Showing posts with label Dilanggar. Show all posts
Showing posts with label Dilanggar. Show all posts

Friday, 10 April 2020

Wanita mangsa dilanggar Lamborghini dihadiahkan Myvi

KUALA LUMPUR: Lazimnya, apabila berlaku sesuatu kemalangan, ketegangan akan berlaku antara pihak yang terbabit.
Namun, berbeza dengan seorang pemilik sebuah Lamborghini bukan saja menyelesaikan isu itu dengan berhemah, malah bermurah hati ‘menghadiahkan’ sebuah Myvi kepada seorang ibu tunggal yang terbabit dalam kemalangan itu.
Tindakan Thomas Heng, 40, dipuji warga maya selepas kemurahan hatinya itu dikongsikan rakannya, Azman Nor, di Facebook, dua hari lalu.
Berkongsi kejadian itu, Thomas berkata, dia tidak terbabit dalam kejadian itu sebaliknya kenderaan mewah miliknya itu dipandu seorang rakan perniagaannya yang mahu keluar membeli barang keperluan, dua hari lalu.
Katanya, tiba di lokasi di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor, rakannya itu tidak sempat mengelak kenderaan di depannya yang tiba-tiba menukar lorong tanpa memberi isyarat.
“Akibat kemalangan itu, Lamborghini saya remuk pada bahagian depan dan kanan manakala Viva wanita itu ‘total lost’ (musnah).
“Kes diselesaikan secara baik tanpa pergaduhan, malah dua-dua pihak membuat laporan polis untuk proses tuntutan insurans, namun bagi kereta ‘total lost’ ia akan memakan masa, malah saya dapati tuntutan insurans Viva itu pun sangat rendah,” katanya ketika dihubungi.
Pemilik sebuah kedai ‘wrap’ kenderaan itu berkata, simpati dan prihatin dengan kesulitan dialami wanita itu, dia bermurah hati menawarkan sebuah kenderaan terpakai sebagai ganti.
“Hati saya tersentuh apabila mengetahui wanita itu ibu tunggal anak tiga dan bimbang dia terputus sumber rezeki, saya membuat keputusan membelikannya Myvi terpakai untuk memudahkan pergerakannya menghantar pesanan yang dijual menerusi dalam talian.

Saturday, 22 September 2018

Saleem separuh sedar di ICU


KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda Saleem yang terlibat dalam kemalangan semalam kini dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang.
Isterinya, Julia Bachok berkata, suaminya itu kini berada dalam keadaan separuh sedar selepas dilanggar sebuah kereta ketika keluar membeli barang berdekatan rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras di sini.
Kata isterinya lagi, Saleem atau nama sebenar A. M Salim Abdul Majeed dijadualkan bertemu peminat di Shah Alam pada sebelah malam hari kejadian.
"Dia ada beritahu hendak keluar sebentar beli barang dan tidak sangka pula terlibat dalam kemalangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Mengulas tentang gambar keadaan Saleem yang tersebar di laman Facebook, Julia memohon orang ramai tidak menularkannya dan mendoakan yang terbaik.
"Saya tiada niat untuk menyembunyikan cerita tapi tidak mahu orang ingat saya minta simpati," katanya lagi.
Plantun lagu Suci Dalam Debu itu kini dalam proses untuk dipindah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut. – K! ONLINE

Thursday, 7 September 2017

Empat atlet para-ASEAN, seorang pegawai pengiring cedera parah

KUALA SELANGOR 7 Sept. -  Empat atlet lumba basikal Para-ASEAN dan seorang pegawai pengiring cedera parah dalam satu kejadian langgar lari di Kilometer 12.6 Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (Latar) berhampiran susur keluar Bandar Tasik Puteri di sini pagi tadi.
Kesemua mangsa dikenali Khairul Nizam, Nursyafik, Khairul Azwan, Mohd. Ridzuan dan Johari Mohd. Nayan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitendan Ruslan Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi apabila kesemua atlet termasuk pegawai pengiring daripada Majlis Sukan Negara sedang menjalani latihan dari arah Ijok ke Rawang.
"Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang sebuah trak pikap Toyota Hilux yang hendak menukar lorong ke susur Bandar Tasik Puteri.
"Kesemua mangsa kini dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN 

Sunday, 27 August 2017

Dua tapir mati dilanggar kereta

Salah seekor tapir yang ditemui mati dengan kesan luka pada perut dan kepala akibat dilanggar kenderaan di jalan Kuantan-Chukai, Kuantan kelmarin

KUANTAN – Dua ekor tapir dianggarkan berusia antara lapan hingga 10 tahun ditemui mati dengan kesan luka pada kepala dan perut di atas jalan raya dalam kejadian di Jalan Kuantan-Chukai di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Ahmad Azhar Mohammed berkata, tapir jantan dan betina itu ditemui mati kira-kira pukul 10 malam dipercayai akibat dilanggar kenderaan ketika melintas di laluan berkenaan.
“Pemeriksaan dilakukan pihak Perhilitan mendapati kedua-dua tapir itu me­ngalami luka serius pada kepala dan perut.
“Ini merupakan kejadian pertama di negeri ini yang melibatkan kematian dua ekor tapir sekali gus akibat dilanggar kenderaan,” katanya di sini semalam.