Showing posts with label Mercun bola. Show all posts
Showing posts with label Mercun bola. Show all posts

Saturday, 1 July 2017

Mercun bola dalam raga motor meletup

Kota Bharu: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cedera di kaki, tangan dan kepala apabila mercun bola diletakkan dalam raga motosikal ditunggang meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Salor, di sini petang kelmarin.

Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan mangsa mengalami luka dan dihantar ahli keluarganya ke klinik berhampiran untuk rawatan.
Dia dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.
Difahamkan, mangsa sebelum itu menunggang motosikal dan meletakkan mercun bola di dalam raga namun ia tiba-tiba meletup.
Sementara itu, Pengarah HRPZ II Dr Selasawati Ghazali ketika dihubungi berkata, mangsa mendaftar masuk untuk rawatan lanjut jam 5.57 petang, kelmarin.
“Selepas menerima rawatan, dia kini dilaporkan stabil,” katanya.
Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa yang ditemui di HRPZ II enggan ditemu bual berhubung kejadian itu.

Jari tak boleh bengkok

Abdul Azim menunjukkan jari telunjuk yg terpaksa dipotong semalam

Kota Bharu: Setiap kali Aidilfitri, Kelantan tidak pernah sunyi daripada insiden penduduk cedera akibat bermain mercun terutama jenis mercun bola.
Tahun ini, seramai tujuh orang dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, kerana kecederaan serius, berbanding hanya empat mangsa pada 2016.
Seorang daripada mangsa itu adalah Abdul Azim Muhamad, 29, yang menjadi mangsa disebabkan perbuatan kanak-kanak di Kampung Jejuluk, Tumpat bermain mercun bola pada 7 Jun lalu.
Kejadian pada Ramadan ke-12 itu tidak mungkin dilupakan, apatah lagi dia kini menderita putus jari telunjuk kanan dan cedera di ibu jari serta tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan buat masa ini.
Abdul Azim berkata, walaupun sudah 25 hari kejadian berlaku, dia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan kecacatan jarinya.
“Saya ingatkan cedera ringan saja, tetapi lain yang berlaku. Doktor maklumkan jari itu tidak dapat diselamatkan dan perlu dipotong untuk mengelak jangkitan kuman.
“Pada 6 Julai ini, saya perlu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), sekali lagi untuk berjumpa pakar berikutan jari tengah tidak dapat dibengkok seperti biasa,” katanya semalam.
Abdul Azim yang bekerja sebagai tukang rumah mengakui tidak dapat melakukan kerja berat untuk tempoh beberapa bulan dan bimbang sekiranya pendapatannya terjejas.