Showing posts with label Terkunci. Show all posts
Showing posts with label Terkunci. Show all posts

Saturday, 15 July 2017

Cemas anak terkunci dalam kereta

Anggota bomba berusaha mengeluarkan Nur Assyifaa yang terperangkap dalam kereta

Tanjung Karang: Seorang ibu cemas selepas anak perempuannya berusia lima tahun terperangkap dalam kereta yang terkunci di pekan ini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.45 malam, mangsa, Nur Assyifaa Mohammad Asraf, bagaimanapun diselamatkan selepas anggota bomba membuka pintu kereta Toyota Rush berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang Azmi Abbas berkata, kanak-kanak itu terperangkap dalam kenderaan ketika ibunya Noorhafizah Mohamed Syukim, 38, meninggalkan mangsa yang tidur di kerusi penumpang belakang untuk membeli makanan di gerai makan berdekatan.
Katanya, setengah jam kemudian sebaik ibu mangsa ingin pulang, beliau mendapati kenderaan itu terkunci sendiri dan memerangkap anaknya yang tidur di tempat duduk penumpang belakang.
“Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 9.17 malam sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh pegawai dan anggota diketuai Pegawai Operasi Asmori Mansor dikejarkan ke lokasi,” katanya.

Tuesday, 6 June 2017

Panik seorang bapa (HMetr0)

Anggota bomba menyerahkan Ahmad Amsyar Naufal kepada bapanya selepas dibawa keluar dari kereta yang terkunci di Taman Mutiara


BAPA kepada kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan terpaksa meminta bantuan bomba untuk menyelamatkan anaknya yang terperangkap di dalam kereta selama sejam di Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim, hari ini.
Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Ahmad Amsyar Naufal terperangkap dalam Honda Accord ketika bapanya, Ahmad Ishak, 48, masuk ke rumah untuk mengambil dompet.
Ahmad berkata, ketika kejadian itu mereka ingin pulang ke kampung di Kuala Ketil.
Menurutnya, selepas menghidupkan enjin dan penghawa dingin, dia keluar semula untuk mengambil dompet namun sebaik kembali, dia terkejut melihat pintu berkunci.
"Anak saya juga menutup penghawa dingin. Saya cuba membuka pintu itu dengan pelbagai cara namun gagal.
"Selepas sejam, anak saya mula menangis menyebabkan saya terus menghubungi pihak bomba kerana bimbang dengan keselamatannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mujur anaknya berjaya diselamatkan dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Mohd Azizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.45 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota serta sebuah jentera.
“Pintu berjaya dibuka dalam masa lima minit dan kami menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum menyerahkan kepada keluarga.
"Operasi menyelamatkan mangsa tamat pada 11 pagi," katanya.

Saturday, 6 May 2017

Bayi terkunci dalam kereta [metro]

Kuala Lumpur: Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur selepas terperangkap dalam kereta dipandu ibunya di Seksyen 10, Wangsa Maju, jam 6.35 petang kelmarin.
Bayi berkenaan diletak di tempat duduk penumpang depan sebelum ibunya keluar dan tiba-tiba, pintu kereta terkunci secara automatik daripada dalam.
Pegawai Pasukan APM Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.42 petang dan lima anggota dikerah ke lokasi.
“Orang awam turut membantu namun gagal membuka pintu kereta terbabit,” katanya.