Showing posts with label Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Kelantan. Show all posts

Tuesday, 24 March 2020

Langgar sekatan PKP, polis lepaskan tembakan

POLIS terpaksa melepaskan tiga das tembakan apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) tidak berhenti di sekatan jalan raya di Kampung Panggong Lalat dekat Gua Musang, hari ini.
Dalam kejadian 11 pagi itu, kenderaan terbabit yang dalam perjalanan dari arah Kuala Betis menghala ke Gua Musang itu dipandu laju dan enggan berhenti di sekatan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kenderaan terbabit dikejar kenderaan peronda polis hingga ke jalan Kuala Lipis.

Katanya, Toyota Alphard kemudiannya berpatah balik selepas mendapati ada lagi sekatan jalan raya di Kampung Tanah Puteh.
Berikutan itu, kenderaan berkenaan sekali lagi memasuki jalan ke Kuala Betis sebelum anggota polis bertindak melepaskan tembakan berhampiran sekatan jalan itu.
“Tembakan itu terkena tayar belakang Toyota Alphard terbabit sebelum hilang kawalan dan terbabas ke longkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Taufik berkata, polis yang melakukan siasatan menemui lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berada dalam kenderaan terbabit.
Beliau berkata, pemandu kenderaan itu melarikan diri ke dalam hutan berdekatan kampung berkenaan dan belum dapat dikesan.
“PATI yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita itu dipercayai dibawa ke negeri ini dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Taufik berkata, lima pendatang asing terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan tembakan polis itu hanya terkena tayar kenderaan berkenaan.
“Kita sedang mengesan pemandu kenderaan itu yang masih menghilang diri,” katanya.
Beliau berkata, sekatan jalan di Jalan Gua Musang-Kuala Betis bertempat di Kampung Panggong Lalat itu dilaksanakan berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Friday, 19 July 2019

Gadis biadab direman hingga esok {Pijak al-Quran}

Pijak al-Quran kerana hendak buktikan telah berzina dengan lelaki


Gambar 4 remaja yang diberkas kerana terlibat dengan video memijak Al-Quran tular di laman sosial

KOTA BHARU - Polis memberkas empat remaja perempuan selepas rakaman video yang memaparkan salah seorang daripadanya memijak al-Quran semata-mata mahu membuktikan dia telah berzina tular di laman sosial sejak kelmarin.
Kesemua suspek berusia 17 tahun itu diberkas dalam beberapa serbuan bermula pukul 11 malam hingga 2.30 pagi di sekitar Tanah Merah dekat sini hasil maklumat awam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi dilancarkan selepas pihaknya menerima laporan daripada kakak salah seorang suspek sebelum usaha mengesan mereka dilakukan.

Friday, 8 March 2019

Kahwin pakai sut Kamen Rider


TUMPAT - Tindakan seorang pemuda yang mengenakan sut cosplay watak Kamen Rider Faiz pada sesi fotografi sempena majlis perkahwinannya pada 8 Febuari lalu tular di media sosial selepas gambar itu dimuat naik semalam.
Alif Hakim Azhar, 27, berkata, dia sama sekali tidak menyangka gambar yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya itu telah mencuit hati warganet sekaligus berkongsi detik-detik indah pasangan itu.
Menurutnya, tindakannya sebagai tanda menzahirkan minatnya terhadap adiwara dari negara matahari terbit itu pada hari yang cukup bersejarah dalam hidupnya.
"Alhamdulillah, bila saya bagi tahu isteri, Nor Afizam Mohd. Utama, 25, niat untuk pakai sut Kamen Rider dia terus memberikan sokongan.
"Begitu juga dengan keluarga kerana mereka sudah memahami minat saya terhadap adiwira itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Alif Hakim yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di Pasir Pekan dia membelanjakan sebanyak RM3,000 untuk melengkapkan keseluruhan cosplay watak tersebut.
Katanya, melalui cosplay itu juga dia turut terlibat dengan kerja-kerja amal mengutip derma bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Saya harap usaha murni ini terus mendapat sokongan daripada keluarga dan masyarakat," ujarnya yang merupakan salah seorang ahli Cosplay Kelantan.
Kamen Rider Faiz merupakan siri adiwira yang popular di Jepun sekitar tahun 2003 dan 2004.-K! ONLINE

Saturday, 1 September 2018

Kelantan mundur kerana rakyatnya sendiri tidak menyumbang kepada pembangunan


KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa musykilnya mengenai kemampuan rakyat dari Kelantan yang boleh berjaya dalam pelbagai bidang terutama perusahaan dan perniagaan di tempat lain, namun tidak dapat melakukannya atau menyumbang kepada pembangunan negeri asal mereka.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri tidak tahu bagaimana keadaan itu berlaku dan menimbulkan persoalan sama ada 'persekitaran' di Kelantan yang menyebabkan rakyatnya tidak dapat membangunkan negeri mereka.
"Sebenarnya orang Kelantan ini bijak-bijak belaka, kalau kita perhatikan di mana negeri pun yang ada perusahaan dan perniagaan adalah orang Kelantan, kenapa mereka tidak boleh buat perkara itu di Kelantan adalah soalnya.
"Pekerja-pekerja kita di Singapura juga ramai orang Kelantan yang tinggal di Johor, mereka cekap, mereka boleh, tetapi persekitaran barangkali tidak kena di Kelantan. Sama-samalah kita kaji persekitaran itu untuk tentukan kenapa ia jadi demikian," kata Perdana Menteri dalam sesi dialog pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di sini hari.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada seorang peserta yang bertanya mengenai langkah kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur untuk Kelantan termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)  yang akan memberi manfaat besar kepada negeri itu.
Mahathir berkata ramai rakyat Kelantan juga memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk salah seorang yang kini menjadi setiausahanya dan ia membuktikan kemampuan mereka.
Perdana Menteri seterusnya mendedahkan bahawa tanpa bantuan daripada kerajaan pusat, kerajaan Kelantan sebenarnya tidak mampu untuk menguruskan negeri dan pentadbiran negeri itu.
Katanya, pendapatan negeri itu termasuk menerusi kutipan cukai tidak mencukupi kerana ia disifatkan sebagai sebuah negeri yang miskin.
"Saya yakin kalau orang Kelantan dapat betulkan sesuatu maka mereka dapat membantu membangunkan Kelantan lebih pesat lagi berbanding tempat lain," katanya.
Mengenai ECRL, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan tidak mampu menampung perbelanjaan projek tersebut buat masa ini  dan menangguhkan sehingga mempunya dana yang mencukupi.
Terdahulu Mahathir turut menyampaikan ucaptama pada majlis yang dihadiri beberapa menteri kabinet selain disertai 2,500 peserta dan delegasi. - Bernama

Friday, 15 January 2016

Tapau 3 trofi

KUALA LUMPUR - Rangkul tiga trofi pada musim 2016.

Itu sasaran pertama yang diberikan ahli perniagaan bertaraf selebriti, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman kepada The Red Warriors sebaik saja mencapai persetujuan untuk menaja Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Lebih dikenali sebagai Dr. Vida, beliau turut memandang serius mengenai pembangunan bola sepak dan sedia memperuntukan sejumlah wang untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Saya mahu Kelantan ‘tapau’ (rangkul) tiga piala musim ini (Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia). Tapi apabila saya meletakkan sasaran seperti itu pasukan lain jangan rasa gerun pula,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dr. Vida dilantik sebagai Penasihat Kehormat Kafa selepas bersetuju untuk memberi tajaan RM16 juta bagi tempoh dua tahun, bagaimanapun penajaan tersebut mampu melebihi RM20 juta untuk tujuan R&D serta pemasaran.

“Selain memberi tajaan saya juga mahu melakukan R&D bagi mencari apakah ramuan terbaik untuk memberi kekuatan kepada pemain Kelantan. Saya lihat kalau pemain bola yang kuat serta laju dalam negara kita mesti datang dari Afrika.

“Jadi saya mahu buat penyelidikan mencari rahsia untuk menghasilkan kekuatan pemain kita biarpun bertubuh kecil. Saya juga nak buat macam mana Kelantan mampu bermain dengan hebat tanpa kehadiran pemain import.

“Selain bola sepak saya juga meminati badminton dan saya lihat pemain China kerap menjadi juara. Jadi saya mahu mencari ramuan seperti itu untuk diaplikasikan ke dalam bola sepak Kelantan,” kata Dr. Vida yang turut mengakui meminati pemain badminton tersohor negara, Datuk Lee Chong Wei.

Biarpun majoriti peminat Kelantan gembira dengan keputusannya untuk memberi tajaan kepada pa­sukan kesayangan mereka, namun masih terdapat segelintir pihak yang menganggap Dr. Vida cuba memanipulasi keadaan namun beliau menafikan perkara tersebut.

“Saya tidak manipulasi keadaan. Saya faham berkenaan dengan cat warna merah jambu itu mungkin mengundang kemarahan segelintir penyokong Kelantan kerana mereka gemarkan warna merah. Apa pun beri saya peluang kerana saya ada idea tersendiri," ujarnya.

Tambah Dr. Vida beliau tidak menyangka apabila boleh menjadi wanita pertama negara yang mempunyai pengaruh dalam persatuan bola sepak tempatan, namun tidak mahu berasa mendabik dada.

Saturday, 10 October 2015

Ibu tak kenal wajah anak (kosmo}

GUA MUSANG – Kurus kering sehingga nampak tulang, tidak bermaya, kelaparan dan ketakutan.
Itulah keadaan Mirsudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, dua daripada tujuh kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui bersembunyi di dalam akar sebatang pokok di tebing Sungai Perias, kira-kira tiga kilometer dari sekolah ber­kenaan di sini semalam.
Kedua-dua kanak-kanak itu yang lengkap berpakai­an dijumpai oleh seorang anggota polis bersama dua penduduk kampung ketika sedang mengadakan operasi mencari dengan menaiki bot di sungai tersebut kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Pada masa sama, pasukan mencari turut menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang kemudian disahkan sebagai Ika Ayel, 9, di lokasi berhampiran Mirsudiar dan Norieen dijumpai.
Lebih memilukan, mayat tersebut difahamkan telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kanak-kanak tersebut yang sedang bersembunyi di dalam akar pokok tersebut sedang menangis teresak-esak dan cuba melarikan diri.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak perempuan itu pula ditemui berse­belahan dengan lokasi penemuan kedua-dua murid terbabit.
Katanya, mayat kanak-kanak perempuan itu masih dalam keadaan sempurna dan pihaknya percaya mangsa meninggal dunia beberapa hari lalu dan dijaga oleh dua kanak-kanak tersebut.
“Kedua-dua kanak-kanak ini dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan rapi dan proses pemulihan.
“Pihak hospital di sini akan melakukan bedah siasat terhadap mayat Ika sebelum diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang semalam.
Hilang berat badan 10kg {metro}

Kota Bharu: Dua kanak-kanak Orang Asli yang ditemui semalam kehilangan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg).

Berat badan Noreen Yaacob, 10 dan Mirsudiar Aluj, 11, sebelum hilang adalah 25 kg.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, mereka kini dipantau pakar kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Nik Nasiruddin Nik Leh dan mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk pulih.

"Dua kanak-kanak itu juga dalam keadaan trauma dan perlu diberi kaunseling oleh pakar psikologi," katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Wad 5 HRPZ II, di sini, hari ini.
Harian Metro semalam melaporkan dua kanak-kanak itu ditemui kira-kira jam 12 tengah hari bersama mayat seorang kanak-kanak.

 
Noreen (gambar kecil) bersama ibunya, Midah Angah, m anakala Mirsudiar bersama ibunya Rosita Bahil di HRPZ II. FOTO Nik Abdullah Nik Omar - 

 
Noreen Yaacob, 10, (kiri) dan Mirsudiar Aluj, 11, ketika ditemui semalam. - Foto NSTP 


Tuesday, 7 July 2015

Ibu Yaya lepas geram



Pasir Mas: “Ya Allah budok tu tak dosa (budak itu tak berdosa). Kalau mu tak buat, siapa lagi yang buat?” kata Sana Abdul Malek, 28, kepada bekas suami dan isterinya yang disambung reman bagi membantu siasatan berhubung penderaan kanak-kanak berusia lima tahun dikenali Yaya.
Sana meluahkan kata-kata demikian kepada dua suspek itu ketika mereka dibawa polis untuk memasuki kamar Mahkamah Majistret Pasir Mas, di sini, semalam.

Reman kedua-dua suspek berusia 39 dan 25 tahun disambung sehingga 12 Julai selepas perintah dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Sana hadir ke mahkamah ditemani beberapa ahli keluarga.

Sebaik melihat suspek, wanita itu yang juga ibu kandung Yaya, gagal mengawal perasaan dan dilihat mengucap ‘Allahuakbar’ beberapa kali sambil menangis.

Friday, 13 February 2015

Tok Guru disemadi, lebih 50,000 hadir (Hmetro)

Kota Bharu: Jenazah bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, 10.55 pagi tadi.
Terdahulu, lebih 20,000 orang menyertai solat jenazah di Masjid Tok Guru pada 9.55 pagi sebelum mereka mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tiba pada 9.45 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir turut menyertai solat jenazah bersama jemaah lain.

Lebih 50,000 orang setia menanti sehingga pengebumian selesai.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ayahandanya, Nik Mat Raja Banjar yang meninggal kira-kira 40 tahun lalu.

Turut hadir di tanah perkuburan, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia 9.40 malam tadi akibat kanser prostat.
Terdahulu, Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya jam 8.55 malam tadi selepas dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 19 Januari lalu.

Ketika dibawa pulang, beliau terpaksa diusung menggunakan katil hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bergantung kepada bantuan oksigen.

Anaknya, Nik Mohamad Abduh kemudian mengesahkan Nik Abdul Aziz meninggal dunia di depan ahli keluarga.

Beliau meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan arwah ayahnya itu.

 JENAZAH Nik Abdul Aziz selamat disemadikan 11 pagi tadi. FOTO Khairull Azry Bidin -

Thursday, 25 December 2014

Mangsa banjir lebih 100,000 orang [kosmo]

SEKUMPULAN orang mengharungi banjir akibat limpahan Sungai Kelantan di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Keadaan banjir tidak menampakkan tanda-tanda akan reda apabila 100,961 penduduk di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Perlis dan Kedah terpaksa berpindah ekoran banjir besar yang melanda di negara ini semalam berbanding 67,730 mangsa kelmarin.
Menurut portal rasmi banjir kerajaan negeri Kelantan, negeri itu mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 38,030 orang, diikuti Terengganu (28,918), Pahang (28,578), Perak (5,065), Perlis (278) dan Kedah (92).
Tinjaun Kosmo! mendapati kawasan rendah di bandar Kota Bharu dilimpahi air secara mendadak dalam tempoh yang singkat.
Setelah 10 tahun tidak berdepan dengan kejadian serupa, air bah sudah pun melimpah kawasan di sekitar bandar Kota Bharu sehingga ke Stadium Sultan Muhammad IV, Hospital Raja Perempuan Zainab II diikuti Wisma Persekutuan, dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
SEKUMPULAN orang mengharungi banjir akibat limpahan Sungai Kelantan di Kota Bharu semalam.

Kebanyakan tempat di bandar Kota Bharu sudah dimasuki air di Berek 12, Lundang, Wakaf Che Yeh sehingga ke Tunjung.
Setakat ini, cuma kawasan menghala ke Panji, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian yang belum dinaiki air.
Penduduk di sekitar bandar Kota Bharu dilihat bukan sahaja bergegas mengemas barang atau berpindah ke tempat selamat bahkan juga kedai-kedai runcit dipenuhi orang ramai yang membuat pembelian panik.
Antara barang runcit yang dibeli ialah beras, makanan segera, roti dan juga bekalan air minuman.