Showing posts with label Ulasan Filem. Show all posts
Showing posts with label Ulasan Filem. Show all posts

Saturday, 10 March 2018

Pengkritik Ini Melihat ‘Badang’ Dan Aliff Syukri Umpama Badut [mstar]





Filem: Badang
Pengarah: Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen
Pelakon: Datuk Seri Aliff Syukri, Fasha Sandha, Azhari Zain, Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi, Aminah Raphor, Norman Hakim dan Esma Daniel.
Genre: Aksi/Komedi
Durasi: 105 minit
Pengedar: Empire Film Solution
Tarikh Tayangan: 15 Februari 2018


SEORANG teman pernah bertanyakan kepada penulis mengapa sanggup ‘membazirkan’ wang menonton filem tempatan khusunya berbahasa Melayu di pawagam.
Sedangkan katanya, sebagai pengkritik filem dan bekas wartawan, bukankah penulis diberikan kelebihan untuk menghadiri tayangan prebiu yang dianjurkan.

Secara sinikalnya penulis mengatakan itu salah satu cara penulis untuk menyokong filem Melayu. Dalam erti kata lain, berjiwa patriotik menerusi seni. Jika tidak, siapa lagi yang akan berbuat demikian walaupun majoriti filem Melayu hari ini tiada apa yang perlu dibanggakan.

Malah, kata penulis juga, menjadi pengkritik filem dan penulis bebas membuatkan penulis lebih terbuka untuk memberikan kritikan membina dan bukannya mahu membunuh seperti mana dakwaan sesetengah pihak.

Penulis harus akui bahawa bukan semua filem Melayu itu buruk dan teruk tetapi memandangkan majoritinya mempamerkan kualiti yang semakin hari semakin tidak membanggakan. Maka, jangan tudingkan jari kepada penonton seandainya mereka tidak mahu ke panggung untuk menonton.
Dalam konteks ini, penulis merujuk kepada filem baharu arahan Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen berjudul Badang yang baru sahaja ditayangkan minggu lalu.

Bayangkan, belum pun memulakan tayangan dan hanya posternya sahaja dipromosikan terlebih dahulu, Badang sudah dikritik dengan cukup hebat sekali.
Tidak perlu salahkan mereka kerana kualiti penghasilan poster filem Badang pun memang layak dipertikaikan. Jadi, daripada pandangan pertama itu sahaja, ia sudah meruntuhkan dan menghapuskan minat penonton untuk pergi menonton.

Sebagai pengkritik filem, penulis dengan jujur mengakui bahawa tidak dapat menyembunyikan perasaan negatif terhadap filem Badang terutama memikirkan bagaimana seorang watak mitos Melayu yang cukup dikenali dengan kekuatannya dibawakan oleh seorang usahawan kosmetik bernama Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Tapi kata orang, tak kenal maka tak cinta bukan? Mana tahu, mungkin segala telahan dan hukuman penulis itu silap. Jadi, seandainya penulis silap, penulis akan menggunakan ruang ini untuk mengakui kesilapan itu dengan memberi kritikan yang selayaknya.
Tidak mahu terus dibelenggu dengan perasaan itu, penulis sempat meluangkan masa menonton Badang beberapa hari lalu yang mana hanya dua orang sahaja di pawagam termasuk penulis di dalam panggung. Bukan tiket percuma, bukan dibayar oleh sesiapa tetapi mengeluarkan wang sendiri.
Sebaik sahaja tamat tayangan, penulis menarik nafas lega kerana seksaan menonton Badang selama satu jam 45 minit hilang juga akhirnya.

Penulis hilang kata-kata dan tidak percaya bahawa itu adalah hasil kerja seorang ahli akademik yang juga seorang pengarah filem prolifik kerana Badang sememangnya tidak berada menepati piawaian yang diharapkan.


Justeru, apabila penonton mengecam dan mengkritik tanpa menonton Badang terlebih dahulu, ternyata mereka memang ahli nujum yang bijak dan hebat kerana tidak perlu membazirkan wang menontonnya di pawagam.

Kegagalan ketara dan utama filem Badang adalah garapan cerita dan lakon layar yang sangat lemah dan memang tidak masuk dek akal. Pertamanya, dalam filem ini, watak Badrul Hisham atau Bad (lakonan Aliff Syukri) dikatakan memperolehi kuasa ajaib sebaik usianya mencecah 25 tahun.

Ini bermakna Bad dilahirkan pada tahun 1992 (mengambil kira tahun 2017 pada ketika filem ini menjalani penggambaran). Tetapi, secara logiknya dan persoalan yang bermain di minda penulis, pada tahun Bad dilahirkan itu, masih ada lagikah kepercayaan masyarakat terhadap perkara tahyul seperti penemuan seorang puteri bunian (Nadia Brian) dan juga bayi dalam buluh?

Sedangkan realitinya, pada tahun 1992 itu, masyarakat sudah mula menerima pemodenan walaupun tinggal di kampung.

Dalam filem Badang, Mak Siah (Aminah Raphor) dan suaminya, Pak Tam (Esma Daniel) digambarkan tinggal di kampung tanpa ada masyarakat sekeliling. Ia seperti hanya mereka berdua tinggal di situ dan seolah-olah menjadi orang pertama yang membuka kampung itu.

Penulis boleh menerima logikanya seandainya cerita itu digambarkan Bad mewarisi kuasa ajaib itu daripada keturunannya. Sebagai contoh, daripada datuk dan bapanya barangkali kerana mungkin moyang Bad dilahirkan di dalam buluh.


Disebabkan itu, plot cerita itu sudah menampakkan kelompongannya lalu ia mencacatkan keseluruhan jalan cerita Badang. Maka, sudahnya, Bad yang berusia 25 tahun itu digambarkan sebagai seorang pelajar kolej yang tidak tahu apakah jurusan akademiknya dan hanya ke hulu ke hilir sambil membawa fail dan beg sandang.

Begitu juga dengan rakan karibnya, Sarip (Azhari Zain) yang secara jelas menampakkan sudah berusia tetapi menjadi seorang pelajar kolej juga. Tidak hanya itu, watak Tisha (Fasha Sandha) juga diletakkan sebagai pelajar kolej sehingga kelihatan canggung dan pelik apabila melihat Bad, Sarip dan Tisha dalam satu adegan menjadi pelajar kolej.
Dalam satu aspek lain mempersoalkan logik cerita Badang ini apabila Bad digambarkan sebagai seorang yang hidup sederhana, tidak mewah dan tidaklah juga miskin.
Masalah yang dihadapinya apabila dia perlu mendapatkan wang sebanyak RM31,000 bagi membiyai kos pembedahan Mak Siah.
Tetapi, dari awal hingga habis filem ini, Bad umpama seorang pelajar kaya apabila memakai pakaian yang dari mata kasar, memang layak untuk orang yang berkemampuan beserta aksesori jam tangan dan juga kasut yang kelihatan serba baru. Jadi, bukankah itu juga boleh dipersoalkan dari sudut logik ceritanya?
Penulis juga tidak percaya pelakon berpengalaman seperti Fasha sanggup untuk berlakon dalam filem seperti ini yang ternyata langsung tidak menampakkan kematangannya sebagai seorang pelakon yang memiliki portfolio yang bukan calang-calang.
Watak Tisha amat lemah dan rasanya watak seperti itu hanya layak dibawakan oleh pelakon tambahan mahupun pelakon baharu yang baru hendak menjinakkan diri dalam dunia lakonan. 

Percaya atau tidak, watak Tania yang dilakonkan oleh Fasha dalam dua filem Cicak-Man (2006 dan 2008) adalah jauh lebih baik daripada kualiti persembahannya dalam filem Badang.
Selain jalan cerita dan lakon layar yang lemah, kegagalan utama Badang untuk menyerlah adalah kerana risiko mengambil Aliff Syukri sebagai teraju utama.

Penulis menyifatkan keputusan itu adalah kesilapan besar kerana ternyata usahawan popular itu langsung tidak memiliki bakat lakonan yang boleh dibanggakan.
Sebaliknya, sepanjang menonton Badang, penulis berasa jelik dan rimas dengan persembahan lakonannya yang sama seperti dalam mana-mana iklan produknya di televsiyen.

Nasihat penulis kepada Aliff Syukri tidak perlu lagi mengaktifkan diri dalam dunia seni yang sememangnya sudah berada pada tahap ‘menyedihkan’ ini dan fokus sahajalah kepada dunia perniagaan.

Penulis akan lebih menghormati filem Badang seandainya ruang itu diberikan kepada pelakon yang benar-benar hidup atas kapasiti sebagai seorang aktor dan bukannya kepada seseorang yang hanya gemar mencari publisiti murahan setiap masa.

Jika Profesor A. Razak Mohaideen optimis bahawa Aliff Syukri mampu menarik perhatian penonton ke pawagam lalu mengharapkan Badang mencatatkan kutipan berjuta-juta ringgit, ternyata semua itu silap. Penonton hari ini diibaratkan seperti hanya jauhari yang mengenal manikam.

Persoalan utamanya di minda penulis adalah mengapa ruang itu tidak diberikan kepada mereka yang digelar seorang pelakon sejati yang tidak menjadikan lakonan sebagai hobi semata-mata.
Jika hendak menjadikan filem Badang sebuah filem adiwira komedi sepertimana Cicak-Man, tidak salah untuk mengambil pelakon yang layak dan relevan untuk membawakan watak utama yang berusia 25 tahun.

Daripada aspek cerita dan mutu lakonan sahaja, sudah menampakkan Badang tidak berupaya menjadi sebuah karya yang dapat meletakkannya pada satu peringkat yang bukan hanya dapat menaik tarafkan dunia sinema tempatan tetapi juga  A. Razak Mohaideen sebagai pengkarya dan pembikin filem.
Seharusnya cerita Badang boleh menjadi lebih positif dan menarik jika bekas calon Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18 (2005) menerusi filem Hingga Hujung Nyawa ini menggandakan usahanya untuk berfikir di luar kotak dan bekerjasama dengan para pelajarnya dalam menghasilkan cerita yang bergerak seiring dengan senario semasa.

Kedengaran agak kejam tetapi penulis harus katakan bahawa standard dan kualiti cerita serta lakon layar Badang adalah setara dengan filem Mendam Berahi (2002) dan No Problem (2001) yang masing-masing diarahkan oleh Z. Lokman dan diterbitkan oleh Metrowealth Movies Production yang kini dikenali sebagai MIG.

Penulis cuba mahu mengimbangi kritikan ini dengan menyelitkan sisi positif tetapi malangnya, begitu tipis untuk mencarinya. Penulis suka dengan idea untuk mengangkat mitos Melayu ini tetapi lakukanlah dengan penuh terhormat dan berhemat.
Dari sudut teknikalnya seperti penataan seni, tata rias dan skor muziknya juga tidak ubah seperti sebuah filem yang diterbitkan pada zaman 1980-an serta lokasinya yang hanya berlegar pada tempat yang sama sahaja.



Paling melucukan apabila melihat kualiti kostum Badang yang kelihatan cukup murah dan tidak kemas penghasilannya sehingga menampakkan karakter Badang itu tidak ubah menjadi seorang badut dan bukannya adiwira.

Penulis ada terbaca juga bahawa A. Razak Mohaideen mengatakan penonton sasaran filem Badang adalah kanak-kanak. 

Pernahkan beliau terfikir bahawa adakah kanak-kanak zaman ini memiliki pemikiran yang sama dengan kanak-kanak yang hidup di tahun 1970-an dan 1980-an yang mudah digula-gulakan dengan naskhah seperti ini?

Dan, apakah cerita Badang itu sendiri layak dipertontonkan kepada golongan kanak-kanak dengan pemaparan beberapa adegan yang sememangnya jelas tidak sesuai untuk kanak-kanak terutama dari kalangan mereka yang beragama Islam dan berbangsa Melayu?

Penghasilan filem seperti Badang ini adalah salah satu contoh mengapa penonton tidak berselera untuk menyokong filem tempatan. Penulis tidak menolak filem komersial tetapi bikinlah dengan bijak walaupun hanya sekadar mahu memberikan hiburan.

Waima apa jua keadaan sekalipun, pembikin filem harus menghormati karya mereka sendiri jika mahukan orang lain melakukan perkara yang sama.

Lebih membimbangkan apabila Badang adalah produk terbitan FITA Studios bawah Fakulti Animasi, Televisyen dan Filem, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pastinya akan membuatkan ramai mempersoalkan kualiti para pelajar dan graduan daripada salah sebuah universiti terulung negara itu dalam membawa hala tuju sinema tempatan ke peringkat lebih tinggi.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017  (Akifma) dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Friday, 8 December 2017

Penghormatan Terbaik ‘Logan’ Untuk Pengakhiran Wolverine {mstar}

FILEM: Logan
PENGARAH: 
James Mangold

PELAKON:
 Hugh Jackman, Patrick Stewart, Dafne Keen, Richard E. Grant, Boyd Holbrook dan Stephen Merchant

GENRE: 
Drama/Aksi

DURASI: 
138 minit

PENGEDAR: 
20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN: 
2 Mac 2017





SELESAI menonton filem Logan arahan James Mangold (Walk The Line, 2005) baru-baru ini, perasaan suka dan duka terbit di benak hati penulis.
Dukanya hati penulis apabila Logan merupakan naskhah terakhir yang menyaksikan watak adiwira, Wolverine diangkat ke layar perak.

Barangkali semuanya adalah kerana keadaan kesihatan pelakon utamanya, Hugh Jackman yang tidak mengizinkan kerana kanser kulit di samping Jackman mahu mengibarkan bendera putih untuk watak ikonik itu sementara namanya masih di puncak.

Pernah Jackman mengatakan dalam satu temu bual tidak berapa lama dulu bahawa salah satu faktor dia membuat keputusan untuk bersara daripada terus memainkan watak Wolverine kerana tidak mahu khalayak menjadi bosan tatkala usianya juga semakin meningkat.

Memang ternyata Jackman dilihat layak membawakan watak berkenaan kerana acuan Wolverine itu sememangnya sudah dibikin untuk aktor kelahiran Australia ini.

Sementelah sudah 10 kali Jackman yang juga bekas calon Oscar itu menghidupkan watak Wolverine di layar perak.

Tujuh daripadanya adalah menerusi francais filem X-Men dan selebihnya untuk tiga buah filem solo Wolverine iaitu X-Men Origins: Wolverine (2009), The Wolverine (2013) dan Logan (2017).

Konflik Logan turut memaparkan bagaimana Logan perlu menerima hakikat dan realiti bahawa dia memiliki anak perempuan, Laura yang tidak pernah dibayangkannya selama ini.

Justeru, bagi memberikan penghormatan terakhir buat Logan dan Wolverine, filem Logan dilihat sebagai naskhah terbaik untuk berbuat demikian.

Ternyata, Mangold bersama-sama Scott Frank dan Michael Green memberikan evolusi terhadap filem ini dengan tidak mengikut acuan konvensional adaptasi komik yang sudah menjadi trend di Hollywood.

Sebaliknya, mereka mengambil pendekatan baharu dan mengubah struktur filem itu menjadi sebuah naskhah asli biarpun Logan diinspirasikan daripada novel grafik, Old Man Logan yang diterbitkan pada tahun 2008.

Sebagai pengarah, Mangold bijak menginterpretasikan cerita tersebut dan menjadikan ia lebih luhur, jujur, realistik dan sarat dengan pelbagai rasa lalu memberikan jiwa yang bukan sembarangan buat Logan.

Mungkin sebahagian besar peminat setia komik X-Men mengharapkan Logan menjadi sebuah filem adiwira tipikal.

Ternyata Logan bukan seperti itu kerana filem ini dibikin dengan cara seolah-olah mahu memberi gambaran sebenar tentang kehidupan Wolverine di masa hadapan pasca dunia tidak lagi didiami oleh komuniti mutan.

Sehubungan itu, tiada watak utama X-Men dalam filem ini selain Profesor Charles Xavier (Patrick Stewart) dan Caliban (Stephen Merchant) yang hidup di dunia ketika itu kerana ada sesuatu yang menunggu  mereka di masa hadapan.


Penulis melihat Logan sebagai sebuah cerita baharu yang layak untuk dipertandingkan dalam acara anugerah yang sebelum ini memandang sebelah mata dan menutup peluang terhadap filem adaptasi komik.

Dalam erti kata lain, Logan seperti kelahiran semula francais filem X-Men seperti mana yang pernah dilakukan oleh Christopher Nolan menerusi legasi filem Batman miliknya terutama The Dark Knight (2008).



Selain jalan cerita dan lakon layar yang kukuh, Logan turut diperkuatkan dengan aspek lain terutama sinematografi dan suntingan yang memberikan nilai tambah buat kecemerlangan Logan sebagai sebuah filem cereka.

Sinematografi oleh John Mathieson telah menghidupkan lagi filem ini untuk memberikan mood dan ekspresi yang dialami oleh watak-watak terutama Wolverine yang berhadapan dengan pelbagai masalah terutama kesakitan luaran dan dalam selain faktor usianya sendiri.

Jackman sendiri telah menumpahkan emosinya semaksimum dan menyerlahkan jiwa yang mendalam untuk filem ini.

Tidak dinafikan lagi, Logan adalah watak Wolverine terbaik Jackman sepanjang lebih 15 tahun dia membawakan watak berkenaan.

Apa yang menjadikan Logan bertambah menarik apabila Logan berhadapan dengan musuh baharu, X-24 yang merupakan klon dirinya sendiri yang dicipta oleh Dr. Zander Rice (Richard E. Grant).


Metaforanya watak X-24 itu apabila Logan seolah-olah melihat dirinya sendiri dan pernah menjadi ganas sedemikian rupa sewaktu mudanya.

Dalam erti kata lain, Logan berperang dengan diri sendiri dan mengetahui dirinya banyak berubah disebabkan X-Men dan Profesor X pada penghujung usianya.

Perasaan duka yang menyelubungi penulis tadi mula bertukar gembira apabila melihat masa depan francais filem ini yang pastinya akan memberikan gambaran jelas bahawa sesuatu yang lebih hebat dan besar akan terhasil kelak.


Watak Laura Kinney (Dafne Keen) memberikan gambaran jelas bahawa Wolverine baharu akan muncul selepas ini.

Lebih-lebih lagi selepas watak Laura (Dafne Keen) yang merupakan anak Logan dan terhasil menerusi persenyawaan antara manusia dan mutan mula diperkenalkan dalam filem ini.

Di sinilah penulis melihat kreativiti karyawan Hollywood yang tahu bilakah masanya untuk menoktahkan kisah X-Men dan mula untuk memperkenalkan generasi baharu X-Men.

Apatah lagi, pada babak-babak akhir, watak-watak baharu sudah mula diperkenalkan kepada khalayak biarpun tidak secara menyeluruh dan generasi baharu ini semuanya adalah senasib dengan Laura.

Sudah pasti, babak pengakhiran filem ini secara jelas menunjukkan bahawa kisah X-Men tidak akan mati sebaliknya akan terus hidup dengan kisah yang lebih segar untuk menarik perhatian penonton terutama golongan milenial kelak.

*** Penulis 
SHAZRYN MOHD FAIZAL
adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Friday, 1 December 2017

‘Smurfs: The Lost Village’ Naskhah Sudut Pandang Wanita [mstar]


FILEM: Smurfs: The Lost Village
PENGARAH: Kelly Asbury
PENYUMBANG SUARA: Demi Lovato, Mandy Patinkin, Joe Manganiello, Meghan Trainor, Rainn Wilson, Michelle Rodriguez dan Julia Roberts
GENRE: Animasi
DURASI: 90 minit
PENGEDAR: Sony Pictures Releasing International
TARIKH TAYANGAN: 6 April 2017

SEBELUM anda menonton filem Smurf: The Lost Village (bagi mereka yang masih belum berbuat demikian atau ada perancangan untuk menontonnya), jangan kelirukan diri anda dengan mengaitkan filem ini dengan dua buah filem Smurfs sebelum ini iaitu The Smurfs (2011) dan The Smurfs 2 (2013).
Penulis berkata demikian kerana Smurfs: The Lost Village tiada kaitan langsung dengan dua filem yang disebutkan di atas.
Pertamanya, dua filem terdahulu itu merupakan gabungan filem cereka dan animasi berkomputer manakala filem Smurfs yang baharu ini merupakan filem animasi sepenuhnya.
Dalam erti kata lain, Smurfs: The Lost Village merupakan sebuah naskhah baharu bagi memancing peminat filem animasi khususnya untuk menonton komuniti The Smurfs dalam dunia yang berbeza.
Sekadar berkongsi maklumat, secara teknikalnya, Smurf: The Lost Village bukanlah filem animasi The Smurfs yang pertama.

Sebaliknya, watak francais komik ciptaan Pierre Culliford atau nama penanya, Peyo itu pernah dizahirkan secara animasi ke layar perak sebanyak dua kali menerusi The Adventures of Smurfs (1965) yang memiliki lima cerita di dalamnya dan The Smurfs and the Magic Flute (1976).
Justeru, mungkin menyedari jiwa sebenar The Smurfs terletak pada penerbitan animasi telah mendorong Sony Pictures Animation untuk menghasilkan filem animasi baharu ini selain untuk mengabadikan nostalgia peminat watak makhluk kerdil berwarna biru itu yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa lebih empat dekad lalu.
Seperti mana yang disebutkan, Smurfs: The Lost Village sememangnya sebuah cerita baharu yang mengambil pendekatan berbeza terutama dari sudut tema filem itu sendiri.
Secara ringkasnya, filem animasi arahan Kelly Asbury (Gnomeo & Juliet, 2011 dan Shrek 2, 2004) ini memfokuskan kepada satu-satunya watak wanita dalam dunia The Smurfs iaitu Smurfette (penyumbang suara oleh Demi Lovato) yang mahu mencari siapakah dirinya yang sebenar.
Sementelah, dia sendiri dicipta daripada tanah liat dan dihidupkan oleh ahli sihir jahat bernama Gargamel (Rainn Wilson) untuk melunaskan misinya menghancurkan koloni The Smurfs.

Namun, Smurfette kemudiannya diberikan ‘nyawa’ baharu oleh Papa Smurfs (Mandy Patinkin) dan merubahkan ia menjadi sebahagian daripada keluarga The Smurfs.

Pun begitu, Smurfette merasakan dirinya masih lagi ada kekurangan dan persoalan yang tidak berjawab tentang identiti dirinya sehingga dia nekad untuk keluar dari zon selesanya dan mencari jawapan untuk segala permasalahannya.

Tanpa disedari, sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi selepas mendapat tahu bahawa ada puak lain yang mendiami di satu bahagian terceruk hutan di kawasan tempat tinggal mereka, Smurfette telah diekori tiga sahabatnya, Hefty Smurf (Joe Manganiello), Clumsy Smurf (Jack McBrayer) dan Brainy Smurf (Danny Pudi).

Bermula detik itu bermulalah pengembaraan mereka yang penuh mencabar dan warna-wani lebih-lebih lagi turut disertai oleh Gargamel dan dua pembantunya, si kucing Azrael (Frank Welker) dan seekor burung bernama Monty yang mahu menculik Smurfs sebanyak mungkin bagi melunaskan misi jahatnya untuk menjadi ahli sihir yang lebih berkuasa.
Sehinggalah apabila Smurfette, Hefty, Clumsy dan Brainy menemui perkampungan yang dicari yang diketuai oleh Smurf Willow (Julia Roberts) bersama-sama penduduknya yang kesemuanya adalah wanita.


Dari sudut pandang penulis sebagai seorang audiens, Smurfs: The Lost Village menonjolkan sisi wanita moden yang memiliki pemikiran sendiri, mencari pembebasan diri, masih mengekalkan ciri-ciri wanita sejati selain membuktikan bahawa mereka juga sebenarnya mampu menjadi pemimpin yang baik.
Kesemua ini dapat dilihat menerusi watak-watak yang ditonjolkan seperti Smurfette, Smurf Willow, Smurf Storm (Michelle Rodriguez), Smurf Blossom (Ellie Kemper) dan Smurf Lily (Ariel Winter) yang menggambarkan karakter wanita yang disebutkan.
Barangkali disebabkan juga penulis lakon layarnya juga adalah dua orang wanita, Stacey Harman dan Pamela Ribbon yang mahu memberikan nafas baharu dalam karakter The Smurfs itu sendiri yang sebelum ini penceritaannya banyak berkisar tentang kuasa lelaki.
Bahkan, watak Papa Smurf yang sering kali dijadikan sebagai ketua dan penyelesai masalah juga tidak terlalu ditonjolkan dalam filem Smurfs: The Lost Village sebagai tanda bahawa wanita sebenarnya juga berkebolehan menyelesaikan masalah mereka tanpa perlu dibantu lelaki.
Babak akhir melibatkan Smurfette dan Gargamel juga secara jelas menunjukkan bahawa biarpun wanita sering kali dianggap sebagai objek yang lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri mereka, tetapi adegan itu membuktikan sebaliknya.

Penyanyi terkenal, Demi Lovato menyumbangkan suaranya untuk watak Smurfette
 
Biarpun begitu, Smurfs: The Lost Village bergerak dengan perlahan dan menimbulkan sedikit rasa bosan di awalnya namun, momentum itu mula menaik secara berperingkat sehinggalah ia ke pengakhirannya.
Dalam konteks penerbitannya sebagai filem animasi, ia masih boleh dinikmati dan dapat memberikan hiburan untuk seisi keluarga selain meninggalkan nostalgia untuk mereka yang membesar dengan watak-watak comel ini. 
*** Penulis SHAZRYN MOHD FAIZAL(shazryn.faizal@gmail.com) ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.