Showing posts with label selebriti. Show all posts
Showing posts with label selebriti. Show all posts

Tuesday, 24 March 2020

C.Ronaldo wujudkan unit ICU

CRISTIANO Ronaldo dan ejennya, Jorge Mendes akan mewujudkan tiga Unit Rawatan Rapi (ICU) di beberapa buah hospital di Portugal untuk membantu pihak berkenaan menangani pandemik Covid-19.
Kedua-dua mereka akan menyalurkan bantuan berkenaan sekurang-kurangnya mewujudkan dua wad ICU bersama 10 katil kepada Hospital Universiti Lisbon Utara (CHULN).
CHULN sekarang ini mempunyai 77 buah katil.
Mendes dan Ronaldo juga akan membina wad ICU di Hospital Santo Antonio.
“Ini adalah satu pelaburan yang sangat penting termasuk dengan lebih sedozen alat bantuan penafasan dan beberapa lagi kelengkapan lain.
“Jika perlu, Ronaldo akan melakukan perkara yang sama di Madeira,” kata Pengarah Bahagian Pembedahan, Eurico Castro Alves.
Penyerang Juventus itu kembali kampung halamannya, di mana terdapat 11 kes membabitkan Covid-19 dan keseluruhan kes kesemuanya di Portugal ialah sebanyak 2,362.
Negara berkenaan juga setakat ini merekodkan 30 kematian.
Dia sebelum ini, pulang ke kampung halamannya itu melawat ibunya yang sedang pulih dari strok, sebelum dia diarahkan untuk kuarantin di sana selepas rakan sepasukan, Daniele Rugani positif Covid-19.
Pada 12 Mac lalu petugas perubatan tempatnya mengesahkan Ronaldo tidak mempunyai simptom wabk berkenaan.

Friday, 16 February 2018

Pelakon Azmil Mustapha dalam kenangan, meninggal dunia pada usia 65 tahun

1953 - 2018



Pelakon popular era 80-an, Azmil Mustapha meninggal dunia kira-kira pukul 12.40 tengah hari pada 14 Februari 2018 di kediamannya di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

‘Nak makan apa, adik nak beli…?’ – Detik akhir kematian Azmil Mustapha (Terengganu Times)

ANAK kepada Azmil Mustapha sempat bertanya apa makanan mahu dimakan bapanya sebelum pelakon terkenal era 1980-an terbabit disedari meninggal dunia, tengah hari hari ini.
Nur Syamira, 33, yang juga anak sulung berkata, bapanya meninggal dunia ketika dalam tidur, namun lima beradik itu tidak dapat mengesahkan waktu sebenar bapa mereka menghembuskan nafas terakhir.
“Sebelum meninggal, adik ada bertanya kepada bapa mahu makan apa kerana dia nak pergi beli makanan. Bagaimanapun, selepas mandi, adik pergi kejutkan bapa tetapi bapa sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam.
Katanya, sebelum itu bapanya berada dalam keadaan sihat dan boleh melakukan rutin harian seperti biasa. Sementara itu, adik Azmil iaitu Ros Anita berkata, abangnya mempunyai masalah jantung.
Katanya, ketika hayatnya, Azmil banyak melakukan ibadah di rumah selain menjalankan aktiviti dakwah.
“Dia tidak meninggalkan apa-apa pesan,” katanya.
Ketika hayatnya, Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga.
Azmil meninggalkan lima anak berusia 16 hingga 33 tahun iaitu Nur Syamira, Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd Bazli Zhafri dan Nur Alia.
Anak Allahyarham Azmil tidak dapat menahan kesedihan.
Sejak dua tahun lalu, keadaan kesihatan Azmil yang membintangi filem ‘box office’ era 1980-an seperti Ali Setan merosot dan pernah dilaporkan kritikal.
Jenazah dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah untuk dimandikan dan solat jenazah sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas solat Asar.

Saturday, 2 July 2016

Bakti Ina, Suhaimi [metro]

Sekian lama menyepi, Ina Naim kembali mengasah bakat nyanyian dengan berpadu suara dengan suaminya, Mohd Suhaimi Saad menerusi lagu Jutawan Pemurah.
Lagu itu menyeru mereka yang berkemampuan menghulurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik terutama pada Ramadan dan Syawal.
Menurut Suhaimi, semua orang mahu jadi jutawan, tetapi jadilah orang berharta yang dermawan.
“Kalau hidup kaya raya, jadilah orang yang pemurah agar dapat membantu mereka yang susah. Namun, andai kita miskin, janganlah cepat berputus asa, sebaliknya jadilah orang yang bersabar dan bersyukur dengan apa yang ada.
“Itulah antara mesej yang saya dan Ina cuba sampaikan dalam lagu Jutawan Pemurah. Setiap daripada kita yang hidup di dunia ini ada bahagian masing-masing dan kita saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.
Bercerita lebih lanjut mengenai penghasilan lagu itu, Suhaimi berkata, ia dibuat sempena pembabitan mereka dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pembangunan Insan Sabah Care yang rancak mengumpul dana di sekitar Lembah Klang bagi menjalankan misi dakwah di kawasan pedalaman Sabah.
“Terdapat beratus-ratus kampung di pedalaman Sabah yang memerlukan perhatian daripada sudut pembangunan insan. Sabah Care adalah NGO yang bertanggungjawab menguruskan dan melaksanakan amanah ini. Pertubuhan itu juga sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti seperti memantau perkembangan prasarana yang sudah dibangunkan semula atau dibaikpulih dan dibina baru serta membantu menjana pendapatan penduduk pedalaman negeri itu dengan membantu memasarkan produk kampung.
“Aktiviti lain, mengadakan motivasi dan menjaga kebajikan pelajar sekolah, mewujudkan sistem keluarga angkat agar hubungan lebih akrab demi pembangunan insan dan mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma secara berterusan.
“Sabah Care juga sudah menghantar 100 imam ke kawasan pedalaman Sabah untuk menyampaikan ajaran Islam. Turut diedarkan telekung dan al-Quran,” katanya.
Bawa anak ke bazar
Menurut Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Mohd Naim, sepanjang Ramadan ini hampir setiap hari dia dan Suhaimi berada di bazar Ramadan sekitar Lembah Klang menyanyi sambil mengumpul sumbangan daripada orang ramai.
Mereka turut bawa bersama empat cahaya iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 8, Salman Elkhoyri 6, Phyrosh Elfadwah, 4 dan Nur Layla Elghufrony, 18 bulan untuk memberi pendedahan membuat persembahan depan orang ramai memandangkan mereka juga berbakat dalam bidang seni suara.
Di bawah syarikat penerbitan mereka sendiri, Karya Mosus, Ehmad dan Salman sudah merakamkan album doa serta selawat.
“Keempat-empat anak kami minat menyanyi dan senang bekerja dengan Ehmad serta Salman kerana mereka mudah ingat doa serta selawat yang diajar. Rakaman siap dalam masa tiga hari tanpa melakukan banyak kesilapan,” katanya.
Dengan pembabitan seluruh keluarga itu dalam bidang seni, ia merapatkan lagi hubungan mereka apabila Suhaimi yang juga bekas guru mengajar sendiri anaknya di rumah.
Selain itu, setiap Selasa, Rabu dan Khamis, Suhaimi dan Ina mengajar anak-anak jiran seramai 15 orang mengaji al-Quran di rumah mereka di Setia Alam, Shah Alam.
Pasangan itu juga mengeluarkan produk minda untuk kanak-kanak dan Ina juga akan mengeluarkan purdah jenama Ina Naim. Mereka sedang mencari kain yang sesuai dan selesa untuk dipakai.

Sunday, 26 June 2016

Prof Izzi selamat dikebumikan


Kuala Terengganu: Jenazah Profesor Madya Md Izuddin Ali atau Prof Izzi selamat dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Rusa, di sini, 9 pagi ini.
Kira-kira 200 orang terdiri daripada keluarga dan rakan hadir.
Kakak sulung arwah, Zaleha Hashim @ Ali, 55, berkata, jenazah tiba di rumahnya di Gong Badak, dekat Institut Latihan Perindustrian (ILP) pada 4.30 pagi.
Katanya, jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Pulau Rusa untuk disembahyangkan, pada kira-kira 8 pagi.
Arwah yang juga anak ketiga daripada empat beradik meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB, Kedah, 12.45 tengah hari semalam.
Zaleha berkata, Khamis lalu, dia mengunjungi adiknya di HSB dan ketika itu arwah kelihatan ceria dan sudah dibenarkan keluar.
"Saya sempat bergurau dan berjanji berjumpanya pada Aidilfitri," katanya.