Showing posts with label Korea Utara. Show all posts
Showing posts with label Korea Utara. Show all posts

Saturday, 11 March 2017

AS cari strategi baharu tangani Korea Utara

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) bergegas membangunkan strategi baharu bagi menangani program senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, namun sekatan lebih ketat berisi–ko mencetuskan konfrontasi dengan China.
Krisis di Semenanjung Korea men–cetuskan cabaran keselamatan serius pertama kepada Presiden AS, Donald Trump. Sebelum ini, Pentagon telah membangkitkan kemarahan China dengan menempatkan sistem pertahanan antipeluru berpandu AS di Korea Selatan.
Washington dijangka bertindak lebih jauh dengan merancang untuk menghukum bank-bank China yang bekerjasama de–ngan Korea Utara.
Jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner berkata, ancaman Korea Utara akan menjadi agenda utama pertemuan Setiausaha Negara AS, Rex Til–lerson dengan rakan sejawatnya dari China dan Korea Selatan pada minggu hadapan.
“Beliau akan berunding tentang pilihan AS dan cara baharu untuk menyelesaikan situasi di Semenanjung Korea,” kata Toner.
Namun, terdapat isyarat daripada China bahawa Beijing keberatan mengenakan lebih tekanan terhadap jirannya itu.
GAMBAR fail tidak bertarikh menunjukkan sistem peluru berpandu THAAD dilancarkan di sebuah lokasi rahsia.- REUTERS
Pada Rabu lepas, Menteri Kewa–ngan China, Wang Yi membayangkan bahawa AS dan Korea Utara bertanggungjawab melakukan provokasi yang memburukkan lagi situasi di Semenanjung Korea.
Beliau sebaliknya menggesa AS menghentikan latihan tentera besar-besaran bersama Korea Selatan sebagai timbal balas untuk Korea Utara menggantung program nuklear dan misilnya tetapi ditolak oleh Washington.
“Tanggungjawab untuk bertindak ke arah pembasmian senjata nuklear dan menamatkan provokasi kini terletak pada bahu Korea Utara,” kata Toner.
China pada masa lalu menyokong langkah-langkah terhadap program nuklear Korea Utara tetapi enam sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak ujian nuklear pertama Pyongyang pada 2006 gagal membendung program senjata pemusnah itu.
Korea Utara kini membina dan me–nguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) menggunakan bahan api pepejal yang boleh dibawa oleh konvoi kecil dan mudah disembunyikan.
Kemajuan persenjataan itu menjadikan tentera Korea Selatan dan AS sukar mengesan ICBM berkenaan sekali gus menjadikan bandar-bandar AS dan pangkalannya di Jepun berada dalam jarak serangan nuklear.
Peluru berpandu itu bagaimanapun tidak dilihat sebagai isu keselamatan oleh China walaupun ia menentang program nuklear Korea Utara.
“China tidak serius tentang ancaman ini,” kata bekas pegawai Jabatan Negara AS, Anthony Ruggiero.
Katanya, cara utama supaya Beijing mengambil berat perkembangan tersebut adalah dengan menghukum atau mendenda bank-bank China yang memberi akses kewangan antarabangsa kepada Korea Utara.
“Bank-bank ini melakukan urus niaga menggunakan mata wang China, euro dan dolar AS,” katanya. – AFP

Jong-nam disemadikan di Malaysia

BALIK PULAU – Mayat pemimpin buangan Korea Utara, Kim Jong-nam yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu boleh di­semadikan di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, berdasarkan undang-undang di negara ini jika terdapat sebarang kematian, mayat harus diserahkan kepada waris si mati.
Bagaimanapun menurutnya, mayat warga Korea Utara itu boleh dikebumikan di negara ini jika tidak dituntut oleh waris atau keluarga si mati.
Katanya, pihak kementerian tidak akan terburu-buru membuat sebarang keputusan terhadap mayat Jong-nam, 46, yang me­rupakan abang tiri pe­mimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un kerana ia merupakan kes berprofil tinggi.
“Polis sudah menyerahkan mayat Jong-nam kepada Kementerian Kesihatan. Justeru, kita akan buat keputusan (berhubung mayat Jong-nam),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jamboree Balik Pulau 2017 di Politeknik Balik Pulau di sini semalam.
MAYAT Jong-nam kini disimpan di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.

Sunday, 5 March 2017

Duta Besar Korea Utara diusir keluar

SEKUMPULAN wartawan mengerumuni sebuah kenderaan yang keluar dari Kedutaan Besar Korea Utara di Damansara Heights, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Malaysia semalam mengambil tindakan tegas dengan mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara, Kang Chol sebagai persona non grata (orang yang tidak dihargai) dan mengarahkan pegawai berkenaan meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.
Keputusan itu dibuat melalui satu Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Besar Korea Utara selepas Kang Chol dan pegawai kanan dari kedutaan itu tidak hadir untuk bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubu­ngan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushir­wan Zainal Abidin di Wisma Putra, Putrajaya dekat sini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Kang Chol dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya dalam tempoh 48 jam bermula pukul 6 petang semalam.
Menurutnya, pada 28 Februari lalu, kerajaan Malaysia telah menuntut supaya kerajaan Korea Utara mengemukakan permohonan maaf secara bertulis bagi dakwaan-dakwaan yang te­lah dilontarkan oleh duta negara itu terhadap Malaysia.