Showing posts with label Perodua. Show all posts
Showing posts with label Perodua. Show all posts

Saturday, 14 December 2019

Kecoh Myvi Biru Viral! Khayal rupanya...



PEMANDU Perodua Myvi yang ditahan selepas memandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan lain di Jalan Pudu, di Kuala Lumpur, semalam, didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati lelaki berusia 25 tahun berkenaan positif methamphetamin dan amphetamin.
“Lelaki berkenaan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Mohd Fahmi berkata, berhubung laporan polis berkaitan kejadian memandu secara melulu serta melanggar beberapa kenderaan lain dilakukan suspek berkenaan, ia akan diserahkan kepada pihak trafik.
“Menurut keterangan saksi yang juga perakam video ketika kejadian, suspek dikatakan cuba menyamun seorang lelaki orang kurang upaya (OKU).
“Namun setakat ini, lelaki OKU berkenaan belum tampil membuat laporan berhubung perkara itu. Kami menasihatkan individu terbabit membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Harian Metro, hari ini, melaporkan seorang penjawat awam ditahan selepas memandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan di Jalan Pudu.
Suspek berjaya ditahan orang awam di Jalan Brunei Utara, jam 5.20 petang, sebelum dibawa anggota kereta unit peronda (MPV) ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, satu video berdurasi kira-kira satu minit yang menunjukkan sebuah Perodua Myvi berwarna biru dikejar penunggang motosikal ketika dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar beberapa kenderaan, tular di media sosial.

Saturday, 14 July 2018

Dengar dentuman nampak kereta diseret

TOYOTA Vellfire dirempuh treler sebelum diseret hingga melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas yang dipandu Hazhar Hamzah.

RAWANG: "Saya terdengar dentuman kuat dan nampak melalui cermin sisi sebelah kanan, kereta Toyota Vellfire dirempuh treler sebelum diseret hingga melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas yang saya pandu.
"Bas bergoyang namun saya dapat kawal sebelum meneruskan perjalanan.
"Sekembali ke lokasi kejadian selepas menurunkan penumpang di Kuala Lumpur, saya dapati kereta Perodua Alza remuk di lorong kecemasan dan terdapat empat mayat bertutup kain dan plastik hitam di atas jalan raya," kata pemandu bas ekspres, Hazhar Hamzah, 52, saksi kejadian kemalangan yang mengorbankan empat orang tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, tiga mangsa yang menaiki Perodua Alza dan pemandu Toyota Vellfire maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Kilometer 445.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat persimpangan Rawang Selatan di sini.
Kemalangan itu turut mencederakan empat yang lain termasuk seorang kanak-kanak.
Ketika kejadian, Hazhar membawa 41 penumpang dalam perjalanan dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, nahas berlaku sangat pantas namun dia bernasib baik kerana dapat mengelak daripada menjadi mangsa.
"Keadaan ketika itu memang cemas sedikit dan saya perlu kawal pemanduan agar tidak terbabas.
"Nasib baik bas berada di lorong dua kalau tidak kesannya lebih buruk dan berkemungkinan rempuhan akan berlaku dari arah depan bas.
"Hanya jarak satu lorong dapat mengelakkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Hazhar berkata, dia terpaksa bergegas kembali ke lokasi untuk mendapatkan nombor pendaftaran lori yang melanggar bas untuk membuat laporan.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lebih 10 kilometer di laluan menghala Selatan dan sesak lebih lima kilometer di laluan arah utara.

Friday, 13 November 2015

Pelajar maut, kereta dihempap lelaki (Kosmo)



MELAKA – Seorang pelajar sebuah universiti awam maut apabila kereta dipandunya dihempap seorang lelaki yang dipercayai terjun dari tingkat 13 sebuah hotel bertaraf lima bintang di Jalan Parameswara, Banda Hilir di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, mangsa, Arfan Syazani Salahudin, 19, yang menaiki kereta Perodua Viva baru tiba di tempat letak kereta hotel tersebut sebelum dihempap lelaki berkenaan pada bahagian pemandu.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu mengalami kecederaan parah pada kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bumbung keretanya kemik manakala cermin kenderaan tersebut pecah akibat dihempap lelaki ber­kenaan yang mempunyai berat kira-kira 90 kilogram.
Lelaki yang terjatuh di atas bumbung kereta Arfan Syazani dari ketinggian le­bih 40 meter itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, lelaki yang terjatuh itu berusia 43 tahun dan berasal dari Bukit Katil di sini. Dia mendaftar masuk seorang diri di hotel berkenaan pada pukul 9.40 pagi semalam. (Kosmo)



Sementara itu, ibu Arfan Syazani, Aslina Ansari, 43, ketika ditemui berkata anaknya itu sedang bercuti semester 3 daripada pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan baru bekerja di hotel tersebut kira-kira 2 minggu.
“Sebelum pergi kerja pagi tadi dia sempat meminta bekal untuk dibawa ke tempat kerja walaupun biasanya dia tidak berbuat demikian.
“Dia tidak menunjukkan sebarang kelainan pada dirinya, namun pagi tadi saya sempat berpesan pada arwah supaya berhati-hati memandu,” katanya.
Aslina berkata dia dan keluarga reda dengan insiden itu dan mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cina di Melaka. – Bernama

Monday, 20 July 2015

Wanita, anak maut nahas ngeri


Kereta Perodua Kenari yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dan mengorbankan dua beranak semalam.

HULU SELANGOR – Kemala­ngan jalan raya musim Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini berterusan.
Semalam seorang wanita mati dalam keadaan ngeri apabila pahanya tertusuk besi penghadang jalan sehingga buah pinggang­nya terburai dalam kemalangan di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim di sini semalam.
Lebih menyayat hati, anak mangsa yang berusia setahun mati dalam pangkuannya.
Dua mangsa yang maut itu ialah Mahfuzah Ishak, 28, dan anaknya, Muhammad Harraz Zafran Shahrul Raziman.
Bagaimanapun, suami Mahfuzah, Shahrul Raziman Osman, 33, dan anak sulungnya, Nur Adni Afeefa, 3, dan ibu Mahfuzah hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Hulu Se­langor, Superintendan R. Supramaniam berkata, kemalangan itu berlaku pada pukul 5.51 pagi dan kereta Perodua Kenari itu dipandu Shahrul dalam perjalanan dari Pahang menghala ke Kedah untuk beraya.
Menurut beliau, setiba di lokasi, kereta dipandu Shahrul ter­babas ke kiri lebuh raya lalu me­langgar besi penghadang jalan.
“Mahfuzah yang memang­ku Muhammad Harraz yang duduk di tempat duduk penumpang depan mengalami kecederaan parah menyebabkan dua beranak itu me­ninggal dunia di lokasi kejadian,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!