga penuntut IPT cedera dalam kemalangan



KUALA LUMPUR – Lima penumpang dan seorang pemandu bas cedera apabila bas ekspres Starmart dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori simen di Kilometer 27.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Sungai Buloh menghala ke Plaza Tol Duta di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, bas yang membawa 18 penumpang berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke ibu kota sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemala­ngan dipercayai berlaku selepas pemandu bas ekspres ber­kenaan melanggar belakang lori simen yang berada di lorong pa­ling kiri.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan pemandu bas, Abdullah Bakar, 53, patah tulang bahu dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
“Lima lagi penumpang yang mengalami pelbagai jenis kece­deraan pula dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.