Showing posts with label Myvi. Show all posts
Showing posts with label Myvi. Show all posts

Friday, 10 April 2020

Wanita mangsa dilanggar Lamborghini dihadiahkan Myvi

KUALA LUMPUR: Lazimnya, apabila berlaku sesuatu kemalangan, ketegangan akan berlaku antara pihak yang terbabit.
Namun, berbeza dengan seorang pemilik sebuah Lamborghini bukan saja menyelesaikan isu itu dengan berhemah, malah bermurah hati ‘menghadiahkan’ sebuah Myvi kepada seorang ibu tunggal yang terbabit dalam kemalangan itu.
Tindakan Thomas Heng, 40, dipuji warga maya selepas kemurahan hatinya itu dikongsikan rakannya, Azman Nor, di Facebook, dua hari lalu.
Berkongsi kejadian itu, Thomas berkata, dia tidak terbabit dalam kejadian itu sebaliknya kenderaan mewah miliknya itu dipandu seorang rakan perniagaannya yang mahu keluar membeli barang keperluan, dua hari lalu.
Katanya, tiba di lokasi di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor, rakannya itu tidak sempat mengelak kenderaan di depannya yang tiba-tiba menukar lorong tanpa memberi isyarat.
“Akibat kemalangan itu, Lamborghini saya remuk pada bahagian depan dan kanan manakala Viva wanita itu ‘total lost’ (musnah).
“Kes diselesaikan secara baik tanpa pergaduhan, malah dua-dua pihak membuat laporan polis untuk proses tuntutan insurans, namun bagi kereta ‘total lost’ ia akan memakan masa, malah saya dapati tuntutan insurans Viva itu pun sangat rendah,” katanya ketika dihubungi.
Pemilik sebuah kedai ‘wrap’ kenderaan itu berkata, simpati dan prihatin dengan kesulitan dialami wanita itu, dia bermurah hati menawarkan sebuah kenderaan terpakai sebagai ganti.
“Hati saya tersentuh apabila mengetahui wanita itu ibu tunggal anak tiga dan bimbang dia terputus sumber rezeki, saya membuat keputusan membelikannya Myvi terpakai untuk memudahkan pergerakannya menghantar pesanan yang dijual menerusi dalam talian.

Saturday, 14 December 2019

Kecoh Myvi Biru Viral! Khayal rupanya...



PEMANDU Perodua Myvi yang ditahan selepas memandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan lain di Jalan Pudu, di Kuala Lumpur, semalam, didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati lelaki berusia 25 tahun berkenaan positif methamphetamin dan amphetamin.
“Lelaki berkenaan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Mohd Fahmi berkata, berhubung laporan polis berkaitan kejadian memandu secara melulu serta melanggar beberapa kenderaan lain dilakukan suspek berkenaan, ia akan diserahkan kepada pihak trafik.
“Menurut keterangan saksi yang juga perakam video ketika kejadian, suspek dikatakan cuba menyamun seorang lelaki orang kurang upaya (OKU).
“Namun setakat ini, lelaki OKU berkenaan belum tampil membuat laporan berhubung perkara itu. Kami menasihatkan individu terbabit membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Harian Metro, hari ini, melaporkan seorang penjawat awam ditahan selepas memandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan di Jalan Pudu.
Suspek berjaya ditahan orang awam di Jalan Brunei Utara, jam 5.20 petang, sebelum dibawa anggota kereta unit peronda (MPV) ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, satu video berdurasi kira-kira satu minit yang menunjukkan sebuah Perodua Myvi berwarna biru dikejar penunggang motosikal ketika dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar beberapa kenderaan, tular di media sosial.

Saturday, 9 May 2015

Pemandu Myvi mengaku tak salah (kosmo)


Kereta Perodua Myvi warna putih (kiri) dan Myvi warna kuning yang didakwa terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya DUKE, Kuala Lumpur mengorbankan tiga beranak pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Dua pemandu kereta Perodua Myvi yang didakwa menyebabkan kematian tiga beranak termasuk seorang bayi berusia enam bulan di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik di sini semalam.



Tertuduh, Siti Noor Aini Mohd. Said, 35, penolong pengurus restoran, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, juruteknik komputer bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd. Nayan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh ma­sing-masing didakwa memandu kereta Perodua Myvi secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa Fairuz Nizam di Kilometer 6.2 Lebuh Raya DUKE dari arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini pada pukul 1.05 pagi 2 Mei lalu.
Siti Noor Aini yang memandu Perodua Myvi warna kuning manakala Mohammad Fizal yang memandu Perodua Myvi warna putih didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun berserta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.

Ismail Sabri, anak lawat keluarga Amira, Aqila



KUALA LUMPUR – Nasib Nur Firuza Amira Fairuz Nizam dan adiknya Nur Firuza Aqila yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka terkorban dalam kemalangan di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) di sini terus mendapat perhatian daripada masyarakat.
Tidak terkecuali, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tersentuh hati dengan kejadian menimpa kanak-kanak itu turut melawat mereka di Taman Batu Muda, Batu Caves semalam.
Ismail Sabri dengan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Azizan Mohamad Sidin meluangkan masa kira-kira setengah jam bagi memberi kata-kata semangat selain bantuan peribadi kepada kanak-kanak berkenaan.
Turut menyertai lawatan itu ialah dua anak Ismail Sabri iaitu Nina Sabrina, 25, dan Nashriq, 22.