Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts

Sunday, 20 January 2019

Identiti pemandu kenderaan terhumban ke dalam laut dikenal pasti

Rakaman menunjukkan detik kereta Vios yg terlibat dlm kemalangan jln raya dengan sebuah lagi kereta di kilometer 4.0 jambatan Pulau Pinang pada pukul 2.55 pagi

GEORGE TOWN - Identiti pemandu kenderaan yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi ini telah dikenal pasti.

Rupa kereta Vios yg terlibat dlm kemalangan di jmbtn PP arah Perai

Mangsa seorang lelaki dikenali Moey Yun Peng, berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pemillik kereta yang juga bapa kepada pemandu kenderaan utiliti sukan (suv) Mazda CX-5 itu membuat laporan polis pukul 5 petang selepas anak lelakinya berusia 20 tahun yang memandu kereta itu tidak pulang ke rumah mereka di Butterworth.
Gambar hiasan : 2017-Mazda-CX-5-launch (copy dr website Paultan)
"Lelaki berusia 63 tahun itu membuat laporan polis selepas anaknya tidak pulang dan dia menerima maklumat dari rakan anaknya itu bahawa mangsa disyaki terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang sebelum terhumban ke dalam laut.
Menurut bapanya, mangsa adalah pelajar sebuah kolej swasta dan tinggal di Taman Kempas, Butterworth,"  katanya di sini hari ini. - Bernama

Saturday, 1 July 2017

Zoo mini kucing Penang Cat Studio & Spa

Mohd. Azhar (kiri) dan Tengku Alifzaim memberi makan kucing-kucing yang terdapat di spa mereka.
MELIHAT susuk tubuh dua jejaka itu membuatkan ramai tidak percaya bahawa mereka sebenarnya berkongsi minat sama dalam urusan penjagaan kucing.
Tengku Alifzaim Tengku Imran, 28, dan Mohd. Azhar Sharif Hussain, 35, masing-masing bekerjaya sebagai seorang kontraktor merupakan pencinta haiwan itu sejak lebih enam tahun lalu. Hubungan persahabatan yang terjalin itu telah memberi peluang kepada mereka membina sebuah empayar rumah kucing yang dikenali sebagai Penang Cat Studio & Spa pada 15 April lalu.
Premis yang terletak di bangunan Ideal The One, Tingkat Mahsuri, Bayan Baru, Pulau Pinang itu menempatkan 40 ekor kucing pelbagai spesies termasuk yang diimport dari Rusia, Eropah dan Ukrine.
Antaranya ialah mainecoon, bengal marble, scottish fold, bsh blue, golden, cinnamon, British short hair, munchkin, vegdoll, dan Turkish angore.
Hobi
Menurut Azhar, perniagaan tersebut diusahakan kerana masing-masing berkongsi hobi yang sama.
“Semuanya bermula semasa kami duduk bersembang mengenai koleksi kucing-kucing peliharaan. Pada masa itu, saya memelihara tujuh ekor kucing manakala Alif mempunyai enam ekor kucing.
“Idea ini tercetus selepas kami menyatakan hasrat sama untuk membuka perniagaan khas untuk peminat-peminat kucing di negeri ini. Selain memberi peluang kepada mereka bermain dan membelai haiwan peliharaan itu, kami juga turut memasarkannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Azhar, mereka memilih konsep mengenali dan mendekati kucing terlebih dahulu kepada pelanggan sebelum membuat sebarang pembelian.
“Ini perlu kerana pelanggan belum pasti dapat mengenali dengan lebih dekat sifat seekor kucing. Di sini, kami memberi peluang kepada mereka untuk membelai sambil bermain dengannya.
“Dengan cara sebegini, ia dapat membina hubungan antara manusia dan haiwan peliharaan. Kaedah ini dilihat berkesan selain dapat memberi pendedahan kepada pencinta-pencinta kucing mengenai perkara tersebut,” ujarnya.
Menyentuh tentang konsep rekaan premis berkenaan, Tengku Alifzaim memberitahu, pembinaan rumah kucing termasuk reka bentuk dalamannya adalah hasil ciptaan mereka sendiri dengan dibantu seorang kenalan.
Mereka memilih membina rumah kucing di atas siling bersama laluan khasnya bagi tujuan mewujudkan persekitaran yang selesa dan kondusif buat haiwan itu termasuk pelanggan. “Premis ini seperti zoo mini yang menempatkan sebanyak 40 ekor kucing. Pengunjung boleh merasai pengalaman indah apabila menjejaki ke sini. Kucing-kucing ini akan sentiasa mengeliling mereka.
“Pengunjung juga boleh melihat lebih dekat bagaimana kami mendandan dan menenangkan kucing dalam sebuah mesin beraroma terapi yang diimport dari Korea,” katanya pakej spa kucing dua dalam satu ditawarkan pada harga RM70 selama tempoh sejam hingga dua jam.
Selain itu, Penang Cat Studio & Spa turut menawarkan pakej inap kucing pada harga RM10 sehari

Friday, 17 March 2017

Pemandu wanita disah positif dadah

SUSPEK kes memandu melawan arus sehingga menyebabkan seorang pemandu maut di Permatang Pauh, kelmarin, diiringi polis untuk direman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. – UTUSAN/Sazali Che Din

BUKIT MERTAJAM 15 Mac ­– Remaja perempuan yang meng­a­kibatkan seorang lelaki maut selepas memandu secara me­lawan arus di Kilometer 134, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Permatang Pauh di sini semalam, bukan sahaja dikesan berada dalam keadaan mabuk malah turut positif dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ujian air ken­cing remaja berusia 19 tahun itu didapati positif amphetamine.
Menurutnya, remaja itu yang memandu kereta Proton Gen2 dan baru pulang dari sebuah pusat hiburan di Bukit Mertajam terlebih dahulu bergesel dengan tiga kenderaan lain iaitu sebuah Perodua Alza, sebuah van dan sebuah lagi kereta yang tidak dikenal pasti di Kilometer 128 lebuh raya berkenaan sebelum Plaza Tol Sungai Dua.
“Remaja terbabit yang datang dari arah Bukit Mertajam menghala ke Sungai Dua secara tiba-tiba membuat pusingan U sebelum plaza tol dan bergesel dengan tiga kenderaan terbabit sebelum dia terus memecut keretanya melawan arus sejauh lima kilometer sebelum terlibat kemalangan kedua,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pu­kul 7.50 pagi itu, seorang pekerja kilang, Mohamad Fandi Rosli, 26, terbunuh akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di atas jejambat Permatang Pauh.
Dia yang memandu kereta Perodua Kelisa kemudian terbabas ke arah kiri jalan dan me­rempuh sebuah motosikal ditunggangi Razali Abdullah, 27, yang dalam perjalanan ke Lahar Tiang, Kepala Batas.
Mohamad Fandi yang baharu tiga bulan berkahwin meninggalkan isteri Norashikin Halim, 26, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Selayang, Se­langor dan sedang mengandung empat minggu.
Kereta Proton Gen2 itu kemudiannya merempuh sebuah lagi kereta jenis Perodua Kenari, sebuah van pekerja jenis Nissan dan kereta Hyundai Sonata yang turut mengakibatkan kesemua pemandunya cedera ringan.
Tambah Nik Ros Azhan, pi­haknya menerima empat laporan polis daripada pemandu yang terlibat dalam kejadian itu manakala tiga lagi laporan dibuat oleh pemandu kende­raan yang terlibat kemalangan di Sungai Dua.
Selain itu, pihak polis juga telah merakam keterangan daripada lapan saksi termasuk empat saksi awam yang menyaksikan kejadian itu.
“Remaja perempuan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.
“Pihak polis akan melengkap­kan siasatan segera bagi tujuan pendakwaan,” ujarnya.

Wednesday, 15 March 2017

Pertama kali 80 tahun

beberapa pekerja sibuk membersihkan restoran semalam

Georgetown: “Kami akur dengan tindakan dikenakan, namun tuduhan tidak menitikberatkan soal kebersihan amat mengecewakan dan tidak berasas sama sekali,” kata pengusaha Restoran Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang, Sahubar Ali Mohd Hanibah.
Sahubar Ali, 59, berkata, pihaknya akur dan mengakui segala kesilapan serta terkejut selepas menerima notis penutupan premis selama dua minggu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disebabkan faktor kebersihan termasuk penemuan najis dan bangkai tikus serta lipas.
Menurutnya, penutupan itu yang berlaku buat kali pertama selepas 80 tahun menjalankan perniagaan nasi kandar memberi kesan cukup besar kerana sebelum ini tidak pernah ditutup kerana dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Katanya, pihaknya melahirkan kecewa di atas segala tuduhan dilemparkan dan tidak pernah sama sekali mengabaikan soal kebersihan dan apa yang berlaku disebabkan kecuaian sendiri.
“Biarpun rundingan awal dibuat agar diberikan sedikit kelonggaran, tindakan penguatkuasaan tetap dikenakan dan selepas ini, kami akan lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak akan berulang pada masa akan datang.
“Kami ada membuat aduan mengenai tikus kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) minggu lalu dan Sabtu lalu tindakan penyemburan racun dan operasi dilakukan MBPP sebelum operasi penguatkuasaan dilakukan KKM bersama Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut dan MBPP semalam (kelmarin),” katanya.

Sahubar Ali berkata, nama baik dan imej Restoran Nasi Kandar Line Clear terjejas teruk selepas penutupan itu menjadi tular dalam media sosial dan buat masa ini, kerja pembersihan, penambahbaikan serta pengubahsuaian sedang dilakukan pihaknya.
Menurutnya, sebelum ini restoran itu diusahakan ahli keluarga lain sebelum dia mengambil alih pada 1 Mac lalu dan kerja pembersihan, penambahbaikan dan pengubahsuaian dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Katanya, notis penutupan restoran itu selama dua minggu memberi tekanan, selain memberi jaminan kesilapan sama tidak akan berulang kembali, malah pihaknya akan memperketatkan lagi jadual pembersihan setiap minggu dan bulan.
“Tempoh penutupan bermula semalam (kelmarin) hingga 27 Mac depan dan selepas ini, operasi Restoran Nasi Kandar Line Clear akan kembali seperti biasa dan kami memohon agar orang ramai tidak perlu ragu-ragu mengenai soal kebersihan yang sering menjadi keutamaan,” katanya.

Friday, 13 November 2015

Kru feri Pulau Pinang dibelasah (kosmo)


Pekerja feri dibelasah oleh sekumpulan lelaki ketika mahu membuka pintu dek di Jeti Pengkalan Raja Tun Uda, George Town kelmarin. Gambar ihsan: Minaq Jinggo

GEORGE TOWN – Seorang kru feri Pulau Pinang patah rusuk kiri selepas dipukul kira-kira 11 lelaki di atas sebuah feri yang sedang berlabuh berdekatan Jeti Pengkalan Raja Tun Uda di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam, mang­sa yang merupakan lelaki berusia 38 tahun dikatakan sedang bersiap untuk membuka pintu dek bawah ketika feri menghampiri jeti itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa mendakwa, terdapat kira-kira 11 lelaki berusia 20-an sedang berkumpul di depan pintu dek berkenaan dan dia telah menegur salah seorang daripada mereka.
“Mangsa dikatakan memberitahu mereka agar beredar kerana mahu membuka pintu dek itu sebelum secara tiba-tiba dia ditolak dari arah belakang oleh salah seorang daripada mereka dan badannya terkena salah seorang lelaki yang lain.
“Kumpulan itu dikatakan memukulnya beramai-ramai menggunakan topi keledar, kaki dan tangan,” katanya di sini semalam. -kosmo

SINAR HARIAN : Kru feri dibelasah 11 remaja

GEORGETOWN - Seorang kru feri Pulau Pinang berusia 38 tahun patah tulang rusuk dan cedera di muka selepas dibelasah oleh sekumpulan remaja lelaki akibat salah faham, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Mior Faridalatrash Wahid berkata, kejadian berlaku apabila mangsa meminta kira-kira 11 remaja berkenaan beredar dari pintu dek feri yang akan berlabuh di Terminal Feri Raja Tun Uda.

“Kru feri itu memberitahu mereka agar beredar dari tempat berkenaan kerana ingin membuka pintu dek (tetapi) dia tiba-tiba ditolak dari arah belakang dan badannya terkena seorang daripada mereka.

“Kumpulan lelaki terbabit bertindak kasar dengan memukul kru feri beramai-ramai menggunakan topi keledar,” katanya semalam.

Mior Faridalatrash berkata kru feri berkenaan cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik pegawai bertugas tetapi kumpulan lelaki terbabit mengejarnya serta terus memukul kru feri berkenaan.

“Ketika kejadian terdapat orang awam yang melihat kejadian itu tetapi tidak mempedulikannya atau cuba membantu...kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara kru feri itu dengan seorang daripada lelaki terbabit,” katanya.

Beliau berkata kru feri itu tidak dapat mengecam lelaki yang menyerangnya dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Monday, 20 July 2015

Bekas tentera diami rumah usang [KOSMO]

 INILAH rumah usang didiami Ismail bersama isteri dan dua anak perempuannya di Kampung Bagan Ajam, Butterworth.

SEBERANG PERAI – Biarpun pernah mengangkat senjata mempertahankan negara pada suatu ketika dahulu, namun kehidupan seorang bekas tentera, Ismail Abdullah kini seolah-olah terabai apabila menempuh ke­sempitan hidup bersama isteri dan dua anaknya di sebuah rumah usang.
Ismail, 61, yang mengumpul besi buruk sebagai punca rezeki hanya mampu menumpang di bahagian dapur sebuah rumah usang di Kampung Bagan Ajam Butterworth di sini atas ihsan seorang temannya selepas bahagian utamanya hampir roboh dimakan anai-anai.
Lebih memeritkan, apabila Ismail terpaksa mencari wang lebih demi merawat mata salah seorang anaknya yang tercedera akibat terkena objek jatuh pada Mac lalu.
“Saya tidak mampu menyediakan rumah yang selesa kepada mereka kerana kudrat kini tidak memihak kepada saya, bahkan nak berjalan pun perlu bertongkat.
“Saya hanya mampu mengu-tip besi buruk bagi menyara hidup dan kini perlu berusaha keras mencari wang lebih bagi merawat mata anak bongsu,” katanya baru-baru ini.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang diterima selepas kedua-dua belah kakinya lemah dan sukar berjalan.
Ismail berkata, biarpun hidupnya sukar, dia akan tetap bekerja keras untuk mencari duit lebih bagi merawat mata anaknya, Nur Umi Jamilah, 11, di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
“Masalah matanya itu berpunca akibat terkena objek yang terjatuh dari sebatang pokok berhampiran rumah dan ter­kena bahagian tersebut.
“Selepas mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam, dia dinasihatkan bagi mendapatkan rawatan khusus di Sungai Buloh pula,” katanya.
Mereka yang berminat menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Ismail di talian 011-2413 7829 atau menyalurkan sumbangan me­lalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad 07016020529675 atas nama Ismail Abdullah.

Saturday, 7 February 2015

Penyokong Harimau 
Kumbang pula protes FAM (utusan)

Sebahagian penyokong Pulau Pinang berdemontrasi di hadapan pintu
Sebahagian penyokong Pulau Pinang berdemontrasi di hadapan pintu utama Stadium Bandaraya selepas perlawanan menentang Kuantan FA kerana tidak puas hati terhadap FAM yang didakwa mengganggu mereka ketika memberi sokongan kepada pasukan tuan rumah di Pulau Pinang kelmarin. – mingguan/AZMAN ASMAYATIM - 

PULAU PINANG – Kempen Liga Perdana yang membuka tirai kelmarin ‘panas’ di Stadium Bandaraya apabila kira-kira 100 penyokong tegar tuan rumah yang dikenali sebagai Ultras Panthers berdemonstrasi di hadapan stadium selepas perlawanan.

Tindakan berkenaan berpunca daripada rasa tidak puas hati mereka terhadap Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) yang didakwa ‘mengganggu’ ketika mereka sedang memberi sokongan kepada pasukan tuan rumah.
Wakil kumpulan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Zack berkata, FAM mengarahkan polis ke tempat duduk mereka di dalam stadium dan merampas batang bendera yang mereka gunakan, yang mereka anggap sebagai tindakan tidak adil.

Katanya, ini kerana di sesetengah stadium barang berkenaan dibenarkan dibawa masuk namun keadaan sebaliknya berlaku di Stadium Bandaraya.

“Mengapa mesti menghalang kami me­nunjukkan sokongan kepada pasukan kami. Kami tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah dan mengancam penonton lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan kelmarin, pasukan tuan rumah memungut tiga mata penuh selepas menum­paskan pendatang baharu Liga Perdana, Kuantan FA 1-0 hasil jaringan sendiri pemain pelawat Lee Kwang Hyeong pada minit ke-53.

Menurutnya, sudah sampai masa FAM membuka minda terhadap budaya sokongan yang dibawakan peminat tempatan bagi menjadikan sukan bola sepak di negara ini lebih meriah.

“Di Thailand sebagai contoh, perkara berkenaan tidak menjadi kesalahan tetapi kami tidak faham mengapa ada larangan di sini. Ada beberapa stadium lain dalam negara kita, penyokong boleh membawa (masuk) bendera,” dakwanya.