Showing posts with label Artis Luar. Show all posts
Showing posts with label Artis Luar. Show all posts

Friday, 2 August 2019

Hala tuju Dwayne Johnson (The Rock)

Si perkasa bertubuh kekar bernama Dwayne Johnson merupakan idola kepada banyak orang. Sejak menempa nama dalam arena gusti pada tahun 1996 sebagai the Rock, rezeki Dwayne 47thn semakin berkembang ke arena perfileman & seterusnya penerbitan karya kreatif.


Bermula dengan penampilan komersial pertama sebagai The Scorpion King merusi naskhah The Mummy Returns (2001), langkah Dwayne sebagai aktor semakin besar tatkala peluang demi peluang diberikan kepadanya menerusi filem2 berskala tinggi.

Keberadaan Dwayne dalam industri pada awalnya mungkin dipandang remeh oleh khalayak. Maklumlah lelaki yang hanya tahu bergasak di pentas gusti itu dicetak masyarakat sebagai sesuai untuk membawakan watak2 ekstrem.

Pada pendapat segelintir khalayak, tidak mungkin Dwayne boleh melalui transisi watak sebagaimana aktor hebat lain.
Menepis tanggapan ramai sebagai omong kosong, Dwayne bagaimanapun terbukti cemerlang menerusi beberapa naskhah berbentuk komedi seperti The Game Plan, Tooth Fairy dan filem animasi, Moana serta Planet 51.
Kesungguhan Dwayne mengembangkan sayapnya dalam industri semakin menebal apabila dia berpeluang untuk bergelar penerbit bersama untuk filem Journey 2: The Mysterious Island.
Dwayne kemudian menerbitkan beberapa buah filem pecah panggung seperti Jumanji: Welcome To The Jungle, Rampage, Skyscraper dan Shazam!.
Terbaharu, lelaki botak itu kembali mengisi kerusi penerbit menerusi filem Fast & Furious Presents: Hobbs & Shaw (Hobbs & Shaw) yang mula ditayangkan sejak 1 Ogos lalu.
Menjayakan watak Luke Hobbs sejak filem kelima daripada francais tersebut iaitu Fast Five, Dwayne berkata, filem terbitannya bersama Jason Statham, yang turut memegang watak utama sebagai Deckaed Shaw itu adalah sebuah naskhah yang menghiburkan.
Menerusi wawancara yang dijalankan oleh Ross King untuk Good Morning, Britain, Dwayne bercerita tentang keserasian dengan bintang-bintang utama naskhah berkenaan dan statusnya dalam arena gusti serta politik.
ROSS KING: Hobbs & Shaw merupakan sebuah filem yang menakjubkan, apa kata Dwayne?
DWAYNE: Ketika membikin filem ini, kami cuba sebaik mungkin untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menarik, berskala besar dan pada masa sama menghiburkan. Kami juga menghasilkan sebuah naskhah yang membuatkan peminat francais Fast & Furious menyukainya, bahkan penonton yang tidak pernah menyaksikan filem-filem terdahulu boleh ikut sama menonton.
Keserasian anda bersama pelakon-pelakon lain seperti Jason Statham, Idris Elba dan Vanessa Kirby cukup terserlah. Adakah sukar untuk mencetuskan kebersamaan yang ideal di layar lebar?
Kita selalu berhadapan dengan isu keserasian apabila berlakon dalam sesebuah filem. Jika dilihat dari sudut pandang industri perfileman Hollywood, kita boleh cetuskan keserasian tersebut.
Namun, adakah keserasian berkenaan mampu membuatkan sesebuah watak itu dekat dengan penonton? Untuk saya dan Jason, saya tidak sangka ramai yang sukakan keserasian kami menerusi Fast & Furious 8 sehingga membuatkan kami berdua kembali bersatu menerbitkan Hobbs & Shaw.
Dalam erti kata lain, keserasian yang terbina menerusi filem terdahulu menyebabkan anda dan Jason mampu menghasilkan filem terbaharu?
Benar. Keserasian tersebut boleh diibaratkan sebagai pancaran kilat yang diletakkan dalam botol. Cetusan tersebut akhirnya merebak dan berjangkit kepada pelakon-pelakon lain.
Pendek kata, sama ada saya, Jason, Elba dan Vanessa, kami mempunyai keserasian yang luar biasa. Saya bangga dengan hasil akhirnya. Jika anda mahu tahu, disebabkan keserasian tersebut saya tampilkan watak undangan yang telah mengejutkan penonton di panggung sewaktu menyaksikan filem ini. Tidak keterlaluan dikatakan, watak undangan tersebut telah membuka masa depan yang berbeza terhadap sekuel kesembilan Fast & Furious.
Proses penggambaran Hobbs & Shaw dijalankan di London, England. Kebanyakan pelakon juga turut berasal dari negara tersebut. Bagaimanakah bekerja dengan mereka sepanjang penggambaran berlangsung?
Jason, Elba dan Vanessa merupakan pelakon gred A yang berasal dari England. Sejujurnya, saya berasa sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan mereka.
Sebagai contoh, kami sengaja membentuk Elba untuk mendukung watak jahat paling ‘besar’ dalam sejarah penerbitan francais Fast & Furious. Dia bukan hanya mempunyai jisim dalam lakonan, tetapi berupaya melakonkan watak tersebut dengan baik.
Apakah perkara positif yang anda dapat selepas bekerja dengan mereka?
Mereka sangat baik, mempunyai sikap tolak ansur dan peramah!
Anda dilahirkan dalam keluarga yang akrab dengan sukan gusti. Selain bapa dan datuk, nenek anda, Lia Maivia turut terlibat dalam bidang serupa. Apakah nasihat nenek anda yang paling diingati sehingga kini?
Nenek saya merupakan seorang promoter gusti wanita pertama sekitar tahun 1980-an. Dia juga merupakan Timbalan Presiden National Wrestling Alliance di Hawaii selepas datuk saya, Peter Maivia meninggal dunia. Banyak yang saya belajar daripada mendiang nenek.
Salah satu daripadanya adalah keengganannya melihat saya memiliki senjata api ketika saya berusia 19 tahun. Nenek saya bermati-matian melarang saya menyimpan senjata api, sedangkan saudara-mara lain menggalakkan saya berbuat demikian.
Anda begitu sibuk berlakon dan menerbitkan filem. Adakah anda sudah bersara daripada bidang gusti?
Tidak sama sekali. Apabila terlibat dalam sukan gusti, tiada istilah bersara bagi saya.
Nama anda pernah disebut-sebut sebagai salah seorang calon yang sesuai untuk bergelar Presiden Amerika Syarikat (AS). Anda juga pernah berhasrat untuk mempertimbangkan cadangan tersebut. Adakah anda masih berminat mahu fokus terhadap politik selepas ini?
Saya sentiasa berfikir tentang politik. Saya juga berasa sangat terharu kerana ramai yang mahu melihat saya menjadi Presiden AS. Namun dalam fasa ini, lebih baik saya gunakan kelebihan dan platform yang ada untuk membantu sesiapa sahaja yang layak untuk mentadbir negara.
Siapa yang sesuai untuk jawatan tersebut, saya tidak pasti. Apa yang boleh saya katakan, kita perlu tunggu dan lihat.
Pelakon Dwayne Johnson berkongsi emosi tentang karya terbaharunya bersama Jason Statham, Hobbs & Shaw, akar dirinya dalam sukan gusti serta keinginan untuk menceburkan diri dalam dunia politik.

Friday, 21 July 2017

Berakhirnya riwayat Chester Bennington

Chester memilih mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri sendiri pada usia 41 tahun

Bagi peminat band rock Linkin Park, vokalis dengan hampir keseluruhan badannya dicacah tatu, bertindik pada kedua-dua telinganya dan melantunkan vokal rock dengan identitinya tersendiri akan selalu menjadi kesayangan. Malangnya, biar dipuja dan menjadi idola banyak peminat, lelaki itu yang dikenali sebagai Chester Bennington telah mengejutkan dunia dengan cara kematiannya.
Tidak jauh bezanya dengan kebanyakan legenda rock lain yang mengambil keputusan mengakhiri kehidupan mereka melalui cara membunuh diri, begitu juga pilihan yang dilakukan Bennington. Bennington ditemui mati dengan cara menggantungkan diri di kediamannya di Palos Verdes Estates, California, Amerika Syarikat oleh pihak penyelamat sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan). Dia berumur 41 tahun ketika meninggal dunia.
Walaupun ada pihak yang berpendapat beliau memilih kematian tragis seperti itu kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah yang dialaminya sejak sekian lama, namun banyak yang meletakkan kematian teman baiknya, Chris Cornell menjadi pendorong bapa kepada enam orang anak daripada dua buah perkahwinan itu menamatkan riwayatnya sendiri.
Entah kebetulan atau ia merupakan rencana yang telah lama dirancang, beliau mati pada tarikh ulang tahun Cornell iaitu 20 Julai. Cornell sendiri terlebih dahulu ditemui mati akibat bunuh diri di sebuah hotel di Michigan, (AS) pada 18 Mei lalu.

Menjadi satu ironi juga, Bennington telah melancarkan album baharu bersama Linkin Park berjudul One More Light sehari selepas kematian Cornell.
Bennington sendiri pernah mengakui beliau tidak lagi berasa gembira dengan kehidupan sekarang, termasuk perkara yang berlaku di sekelilingnya.
Menerusi temu bual bersama Mirror Online pada Mei lalu, Bennington memberitahu bahawa album tersebut merupakan luahan kekecewaannya dalam mengharungi kehidupan yang sukar dan mencabar.
“Album ini merupakan perkongsian saya bersama kalian tentang kepayahan dalam mengharungi liku kehidupan yang tidak mungkin dapat dikongsikan bersama orang lain kerana ia perlu dilakukan secara bersendiri,” terang Bennington seperti memberi gambaran tentang kematian tragisnya itu.
Fenomena
Sebaik berita kematiannya tersebar, selebriti popular antarabangsa turut mengucapkan takziah atas kematian Bennington di media sosial.
Pengasas bersama Linkin Park, Mike Shinoda, menulis ringkas tentang pemergian sahabatnya: “Mengejutkan dan cukup mematahkan hati, tetapi ia benar. Kenyataan rasmi akan menyusul.”
Wakil daripada kumpulan My Chemical Romance pula menulis: “Kami berasa sedih atas kematian Bennington. Kami mengasihinya. Takziah daripada kami buat seluruh ahli keluarganya, Linkin Park dan mereka yang dikasihi.”
Membuka lipatan sejarah karier Bennington, beliau tampil pertama kali bersama Linkin Park sekitar tahun 2000 menerusi album Hybrid Theory yang menjadi fenomena di seluruh dunia.
Kejayaannya bersama band yang memperjuangkan genre muzik metal dan elektronik itu terbukti apabila album tersebut berjaya menduduki tangga kedua carta Billboard dengan hasil penjualan lebih 10 juta unit.
Linkin Park sendiri pernah dua kali singgah membuat konsert di Malaysia, termasuk pada tahun 2013 menerusi siri konsert jelajah sempena album terkininya pada ketika itu, Living Things.
Terus memberi fokus kepada kerjaya muzik, Bennington melanjutkan kerjaya seni muzik bersama penerbit muzik popular, Steve Aoki dan bintang rap, Jay Z selain beberapa artis popular antarabangsa.
Beliau sebelum ini turut pernah membintangi beberapa filem seperti Saw VII, Crank: High Voltage, Linkin Park: Breaking the Rabbit.

Kematiannya dengan cara menggantung diri sendiri seperti menjadi cerminan kecelaruan atau peperangan emosi seperti bait lirik dalam lagu hit mereka, Crawling yang berbunyi; “There’s something inside me that pulls beneath the surface / Consuming, confusing / This lack of self-control I fear is never ending.”

Saturday, 6 May 2017

Megadeth frontman thanks PAS for no protest [malaymail]

KUALA LUMPUR, May 4 — Dave Mustaine, frontman for US thrash metal band Megadeth, thanked PAS for giving a pass on protesting against its concert there this evening.

“Thank you. If there is a song that offends Malaysians or their faith, please tell me. I wish to offend no one here. We cut songs for China,” Mustaine tweeted on his personal account at about 11am local time.
He was responding to Twitter user, Hasbullah Najib who had reached out to the former through the microblogging website to state that there would be no protest at the Megadeth concert scheduled today.
The Malaysian also attached in his Twitter posting a link to a news report by Malaysiakini that quoted PAS Youth leaders denying that it had planned a protest.
However, the party did voice its disapproval and questioned why the authorities had allowed the concert to be held despite having prevented the band from performing here in 2001.
“PAS Youth is questioning the authorities’ resolve in addressing this event, when they so clearly tout the Islamic entertainment guidelines,” the movement’s information chief, Hishamudin Abdul Karim, said in a statement.
PAS Youth has a history of protesting against Western musicians.
Last year, it did so against US pop singer Selena Gomez who held a concert in Shah Alam, due to her “sexiness”.
- See more at: http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/megadeth-frontman-thanks-pas-for-no-protest 

Batas sensitiviti Megadeth


Penantian selama 15 tahun kumpulan rock thrash metal terkenal kelahiran Amerika Syarikat (AS), Megadeth untuk mengadakan konsert sulung di Malaysia akhirnya berbaloi apabila mereka menghipnosis kira-kira 3,500 penonton di Stadium Negara, Kuala Lumpur kelmarin dengan laungan dan iringan muzik yang luar biasa.
Sukar dilupakan pada tahun 2001, kumpulan yang dianggotai oleh Dave Mustaine yang juga vokalis serta pemain gitar utama kumpulan itu, David Ellefson (bass), Kiko Loureiro (gitaris) dan Dirk Verbeuren (drum) dilarang melunaskan konsert di sini untuk mempromosikan album baharu mereka ketika itu, The World Needs A Hero.
Alasannya, muzik ‘keras’ yang mereka perjuangkan tidak bersesuaian dengan norma dan budaya masyarakat tempatan. Ada yang melabelkan mereka sebagai pemuja syaitan, duta keganasan dan sebagainya lantas membantutkan keghairahan pengikut tegar kumpulan tersebut untuk menyaksikan idola mereka beraksi di bumi Malaysia.
Hal itu jelas dibuktikan pada malam Jumaat lalu. Atmosfera di Stadium Negara seakan mengiyakan kunjungan sulung Megadeth di sini kali ini. Cuaca yang baik dan penonton berduyun-duyun datang berbilang kaum. Baik Melayu, Cina dan India, mereka ‘turun padang’ atas nama muzik metal bagi menyaksikan persembahan berdurasi kira-kira dua jam yang cukup energetik.
Sebelum melangkah masuk ke stadium, terdetik dalam hati bahawa memang tidak adil untuk menghakimi baik buruk seseorang hanya berpandukan citarasa muzik. Hal ini kerana, yang datang memburu muzik Megadeth pada malam itu bukan hanya mereka yang berimej rock metal.
Ada yang datang wajahnya seperti alim ulamak, relaks dan tenang sahaja penampilannya.
Ada juga yang berimej rock keras tetapi bukan calang-calang orang kerana mempunyai kerjaya yang mampu membuatkan orang ternganga jika dicanang. Tidak kurang, golongan wanita; tidak kira bertudung atau pun tidak, mereka membuktikan bahawa muzik itu tiada batasan dan mampu menjadi ejen penyatu.
Penonton histeria
INSTAGRAM: Usai menghiburkan peminat di Kuala Lumpur kelmarin, Megadeth mengucapkan selamat malam yang ditujukan khas kepada rakyat Malaysia di Instagram rasmi mereka.
Bermula sekitar pukul 9 malam, sebelum empat lelaki yang dikatakan sudah ‘tamat tempoh’ menjelma di atas pentas, penonton yang hadir sudah seperti terkena histeria menyeru nama Megadeth sehingga kelibat mereka berada di hadapan mata.
Dengan pencahayaan pentas jelas memaparkan identiti Megadeth sebagai kumpulan yang kaya dengan bunyi bingit serta nukilan lirik berkisar peperangan, politik dan kematian, empat lelaki tersebut pantas memulakan persembahan dengan lagu Hangar 8, Wake Up Death, In My Darkest Hour dan Threat Is Real.
Bagi empat lagu pertama itu sudah cukup untuk memanaskan badan pemuja tegar Megadeth yang duduk di bangku. Tanpa segan silu sebahagian daripada mereka mengekpresikan jiwa keras mereka. Ada yang bangkit dan terus menggoyangkan kepala sambil melaungkan bersama setiap bait lirik lagu-lagu tersebut.
Sebelum menggemakan stadium dengan lagu berikutnya, Mustaine sempat berkomunikasi dengan para penonton. Kata lelaki berusia 55 tahun itu,: "Saya harap anda berseronok pada malam ini kerana kami amat seronok dapat datang ke Malaysia. Sudah lama kami menunggu untuk mengadakan persembahan di sini."
Lagu yang dipetik daripada album terbaharu Dystopia berjudul Conquer Or Die mula berkumandang. Sememangnya, muzik Megadeth tidak pernah mati walaupun tiga tahun berehat daripada menghasilkan sebarang material album selepas kehadiran album, Supper Colllider pada 2013.
BINGIT: Megadeth sememangnya diminati ramai dengan muzik bingit dan pantas yang menjadi kegilaan ramai peminat rock metal seluruh dunia.
Dystopia memberi signifikan luar biasa kerana selepas 12 pencalonan dalam Anugerah Grammy tanpa sebarang kemenangan, Megadeth kini mampu tersenyum apabila pertama kali menggenggam trofi anugerah berprestij tersebut menerusi kategori Persembahan Lagu Metal Terbaik pada Anugerah Grammy ke-59 lalu.

Persembahan terus memuncak dengan karya-karya head banging daripada album tersebut menerusi lagu Lying Instead dan dua lagu malar hijau berjudul Sweating Bullets dan Trust yang dipetik daripada album Countdown To Extinction (1992) serta Cryptic Writing (1997).
Melihat aksi Mustaine di atas pentas, sesekali apabila dia menghuraikan rambut ke bawah sambil memetik gitar, boleh dilihat sebahagian rambut di belakangnya sudah botak. Bagaimanapun, tenaga dan semangatnya menghiburkan peminat memang amat dikagumi. Usianya barangkali sudah melewati senja namun dia tetap raja rock metal di pentas.
Mustaine dan tiga rakannya menyedari bahawa kehadiran mereka di Malaysia punya batas yang perlu dituruti. Menghormati budaya dan adat resam di Malaysia, mereka turut melahirkan kekecewaan apabila konsert mereka kali ini turut mendapat bantahan oleh segelintir pihak sebelum diluluskan.
Hormat
HEBAT: Sistem pencahayaan dan bunyi konsert Megadeth Live In Malaysia berada pada tahap yang memuaskan lantas melahirkan persembahan pentas yang hebat.
"Saya memang sudah lama berniat untuk datang ke Malaysia untuk mengadakan persembahan. Negara ini sangat cantik. Sebelum ini, hasrat kami terpaksa dilupakan. Malam (kali) ini, kami berasa sangat bertuah untuk menghiburkan anda semua," ujar Mustaine usai melantunkan lagu She Wolf, Poisonous Shadows, Fatal Illusion dan Atout Le Monde.
Dalam pada itu, lelaki itu sempat meluahkan kesediaannya di Twitter kerana terpaksa mengeluarkan beberapa lagu yang tidak bersesuaian gaya hidup masyarakat Malaysia.
"Terima kasih. Kalau ada lagu yang menyinggung rakyat Malaysia atau kepercayaan mereka, beritahu saya. Saya tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak di sini. Di China pun, kami sedia memotong mana-mana lagu yang tidak bersesuaian," tulis Mustaine dalam laman Twitter miliknya.
Nuansa semakin rancak apabila lagu berjudul Tornado dimainkan sebelum lagu Post American World dan Dystopia mengambil alih atmosfera pentas. Penonton seakan-akan dirasuk apabila Symphony of Destruction dilaungkan. Buat penggemar muzik Megadeth, lagu itu adalah antem paling terkenal.
Persembahan ditutup kemas dengan dua lagu ikonik yang mempromosi kedamaian dan kesaksamaan politik Peace Sells dan Holly Wards. Saat Peace Sells dimainkan, hadir satu maskot berpakaian seperti ahli politik sebagai gimik seakan memberi gambaran bahawa dunia tidak pernah lari daripada korupsi yang merosakkan umat manusia.
Satu kesimpulan konsert yang dianjurkan oleh IME Malaysia itu, sebagai negara yang berbilang bangsa, usah mudah melatah hanya kerana sesuatu elemen atau perihal itu begitu asing kerana sebagaimana majmuknya rakyat di negara ini, banyak perkara yang mampu menyatukan walau secara luarannya ia bersifat negatif ataupun terlalu asing.

Sunday, 17 January 2016

Dilwale ungguli carta pawagam Malaysia [sinar harian]


BIARPUN terpalit dengan beberapa kontroversi, filem Dilwale terus mencatat kejayaan tersendiri. Meskipun tidak mendapat kutipan memberangsangkan di India, Dilwale mendapat sambutan hebat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sehingga menjadi filem Bollywood terlaris yang ditayangkan.

Reaksi sama turut diterima untuk tayangan di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan beberapa negara Eropah. Ia satu pencapaian yang jarang diraih filem Bollywood.

Manakala di Malaysia, Dilwale terus mengungguli carta di kebanyakan pawagam meskipun sudah hampir sebulan ditayangkan.

Atas faktor itu, sehingga 14 Januari lalu, Dilwale dilaporkan sudah mengutip RM198.86 juta membabitkan kutipan di seluruh dunia.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pawagam di Lembah Klang mendapati, filem yang diarahkan Rohit Shetty itu masih ditayangkan untuk tiga hingga enam sesi sehari berbanding Star Wars : Episode VII-The Force Awakens yang sudah dikurangkan sesi tayangan dua hingga tiga kali sehari.

Untuk rekod, filem Star Wars ditayangkan sehari awal daripada Dilwale.

Menurut Pembantu Pengurus TGV Cinemas cawangan Bukit Raja, Abdul Razak Za'aba, Dilwale mula ditayangkan di pawagam berkenaan sejak 31 Disember lalu.

"Sejak 31 Disember hingga 13 Januari lalu, sebanyak 113 tayangan dimainkan untuk filem berkenaan, dengan jumlah penonton hampir 14,000.

"Tayangan Dilwale secara tidak langsung telah mengatasi tayangan Star Wars di sini," ujarnya.
Rata-rata yang pernah menonton Dilwale menyifatkan filem tersebut amat dinantikan kerana memperlihatkan gandingan semula Datuk Shah Rukh Khan (SRK) dan Kajol di layar perak selepas kali terakhir berganding bersama menerusi My Name Is Khan pada 2010.

Selain gandingan SRK dan Kajol, Dilwale yang bergenre romantik muzikal dan aksi komedi ini turut dibintangi Varun Dhawan, Kriti Sanon, Johnny Lever dan Varun Sharma.

Filem ini turut digilai ramai peminat kerana menampilkan lagu menarik iaitu Gerua, Janam Janam, Tukur Tukur, Daayre dan banyak lagi.

Dilwale mengisahkan mengenai konflik dalam hubungan cinta di antara Kaali/Raj (SRK) dan Meera (Kajol) yang berlanjutan selama beberapa tahun tanpa kesudahan.

Halangan itu berlaku disebabkan pertelingkahan di antara keluarga mereka yang masing-masing terlibat dalam aktiviti kongsi gelap.

Hubungan yang pada awalnya tiada masalah bertukar bencana apabila keluarga Meera membongkar kisah silam Raj dan adiknya, Veer (Varun Dhawan) sehingga memaksanya meninggalkan lelaki itu.

Bukan hanya jalan cerita dan lakonan yang menyentuh perasaan, Dilwale yang menjalani penggambaran di Bulgaria turut menampilkan sinematografi yang tidak menghampakan, malah visual melatari naskhah berkenaan benar-benar menakjubkan.

Kajol pukau penonton
Tidak hanya gandingan 'King of Bollywood' ini yang menjadi perhatian ramai, kemunculan Kajol dengan perbezaan gaya dan kecantikan yang luar biasa turut menarik perhatian.

Masakan tidak, sejak kemunculannya di dalam filem berkenaan, beberapa pihak mula berkongsi cara Kajol berdiet dan menjaga kecantikan.

Bahkan ada juga yang sanggup menonton filem berkenaan beberapa kali kerana terpukau dengan kecantikan wanita itu.

"10 tahun saya bekerja berlakon di bawah terik mentari membuatkan kulit saya gelap. Kini saya tak lagi bekerja begitu, sebaliknya lebih banyak berada di rumah, jadi kulit saya makin putih. Ia bukan kerana pembedahan.

"Saya tidurkan anak pada jam 9.30 malam dan saya sendiri akan lena selepas mereka melelapkan mata. Saya tidak berjaga lewat malam dan tidak menghadiri parti. Jika ada kerja malam, sebaik selesai saya akan terus pulang," kata Kajol.

Dalam pada itu, berkongsi pengalaman awal terlibat di dalam pembikinan Dilwale, Kajol berkata, ketika dia dilamar untuk berlakon di dalam filem itu, dia dan suaminya, Ajay Devgan sedang dalam perancangan menerbitkan sebuah filem.

Bagaimanapun 'lamaran' dan pujukan SRK yang disifatkan tetap sama seperti 25 tahun lalu secara tidak langsung membuatkan dia bersetuju untuk kembali bergandingan bersama aktor tersebut.

"Saya gembira setiap kali bekerjasama dengan dia (SRK). Dia seorang yang lucu dan mudah beri kerjasama ketika bekerja. Malah setelah sekian lama berkawan, saya selesa bekerjasama dengannya.

"Walaupun telah berpengalaman dalam berpuluh filem, dia tetap teruja setiap kali memulakan penggambaran seperti memberi pendapat, merancang apa yang mahu dilakukan.

"Saya pula akan sentiasa menenangkan dia dengan berkata, 'bertenang, ini filem awak yang ke-255.'," katanya sambil ketawa.

SRK dedah rahsia
Sementara itu, SRK berkata, kerinduannya untuk bekerjasama dengan Kajol membuatkan dia tekad untuk mendapatkan aktres berusia 42 tahun itu di dalam filem terbaharu terbitannya.

Menyifatkan Kajol sebagai keajaiban di skrin, SRK merasa bertuah apabila ibu kepada dua cahayamata itu bersetuju untuk bersamanya selama 150 hari demi Dilwale.

"Setiap kali berlakon bersama orang lain, saya sentiasa rindukan gandingan bersama Kajol. Dia beri kami tempoh 150 hari menyiapkan filem ini dan ketika berada jauh dari anak-anak, saya tahu dia sudah buat satu pengorbanan yang besar demi kerjanya," ujarnya.

SRK dan Kajol sebelum ini pernah sama-sama bergandingan untuk filem Baazigar, Karan-Arjun, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhie Khushi Kabhi Gham dan My Name Is Khan.

Ditanya keistimewaan Kajol di matanya, SRK berkata, sejujurnya ketika mula mengenali wanita itu, dia tidak mempunyai pandangan yang baik terhadap Kajol.

"Ketika saya bekerjasama dengan dia menerusi Baazigar

, Aamir ada bertanya saya tentang dia kerana Aamir berminat untuk bekerjasama dengannya.
"Saya kemudiannya meninggalkan komen dan menyifatkan Kajol seorang yang teruk, tidak fokus di dalam kerja dan dia tidak sesuai bekerjasama dengan Aamir.

"Tetapi selepas itu, saya melihat Kajol sebagai satu keajaiban di dalam skrin. Dia seorang pelakon yang jujur dan mempunyai kualiti kerja baik.

"Bila Suhana (anak SRK) meluahkan hasrat untuk menjadi pelakon, saya minta dia belajar berlakon dari Kajol kerana Kajol ada sesuatu aura yang sukar untuk saya jelaskan," jelasnya.

Saturday, 13 June 2015

Rezeki Humood Alkhudher (kosmo)



Setiap sesuatu kejadian tidak pernah berlaku mengikut jangkaan yang tepat. Ada kalanya ia akan menjadi kenyataan atau sebaliknya. Namun bagi penyanyi lelaki ini, tuah kini menjadi miliknya.
Gara-gara memuat naik sebuah video berdurasi 15 saat, penyanyi yang berasal dari Kuwait, Humood AlKhudher berjaya melebarkan sayap sebagai penghibur di Malaysia.
Mencetuskan fenomena, video yang dikongsi hampir di seluruh dunia itu berjaya menambat hati peminat tempatan sehingga mereka merakam semula lagu tersebut menerusi aplikasi Dubsmash termasuk dalam kalangan selebriti popular tanah air.
Tuah daripada perkongsian video itu, ia bagai mengiringi perjalanan karier lelaki tinggi lampai yang memiliki pakej lengkap dalam memperjuangkan karyanya.
Terkenal menerusi lagu bertajuk Kun Anta yang membawa maksud Be Yourself atau jadilah diri sendiri, Humood mengakui lebih selesa mengetengahkan mesej positif sebagai subjek penting dalam penulisan liriknya.
Meskipun begitu, Humood tetap mempunyai perancangan untuk menghasilkan lagu berkonsep ketuhanan namun enggan melabelkan karyanya dengan elemen keagamaan.
"Meskipun ramai berpendapat saya membawa lagu lebih menjurus kepada ketuhanan sama seperti apa yang diperjuangkan oleh Maher Zain sebelum ini, sebenarnya ia kurang tepat. Lagu yang cuba saya tonjolkan lebih bersikap positif sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
"Bagaimanapun ini tidak bermaksud saya sempurna, namun elemen seperti ini agak jarang ditonjolkan berbanding lagu bertemakan cinta," jelasnya ketika ditemui dalam satu majlis temu bual eksklusif di Restoran Savaro, Publika Solaris, Dutamas, Selangor kelmarin.
Hadir dalam keadaan bersahaja dan santai tanpa perlu dikawal oleh pengawal peribadi, penyanyi berusia 26 tahun itu nyata bijak dalam menyusun setiap kata saat menjawab persoalan yang ajukan.
Hal itu termasuk ketika dia menjawab persoalan mengenai kejayaannya meraih populariti hanya menerusi satu lagu hit sahaja.
"Jujurnya, mesti saya ingin mempromosikan kesemua lagu yang ada di dalam album ini tetapi perkara mengejutkan telah berlaku di Malaysia apabila Kun Anta mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat Malaysia termasuk selebriti.
Pelakon dan pengacara
"Lebih mengejutkan, lagu itu juga berjaya berada pada kedudukan teratas dalam carta lagu iTunes di Malaysia," jelasnya yang merupakan artis di bawah naungan Awakening Records.
Memiliki pengalaman menyanyi sejak berusia 10 tahun, Humood kini gigih merencana agenda demi mempromosikan album pertamanya yang dilengkapi dengan 10 buah lagu bertajuk Aseer Ahsan.
Mengambil kesempatan apabila namanya berada di puncak, dia berhasrat untuk menghasilkan lagu ciptaan sendiri dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan dalam bahasa Melayu buat album keduanya.
Mula dilancarkan di Malaysia sejak dua minggu lalu, pihak pengurusan Interm Records diberi kepercayaan selaku pengedar album sulung penyanyi kelahiran Asia Barat itu untuk pasaran tempatan.
Sementara itu, melihat kepada pakej lengkap yang dimiliki, Humood mampu menjadi pelaris sekiranya terlibat dalam dunia perfileman mahupun pengacaraan.
Biarpun sering menerima pujian kerana wajahnya yang tampan, Humood tidak mengambil kesempatan yang ada untuk menambah portfolionya dengan bergelar pelakon mahupun pengacara.
Dia juga mengakui perkara itu tidak termasuk dalam perancangan kerjaya seninya dalam tempoh waktu terdekat tetapi sukar menolak jika ia berlaku pada masa akan datang.
"Pada masa sekarang saya tidak terfikir untuk menjadi pelakon ataupun mendambakan karakter yang ingin dibawa kelak. Barangkali hal itu akan berlaku suatu masa nanti.
"Sementelah, cita-cita saya bukanlah menjadi seorang pelakon mahupun pengacara. Sejak kecil saya sememangnya menanam impian hanya untuk bergelar penyanyi," jelasnya.
Cinta jarak jauh
Beralih kepada soal peribadi, Humood yang memegang status suami orang mengakui terpaksa hidup berjauhan dengan isteri tercinta atas dasar tuntutan kerja.
Humood begitu sibuk di Kuwait, sementara isterinya kini menetap di Amerika Syarikat.
Mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu, Humood bersyukur dipertemukan dengan seorang isteri yang memahami. Dia hanya memperkenalkan wanita bertuah itu sebagai Marfazz.
"Pasti sebagai wanita normal dia ada menyimpan perasaan cemburu namun Alhamdulillah dia seorang isteri yang baik, positif dan menyokong kerjaya serta minat saya sebagai penyanyi.
"Sebelum berkahwin, saya terlebih dahulu bergelar penyanyi di Kuwait. Jadi pada saya isu cemburu itu tidak perlu timbul kerana dia sendiri sudah biasa menangani perkara tersebut," jelas Humood sambil melemparkan senyuman.
Mengulas lanjut, Humood mengakui terpaksa mengorbankan masa dan hidup berjauhan dengan isteri yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Boston, AS.
Marfazz kata Humood sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Penulisan Kreatif sejak dua tahun lalu. Demi cinta, dia akan berulang-alik dari Kuwait ke AS semata-mata untuk melepaskan rindu bertemu isterinya.
"Saya mengakui kami kini berada dalam fasa hubungan jarak jauh. Dia memilih untuk menyambung pelajaran manakala saya pula sibuk menguruskan kerjaya.
"Selain itu, jika ada masa terluang, saya akan terbang ke Boston untuk melihat bagaimana keadaannya di sana. Namun yang pasti bohong jika saya katakan tidak merindui dia di sana.
"Bagaimanapun saya berasa amat bertuah kerana dipertemukan dengan insan istimewa sepertinya serta berterima kasih kerana mempercayai dan menerima saya seadanya," jelas Humood mengenai isterinya.
Image result for Humood AlKhudher  Image result for Humood AlKhudher
Konsert amal
Dalam perkembangan lain, Humood bakal kembali ke Malaysia untuk menjayakan sebuah konsert amal anjuran Islamic Relief sekitar Oktober hadapan.
Perkara itu bagaimanapun masih berada dalam peringkat perbincangan, namun yang pasti pengisian konsert tersebut lebih fokus kepada memberi inspirasi dan semangat motivasi kepada penonton.
 Tidak hanya mahu menyanyi dalam bahasa Arab, Humood memasang impian menghasilkan sebuah lagu berbahasa Inggeris.
"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada selebriti yang membuat persembahan dalam majlis itu nanti. Sebelum ini saya sendiri pernah terlibat dengan persembahan berskala besar namun jarang diberi peluang untuk melibatkan diri dengan aktiviti amal," katanya.
Selain itu, Humood turut menjawab saat disoal sekiranya diberi kesempatan untuk berkolaborasi dengan artis tempatan berdasarkan penerimaan positif daripada peminat.
"Saya ada mengenali beberapa artis Malaysia yang popular di luar negara namun pada masa ini tiada sebarang perancangan untuk menghasilkan lagu bersama.
"Sementelah, banyak perkara yang perlu diambil kira seperti cita rasa peminat dan konsep sebelum membuat sebarang keputusan," ulas Humood menutup bicara.