Showing posts with label Kematian. Show all posts
Showing posts with label Kematian. Show all posts

Friday, 14 September 2018

Accapan sembunyi derita sakit daripada keluarga


PUCHONG - Penderitaan pelakon dan pelawak terkenal era 80-an, Accapan atau nama sebenarnya R. Samynathan, yang meninggal dunia kerana kegagalan buah pinggang pagi tadi, hanya diketahui keluarganya tiga bulan lepas.
Anak sulung mendiang, S. Vikneshwaran, 31, berkata, mendiang bapanya jarang bercerita tentang penyakitnya kepada keluarga.
"Sewaktu bapa dirujuk ke Hospital Putrajaya sebulan lepas, penyakitnya sudah mencapai tahap tiga. Setelah empat hari masuk wad, doktor memberitahu status kesihatannya telah pun berada di tahap kritikal dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan doktor pakar," kata Vikneshwaran yang bekerja sebagai pengurus bank di Sydney, Australia ketika ditemui Bernama di sini.
Beliau menyifatkan kehilangan bapanya yang berusia 63 tahun itu sebagai satu tamparan hebat kepada keluarganya terutama ibunya, S. Yogeswari, 53, serta adik perempuan bongsunya, S. Yhuveneshwary, 24, kerana mereka tinggal bersama dan sangat rapat.
"Bapa sempat berpesan pada saya supaya menjaga ibu dan adik serta sentiasa menjaga kebajikan mereka," kata Vickneshwaran. - Bernama

Friday, 10 August 2018

Dua beradik maut kali pertama mandi sungai

KUANTAN - Keinginan kali pertama untuk mandi di sungai bertukar tragedi apabila dua beradik maut akibat lemas di muara Sungai Balok, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa Muhammad Amirul Mukminin Abu Hanifah, 11, dan adiknya, Muhammad Hafizul Iman yang berusia 10 tahun difahamkan keluar ke lokasi kejadian bersama dua lagi rakan tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7 malam dan lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa pertama iaitu Amirul Mukminin ditemui kira-kira pukul 6 petang oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian."Pasukan penyelamat kemudiannya menemui mangsa kedua pula kira-kira 8.40 malam," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Tambahnya, dua lagi rakan mereka, Ahmad Adam Naufal Ahmad Yamizi, 11, dan Mohamad Lokman Hakim Suhamizan, 11, berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Menurutnya lagi, mayat kedua beradik dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian. - K! ONLINE

Thursday, 29 March 2018

Ganti rugi kepada waris Aminulrasyid kekal RM114,800

IBU, Norsiah Mohamad (tengah), ditenangkan oleh Peguam, Lateefa Koya (kiri). - Foto Faiz Anuar

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, menolak permohonan kerajaan bagi mendapatkan kebenaran merayu berhubung jumlah ganti rugi kepada keluarga Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak, pada 2010.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 adalah jelas dan tidak perlu dibuat penafsiran lanjut.
Seksyen 7 dan Seksyen 8 adalah berhubung ganti rugi bagi tuntutan berdasarkan kematian serta-merta.
Oleh itu, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan ganti rugi sebanyak RM114,800 dibayar kepada keluarga mangsa.
Terdahulu, kerajaan dan polis mengemukakan permohonan kebenaran untuk merayu bagi mengurangkan jumlah ganti rugi yang dibayar kepada keluarga Aminulrasyid daripada RM114,800 kepada RM14,800 sahaja.
Turut bersidang bersama adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan ganti rugi sebanyak RM414,800 dibayar kepada keluarga bagaimanapun Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah itu kepada RM114,800.
Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke hadir bagi mewakili Ketua Polis Daerah Shah Alam; bekas Ketua Polis Selangor, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini bekas Ketua Polis Negara) dan kerajaan.
Sementara keluarga Aminulrasyid diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, N Surendran, Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin.
Sementara itu, ibu mangsa, Norsiah Mohamad, berkata beliau berpuas hati keadilan akhirnya diperoleh keluarga mereka.
Katanya, wang sebanyak mana pun tidak akan mengembalikan Aminulrasyid tetapi ia adalah untuk keadilan bagi membuktikan anaknya tidak bersalah.
Pada 24 Mac 2016, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM414,000 kepada keluarga Aminulrasyid selepas beliau mendapati Koperal Jenain Subi bertanggungjawab atas kematian remaja itu pada 26 April 2010.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi itu.

Sunday, 25 February 2018

Pelumba Cub Prix maut dalam kemalangan lebuh raya


NILAI - Pelumba Cub Prix negara, Zaidy Mohamad Zaifaizal Mahendran, maut dalam kemalangan yang melibatkan dua motosikal di Kilometer 22.9 arah Utara Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, dalam kejadian 3.20 pagi itu, seorang lagi penunggang Dzul Fikar Idris, 27, mengalami kecederaan di badan, tangan dan kaki.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di lorong paling kiri, yang sedang menghala ke Kuala Lumpur, cuba mengelak sesuatu objek di atas jalan raya.
Mangsa seterusnya telah terbabas ke lorong paling kanan manakala motosikal Dzul Fikar yang berada di lorong tengah terbabas lalu jatuh kerana cuba mengelak daripada melanggar motosikal mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Zaldino berkata mayat Zaidy dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban bagi tujuan bedah siasat manakala Dzul Fikar dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.
"Kedua-dua kenderaan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian Kimia Kriminalistik," katanya.
Zaidy merupakan pelumba Cub Prix bagi pasukan Motul Yamaha YY Pang bagi kategori CP115. - Bernama

Tuesday, 19 September 2017

'Saya tahu dia selamat di syurga' (Metro)

Surianty masih menyimpan wang pemberian Allahyarham Muhammad Danieal

“SAYA tenang kerana saya tahu dia sudah selamat di syurga Allah. Saya bangga dengan dia,” kata Surianty Mohamed, 39, ibu kepada Muhammad Danieal Md Amin, 14, yang maut dalam tragedi pusat tahfiz, Darul Quran Ittifaqiyah, terbakar, Khamis lalu.
Muhammad Danieal adalah seorang daripada 21 pelajar tahfiz yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, hari ini, Surianty kelihatan tenang bercerita mengenai anak sulung daripada empat beradik itu.
Katanya, dia tidak ralat kehilangan anak kesayangan yang diharapkan menjadi pembimbing keluarga kerana menyedari darjat anak itu yang sudah diangkat Allah SWT.
Malah, wanita itu juga gembira kerana arwah sempat memberitahu sudah menghafaz enam juzuk al-Quran walaupun belum sempat memperdengarkan bacaan ayat suci itu di hadapannya.
"Kelazimannya, apabila dia pulang ke sini (Kota Bharu) dia akan minta saya dengar bacaan al-Quran yang sudah dihafaznya dan dalam panggilan telefon terakhir kami sebelum kejadian itu berlaku, dia ada beritahu saya sudah dapat menghafaz juzuk keenam.
"Suaranya seperti biasa, gembira beritahu sudah dapat menghafaz selain berkata: "Umi nanti abang balik, umi dengar bacaan abang dan betulkan jika ada salah”.
"Malangnya, saya tidak sempat dengar bacaan itu. Saya reda dan tidak ada apa yang saya ralatkan lagi kerana dia sudah selamat di sisi Allah SWT. Alhamdulillah. Malah sebelum dia dikebumikan, saya sempat mengucup wajahnya sebanyak tiga kali," katanya.
Mengimbas kejadian itu, Surianty memberitahu sudah menjangkakan bakal kehilangan insan kesayangan apabila bermimpi melakukan kenduri besar-besaran kira-kira dua minggu sebelum tragedi berkenaan.
Ia kemudian disusuli dengan mimpi melihat mayat kanak-kanak yang rentung, terbaring di hadapannya, dua hari sebelum kejadian itu.
"Saya memang kerap dapat petanda dalam mimpi seperti mimpi kenduri besar-besaran itu, selalunya membawa kepada kematian dalam kalangan keluarga atau orang terdekat.
"Dua minggu sebelum itu, saya alami mimpi sama begitu selama tiga kali. Kemudian mimpi terakhir adalah melihat mayat kanak-kanak rentung terbaring di hadapan saya pada malam Selasa.
"Pada 9 pagi Khamis, kakak angkat yang tinggal di Kuala Lumpur menelefon minta tengok berita di televisyen mengenai pusat tahfiz arwah yang terbakar. Ketika itu hati saya sudah terdetik, anak saya meninggal dunia walaupun masih belum dimaklumkan statusnya.
"Saya sudah mengagaknya kerana rasa tidak sedap hati dan mimpi-mimpi berkenaan," katanya yang berhajat melakukan kenduri tahlil untuk arwah di tiga pusat tahfiz di Kota Bharu dalam masa terdekat.
Dalam kejadian Khamis lalu, pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat menyebabkan 24 orang maut termasuk dua guru.
Seramai 11 mangsa termasuk Muhammad Danieal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, manakala, sembilan lagi di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang; Taman Kosas; Dato Keramat; Taman Medan, Jalan Klang Lama; Bukit Kuari, Cheras dan Puchong.
Tiga lagi jenazah masing-masing akan dikebumikan di tanah perkuburan di Paroi Jaya, Seremban (Negeri Sembilan), Pengkalan Kubur (Kelantan) dan Sungkai (Perak).

Sunday, 27 August 2017

Dua tapir mati dilanggar kereta

Salah seekor tapir yang ditemui mati dengan kesan luka pada perut dan kepala akibat dilanggar kenderaan di jalan Kuantan-Chukai, Kuantan kelmarin

KUANTAN – Dua ekor tapir dianggarkan berusia antara lapan hingga 10 tahun ditemui mati dengan kesan luka pada kepala dan perut di atas jalan raya dalam kejadian di Jalan Kuantan-Chukai di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Ahmad Azhar Mohammed berkata, tapir jantan dan betina itu ditemui mati kira-kira pukul 10 malam dipercayai akibat dilanggar kenderaan ketika melintas di laluan berkenaan.
“Pemeriksaan dilakukan pihak Perhilitan mendapati kedua-dua tapir itu me­ngalami luka serius pada kepala dan perut.
“Ini merupakan kejadian pertama di negeri ini yang melibatkan kematian dua ekor tapir sekali gus akibat dilanggar kenderaan,” katanya di sini semalam.

Friday, 21 July 2017

Berakhirnya riwayat Chester Bennington

Chester memilih mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri sendiri pada usia 41 tahun

Bagi peminat band rock Linkin Park, vokalis dengan hampir keseluruhan badannya dicacah tatu, bertindik pada kedua-dua telinganya dan melantunkan vokal rock dengan identitinya tersendiri akan selalu menjadi kesayangan. Malangnya, biar dipuja dan menjadi idola banyak peminat, lelaki itu yang dikenali sebagai Chester Bennington telah mengejutkan dunia dengan cara kematiannya.
Tidak jauh bezanya dengan kebanyakan legenda rock lain yang mengambil keputusan mengakhiri kehidupan mereka melalui cara membunuh diri, begitu juga pilihan yang dilakukan Bennington. Bennington ditemui mati dengan cara menggantungkan diri di kediamannya di Palos Verdes Estates, California, Amerika Syarikat oleh pihak penyelamat sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan). Dia berumur 41 tahun ketika meninggal dunia.
Walaupun ada pihak yang berpendapat beliau memilih kematian tragis seperti itu kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah yang dialaminya sejak sekian lama, namun banyak yang meletakkan kematian teman baiknya, Chris Cornell menjadi pendorong bapa kepada enam orang anak daripada dua buah perkahwinan itu menamatkan riwayatnya sendiri.
Entah kebetulan atau ia merupakan rencana yang telah lama dirancang, beliau mati pada tarikh ulang tahun Cornell iaitu 20 Julai. Cornell sendiri terlebih dahulu ditemui mati akibat bunuh diri di sebuah hotel di Michigan, (AS) pada 18 Mei lalu.

Menjadi satu ironi juga, Bennington telah melancarkan album baharu bersama Linkin Park berjudul One More Light sehari selepas kematian Cornell.
Bennington sendiri pernah mengakui beliau tidak lagi berasa gembira dengan kehidupan sekarang, termasuk perkara yang berlaku di sekelilingnya.
Menerusi temu bual bersama Mirror Online pada Mei lalu, Bennington memberitahu bahawa album tersebut merupakan luahan kekecewaannya dalam mengharungi kehidupan yang sukar dan mencabar.
“Album ini merupakan perkongsian saya bersama kalian tentang kepayahan dalam mengharungi liku kehidupan yang tidak mungkin dapat dikongsikan bersama orang lain kerana ia perlu dilakukan secara bersendiri,” terang Bennington seperti memberi gambaran tentang kematian tragisnya itu.
Fenomena
Sebaik berita kematiannya tersebar, selebriti popular antarabangsa turut mengucapkan takziah atas kematian Bennington di media sosial.
Pengasas bersama Linkin Park, Mike Shinoda, menulis ringkas tentang pemergian sahabatnya: “Mengejutkan dan cukup mematahkan hati, tetapi ia benar. Kenyataan rasmi akan menyusul.”
Wakil daripada kumpulan My Chemical Romance pula menulis: “Kami berasa sedih atas kematian Bennington. Kami mengasihinya. Takziah daripada kami buat seluruh ahli keluarganya, Linkin Park dan mereka yang dikasihi.”
Membuka lipatan sejarah karier Bennington, beliau tampil pertama kali bersama Linkin Park sekitar tahun 2000 menerusi album Hybrid Theory yang menjadi fenomena di seluruh dunia.
Kejayaannya bersama band yang memperjuangkan genre muzik metal dan elektronik itu terbukti apabila album tersebut berjaya menduduki tangga kedua carta Billboard dengan hasil penjualan lebih 10 juta unit.
Linkin Park sendiri pernah dua kali singgah membuat konsert di Malaysia, termasuk pada tahun 2013 menerusi siri konsert jelajah sempena album terkininya pada ketika itu, Living Things.
Terus memberi fokus kepada kerjaya muzik, Bennington melanjutkan kerjaya seni muzik bersama penerbit muzik popular, Steve Aoki dan bintang rap, Jay Z selain beberapa artis popular antarabangsa.
Beliau sebelum ini turut pernah membintangi beberapa filem seperti Saw VII, Crank: High Voltage, Linkin Park: Breaking the Rabbit.

Kematiannya dengan cara menggantung diri sendiri seperti menjadi cerminan kecelaruan atau peperangan emosi seperti bait lirik dalam lagu hit mereka, Crawling yang berbunyi; “There’s something inside me that pulls beneath the surface / Consuming, confusing / This lack of self-control I fear is never ending.”

Friday, 7 July 2017

Tinggal bersama mayat ibu

Gambar kenangan Siti Rohana (duduk kanan) bersama suami dan dua orang anaknya yang diambil di rumahnya di Kulai baru-baru ini.
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tergamam apabila menemui isterinya yang ditinggalkan selama 14 jam ketika keluar bekerja telah meninggal dunia sewaktu tidur manakala dua anaknya yang baru berusia 48 hari dan 19 bulan berada di sisi mayat wanita itu.
Mayat Siti Rohana Redzuan, 36, ditemui di atas katil bersama dua anak kecil tersebut oleh lelaki itu selepas pulang daripada kerja pada pukul 8.30 malam. Dia keluar pada pukul 6.30 pagi.
Siti Rohana merupakan guru di sebuah sekolah menengah di Kulai dan sedang dalam cuti berpantang selepas melahirkan anak keduanya.
Anak sulung pasangan itu merupakan lelaki manakala yang bongsu perempuan. Ketika ditemui, dua beradik itu berada dalam keadaan jaga.
Difahamkan, ketika ditemui oleh bapanya, dua beradik itu sedang menangis hingga termuntah-muntah selepas beberapa jam tidak dijaga oleh ibunya yang telah meninggal dunia.
Terdapat seorang jiran yang mendengar tangisan dua beradik itu namun dia menganggap tidak ada apa-apa yang terjadi selepas panggilannya tidak disahut.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md. Said berkata, berdasarkan keterangan pemandu lori itu, isterinya sedang nyenyak tidur ketika dia keluar bekerja.
“Wanita itu sedang bercuti berpantang selepas melahirkan anak keduanya. Ketika ditemui, anak sulungnya berada di kiri manakala adiknya berusia 48 hari di sebelah kanan Allahyarham.
“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh paru-paru berair dan masalah jantung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai yang datang ke rumah mangsa.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Saturday, 27 May 2017

Remaja maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cas telefon

MELAKA - Seorang remaja lelaki ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang sedang dicas menggunakan bank kuasa di dalam bilik tidurnya di Taman Merbok, Bukit Baru di sini semalam.
 *gambar hiasan

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, mangsa Syamirul Armizie Adenan, 19, ditemui meninggal dunia oleh ibunya Suriah Rahim, 48, di atas katil dengan kesan kulit melecet pada bahagian bahu kiri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, kejadian hanya disedari oleh ibunya apabila mangsa tidak membuka pintu bilik selepas diketuk berulang kali sebelum dibuka menggunakan kunci pendua.
"Selepas berjaya dibuka, mangsa ditemui dalam keadaan baring sambil mengenakan fon telinga yang disambungkan pada telefon bimbit serta dicas pada sebuah bank kuasa," katanya hari ini.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital untuk bedah siasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Saturday, 11 March 2017

Jong-nam disemadikan di Malaysia

BALIK PULAU – Mayat pemimpin buangan Korea Utara, Kim Jong-nam yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu boleh di­semadikan di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, berdasarkan undang-undang di negara ini jika terdapat sebarang kematian, mayat harus diserahkan kepada waris si mati.
Bagaimanapun menurutnya, mayat warga Korea Utara itu boleh dikebumikan di negara ini jika tidak dituntut oleh waris atau keluarga si mati.
Katanya, pihak kementerian tidak akan terburu-buru membuat sebarang keputusan terhadap mayat Jong-nam, 46, yang me­rupakan abang tiri pe­mimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un kerana ia merupakan kes berprofil tinggi.
“Polis sudah menyerahkan mayat Jong-nam kepada Kementerian Kesihatan. Justeru, kita akan buat keputusan (berhubung mayat Jong-nam),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jamboree Balik Pulau 2017 di Politeknik Balik Pulau di sini semalam.
MAYAT Jong-nam kini disimpan di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.

Wednesday, 27 July 2016

Mangsa tembak baru dua minggu tukar kereta {sinar}


Anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan ke atas mayat seorang lelaki yang mati ditembak ketika memandu di Danau Kota, Setapak hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Pengurup wang yang ditembak maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di sini hari ini baru dua minggu membeli kereta baharu setelah mendapati ada pihak mengekorinya, menurut seorang rakan mangsa.

Rakan yang enggan dikenali itu berkata mangsa yang menjalankan perniagaan itu sejak kira-kira 10 tahun lepas, sebelum ini menggunakan Toyota Camry.

"Baru dua minggu dia beli kereta baharu jenis Honda Accord. Dia tukar kereta setelah mendapati ada pihak tertentu memantau pergerakannya," katanya kepada  Bernama.

"Saya jumpa mangsa sebulan lepas di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan dia tidak  mengadu tentang apa-apa masalah (ketika itu). Kelakuan dia seperti biasa,"  katanya.

Menurut polis, mangsa maut serta-merta dalam kejadian 3.35 petang itu yang  menyaksikan 18 das tembakan - 10 daripadanya mengenai mangsa dilepaskan dua penembak yang merupakan pembonceng dua motosikal

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan serta paha.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Seorang saksi kejadian berkata bunyi tembakan bertalu-talu yang didengari ketika kejadian disangkakannya bunyi mercun.

"Saya ingatkan hanya bunyi orang main mercun, tak sangka pula ia datang dari tembakan yang bertalu-talu," kata saksi yang hanya ingin dikenali sebagai  sebagai Sazwan.

Sazwan berkata, beliau dan dua rakan sedang minum petang di gerai berhampiran tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan sejurus selepas itu orang ramai bergegas mengerumuni kereta mangsa.

"Saya terkejut apabila mendekati kereta itu, terdapat banyak kesan tembakan.

Saya nampak pemandu kereta seorang lelaki dah terkulai dengan kesan tembakan pada badannya," katanya.
Beliau berkata tiada penumpang dalam kereta berkenaan.
      
Katanya sejurus kejadian, orang awam menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian. - Bernama

Saturday, 13 February 2016

Gajah mati kerana terkejut bunga api {kosmo}

BEBERAPA orang sami menjalankan upacara khas sebelum bangkai Samruai ditanam di Kuil Buddha Bang Lamung di Pattaya hujung minggu lalu. - AGENSI


PATTAYA, Thailand – Seekor gajah terkenal yang menjadi tarikan pelancong asing tiba-tiba rebah sebelum mati Sabtu lalu dipercayai sakit jantung selepas terkejut dengan pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baru bulan lalu.
Gajah dikenali sebagai Samruai itu berusia 50 tahun dan tinggal di Rumah Perlindungan Kebenaran di Pattaya di mana penjaganya mengenakan bayaran untuk pelancong menaiki belakangnya.
“Samruai segera diberikan air garam dan antibiotik selepas ia rebah ketika pihak berkuasa merancang memindahkannya ke sebuah pusat rawatan di wilayah Surin tetapi malangnya gajah itu mati pada malam hari yang sama,” lapor laman web berita, Coconuts Bangkok.
Bangkai gajah tersebut terpaksa dipindahkan menggunakan jentera berat ke satu tapak khas di Kuil Buddha Bang Lamung untuk ditanam.
Penduduk setempat berkumpul di sekeliling haiwan malang itu ketika tapak bersemadinya disediakan sementara beberapa orang sami menjalankan upacara khas sebelum Samruai ditanam.
Seorang jurucakap kepada Pertubuhan Perlindungan Haiwan Sedunia (WAP) menyuarakan kesedihannya melihat Samruai menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai tarikan pelancong sedangkan haiwan itu sepatutnya hidup bebas di dalam hutan belantara. – AGENSI

Friday, 15 January 2016

‘Lori hantu’ dilarikan pencuri – Polis (Utusan)

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Dua ‘teori’ itu kini menjadi tanda tanya dalam siasatan polis selepas lori ‘hantu’ yang sarat dengan barangan pembinaan itu menghentam 39 kenderaan sehingga menyebabkan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Damai Perdana dekat Kajang yang sedang menunggu maut di situ, semalam. 

Dalam kejadian tragis pada pukul 12.50 petang itu, terdapat saksi mendakwa lori berkenaan bergerak sendiri dari kawasan pembinaan yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah, lalu hilang kawalan semasa menuruni kawasan berbukit di situ.
Saksi juga mendakwa terlihat seorang warga asing telah melarikan diri dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, hari ini ‘teori’ berkenaan bertukar 360 darjah apabila polis memberitahu kejadian itu berpunca akibat lori itu dicuri oleh seorang yang tidak dikenali ketika pemandunya singgah di sebuah kedai makan berhampiran.

Lori itu dibawa lari sekurang-kurangnya satu kilometer sebelum kenderaan berkenaan gagal dikawal oleh pencuri lalu merempuh puluhan kenderaan lain yang kebanyakannya adalah motosikal.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard yang memberitahu, pihaknya kini sedang menyiasat punca sebenar kejadian termasuklah dakwaan berlakunya kecurian lori.

Menurutnya, siasatan polis setakat ini mendapati bahawa kemalangan itu berpunca apabila sebuah lori hantu telah hilang kawalan semasa menuruni bukit dan bergerak melanggar deretan kenderaan yang diletakkan berdekatan dengan sekolah.
“Lori tersebut gagal dikawal oleh pencuri itu lalu merempuh 39 buah kenderaan termasuklah dua buah sebuah motokar jenis Proton Wira dan Toyota Avanza, sebuah van jenis Toyota Hiace serta 36 buah motosikal.

“Kemalangan itu telah mengakibatkan dua gadis Cina yang juga merupakan pelajar tingkatan Dua Sekolah Menengah Damai Perdana itu maut. Mereka ketika itu sedang menunggu untuk sesi petang persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di Facebook Polis Selangor, di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, sejurus selepas kemalangan itu berlaku, pelajar serta ibu bapa yang berada di lokasi dan melihat kejadian cuba untuk menangkap pemandu yang ingin mencuri lori tersebut, namun tindakan mereka gagal apabila suspek berjaya memboloskan diri.

“Sungguhpun begitu, pihak polis telah menahan pemandu lori asal itu, seorang warganegara Indonesia yang berusia 39 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan atau tindakan yang menyebabkan kematian atas kecuaian.

“Pemandu itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan pihak polis kini masih meneruskan siasatan dan sedang giat melakukan siasatan rapi termasuk memburu suspek yang didakwa mencuri lori terbabit,” katanya.

Dalam kejadian semalam, dua pelajar iaitu Lau Zi Xin dan Wong Siow Xuen maut selain mencederakan seorang pemandu wanita dan seorang lagi wanita yang juga peniaga ayam.

Friday, 13 November 2015

Pelajar maut, kereta dihempap lelaki (Kosmo)



MELAKA – Seorang pelajar sebuah universiti awam maut apabila kereta dipandunya dihempap seorang lelaki yang dipercayai terjun dari tingkat 13 sebuah hotel bertaraf lima bintang di Jalan Parameswara, Banda Hilir di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, mangsa, Arfan Syazani Salahudin, 19, yang menaiki kereta Perodua Viva baru tiba di tempat letak kereta hotel tersebut sebelum dihempap lelaki berkenaan pada bahagian pemandu.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu mengalami kecederaan parah pada kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bumbung keretanya kemik manakala cermin kenderaan tersebut pecah akibat dihempap lelaki ber­kenaan yang mempunyai berat kira-kira 90 kilogram.
Lelaki yang terjatuh di atas bumbung kereta Arfan Syazani dari ketinggian le­bih 40 meter itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, lelaki yang terjatuh itu berusia 43 tahun dan berasal dari Bukit Katil di sini. Dia mendaftar masuk seorang diri di hotel berkenaan pada pukul 9.40 pagi semalam. (Kosmo)



Sementara itu, ibu Arfan Syazani, Aslina Ansari, 43, ketika ditemui berkata anaknya itu sedang bercuti semester 3 daripada pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan baru bekerja di hotel tersebut kira-kira 2 minggu.
“Sebelum pergi kerja pagi tadi dia sempat meminta bekal untuk dibawa ke tempat kerja walaupun biasanya dia tidak berbuat demikian.
“Dia tidak menunjukkan sebarang kelainan pada dirinya, namun pagi tadi saya sempat berpesan pada arwah supaya berhati-hati memandu,” katanya.
Aslina berkata dia dan keluarga reda dengan insiden itu dan mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cina di Melaka. – Bernama

Monday, 20 July 2015

Wanita, anak maut nahas ngeri


Kereta Perodua Kenari yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dan mengorbankan dua beranak semalam.

HULU SELANGOR – Kemala­ngan jalan raya musim Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini berterusan.
Semalam seorang wanita mati dalam keadaan ngeri apabila pahanya tertusuk besi penghadang jalan sehingga buah pinggang­nya terburai dalam kemalangan di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim di sini semalam.
Lebih menyayat hati, anak mangsa yang berusia setahun mati dalam pangkuannya.
Dua mangsa yang maut itu ialah Mahfuzah Ishak, 28, dan anaknya, Muhammad Harraz Zafran Shahrul Raziman.
Bagaimanapun, suami Mahfuzah, Shahrul Raziman Osman, 33, dan anak sulungnya, Nur Adni Afeefa, 3, dan ibu Mahfuzah hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Hulu Se­langor, Superintendan R. Supramaniam berkata, kemalangan itu berlaku pada pukul 5.51 pagi dan kereta Perodua Kenari itu dipandu Shahrul dalam perjalanan dari Pahang menghala ke Kedah untuk beraya.
Menurut beliau, setiba di lokasi, kereta dipandu Shahrul ter­babas ke kiri lebuh raya lalu me­langgar besi penghadang jalan.
“Mahfuzah yang memang­ku Muhammad Harraz yang duduk di tempat duduk penumpang depan mengalami kecederaan parah menyebabkan dua beranak itu me­ninggal dunia di lokasi kejadian,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Kenangan pahit pada Aidilfitri (Kosmo)


Percutian sempena Aidilfitri di Hotel Hyatt Regency di Kuantan kelmarin berakhir dengan kematian Emirsufee Razeq.

KUANTAN – Percutian sebuah keluarga bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri bertukar menjadi kenangan pahit apabila anak mereka ditemui mati lemas di kolam renang Hotel Hyatt Regency di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang, mangsa Emirsufee Razeq Md. Nasir, 6, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
Emirsufee Razeq berasal dari Taman Subang Baru di Shah Alam, Selangor ditemui terapung di kolam oleh sepupunya, Adam Haikal Azrul Haizad, 9.
Adam Haikal mencari mang­sa di kolam selepas menyedari kanak-kanak itu tiada bersamaya ketika keluarga itu mandi-manda di pantai berdekatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, Emirsufee Razeq dan keluarganya tiba di hotel itu pada pukul 5.30 petang pada hari sama bersama dua buah keluarga lagi.
Menurut beliau, selepas tiga buah keluarga itu selesai mendaftar masuk ke hotel, mang­sa dan lapan ahli keluarga lain turun mandi di kolam renang hotel itu.
“Selepas sejam mandi di kolam itu, ahli keluarga berkenaan pergi ke pantai berdekatan sebelum Adam Haikal kemudian menyedari mangsa tidak bersama-sama mereka.
“Namun semasa Adam Haikal tiba di kolam, kanak-kanak itu terkejut melihat sepupunya Emirsufee Razeq terapung dalam kolam orang dewasa yang berkedalaman 1.3 meter,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Artikel Penuh: kena bli kosmo (huhu)

Friday, 13 February 2015

Tok Guru disemadi, lebih 50,000 hadir (Hmetro)

Kota Bharu: Jenazah bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, 10.55 pagi tadi.
Terdahulu, lebih 20,000 orang menyertai solat jenazah di Masjid Tok Guru pada 9.55 pagi sebelum mereka mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tiba pada 9.45 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir turut menyertai solat jenazah bersama jemaah lain.

Lebih 50,000 orang setia menanti sehingga pengebumian selesai.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ayahandanya, Nik Mat Raja Banjar yang meninggal kira-kira 40 tahun lalu.

Turut hadir di tanah perkuburan, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia 9.40 malam tadi akibat kanser prostat.
Terdahulu, Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya jam 8.55 malam tadi selepas dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 19 Januari lalu.

Ketika dibawa pulang, beliau terpaksa diusung menggunakan katil hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bergantung kepada bantuan oksigen.

Anaknya, Nik Mohamad Abduh kemudian mengesahkan Nik Abdul Aziz meninggal dunia di depan ahli keluarga.

Beliau meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan arwah ayahnya itu.

 JENAZAH Nik Abdul Aziz selamat disemadikan 11 pagi tadi. FOTO Khairull Azry Bidin -