Showing posts with label Kota Bharu. Show all posts
Showing posts with label Kota Bharu. Show all posts

Monday, 4 February 2019

Baru lima tahun sudah pandai merajuk

KOTA BHARU: Takut dimarahi bapa, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengunci diri dalam kereta kira-kira selama 45 minit.
Tindakannya mendatangkan panik kepada keluarga yang cuba memujuk kanak-kanak itu yang berada di bawah papan pemuka (dashboard) dalam keadaan menutup muka.

Cubaan membuka pintu kereta turut dibantu orang ramai dengan mengetuk cermin dan menggoyangkan kenderaan Hyundai Sonata itu kerana menyangkakan kanak-kanak itu terlelap.
Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, mereka sekeluarga datang dari Kuala Lumpur ingin menjamu selera di restoran Nasi Ulam Cikgu di Jalan Hilir Kota, di sini.
“Mangsa yang mengantuk enggan keluar dari kereta menyebabkan ibunya ingin memberitahu bapanya yang sudah mula berjalan ke arah restoran.
“Sebaik ibunya keluar dari kereta, mangsa terus menutup pintu (kereta) dan menguncinya dalam keadaan enjin terpasang,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Pihak berkuasa segera dihubungi selepas usaha membuka pintu termasuk memujuk kanak-kanak itu gagal.
Anggota bomba dibantu orang ramai berusaha membuka pintu kereta selepas kanak-kanak perempuan itu bertindak menguncikan diri dalam kereta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar(Metro)
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Adnan Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.49 petang dan tiba 20 minit kemudian.
“Seramai tiga anggota ditugaskan dalam operasi menyelamatkan mangsa yang terkunci dalam kereta.
“Anggota bomba mengambil masa selama lima minit untuk menyelamatkan mangsa menggunakan peralatan khas bagi membuka cermin kereta,” katanya ketika dihubungi.

Saturday, 1 July 2017

Mercun bola dalam raga motor meletup

Kota Bharu: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cedera di kaki, tangan dan kepala apabila mercun bola diletakkan dalam raga motosikal ditunggang meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Salor, di sini petang kelmarin.

Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan mangsa mengalami luka dan dihantar ahli keluarganya ke klinik berhampiran untuk rawatan.
Dia dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.
Difahamkan, mangsa sebelum itu menunggang motosikal dan meletakkan mercun bola di dalam raga namun ia tiba-tiba meletup.
Sementara itu, Pengarah HRPZ II Dr Selasawati Ghazali ketika dihubungi berkata, mangsa mendaftar masuk untuk rawatan lanjut jam 5.57 petang, kelmarin.
“Selepas menerima rawatan, dia kini dilaporkan stabil,” katanya.
Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa yang ditemui di HRPZ II enggan ditemu bual berhubung kejadian itu.

Jari tak boleh bengkok

Abdul Azim menunjukkan jari telunjuk yg terpaksa dipotong semalam

Kota Bharu: Setiap kali Aidilfitri, Kelantan tidak pernah sunyi daripada insiden penduduk cedera akibat bermain mercun terutama jenis mercun bola.
Tahun ini, seramai tujuh orang dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, kerana kecederaan serius, berbanding hanya empat mangsa pada 2016.
Seorang daripada mangsa itu adalah Abdul Azim Muhamad, 29, yang menjadi mangsa disebabkan perbuatan kanak-kanak di Kampung Jejuluk, Tumpat bermain mercun bola pada 7 Jun lalu.
Kejadian pada Ramadan ke-12 itu tidak mungkin dilupakan, apatah lagi dia kini menderita putus jari telunjuk kanan dan cedera di ibu jari serta tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan buat masa ini.
Abdul Azim berkata, walaupun sudah 25 hari kejadian berlaku, dia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan kecacatan jarinya.
“Saya ingatkan cedera ringan saja, tetapi lain yang berlaku. Doktor maklumkan jari itu tidak dapat diselamatkan dan perlu dipotong untuk mengelak jangkitan kuman.
“Pada 6 Julai ini, saya perlu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), sekali lagi untuk berjumpa pakar berikutan jari tengah tidak dapat dibengkok seperti biasa,” katanya semalam.
Abdul Azim yang bekerja sebagai tukang rumah mengakui tidak dapat melakukan kerja berat untuk tempoh beberapa bulan dan bimbang sekiranya pendapatannya terjejas.

Thursday, 25 December 2014

Mangsa banjir lebih 100,000 orang [kosmo]

SEKUMPULAN orang mengharungi banjir akibat limpahan Sungai Kelantan di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Keadaan banjir tidak menampakkan tanda-tanda akan reda apabila 100,961 penduduk di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Perlis dan Kedah terpaksa berpindah ekoran banjir besar yang melanda di negara ini semalam berbanding 67,730 mangsa kelmarin.
Menurut portal rasmi banjir kerajaan negeri Kelantan, negeri itu mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 38,030 orang, diikuti Terengganu (28,918), Pahang (28,578), Perak (5,065), Perlis (278) dan Kedah (92).
Tinjaun Kosmo! mendapati kawasan rendah di bandar Kota Bharu dilimpahi air secara mendadak dalam tempoh yang singkat.
Setelah 10 tahun tidak berdepan dengan kejadian serupa, air bah sudah pun melimpah kawasan di sekitar bandar Kota Bharu sehingga ke Stadium Sultan Muhammad IV, Hospital Raja Perempuan Zainab II diikuti Wisma Persekutuan, dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
SEKUMPULAN orang mengharungi banjir akibat limpahan Sungai Kelantan di Kota Bharu semalam.

Kebanyakan tempat di bandar Kota Bharu sudah dimasuki air di Berek 12, Lundang, Wakaf Che Yeh sehingga ke Tunjung.
Setakat ini, cuma kawasan menghala ke Panji, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian yang belum dinaiki air.
Penduduk di sekitar bandar Kota Bharu dilihat bukan sahaja bergegas mengemas barang atau berpindah ke tempat selamat bahkan juga kedai-kedai runcit dipenuhi orang ramai yang membuat pembelian panik.
Antara barang runcit yang dibeli ialah beras, makanan segera, roti dan juga bekalan air minuman.