Showing posts with label Covid19. Show all posts
Showing posts with label Covid19. Show all posts

Saturday, 2 May 2020

Covid-19: Cegah 'kluster shopping raya'

PEMBUKAAN sektor ekonomi menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini perlu dilaksanakan secara beransur-ansur, bukan dilakukan secara mendadak.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Noran Naqiah Hairi berkata, ia selaras saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurutnya, apa dimaksudkan secara berperingkat-peringkat itu termasuk sektor demi sektor serta melihat kepada zon hijau, kuning dan merah berkaitan penularan Covid-19.
Beliau berkata, keputusan memberikan kelonggaran hampir 100 peratus kepada sektor ekonomi dan membenarkan orang bersukan contohnya berjoging atau bermain badminton serta keluar makan di restoran secara serentak dalam satu masa amat membimbangkan sekali.
"WHO menekankan berkali-kali kepentingan exit-strategy secara beransur-ansur atau apa yang sering diperkatakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai soft-landing.
"Mengapa? Virus SARS-Cov- 2 yang menyebabkan penyakit Covid 19 ini amat bijak sekali. Dalam tempoh beberapa bulan ini, kita pelajari terdapat asymptomatic transmission/infection dan pre-symptomatic transmission yang boleh berlaku.
"Disebabkan ini seseorang dijangkiti akan berasa sihat, tidak menunjukkan apa-apa gejala penyakit. Padahal pada masa ini dia boleh menjangkiti orang lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata, ada juga kes dilaporkan bahawa seseorang yang dijangkiti Covid-19 boleh menjangkiti orang lain dua hingga tiga hari sebelum simptom kepada dirinya bermula.
Tidak mustahil, katanya, apabila ramai orang keluar serentak termasuk pekerja atau orang yang keluar bersukan itu adalah dalam kalangan individu positif Covid-19 namun asymptomaticdan pre-symptomatic.
"Bayangkan sekiranya ini berlaku di tempat yang mempunyai ketumpatan populasi yang tinggi contohnya Selangor dan Kuala Lumpur.
"Ia amat membimbangkan sekali. Penularan wabak Covid-19 ini boleh menjadi tidak terkawal.
"Memandangkan PKPB sudah diumumkan, semua individu seluruh negara perlu mengamalkan disiplin yang tinggi," katanya.
Sebagaimana sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan 18 Mac lalu, beliau menasihatkan jangan keluar rumah sekiranya tiada tujuan penting.
Menurutnya, setiap individu berperanan memerangi penularan Covid-19 termasuk mencegah 'kluster shopping raya'.
"Janganlah bersesak-sesak lagi pasar raya. Tidak perlu makan beramai-ramai di luar, beli bungkus dan makan di rumah.
"Amalkan PKP sendiri. Tidak perlulah galak membeli-belah seperti sebelum berlakunya pandemik ini.
"Senaman masih boleh dibuat di dalam rumah. Beli-belah boleh di atas talian. Bagi yang keluar bekerja, amalan disiplin tinggi amat penting sekali," katanya sambil berpesan teruskan amalan normal baharu seperti penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.

Wednesday, 15 April 2020

Peralatan nyahkuman tak berkesan terhadap Covid19

TIADA bukti menunjukkan penggunaan peralatan nyahkuman seperti kotak pembasmi kuman, terowong, partition, gate dan sebagainya berkesan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima beberapa permohonan bagi tujuan pengesahan penggunaan peralatan berkenaan.
Menurutnya, Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM membuat penilaian memandangkan ia dilaporkan sudah digunakan sebagai peralatan nyahkuman di beberapa negara.

“Penilaian dilakukan terhadap beberapa model peralatan dari beberapa negara dan model yang sedia ada di Malaysia yang mana proses nyahkuman oleh peralatan dinilai membabitkan individu melalui peralatan itu untuk tempoh 20 hingga 30 saat. Individu akan disembur menggunakan bahan kimia bagi tujuan nyahkuman. Kesemua model yang dikaji menggunakan bahan kimia berlainan.
“Hasil daripada penilaian dilakukan mendapati bahawa tiada bukti untuk menunjukkan bahawa peralatan itu berkesan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19. Jangka masa itu tidak memadai untuk proses nyahkuman berkesan.
“Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia. Tambahan pula bahan kimia digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan seperti di mata dan mulut,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Berdasarkan penilaian itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM tidak menyarankan penggunaan peralatan berkenaan sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 terhadap manusia.
Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan wabak itu melalui segala maklumat diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Wednesday, 25 March 2020

Tiga remaja didakwa ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

TAIPING: Tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada Rabu atas tuduhan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Ahad lalu.

Tertuduh, Lim Chun Hoe, 19, bersama dua rakannya masing-masing berumur 15 dan 16 tahun ditahan di dalam sebuah kereta pada 22 Mac jam 3 pagi di Jalan Air Kuning, Taiping.

Menurut pertuduhan, kesemua mereka menaiki sebuah kereta yang dipandu remaja berusia 15 tahun didakwa tidak mematuhi arahan penguatkuasaan PKP dengan bergerak dari Taman Sungai Mas ke Jalan Air Kuning.

Chun Hoe bersama remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala remaja berusia 15 tahun itu pula dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika pelaksanaan PKP.

Ketika pertuduhan dibacakan kesemua mereka mengakui tidak memahami sepenuhnya isi kandungan pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Majistret Adibah Abdul Kadir kemudiannya memutuskan sebutan semula kes tersebut pada 4 Mei dengan kehadiran jurubahasa Cina dengan dialek Hokkien.

Adibah turut membenarkan mereka diikat jamin, masing-masing RM1,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faakihin Ahmad Fauzi manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Puteri Hikmatul Dzulaika Mohamad.

Tuesday, 24 March 2020

C.Ronaldo wujudkan unit ICU

CRISTIANO Ronaldo dan ejennya, Jorge Mendes akan mewujudkan tiga Unit Rawatan Rapi (ICU) di beberapa buah hospital di Portugal untuk membantu pihak berkenaan menangani pandemik Covid-19.
Kedua-dua mereka akan menyalurkan bantuan berkenaan sekurang-kurangnya mewujudkan dua wad ICU bersama 10 katil kepada Hospital Universiti Lisbon Utara (CHULN).
CHULN sekarang ini mempunyai 77 buah katil.
Mendes dan Ronaldo juga akan membina wad ICU di Hospital Santo Antonio.
“Ini adalah satu pelaburan yang sangat penting termasuk dengan lebih sedozen alat bantuan penafasan dan beberapa lagi kelengkapan lain.
“Jika perlu, Ronaldo akan melakukan perkara yang sama di Madeira,” kata Pengarah Bahagian Pembedahan, Eurico Castro Alves.
Penyerang Juventus itu kembali kampung halamannya, di mana terdapat 11 kes membabitkan Covid-19 dan keseluruhan kes kesemuanya di Portugal ialah sebanyak 2,362.
Negara berkenaan juga setakat ini merekodkan 30 kematian.
Dia sebelum ini, pulang ke kampung halamannya itu melawat ibunya yang sedang pulih dari strok, sebelum dia diarahkan untuk kuarantin di sana selepas rakan sepasukan, Daniele Rugani positif Covid-19.
Pada 12 Mac lalu petugas perubatan tempatnya mengesahkan Ronaldo tidak mempunyai simptom wabk berkenaan.