Showing posts with label Hiburan Antarabangsa. Show all posts
Showing posts with label Hiburan Antarabangsa. Show all posts

Saturday, 9 August 2014

Selebriti lawan Israel [Metro]

KETIKA darah hangat sedang mengalir dalam konflik di Gaza, beberapa selebriti luar negara turut menyuarakan pendapat mereka dalam menyokong rakyat Palestin mempertahankan tanahair mereka.
Meskipun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk peminat mereka sendiri, kebanyakannya berpegang teguh prinsip mereka mengutuk serangan kejam rejim Zionis.
Pasangan suami isteri selebriti Penelope Cruz dan Javier Bardem, menandatangani surat terbuka bersama beberapa selebriti dari Sepanyol termasuk pengarah, penulis, dan pemuzik mengecam Operasi ‘Protective Edge’ oleh Israel di Gaza sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.

Vokalis Pink FloydGeorge Roger Waters, sangat lantang menyokong gerakan Boikot, Henti Pelaburan dan Sekat (Boycott, Divestment and Sanctions - BDS).
Foto
Selain enggan membuat persembahan di Israel, Waters juga menyeru pemuzik lain membatalkan konsert yang dirancang di sana,

Dalam konsertnya pada 2013, Waters memaparkan babi dalam bentuk belon gergasi dengan terpampang logo Star of David dan menyebabkannya dituduh sebagai anti-Semitisme.

Di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas di Gaza, pelawak British, Russell Brand memuat naik video di YouTube mengkritik laporan Fox News, Sean Hannity, ketika temu bual bersama lelaki bangsa Palestin warga Amerika Yousef Munayyer. 

Dalam video itu, Brand berkata, cara Hannity bertanyakan soalan kepada Yousef sudah cukup agresif dan provokatif.

“Palestin sudah tidak ada lagi dan yang tinggal hanyalah Gaza.

“Bagaimana pula sebuah negara yang tiada kelengkapan peperangan diserang oleh negara yang lengkap bantuan senjata? Ini tidak adil,” katanya dalam video itu.

Penyanyi Zayn Malik dari kumpulan One Direction pula menggunakan hashtag #FreePalestine di akaun Twitternya sebagai tanda sokongannya terhadap raykat Palestin yang ditindas.

Malik bertindak menyimpan tweet tersebut dan meraih retweet lebih 300,000 kali.

Tidak seperti penyanyi dan pelakon Rihanna, dia juga menggunakan hashtag yang sama, namun segera dipadamkan kerana tidak tahan dengan kecaman dan kritikan dari penyokong Zionis.

Pelakon Danny Glover yang memegang watak Presiden Amerika Syarikat menerusi filem ‘2012’ turut menyokong gerakan BDS. 

Pada 2009, dia yang juga merupakan aktivis politik menandatangani pengisytiharan mengutuk Israel sebagai ‘rejim apartheid’ dan menolak hasil kerja pembikin filem dari Tel Aviv yang dipaparkan dalam Toronto Festival Filem Antarabangsa sebagai ‘propaganda Israel’.

"Kita berdiri dalam perpaduan bersama rakyat Palestin dan menyokong panggilan mereka untuk boikot budaya dan akademik dari Israel," tegas Glover kepada penandatangan yang lain.

Bintang filem Nanny McPhee, Emma Thompson, turut menyeru pelakon lain bagi memboikot persembahan Teater Habima Israel di Teater Globe di London.

Dalam surat yang disiarkan The Guardian, Thompson bersama penandatangan yang lain mengutuk Habima kerana rekod Israel yang memalukan atas penglibatan penempatan haram di wilayah yang diduduki Palestin.

Selebriti Hollywood berbangsa Yahudi, Dustin Hoffman pula membatalkan kunjungannya ke Festival Filem Jerusalem berikutan serbuan IDF terhadap flotila ketika berlayar cuba masuk ke Gaza pada 2010.

Hoffman turut menghadiri Majlis Hal Ehwal Muslim (MPAC) Anugerah Media Tahunan ke-22 bagi menyampaikan anugerah kepada filem anti-Israel.

Penyanyi lagenda Stevie Wonder turut menunjukkan sokongan apabila menarik diri daripada membuat persembahan di sebuah majlis Sahabat Israel Defense Forces (FIDF) di Los Angeles pada 2012.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menasihati saya supaya menarik diri dari majlis tersebut,” katanya.

Sebelum Wonder membatalkan persembahannya, terdapat beberapa aktivis BDS memasukkan petisyen di laman change.org bagi mendesak penyanyi itu untuk menarik diri daripada membuat persembahan di FIDF. 

Petisyen yang dimasukkan itu mendapat sambutan lebih 4,600 tandatangan.

Friday, 26 July 2013

Opick pernah dilamar wanita



OPICK atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus merupakan nama besar dalam industri muzik Indonesia, terutamanya lagu berkonsep ketuhanan.
Bertemu sendiri dengan penyanyi ini pada pelancaran album kesembilannya yang berjudul Ya Maulana di Restoran Hadramawt, Kuala Lumpur baru-baru ini, orangnya cukup ramah.
Penampilannya juga cukup sederhana. Memadai memakai kain sarung dan berserban putih, tutur katanya juga tersusun rapi, sesekali bercanda dengan pihak media.
Walaupun berstatus penyanyi lagu ketuhanan tetapi diakui, ramai yang menghormati keperibadian Opick lebih daripada itu. Ada yang menganggapnya seperti ustaz dan menawarkannya untuk membuat ceramah tetapi ditolaknya dengan baik.
"Saya bukan ustaz tetapi penyanyi. Jika diminta untuk memberi ceramah motivasi, saya tidak keberatan. Namun, jika ceramah agama saya tidak mahu, lebih ramai orang yang bijaksana dan tinggi ilmu agamanya daripada saya," katanya jujur.
Ditebak mengapa tidak mengambil peluang untuk berceramah sedangkan itu merupakan salah satu cara untuk berdakwah.
Jawabnya: "Kalau saya berceramah, saya sudah seperti ustaz, nanti ramai yang protes atau mempersoalkan kenapa ustaz menyanyi?
"Jadi, saya lebih selesa bergelar seniman. Mudah untuk saya masuk ke mana-mana saluran, hiburan boleh, dakwah pun boleh juga."
Bukan itu sahaja, suami kepada Dian Rosita, 30, dan bapa kepada empat cahaya mata itu juga pernah dilamar oleh beberapa wanita yang sudi menikahinya walaupun sedar statusnya sebagai suami orang.
"Godaan itu banyak termasuk ada yang mengajak saya bernikah. Perkara ini memang berlaku tetapi wanita-wanita yang mengajak saya bernikah sekarang hanya mengenali diri saya yang sudah popular dan berimej sopan dengan serban.
"Kalau mereka bertemu ketika saya masih berambut panjang, menyanyi lagu rock, bekerja hanya sebagai pembersih studio muzik dan tidak mempunyai wang rasanya mereka mahu atau tidak mengajak saya kahwin?
"Pastinya tidak, satu-satunya wanita yang mahu menikahi saya ketika itu hanyalah isteri saya sahaja. Dia sahaja yang mahu saya walaupun saya tidak popular dan mempunyai wang," ceritanya panjang lebar.

OPICK cukup bersyukur kerana kehadirannya diterima baik oleh semua peminat.


Godaan Opick
Selain diajak kahwin, Opick juga banyak menerima godaan apabila ramai wanita yang cuba meluahkan perasaan dan masalah kepadanya.
Bagaimanapun, Opick mempunyai cara yang terbaik untuk menghalang hubungan melebihi batas antara peminat wanitanya dengan dirinya.
"Ada yang datang cuba meluahkan perasaan dan masalah masing-masing. Senang sahaja, saya katakan pada mereka, jangan curahkan masalah hati pada saya tetapi curahkan pada Allah sahaja.
"Saya cuba menjaga batas hubungan antara peminat. Bukan apa, saya takut mungkin pada mulanya saya hanya mendengar masalah tetapi lama-lama mungkin orang itu suka pada saya dan saya juga suka pada dia. Itu sudah masalah besar, saya tidak mahu jadi begitu," katanya.
Bercakap tentang poligami, kata Opick jodoh yang ditentukan oleh Allah tidak dapat diramal tetapi sehingga ke hari ini dia hanya setia pada isterinya seorang.
Bahkan, pada majlis pelancaran album itu, Opick turut membawa isterinya sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.
"Kebetulan tarikh ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada tanggal 15 Julai, jadi saya ajak sekali isteri untuk berkunjung ke Kuala Lumpur.
"Kami hanya berada di Kuala Lumpur sehari sahaja, selepas pulang ke Indonesia, jadual saya cukup padat dengan aktiviti promosi album di beberapa kota," balasnya.
Kehidupan berubah
Bercerita lanjut mengenai masa silamnya, Opick menjelaskan, sebelum ini dia terpesong cukup jauh. Dia bergaul dengan orang yang mengamalkan seks bebas, mengambil dadah dan mengusung muzik rock yang liriknya berkisar tentang protes terhadap kerajaan.
Namun, selepas memperoleh hidayah dan diajak oleh seorang rakan bernama Agus Idwar untuk menyanyi lagu ketuhanan, kehidupannya berubah sama sekali.
"Ketika saya menyanyi lagu rock dan berbangga dengan imej rambut panjang, saya tidak mempunyai wang, bahkan album rock saya tidak laku (ketawa).
"Sejak muncul dengan lagu Ubat Hati yang merupakan lagu ketuhanan saya yang pertama, kehidupan saya berubah dan taraf ekonomi juga makin meningkat selepas itu," ujarnya.

OPICK bersama isterinya, Dian Rosita yang telah dinikahinya selama 11 tahun.


Terangnya, selain berdakwah, menyanyi lagu ketuhanan juga merupakan caranya menasihati dirinya sendiri supaya sentiasa ingat kepada Allah.
"Saya menyanyi untuk hiburkan orang serta berdakwah tetapi pada masa yang sama itu cara untuk saya mengingatkan diri sendiri juga," balasnya.
Menariknya sejak memilih lagu ketuhanan, inspirasi luar biasa datang kepadanya tanpa disedari. Kadangkala bapanya juga mempersoalkan lagu-lagu ciptaannya.
"Saya tidak tahu membaca nota muzik dan bermain piano tetapi bila mencipta lagu saya hanya tekan sahaja piano dan rakam bunyi yang terhasil.
"Kemudian, saya akan panggil pemuzik untuk mendengar bunyi itu dan menulis nota muziknya. Bapa saya sering kata, rasanya bukan saya yang mencipta lagu itu sebaliknya atas bantuan orang lain.
"Saya percaya Allah yang memberi inspirasi kepada saya," tuturnya.