Showing posts with label Lat. Show all posts
Showing posts with label Lat. Show all posts

Wednesday, 15 March 2017

Lat bakal terbit Mat Som 2


Riyadh: Selepas hampir 30 tahun karya kartun 'Mat Som' diterbitkan, kartunis terkenal tanahair Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat bakal menerbitkan 'Mat Som 2' tahun ini.
Lat, 66, berkata, beliau mengambil masa lama untuk menyiapkan novel grafik itu yang sebelum ini diterbitkan pada 1989 dalam menghasilkan karya terbaik.
"Karya ini antaranya bakal menggambarkan kehidupan anak muda di Kuala Lumpur sekarang yang banyak mengeluh mengenai kesusahan yang sebenarnya pernah kami hadapi dulu," katanya kepada pemberita semasa sesi memperkenalkan 'Tifl al-Qaryah' (Kampung Boy) di Riyadh International Book Fair (RIBF) 2017 di sini.
Karya klasik Mat Som yang merakamkan dilema dalam kehidupan seorang penulis sambilan bernama Mat Som Mat Top di ibu kota pernah diadaptasi ke filem dengan menggunakan judul Mat Som yang dilakonkan Imuda pada 1990.
Dalam pada itu, Lat berkata, karya Kampung Boy yang diterjemahkan ke bahasa Arab mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Arab Saudi sehingga habis terjual pada pesta buku berkenaan.
"Pembaca di kalangan masyarakat Arab akan mengetahui bagaimana kehidupan masyarakat Islam di Malaysia yang sebenarnya tidak banyak bezanya kerana saya tonjolkan kehidupan tradisi orang Melayu yang juga mempunyai hubungan dengan hukum-hakam Islam," katanya.
Malaysia diundang kerajaan Arab Saudi sebagai Negara Tetamu Kehormat di pesta buku ini yang bermula dari 8 hingga 17 Mac.

Saturday, 20 August 2016

Karya Lat jadi tema kotak Burger Syok (metro)


Lat menyampaikan lukisan karikatur kepada Azmir pada pelancaran Burger Syok di Putrajaya

Putrajaya: Restoran perkhidmatan segera, McDonald’s Malaysia kembali dengan kempen ‘Discover the World’ buat kali kedua dengan menampilkan Burger Syok yang boleh didapati di semua rangkaian mulai 22 Ogos hingga 16 September depan.
Burger Syok diinspirasikan daripada keistimewaan yang sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu kegemaran kepada sebarang hidangan pedas.
Menerusi pelancarannya semalam, McDonald’s turut bekerjasama dengan kartunis terkenal tanah air, Datuk Lat dan melalui inisiatif ini, karya beliau akan ditampilkan di rangkaian restoran itu di seluruh negara selain menjadi tema bagi kotak bungkusan Burger Syok.
Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, Lat menjadi pilihan kerana kebanyakan rakyat negara ini membesar dengan karya beliau selain peluang kepada peminat melihat gambaran diri menerusi hasil seni berkenaan.
“Bagi pihak McDonald’s Malaysia, kami bertapak di sini lebih 34 tahun dan melakar pelbagai pengalaman manis bersama pelanggan.
“McDonald’s berkembang menjadi antara restoran paling digemari jadi, kerjasama ini disifatkan sungguh bermakna tatkala kami berusaha menyatukan rakyat Malaysia menerusi cita rasa dan minat yang sama,” katanya pada pelancaran Burger Syok di McDonald’s Putrajaya, Presint 2 di sini semalam.
Pada masa sama, Azmir berkata, langkah yang dilaksanakan itu sesuai dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bakal disambut tidak lama lagi.
Burger Syok adalah hidangan dengan gandingan isi paha ayam panggang empuk, limpahan sos ‘syok’ pedas dan sayur campuran segar diapit dengan roti bijan.
Ia boleh didapati dengan harga RM11.95 (Ala carte) serta RM14.99 (set) dengan kentang goreng dan minuman Frozen Fanta.
Semasa pelancaran semalam, turut berlangsung karnival sempena pembukaan restoran cawangan Putrajaya yang turut dihadiri Lat sekali gus membolehkan peminat beramah mesra dan menonton lakaran karakter kartun secara langsung.