Showing posts with label Rencana. Show all posts
Showing posts with label Rencana. Show all posts

Thursday, 16 April 2020

Tahniah! Sudah sebulan [Pkp]

SEMALAM genaplah 30 hari rakyat Malaysia menempuh dengan tabah cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu berikutan ekoran pandemik Covid-19.
Banyak perkara berubah 360 darjah antaranya kesibukan lalu lintas dan orang ramai di tengah bandar tidak kelihatan, sekolah dan institusi pendidikan masih ditutup serta hanya perkhidmatan penting dibenar beroperasi.
Ramai memanfaatkan peluang ‘cuti’ ini untuk berada bersama keluarga sepanjang masa; perkara yang selalu menjadi dambaan setiap masyarakat terutama di bandar besar sebelum ini.
Pada masa sama, persoalan mengenai bila tempoh PKP akan berakhir sering menjadi tanda tanya dan dinanti-nantikan terutama masyarakat beragama Islam yang akan menyambut Ramadan tidak lama lagi.
Kemeriahan membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan mengerjakan solat Tarawih di masjid dan surau tidak dapat dijalani kali ini sebagai usaha menjaga kebaikan semua ketika penularan wabak Covid-19.
Namun, persoalannya bagaimanakah PKP memberi kesan kepada kehidupan seharian, daripada segi cara hidup dan kesihatan mental masyarakat setakat ini?

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad ketika dihubungi Bernama berkata, rakyat Malaysia sedang mengadaptasi dan menyesuaikan diri mereka bagi menghadapi PKP.
“Sekarang kita berhadapan dengan situasi sangat berbeza berbanding sebulan lalu dan termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ia memang satu perubahan drastik, namun rakyat perlu berlapang dada dan menerima situasi ini kerana ia bukan saja membabitkan nyawa seseorang, malah kita bertanggungjawab memutuskan semua rantaian Covid-19 dalam semua komuniti,” katanya.
Beliau berkata, PKP dapat dilalui dengan baik sekiranya kita sentiasa berfikiran positif dan tidak membenarkan perasaan negatif menyusup masuk ke dalam fikiran.

“Kalau kita negatif, semua jadi negatif, sebab itu kes keganasan rumah tangga berlaku sebagai contohnya. Kalau berfikiran positif, kita dapat bina good energy dalam mentaliti, seterusnya mengubah keadaan bosan atau stres ketika di rumah,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan supaya seseorang itu melakukan pelbagai aktiviti dalam masa terluang kini untuk mengelakkan rutin sama saban hari.
Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr Mariani Md Nor berkata, PKP dilihat sebagai satu rahmat kerana ia turut membawa banyak kebaikan.
Katanya, isu Covid-19 dalam negara secara amnya mendisiplinkan rakyat Malaysia, di samping mewujudkan persekitaran muafakat bersama keluarga.

“Kalau dulu malas nak basuh tangan, sekarang automatik jadi rutin, dapat eratkan hubungan kekeluargaan, makan sama-sama dan melakukan aktiviti santai, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan, banyak aktiviti agama dapat dilakukan.
“Jadi dalam keadaan (PKP) sekarang, kalau tidak pandai mengkreatifkan suasana membosankan, individu terbabit akan menjadi terlalu bosan, boleh menyebabkan stres seterusnya menjejaskan kesihatan mental,” katanya.
Mengenai Ramadan, beliau berkata, waktu PKP boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi aktiviti masakan dengan membabitkan anak memandangkan ketiadaan bazar Ramadan tahun ini selain solat Tarawih bersama-sama ahli keluarga.

Friday, 23 March 2018

Komentar : Pengasuh bukan jururawat terlatih anak kita [kosmo]

Komentar : Megat Ramli Megat Raof

MEMIKUL tanggungjawab sebagai seorang ibu dan bapa pada zaman serba moden ini menuntut mereka untuk be¬kerja keras mencari rezeki buat anak-anak.

Jika hanya salah seorang daripada suami atau isteri yang keluar bekerja, bebanan kos sara hidup pastinya tinggi ter¬utama bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.

Maka tidak hairanlah setiap pagi kita dapat lihat sepasang suami isteri menunggang motosikal atau menaiki kereta menuju ke tempat kerja mereka.

Dalam kesibukan mengejar harta dunia, ibu bapa terpaksa meninggalkan anak-anak kepada pengasuh atau taman asuhan kanak-kanak (taska) sejak awal pagi lagi sebelum mengambil semula mereka lewat petang.

Ada ketikanya ibu bapa perlu mengorbankan kesibukan bekerja dengan menjaga anak-anak jika mereka mengalami masalah kesihatan.

Bagaimanapun, terdapat ibu bapa yang tetap menghantar anak-anak mereka yang sedang mengalami demam panas teruk ke rumah pengasuh atau taska dengan alasan sibuk bekerja.

Ada pula ibu bapa yang mengeluh jika taska tidak mahu menerima budak-budak yang mengalami demam panas, batuk atau selesema dan meminta supaya ibu bapa menghantar mereka ke klinik.
Kita perlu faham bahawa penjaga di taska bukan seorang jururawat terlatih yang mampu merawat kanak-kanak. Mereka juga bukan hanya menjaga anak anda seorang, sebaliknya kanak-kanak lain perlu diberi perhatian rapi.

Lagipun kanak-kanak yang sedang menghidap demam, batuk atau selesema mudah menyebarkan penyakit kepada orang lain selain sering meragam.

Anak yang sedang sakit memerlukan perhatian dan penjagaan yang rapi daripada ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa yang patut berada di sisi anak mereka, bukannya pengasuh atau penjaga taska.
Kita faham ada ibu bapa yang tidak boleh mengambil cuti sebab kerja di pejabat yang bertimbun-timbun sehingga memaksa mereka berbuat demikian walaupun rasa bersalah.

Situasi ini kerap dialami ibu bapa yang bekerja namun terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan dalam menanganinya.


Perkara pertama yang boleh dilakukan adalah berbincang dengan suami yang merupakan ketua keluarga. Tanggungjawab menjaga anak bukan terletak sepenuhnya kepada isteri sebaliknya suami juga perlu memainkan peranan.

Suami juga boleh mengambil cuti tahunan atau kecemasan secara bergilir dengan isteri untuk menjaga anak yang sedang sakit.

Selain itu, hubungan baik dengan majikan atau penyelia adalah penting supaya sebarang masalah yang sedang kita lalui dapat mereka bantu selesaikannya.

Tidak semua majikan kejam sehingga memaksa kita be¬kerja walaupun anak sedang sakit teruk kerana mereka juga manusia yang mempunyai anak-anak. Setiap pekerja mempunyai cuti tahunan atau kecemasan, jadi gunakan sebaiknya.

Bagaimanapun, janganlah guna alasan anak sedang sakit semata-mata kita tidak mahu bekerja pada hari tersebut.
Sebagai ibu bapa, anak-anak perlu diutamakan terutama ketika mereka sedang sakit teruk. Terdapat ibu bapa yang sengaja melengah-lengahkan untuk membawa mereka berjumpa doktor dengan alasan hanya demam biasa sedangkan sudah tiga hari sakit berlarutan.


Jika penyakit sudah menjadi kronik, rawatan akan bertambah rumit.

Jangan kita menyesal pada kemudian hari apabila insan yang dianugerahkan oleh Allah hilang dalam sekelip mata angkara kealpaan kita sebagai ibu bapa untuk menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

Tuesday, 5 September 2017

Percutian kerohanian di tengah samudera


TREND bercuti di atas kapal mewah bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Sambil berpeluang merehatkan minda, mata pasti terpukau melihat keindahan lautan yang terbentang luas serta alam semula jadi yang terdapat di sekelilingnya.
Popularitinya menyebabkan banyak syarikat dan agensi pelancongan kini berlumba-lumba menawarkan pelbagai pakej percutian seumpamanya.
Bagaimanapun bagi umat Islam, pandangan skeptikal yang sering dikaitkan dengan percutian di atas kapal persiaran mewah ialah elemen-elemen negatif dan maksiat.
Apatah lagi gaya hidup sedemikian yang bertentangan dengan syariat Islam kerap dipaparkan menerusi filem-filem Barat sehingga menyebabkan ramai yang berfikir berkali-kali sebelum mencubanya.
Menyedari hakikat itu, syarikat pelancongan tempatan, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel & Tours) menganjurkan program Cruise Penyucian Jiwa sejak tahun lalu bertujuan memberi peluang kepada umat Islam bercuti sambil menambah ilmu dan mendekatkan diri dengan Tuhan.
Pengurus dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours, Ida Riswana Idris berkata, bagi tahun ini, pelayaran bertemakan Fun Islamik Cruise Untuk Semua itu dijadualkan bermula pada 17 hingga 20 Disember depan.
Katanya, pada tahun lalu program itu telah disertai kira-kira 1,000 peserta dengan menggunakan kapal Star Cruises SuperStar Gemini melibatkan destinasi persinggahan Singapura, Pulau Pinang dan Langkawi, Kedah.
“Tahun ini, kami menggunakan kapal Star Cruises SuperStar Libra yang bakal memulakan pelayaran dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Phuket dan Krabi di Thailand.
“Kapal ini dilengkapi 695 buah kabin yang mampu memuatkan sehingga 1,500 peserta,“ katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Kekeluargaan
Beliau memberitahu, objektif utama program adalah bagi mengajak peserta menunaikan ibadah di atas kapal, sekali gus meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
IDA RISWANA (kiri) bersama Isfadiah (tengah) dan Muhidin (kanan) sentiasa berbincang bagi memastikan program Cruise Penyucian Jiwa 2017 berjalan lancar.
Apatah lagi katanya, konsep penyucian jiwa sememangnya sinonim dengan Andalusia Travel & Tours yang sebelum ini sering menganjurkan pakej umrah ke Mekah dan percutian ke negara-negara Islam.
“Kapal persiaran berkenaan telah disewa khas dan 100 peratus mengamalkan konsep patuh syariah.
“Misalnya, keseluruhan dapur dan perkakasan masakan yang digunakan juga akan disamak oleh tenaga profesional dan makanan yang disediakan juga dijamin halal serta mendapat sijil pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Malah, segala aktiviti yang bertentangan dengan syariat Islam juga akan dihentikan sepanjang program ini bagi membolehkan peserta beribadah dengan selesa,” ujarnya.
Menyentuh tentang aktiviti yang diadakan, Ida Riswana memberitahu, ia sarat dengan pelbagai program keagamaan dan kerohanian seperti tazkirah dan ceramah agama, solat berjemaah, bacaan al-Quran, qiamullail dan sebagainya.
Selain itu, katanya, pelbagai aktiviti berbentuk kekeluargaan turut diselitkan seperti pertandingan membuat teh tarik, makan piza dan senamrobik zapin fitness.
“Turut diadakan pertunjukan busana muslimah oleh pereka-pereka muda dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan persembahan muzik seperti nasyid dan qasidah.
“Pada masa sama, peserta juga boleh menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan di atas kapal seperti gimnasium, kolam renang, trek joging, gelanggang bola keranjang selain berpeluang membeli-belah di premis bebas cukai,” katanya.
Sekolah agama
Tidak cukup dengan itu, peserta juga akan dibawa melawat bandar Phuket dan Krabi serta melihat tarikan di sekelilingnya.
“Semasa di Phuket, peserta berpeluang melawat Muslim Wittaya Phuket School yang merupakan satu-satunya sekolah agama Islam di sana yang menempatkan pelajar dari peringkat tadika, sekolah rendah dan menengah.
Pengalaman bersolat di atas dek kapal yang dilatari langit dan lautan terbentang luas mampu memberi keinsafan kepada peserta.
“Selain beramah mesra dengan pelajar dan kakitangannya, kita juga akan cuba mengumpul dana menerusi beberapa aktiviti untuk disumbangkan kepada pihak sekolah,” katanya.
Berkonsepkan pelayaran santai dan riadah, Cruise Penyucian Jiwa 2017 menampilkan seramai enam penceramah terkenal iaitu Ustaz Lukmanul Hakim, Datuk Ustaz Md. Daud Che Ngah, Ustaz Syamsul Debat, Sheikh Imran Angullia Al-Hafiz, Ustaz Muhidin Mokter dan Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki.
Kesemua mereka sememangnya aktif dalam kegiatan dakwah di negara ini.
Isfadiah memberitahu, terdapat tiga topik utama yang akan dibentangkan sepanjang program tersebut iaitu kekeluargaan, ibadah dan kematian.
Isfadiah berkata, topik kekeluargaan yang akan dikupasnya menjurus kepada aspek kemahiran keibubapaan dalam usaha mendidik dan melahirkan anak-anak yang soleh.
“Topik ibadah pula akan memfokuskan pengurusan harta pusaka, haji dan solat, manakala topik kematian pula akan membincangkan mengenai tanda-tanda akhir zaman dan hari kiamat.
“Selain itu, terdapat juga Forum Perdana di samping pelbagai aktiviti lain seperti solat berjemaah, tazkirah, bacaan al-Quran dan qiamullail,” katanya.
Insaf
Mengulas mengenai konsep pelayaran itu, beliau memberitahu, program itu tidak sekadar melancong ke destinasi pilihan semata-mata, sebaliknya diisi dengan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk membentuk keperibadian unggul umat Islam.
“Apabila kita berada di atas lautan yang terbentang luas, maka seseorang itu akan insaf betapa kerdil dirinya, di samping melihat ciptaan Allah SWT yang tiada tolok bandingnya.
“Lagipun, konsep program ini juga turut mengangkat kisah pelayaran yang pernah dilalui Nabi Khidir, Nabi Nuh dan Nabi Yunus AS termasuk berdepan pelbagai rintangan untuk berdakwah menyebarkan agama Islam,” ujarnya.
Sementara itu, Muhidin berkata, program itu memberi pilihan kepada umat Islam untuk meneroka pengalaman bercuti di atas kapal tanpa sebarang keraguan dari segi syariat.
Katanya, ia secara tidak langsung membuktikan konsep dakwah sangat luas dan tidak terhad kepada ceramah di masjid atau surau.
“Program ini cukup lengkap. Di samping menikmati percutian, peserta berpeluang menimba ilmu dan memperbaiki kekurangan diri.
“Pada masa sama, mereka juga berpeluang membantu dan mengenali umat Islam lain di rantau ini,” ujarnya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini dan promosi menarik yang ditawarkan, kunjungi kios Andalusia Travel & Tours di Hall 2 dan Hall 3, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur sempena pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) bermula dari Jumaat(08/09/17) hingga Ahad ini.

Saturday, 15 July 2017

Sikap manja punca malas berjalan

Berjalan kaki mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, strok, diabetes, asma dan kanser kerana ia menguatkan jantung dan meningkatkan imun seseorang. – Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Sikap terlalu manja rak­yat Malaysia merupakan antara faktor utama negara ini tersenarai dalam kedudukan ke-44 daripada 46 buah negara yang mempunyai penduduk paling malas berjalan di dunia.
Hasil kajian penyelidik dari Universiti Stanford, California mendedahkan, rakyat Malaysia secara puratanya hanya berjalan sebanyak 3,963 langkah setiap hari yang meletakkan negara ini dalam kelompok terendah di hadapan Arab Saudi dan Indonesia.
Arab Saudi berada di kedudukan ke-45 dengan rakyatnya secara purata berjalan sebanyak 3,807 langkah sehari manakala penduduk yang paling malas berjalan ialah Indonesia dengan 3,513 langkah sehari.
Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar Salam Senawang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, rata-rata rakyat di negara ini kurang kesedaran akan pentingnya berjalan dalam membantu mengekalkan tahap kesihatan mereka.
“Selain kurang kesedaran, kebanyakan rakyat Malaysia berasa selesa dengan kehidupan sekarang sehingga menjadi malas untuk berjalan. Mereka sudah biasa menggunakan pengangkutan awam yang senang dinaiki atau milik persendirian untuk bergerak ke mana sahaja tanpa perlu lagi berjalan.
“Kalau boleh semua ingin mudah dan sikap terlalu manja ini sebenarnya sudah menjadi tabiat rakyat di negara ini sehingga ia menjadi suatu kebiasaan dalam kehidupan harian mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Thursday, 13 July 2017

Mamee dari Melaka ke persada dunia

Sharszany (kanan) dan Nadia Jasmon menunjukkan pelbagai produk keluaran Mamee di ibu pejabat Mamee di Subang Jaya baru-baru ini.

Kisah hebat empayar Mamee bermula lebih 45 tahun lalu. Seorang jurujual kereta terpakai tiba-tiba terjun ke dalam bidang perniagaan mi kering atas pujukan seorang rakan yang yakin bidang itu mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam tahun-tahun mendatang.
Pang Ching Hin (kini Datuk) hakikatnya tidak mengetahui apa-apa tentang bisnes makanan apatah lagi mi kering pada waktu itu.
Namun, berbekalkan pengalaman berniaga kereta terpakai, beliau nekad memulakan kehidupan baharu bergelar tauke mi kering menggunakan jenama Lucky.
Bak kata-kata hikmah, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan. Perniagaan kecil-kecilan mi keringnya mengalami kerugian. Jualan Lucky tidak laris di pasaran.
Namun Chin Hin enggan berputus asa. Suatu hari dia memandu kenderaan sebelum meletakkan keretanya di hadapan sebuah sekolah di Melaka. Sambil berteleku di dalam kereta, Chin Hin sebenarnya membuat pemerhatian mengenai tabiat sekumpulan pelajar di sekolah itu.
Empayar
CHINg HIN (tiga dari kanan) bersama dengan cef popular, Cef Ismail semasa melancarkan produk Mamee Chef perisa Lontong di Kuala Lumpur pada tahun 2015.
Gelagat beberapa pelajar yang begitu ghairah menikmati mi segera mentah menangkap perhatian Chin Hin. Lantas muncul idea baharu bagi memberi nafas buat perniagaannya yang kini nyawa-nyawa ikan.
Selepas lebih empat dekad, Chin Hin tidak menyangka itulah detik awal kepada sebuah legasi yang bukan sahaja menghidupkan kembali syarikatnya, malah menjadi sebuah empayar hebat.
Malah lebih manis menggunakan maskot raksasa (monster) biru, produknya begitu dekat dan menjadi nostalgia di hati pelbagai generasi rakyat di negara ini.
“Sewaktu mula-mula berkecimpung dalam industri mi kering, ia sememangnya asing bagi kami yang tidak tahu menahu langsung selok-belok bidang ini.
“Namun saya sendiri melihat tekad ayah untuk terus berusaha hingga berjaya meskipun penerimaan jenama dan jualan dalam kalangan orang ramai pada mulanya kurang menggalakkan,” ungkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd, Tan Sri Pang Tee Chew yang juga anak sulung Chin Hin ketika ditemui Kosmo! di Subang, Selangor baru-baru ini.
Chin Hin, 86, kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker.
Bagi mengkomersial dan membawa tuah kepada produk mereka, jenama Lucky pada tahun 1972 ditukar kepada Mamee.
“Ayah jenis orang yang suka memerhati sekeliling. Selain idea snek mi segera, jenama Mamee juga tercetus selepas melihat anak-anak sering memanggil ibu dengan sebutan mommy.
“Dari situlah akhirnya terhasil Mamee Monster yang masyhur dan dikenali sehingga hari ini,” katanya yang turut berjinak-jinak dengan perniagaan kecil-kecilan sebelum berkembang kepada Pacific Food Products dan kini Mamee-Double Decker.
Tee Chew juga menghargai pengorbanan dan jasa ayahnya yang bersusah payah mengumpul duit untuk memastikan dia dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan bekerja di sebuah syarikat mi segera di sana.
“Ayah mahu saya mengutip pengalaman di Jepun sebelum pulang ke Malaysia membantu bisnes Mamee.
“Selain saya, Mamee juga digerakkan oleh adik-beradik ayah yang lain termasuk Datuk Wira Pang Tee Nam yang menjadi Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan mendiang Pang Tee Suan. Hari ini bisnes Mamee turut disertai oleh generasi ketiga keluarga Pang,” ujarnya.
Kata Tee Chew, Kumpulan Mamee mempunyai lebih 2,000 kakitangan dengan kilangnya dan ibu pejabatnya di Ayer Keroh, Melaka. Mamee juga mempunyai pejabat di Subang dan Kuantan, Pahang serta memiliki kilang di Indonesia dan Myanmar.
Namun, lebih membanggakan sayap antarabangsa Mamee yang diinisiatifkan oleh anak Malaysia itu bukan setakat menjengah ke satu atau dua buah pasaran luar negara.
Katanya, selain Mamee Monster, syarikat Mamee telah membina 10 jenama dan lebih 100 produk untuk lima kategori iaitu snek, mi segera, minuman, susu kultur dan biskut.
Maskot
CHIN HIN memulakan bisnes makanan mi kering pada tahun 1972 yang kini berkembang menjadi sebuah syarikat antarabangsa yang mengeluarkan pelbagai produk seperti Mamee Chef, minuman Cool Tea dan kerepek kentang Mister Potato.
Antara produk di bawah Mamee-Double Decker termasuklah Mister Potato yang menjengah pasaran pada tahun 1992 iaitu Mamee Chef, Perfecto, Cool Tea, Nutrigen, Corntoz, Double Decker dan terbaharu, biskut Mamee Monster Biskidz.
“Mamee Monster menjadi snek kegemaran rakyat sejak sekian lama. Jualan Mamee Monster adalah sebanyak 35 juta peket sebulan di Malaysia dengan secara keseluruhannya 60 juta peket secara keseluruhan di pasaran antarabangsa.
“Satu lagi produk utama Kumpulan Mamee ialah kerepek kentang Mister Potato. Jenama kerepek ini selepas melalui pelbagai penjenamaan termasuk kisah hebat menjadi rakan penaja Global Manchester United itu telah dijual di 100 buah negara.
“Lebih membanggakan, Mister Potato mampu menyaingi jenama kerepek kentang antarabangsa apabila kini menguasai 30 peratus pasaran di Malaysia,” kata Tee Chew.
Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Korporat, Mamee-Double Decker, Sharszany Shahry Abu Shahriman berkata, produk Mamee Monster yang menggunakan maskot raksasa biru sememangnya sangat sinonim di hati kebanyakan rakyat Malaysia.
Kata Sharszany, pada asalnya terdapat pelbagai jenis reka bentuk dan visual yang dicadangkan sebagai maskot produk snek Mamee itu.
“Namun akhirnya, maskot monster biru dengan sebatang gigi serta berwajah comel dan kelihatan ingin dipeluk telah terpilih. Ternyata impak maskot dan Mamee Monster sangat tinggi memandangkan Mamee antara produk terawal memperkenalkan maskot.
“Maskot biru ini juga diperagakan untuk pelbagai program baik di sekolah-sekolah atau kawasan tumpuan ramai di seluruh Malaysia. Sehingga kini, monster biru ini juga sangat terkenal di Australia, Indonesia dan beberapa negara lain,” katanya menceritakan mengenai legasi maskot raksasa biru itu.
Kejayaan menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak terkenal dunia, Manchester United selama tiga tahun dari tahun 2011 hingga 2014 pula meninggalkan impak besar kepada satu lagi produk Kumpulan Mamee iaitu Mister Potato.
“Keputusan menjenamakan semula Mister Potato dan menjadi rakan penaja Snek Rasmi Global Manchester United memperkenalkan lagi produk cip kentang kami bukan sahaja dalam kalangan pengguna di Malaysia bahkan ke peringkat antarabangsa.
“Pada ketika itu, pembungkusan produk Mister Potato menggunakan gambar tiga pemain Manchester United iaitu Wayne Rooney, Park Ji-sung and Ryan Giggs.
“Produk Mister Potato juga terpampang di papan-papan digital di sekeliling Stadium Old Trafford setiap kali perlawanan Liga Inggeris berlangsung,” katanya kepada Kosmo!.
Salah satu produk terkini keluaran Mamee ialah Mamee Monster Biskidz iaitu biskut DHA pertama di Malaysia.
Sharszany berkata, Biskidz mengandungi nutrisi-nutrisi seimbang dalam membentuk perkembangan minda kanak-kanak terutamanya yang berusia tujuh hingga 12 tahun.

Thursday, 21 April 2016

Pensyarah kongsi tip turun 37kg dalam masa 5 bulan



PERNAH memiliki berat badan mencecah 90kg, dan sering menjadi bahan usikan dek kerana bentuk badannya yang montel, Zulaikha Zulkifli nekad untuk berubah.

Dia membuktikan tiada yang mustahil untuk kembali kurus jika punya semangat yang kuat. Dalam tempoh lima bulan berjaya menurunkan 37kg. Dari berat 90kg Zulaikha kini gembira dengan berat badan terkini 53kg.



Hebatkan!

Mengimbas tentang keadaan dirinya sebelum ini katanya tubuh yang gemuk menyebabkan dia berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.
"Saya lebih senang terperap di dalam rumah kerana tidak mahu masalah berat badan yang saya alami ini menjadi isu dan bahan ejekan orang ramai,” luah Zulaikha kesal.

Menurut pensyarah muda ini, suatu ketika dahulu dia cukup berjauh hati apabila diajak untuk keluar membeli-belah ini kerana agak sukar untuk dirinya mendapatkan saiz yang bertepatan dengan bentuk badannya.

“Sebagai orang Islam, saya sepatutnya menjaga amanah  yang ALLAH SWT berikan  yakni tubuh badan agar sentiasa sihat, namun saya leka. Atas dorongan keluarga serta niat yang satu saya ambil keputusan untuk menurunkan berat badan.”

Enggan bersenam tanpa ilmu, Zulaika mendapatkan tip dan trik  dengan rujukan daripada orang terdekat dan bahan bacaan di internet  agar apa yang dilakukannya kelak tidak sia-sia.

Membahagikan 50 peratus penjagaan makan dan 50 peratus lagi senaman yang konsisten, bagi Zulaikha tiada jalan mudah untuk dirinya mencapai berat badan ideal jika culas salah satu daripada dua perkara wajib itu tadi.
Memilih diet Atkins sebagai solusi, Zulaikha menetapkan untuk melakukan senaman selama 1  jam 15 minit setiap hari tanpa gagal.

“Pada mulanya memang  susah untuk mendisiplinkan diri, namun saya sentiasa ingatkan diri untuk tidak mengelat jika mahu mencapai apa yang diharapkan.

"Pernah satu ketika, ketika membawa bekal ke pejabat kerana mahu mengikut menu diet yang betul. Ada rakan sekerja yang mentertawakan saya. Namun itu bukannya benda besar yang mampu mematikan semangat saya.
"Alhamdulillah dalam masa lima bulan saya dapat menurunkan hampir 37kg dan kini masih lagi berusaha untuk mencapai berat ideal yang sepadan dengan BMI saya.

"Jujurnya saya bukan mahu kurus melidi tetapi saya sangat bersyukur jika dapat tampil sihat dan selesa dengan ketinggian yang saya miliki.

"Selain lebih cergas, saya akui pengurangan berat badan ini menjadikan kulit wajah saya lebih lembap dan paling utama saya mudah bergerak untuk melakukan kerja,” jelasnya.
Kongsi Tip

Diminta untuk berkongsi tip buat pembaca Rapi yang mahu menurunkan berat badan, Zulaikha tidak lokek malah bersungguh-sungguh untuk sharing apa yang pernah dipraktikkan.
● Jangan mudah mengaku kalah
● Jangan sesekali pujuk diri dengan mengatakan berbadan gempal itu comel
● Cekalkan hati dan jangan sesekali culas ketika berdiet
● Sentiasa bermotivasi dan percaya dengan diri sendiri
● Selepas usaha jangan lupa untuk berdoa dan bertawakal.
● Apabila sudah mencapai berat badal ideal, jangan cepat lupa diri dan sentiasa menjaga aurat.

Menu Pilihan
Sarapan : Telur  + Sayur hijau + Limau suam
Tengahari : Seketul ayam + sayur hijau
Malam : Teh hijau + hirisan halia

***Artikel ini dipetik dari blog www.vanilakismis.com.my

Tuesday, 21 July 2015

Hidupkan kembali budaya asal Melayu

 RUMAH Melayu lama yang berusia 100 tahun ini dijadikan sebagai tempat penginapan para pengunjung bermalam di LAW

PERSIS Tun Teja, ayu berbusana seperti srikandi Melayu, gadis berusia 24 tahun itu tersenyum ayu ketika menerima ketibaan pengunjung yang datang ke kawasan ladang berkeluasan kira-kira 9.7 hektar tersebut.
Terletak di No. 48, Jalan Masjid Kampung Tengah, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan, Ladang Alam Warisan (LAW) menjadi tempat buat Nurfarahin Wahida Tajuddin mengabdikan dirinya sejak setahun yang lalu.
Tidak rimas berbaju tradisional Melayu, malah dia berasa bangga kerana masih berpeluang mengenal budaya bangsa yang dipegangnya.
Menjadi pengantara dan pemudah cara kepada pengunjung atau sesiapa sahaja yang ingin mengadakan aktiviti di LAW, gadis yang mesra disapa sebagai Wahida itu berkata, dia mula mengenal sejarah dan budaya bangsanya apabila menerima tawaran untuk bekerja di ladang tersebut yang berkonsepkan Melayu dari segi landskap, busana dan budaya.
“Saya banyak melakukan kerja-kerja promosi dan bertindak sebagai pegawai perhubungan awam selain melakukan kerja-kerja pentadbiran di ladang.
“Yang lebih penting, saya dan pekerja lain menjadi duta buat para pengunjung yang datang ke LAW untuk melihat sendiri keunikannya,” ujar gadis kelahiran Perak itu penuh sopan.
Terang Wahida, berada di ladang ‘Melayu’ tersebut membuatkan dia mengenal sejarah rumah-rumah lama, tahu berkuda dan memanah serta berpeluang berkongsi ilmu yang dipelajari kepada para pengunjung.
Tambahnya, warga dan pengunjung ladang berpeluang menginap di ladang berkongsep inap desa itu, malah boleh melakukan pelbagai aktiviti.
Katanya, ini termasuk menyaksi dan menginap di rumah Melayu lama yang berusia antara 100 hingga 300 tahun, mengenal pelbagai haiwan pelik seperti burung merak biru dan putih, menunggang kuda serta memanah.
Memohon untuk menjadi kakitangan ladang melalui iklan, Wahida memberitahu bahawa dia memang sangat meminati perkara berkaitan kebudayaan khususnya busana Melayu.
“Bagaikan ditakdirkan, saya diterima bekerja di sini. Sudah tentu saya gembira kerana dapat melakukan sesuatu yang selari dengan minat saya.
“Saya tidak kisah bekerja di kawasan ladang yang tidak ada penghawa dingin atau tidak memakai pakaian moden untuk ke pejabat, malah saya bangga menyarung busana Melayu tradisional sambil mengelilingi ladang sambil menghayati dan berkongsi keindahannya,” kongsi lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara tersebut.
Falsafah
Dalam pada itu, Pengasas LAW, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, 33, berkata, ladang yang diasaskan empat tahun lalu merujuk kepada konsep dan falsafah bangsa Melayu.
Muhamad Akmal yang gemar berbusana ala pendekar Melayu memberitahu, dia mahu mewujudkan satu pusat sehenti budaya dan warisan Melayu.
“Ladang ini bukan sahaja mengajak orang luar mengenal Melayu, malah menjadi wadah untuk bangsa saya sendiri mengenal dan kembali kepada asas orang terdahulu sama ada dari segi budaya, pakaian dan adat berteraskan kepada konsep alif, ba dan ta.
Alif merujuk kepada agama, ba bangsa, manakala ta adalah tanah air. Elemen pertama yang ditekankan adalah agama yang seterusnya membawa seseorang individu mengenal bangsanya dan menyintai tanah air sendiri.
“Setakat ini kita cuba menerapkan sebanyak yang mungkin budaya dan aspek kemelayuan dalam LAW supaya menepati intipati asal penubuhannya,” jelasnya yang lebih mesra disapa sebagai Bendahara.
Cara hidup
Sejak ditubuhkan, LAW sering mempromosikan cara hidup orang Melayu lama yang sudah diamalkan sejak 500 tahun dahulu.
Kongsi Bendahara, cara hidup orang Melayu sangat istimewa dan unik serta tidak bermewah, sebaliknya mengikut keperluan sahaja.
“Sebahagian besar masa masyarakat Melayu lama banyak dihabiskan di luar rumah dengan bekerja seperti bertani dan memburu. Jika tidak bekerja, masa banyak dihabiskan dengan berkuda, belajar bersilat dan menyertai aktiviti permainan tradisional bersama orang sekeliling.
“Masyarakat Melayu bukan bersifat individualistik, sebaliknya hidup berkomuniti. Pergi ke mana-mana atau melakukan apa-apa dalam kumpulan. Ukhuwah orang dulu-dulu sangat kuat dan tidak wujud perpecahan,” cerita lelaki yang kadangkala membahasakan dirinya sebagai hamba.
Katanya, dia mahu menjadikan gelaran orang-orang Melayu terdahulu seperti adinda, bonda dan kakanda sebagai budaya yang perlu dihidupkan.
Selain itu, jelas Bendahara, konsep inap desa yang disediakan di LAW cukup sederhana bertepatan dengan gaya hidup masyarakat Melayu terdahulu.
“Di sini segalanya disediakan secara asas sahaja. Tiada tilam empuk seperti di hotel atau penghawa dingin. Segalanya berpunca daripada alam.
“Makanan yang disediakan juga berkonsep tradisional, malah kita cuba menerapkan konsep makan secara berjemaah dengan duduk bersila atau bersimpuh.
“Para pengunjung juga diajar untuk tidak berasa seperti pelawat, sebaliknya menjadikan ladang sebagai rumah mereka.
“Mereka perlu menolong ketika proses menghidang dan bertegur sapa dengan sesiapa sahaja tanpa ada jurang,” ceritanya penuh hemat.
Ladang Alam Warisan pada awalnya dijadikan sebagai tempat rehat peribadi milik keluarga Bendahara sebelum dibuka kepada orang ramai sebagai tempat percutian budaya pada tahun 2011.
Sebagai langkah memperkenalkan kepada orang awam, ia dibuka kepada masyarakat secara percuma sebelum mengenakan bayaran masuk RM3 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak pada Mac tahun lalu.
Terang anak jati Negeri Sembilan itu, bayaran tersebut bukanlah bertujuan mengumpul keuntungan ladang, sebaliknya lebih kepada membiayai kos pengurusan ladang itu sendiri seperti penyelenggaraan, makanan haiwan seperti kuda dan pelbagai jenis ayam dan pentadbiran ladang.
Secara purata, kira-kira 100 orang sehari berkunjung ke LAW khususnya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Selain pengunjung tempatan, ladang tersebut turut menerima kunjungan pelancong luar negara seperti Kemboja, China dan Switzerland yang berminat mengenal budaya bangsa tertua di Nusantara itu.
Tambah aktivis tersebut, pengunjung juga berpeluang melihat demo memanah berkuda selain boleh belajar berkuda dengan bayaran RM5 dan memanah RM10 di LAW.
Selain itu, ia juga turut menawarkan tapak yang sesuai jika ada pihak yang berminat membuat aktiviti seperti kem motivasi, kepimpinan dan perkhemahan yang boleh memuatkan antara 100 hingga 200 peserta dalam satu-satu masa.
Menariknya, pengunjung juga berpeluang menyaksikan lembu yang ditempatkan satu kandang dengan dengan burung unta. Lembu tersebut kelihatan berjalan seakan-akan rentak burung unta.
Lucu
“Memang secara zahir nampak menarik, namun ia sebenarnya mempunyai simbolik atau maksud yang perlu difikirkan secara mendalam.
“Biar di mana bumi dipijak, kita perlu mengenal usul. Jika ada jati diri, kita tidak akan terpengaruh dengan budaya orang lain,” ujar Bendahara penuh mendalam.
Sementara itu, Azura Hashim, 35, ternyata teruja tatkala kali pertama berkunjung ke LAW berkata, ladang tersebut merupakan tempat yang ideal buat sesiapa sahaja yang mendambakan kedamaian dalam penuh kesederhanaan.
“Sambil mengenal budaya bangsa, banyak aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah memanah dan berkuda selain menangkap ikan di dalam sungai menggunakan tangan.
“Dengan badan penuh berlumpur kerana mahu menangkap ikan, pastinya hilai tawa kedengaran kerana masing-masing berasa lucu melihat aksi setiap orang yang cuba sedaya upaya untuk menangkap ikan,” terang wanita yang bergelar guru di sebuah sekolah di Negeri Sembilan itu.
Sambil menyifatkan penubuhan LAW sebagai usaha yang bagus dalam memartabatkan bangsa Melayu, Azura memberitahu bahawa tempat tersebut sangat mesra alam dan unik.
“Anda tidak akan menyesal jika berkunjung ke sini. Tidak rugi, malah pasti teringin kembali lagi ke sini,” kongsinya yang berniat untuk bercuti lagi di LAW jika mempunyai kelapangan.

Thursday, 9 July 2015

70.4% responden mahu bekerja di negara lain [metro]

Kuala Lumpur: Isu penghijrahan cendekiawan mungkin akan terus dibahaskan berikutan kebanyakan generasi muda di negara ini meluahkan hasrat bekerja di luar negara, demikian menurut kajian ‘Youth Perspective’.

Kajian yang dijalankan oleh Perspective Strategies Sdn Bhd membabitkan 2,021 mahasiswa dan pelajar tingkatan enam dari seluruh negara.

Ia menunjukkan 70.4 peratus responden mahu bekerja di negara lain.

Sebanyak 45.2 peratus memberi alasan politik dan sosial sebagai faktor mahu berbuat demikian manakala 43.6 peratus menyatakan bidang khusus kerjaya terutama dalam sains dan kejuruteraan yang hanya ada di luar negara dan 42.1 peratus pula memberi sebab prospek kerjaya tidak bagus.

Image result for pelajar malaysia di london  Image result for pelajar malaysia di london #gambar gugel

Pengarah Urusan Perspective Strategies, Andy See Teong Leng berkata, sekalipun keinginan golongan muda ini untuk berhijrah adalah kuat, mereka turut menyatakan hasrat kembali ke Malaysia dari segi jangka panjang.

“Walau di mana juga berada, hati tetap akan ingat kampung halaman,” katanya pada pelancaran hasil kajian, di sini semalam.

See berkata, syarikat perlu menyediakan persekitaran pekerjaan yang interaktif dan inovatif bagi menarik dan mengekalkan bakat tempatan.

Perspective Strategies adalah perunding pembabitan pihak berkepentingan. Ia menjalankan kajian itu dengan kerjasama AIA Bhd, Nippon Paint Malaysia Group, Centre for Strategic Engagement dan AIESEC di Malaysia.

Kajian itu yang dijalankan antara Januari dan Mac tahun ini menumpukan kepada tiga bidang iaitu tabiat penggunaan media, tabiat berbelanja serta penilaian generasi muda terhadap bakat mereka dan peluang kerjaya.

Gaji dan faedah adalah faktor utama yang mempengaruhi rakyat Malaysia ketika mencari pekerjaan diikuti peluang maju dalam kerjaya dan waktu bekerja anjal.

Kajian juga menunjukkan 75.6 peratus generasi muda Malaysia tidak mempunyai insurans selain wujud keperluan untuk mempertingkatkan aspek celik kewangan dalam kalangan generasi ini. - BERNAMA