Showing posts with label Haiwan. Show all posts
Showing posts with label Haiwan. Show all posts

Sunday, 27 August 2017

Dua tapir mati dilanggar kereta

Salah seekor tapir yang ditemui mati dengan kesan luka pada perut dan kepala akibat dilanggar kenderaan di jalan Kuantan-Chukai, Kuantan kelmarin

KUANTAN – Dua ekor tapir dianggarkan berusia antara lapan hingga 10 tahun ditemui mati dengan kesan luka pada kepala dan perut di atas jalan raya dalam kejadian di Jalan Kuantan-Chukai di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Ahmad Azhar Mohammed berkata, tapir jantan dan betina itu ditemui mati kira-kira pukul 10 malam dipercayai akibat dilanggar kenderaan ketika melintas di laluan berkenaan.
“Pemeriksaan dilakukan pihak Perhilitan mendapati kedua-dua tapir itu me­ngalami luka serius pada kepala dan perut.
“Ini merupakan kejadian pertama di negeri ini yang melibatkan kematian dua ekor tapir sekali gus akibat dilanggar kenderaan,” katanya di sini semalam.

Thursday, 31 July 2014

Harimau semakin pupus di negara-negara Asia [Kosmo]

 GAMBAR fail menunjukkan empat lelaki ditahan pada Januari 2011 ketika cuba menjual kulit harimau dan beberapa organ haiwan tersebut di Chandrapur, India.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
NEW DELHI - Secara purata hampir dua ekor harimau dibunuh dalam tempoh seminggu di negara-negara Asia disebabkan permintaan tinggi, lapor Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Senario itu menjadi ancaman terbesar bagi harimau disebabkan kekurangan maklumat tepat mengenai spesies berkenaan di beberapa negara, lapor agensi media, Press Trust of India (PTI).
Statistik yang dibuat oleh pihak pengurusan hidupan liar menunjukkan hampir 1,590 ekor harimau telah dibunuh antara Januari tahun 2000 dan April 2014, namun jumlah tersebut dikatakan akan meningkat dari semasa ke semasa.
"Kami bimbang sekiranya negara berkenaan tidak menyimpan data mengenai haiwan ini, mereka akan lebih terdedah kepada pencerobohan tanpa mereka sedari," kata wakil WWF.
Negara seperti India, Nepal dan Rusia menjadi antara negara yang mengemas kini maklumat mengenai populasi haiwan liar tersebut.
Bagaimanapun, rekod populasi harimau di Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja dan Vietnam tidak dikemas kini dengan betul, ujar wakil WWF.
Secara keseluruhan, jumlah populasi harimau di seluruh dunia dianggarkan cuma 3,200 ekor pada tahun 2010.
"Sekitar tahun 2010, banyak negara tidak membuat kaji selidik harimau secara sistematik.
"Kini kami cuba sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat sehingga kami berjaya mengenal pasti jumlah sebenar haiwan liar ini termasuk habitat selain berusaha untuk memberi pelindungan kepada mereka," kata Ketua WWF Inisiatif Mengekalkan Harimau Liar, Michael Baltzer. - Bernama