Showing posts with label Datuk Lee Chong Wei. Show all posts
Showing posts with label Datuk Lee Chong Wei. Show all posts

Saturday, 11 March 2017

Chong Wei selangkah rangkul All England

CHONG WEI menepati ramalan sebagai pilhan utama apabila mara ke pentas akhir Kejohanan All England di Birmingham, England semalam.
PERTARUHAN yang dibuat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berbaloi apabila melangkah satu lagi tapak untuk menghampiri gelaran keempat Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) apabila berjaya mara ke pentas final di Birmingham, England semalam.
Pada perlawanan separuh akhir menentang Tien Chen Chou dari Taiwan, pemain No. 1 dunia itu kelihatan agak bergelut pada set pertama ekoran kecederaan MCL (medial collateral ligament) yang dialami apabila tewas 10- 21.
Bagaimanapun, pemain berusia 35 tahun itu enggan cepat berputus asa apabila nekad untuk bangkit menyelamatkan permainan sekali gus memenangi set kedua dengan keputusan 21- 14.
Memasuki set ketiga, kedua-dua pemain saling mengejar mata dan ia agak mencemaskan Chong Wei, namun pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu terus berusaha menjarakkan mata sebelum berjaya menamatkan permainan dengan kemenangan 21-9.
Kejayaan itu melebarkan lagi rekod kemenangan Chong Wei kepada empat berbanding dua ke atas lawan yang kali terakhir pertemuan mereka berdua adalah pada pentas suku akhir Sukan Olimpik di Rio, tahun lalu.
Menerusi kemenangan itu, Chong Wei dijangka bertemu sama ada pemain China, Yuqi Shi atau musuh tradisi, Lin Dan yang dijadual berentap pada lewat malam semalam bagi merebut gelaran juara hari ini.
Sebagai rekod, Chong Wei pernah merangkul gelaran All -England sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2010, 2011 dan 2014.

Sunday, 21 August 2016

Chong Wei kekal wira rakyat (metro)


PUTRAJAYA: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, tetap menjadi wira di hati rakyat Malaysia walaupun gagal membawa pulang pingat emas pertama negara dalam penampilan ketiga di pentas final Sukan Olimpik.
Chong Wei terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara perseorangan lelaki, yang ketiga untuknya selepas 2008 dan 2012, apabila tewas 18-21, 18-21 kepada Chen Long dari China di Pavilion 4, Riocentro di Rio de Janeiro, Brazil, malam tadi.
Bagi Mohd Fahmi Husin, 32, yang menyokong Chong Wei lebih 10 tahun lalu, pemain itu tetap wira baginya selepas menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga mata terakhir perlawanan tersebut.
"Memang seluruh Malaysia mengharapkan Chong Wei menang tetapi nasib masih lagi tidak menyebelahi kita kali ini. Saya berharap beliau akan terus bangkit daripada kekalahan ini dan fokus kepada kejohanan seterusnya.
"Saya juga berharap beliau kekal wakili negara pada Olimpik seterusnya di Tokyo 2020 kerana kita masih belum nampak pelapis yang boleh menggantikannya," kata pegawai bomba itu.
Mohd Fahmi yang hadir menyaksikan perlawanan itu bersama keluarganya adalah antara ribuan rakyat Malaysia yang hadir menonton aksi tersebut di Dataran Putrajaya di sini, anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya.
"Saya rasa hanya sukan sahaja yang boleh menyatukan kesemua rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Walaupun kita tidak mendapat emas, sukan sekali lagi menyatukan rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, seorang pemandu lori dari Puchong, Harry Lee, 50, yang sedih kerana Malaysia terlepas peluang meraih emas, berkata perlawanan itu cukup mendebarkan untuknya.
"Sedih kerana Malaysia sekali lagi tak berpeluang menang emas di Olimpik. Kita kena tunggu empat tahun lagi.
"Namun tahniah kepada Chong Wei dan juga atlet-atlet lain yang berjuang untuk negara di Rio," katanya.
Bagi penuntut Universiti Malaya, S Indiran, 24, walaupun aksi yang ditunjukkan Chong Wei pada hari ini bukan persembahan terbaiknya, beliau tetap bangga dengan pencapaian tiga pingat perak menerusi acara badminton di Olimpik kali ini.
"Saya jangkakan pingat emas hari ini. Chong Wei telah melakukan yang terbaik tetapi Chen Long terlalu kuat untuknya kali ini. Chong Wei bermain lebih baik ketika berdepan Lin Dan semalam.
"Saya harap beliau mampu mengekalkan ranking nombor satu dunia sehingga bersara tapi jika boleh saya mahu melihatnya menang emas di Sukan Olimpik seterusnya," katanya.
Atlet berusia 33 tahun dari Pulau Pinang itu melakarkan sejarah apabila mara ke final buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan musuh tradisinya Lin Dan 15-21, 21-11, 22-20 pada aksi separuh akhir semalam. Ia juga merupakan kali pertama Chong Wei mengalahkan Lin Dan di pentas Olimpik selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas kepada lawan sama dalam dua final berturut-turut, iaitu edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London.
Chen Long pula mara ke final selepas mengetepikan pemain muda Denmark, Viktor Axelsen 21-14, 21-15.
Terdahulu Axelsen meraih gangsa selepas menewaskan Lin Dan 15-21, 21-10, 21-17 pada aksi penentuan tempat ketiga. - Bernama

Sunday, 7 December 2014

Taufik Hidayat tak dapat percaya isu doping Chong Wei (beritaharian)

JUMAAT, 21 NOVEMBER 2014 @ 3:44 PM

JAKARTA: Bekas juara Olimpik, Taufik Hidayat menasihatkan pemain badminton lain untuk lebih berwaspada dalam soal pemakanan dan pengambilan suplemen.
Jaguh dari Indonesia itu berkata demikian agar tiada pemain lain akan ditimpa malang seperti dialami Datuk Lee Chong Wei yang diuji positif menggunakan dadah terlarang.
Taufik berkata pemain nombor satu dunia dari Malaysia itu mungkin mengambil dadah jenis dexamethasone secara tidak sengaja.
Namun, dia beranggapan Chong Wei seharusnya lebih peka mengenai bahan yang dimasukkan ke dalam badannya itu.
"Saya masih tidak boleh mempercayai sehingga sekarang. Saya tidak pasti sama ada dia melakukannya secara sengaja.
"Mungkin ada kesilapan berlaku ketika dia menerima rawatan ke atas kecederaan itu," kata Taufik kepada Jakarta Globe.
"Pemain bertaraf dunia seperti Chong Wei seharusnya sudah tahu apa yang diambil dan apa yang masuk ke dalam badannya.
"BAM (Persatuan Badminton Malaysia) adalah badan profesional yang mengawasi pemain mereka dengan baik"
Chong Wei digantung sementara daripada sebarang kejohanan selepas sampel B ujian air kencing di sahkan positif di sebuah makmal di Norway, awal bulan ini.
Jika bersalah dia mungkin digantung selama dua tahun.
"Atlet harus tahu apa yang mereka makan dan minum dan bukan hanya kepada latihan harian mereka," kata Taufik.
"Mereka harus tahu setiap benda yang masuk ke dalam badan mereka. Atlet hanya mempunyai dua musuh - diri mereka dan doping." - AFP

Sunday, 31 August 2014

Kejohanan Dunia: Chong Wei tewas dalam final [metro]

Kuala Lumpur: Hadiah Hari Kemerdekaan kali Ke-57 yang ditunggu rakyat Malaysia dari Datuk Lee Chong Wei tidak menjadi kenyataan apabila dia kalah dalam perlawanan akhir Kejohanan Dunia 2014 kepada Chen Long dari China, malam ini.
Kekalahan itu menyebabkan pemain nombor satu dunia itu terus kempunan buat kali ketiga selepas hanya muncul naib juara pada tahun lalu dan 2011. 
Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan terpaksa akur dan mungkin berasa tertekan sehingga tewas dengan keputusan straight set 19-21, 19-21. 

Ramalan awal bahawa Chong Wei mampu meraih kejuaraan sulung Kejohanan Dunia selepas seteru utamanya, Lin Dan dari China gagal melayakkan diri ke kejohanan edisi kali ke-21 juga tidak menjadi kenyataan.
Foto
CHONG Wei (kanan) tewas kepada Chen Long dalam straight set. FOTO EPA

Ini bermakna sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1977 belum ada pemain perseorangan negara muncul juara, malah Chong Wei juga terus kempunan untuk merangkul trofi seperti di beberapa kejohanan lain termasuk Sukan Olimpik, Piala Thomas, Piala Sudirman dan Sukan Asia.