Showing posts with label Eksiden. Show all posts
Showing posts with label Eksiden. Show all posts

Friday, 10 April 2020

Wanita mangsa dilanggar Lamborghini dihadiahkan Myvi

KUALA LUMPUR: Lazimnya, apabila berlaku sesuatu kemalangan, ketegangan akan berlaku antara pihak yang terbabit.
Namun, berbeza dengan seorang pemilik sebuah Lamborghini bukan saja menyelesaikan isu itu dengan berhemah, malah bermurah hati ‘menghadiahkan’ sebuah Myvi kepada seorang ibu tunggal yang terbabit dalam kemalangan itu.
Tindakan Thomas Heng, 40, dipuji warga maya selepas kemurahan hatinya itu dikongsikan rakannya, Azman Nor, di Facebook, dua hari lalu.
Berkongsi kejadian itu, Thomas berkata, dia tidak terbabit dalam kejadian itu sebaliknya kenderaan mewah miliknya itu dipandu seorang rakan perniagaannya yang mahu keluar membeli barang keperluan, dua hari lalu.
Katanya, tiba di lokasi di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor, rakannya itu tidak sempat mengelak kenderaan di depannya yang tiba-tiba menukar lorong tanpa memberi isyarat.
“Akibat kemalangan itu, Lamborghini saya remuk pada bahagian depan dan kanan manakala Viva wanita itu ‘total lost’ (musnah).
“Kes diselesaikan secara baik tanpa pergaduhan, malah dua-dua pihak membuat laporan polis untuk proses tuntutan insurans, namun bagi kereta ‘total lost’ ia akan memakan masa, malah saya dapati tuntutan insurans Viva itu pun sangat rendah,” katanya ketika dihubungi.
Pemilik sebuah kedai ‘wrap’ kenderaan itu berkata, simpati dan prihatin dengan kesulitan dialami wanita itu, dia bermurah hati menawarkan sebuah kenderaan terpakai sebagai ganti.
“Hati saya tersentuh apabila mengetahui wanita itu ibu tunggal anak tiga dan bimbang dia terputus sumber rezeki, saya membuat keputusan membelikannya Myvi terpakai untuk memudahkan pergerakannya menghantar pesanan yang dijual menerusi dalam talian.

Saturday, 18 May 2019

Pengasas Dnars maut dalam perjalanan serah wang zakat


TUMPAT - Pengasas produk kecantikan jenama Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 40, yang maut kemalangan di Pattani, Thailand hari ini dalam perjalanan menyerahkan wang zakat ke salah sebuah pondok di wilayah berkenaan.
Anak mangsa, Ainul Atiya Ahmad Sharizal, 18, berkata, penyerahan wang zakat kepada pondok di Pattani itu merupakan rutin bulanan ibu dan bapannya.
"Biasa mama dan papa ke Pattani bersama pemandu. Namun hari ini papa memberitahu kami dia mahu memandu sendiri kereta bersama mama.
"Kami (anak-anak) agak pelik dengan sikap papa kerana dia beriya-iya mahu memandu kereta walaupun baharu tiba dari Jakarta petang semalam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ainul Atiya memberitahu, mereka sekeluarga sempat berbuka puasa, makan colek dan bersahur bersama-sama malam tadi.
Katanya, ibu dan ayahnya keluar dari rumah ke Pattani pada pukul 7 pagi tadi.
"Biasanya jika ke sana (Pattani) papa dan mama akan keluar antara pukul 9 hingga 10 pagi," ujarnya.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi waktu Thailand, Faziani bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pattani.
Faziani maut di tempat kejadian manakala suaminya Ahmad Shah Rizal cedera di bahagian mata kanan.
Kereta jenis Toyota Estima dipandu Ahmad Shah Rizal dikatakan terlibat kemalangan dengan sebuah lori.
Jenazah Faziani dijangka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit, Wakaf Bharu di sini. - K! ONLINE

Sunday, 20 January 2019

Identiti pemandu kenderaan terhumban ke dalam laut dikenal pasti

Rakaman menunjukkan detik kereta Vios yg terlibat dlm kemalangan jln raya dengan sebuah lagi kereta di kilometer 4.0 jambatan Pulau Pinang pada pukul 2.55 pagi

GEORGE TOWN - Identiti pemandu kenderaan yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi ini telah dikenal pasti.

Rupa kereta Vios yg terlibat dlm kemalangan di jmbtn PP arah Perai

Mangsa seorang lelaki dikenali Moey Yun Peng, berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pemillik kereta yang juga bapa kepada pemandu kenderaan utiliti sukan (suv) Mazda CX-5 itu membuat laporan polis pukul 5 petang selepas anak lelakinya berusia 20 tahun yang memandu kereta itu tidak pulang ke rumah mereka di Butterworth.
Gambar hiasan : 2017-Mazda-CX-5-launch (copy dr website Paultan)
"Lelaki berusia 63 tahun itu membuat laporan polis selepas anaknya tidak pulang dan dia menerima maklumat dari rakan anaknya itu bahawa mangsa disyaki terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang sebelum terhumban ke dalam laut.
Menurut bapanya, mangsa adalah pelajar sebuah kolej swasta dan tinggal di Taman Kempas, Butterworth,"  katanya di sini hari ini. - Bernama

Saturday, 22 September 2018

Saleem separuh sedar di ICU


KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda Saleem yang terlibat dalam kemalangan semalam kini dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang.
Isterinya, Julia Bachok berkata, suaminya itu kini berada dalam keadaan separuh sedar selepas dilanggar sebuah kereta ketika keluar membeli barang berdekatan rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras di sini.
Kata isterinya lagi, Saleem atau nama sebenar A. M Salim Abdul Majeed dijadualkan bertemu peminat di Shah Alam pada sebelah malam hari kejadian.
"Dia ada beritahu hendak keluar sebentar beli barang dan tidak sangka pula terlibat dalam kemalangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Mengulas tentang gambar keadaan Saleem yang tersebar di laman Facebook, Julia memohon orang ramai tidak menularkannya dan mendoakan yang terbaik.
"Saya tiada niat untuk menyembunyikan cerita tapi tidak mahu orang ingat saya minta simpati," katanya lagi.
Plantun lagu Suci Dalam Debu itu kini dalam proses untuk dipindah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut. – K! ONLINE

Saturday, 1 July 2017

Pusara pengubat rindu pagi Syawal

AMIRA (kiri) dan Aqila melawat pusara bapa mereka di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Gombak baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Kerinduan dua beradik yang kehilangan ibu, bapa dan adik bongsu dalam kemalangan tragis di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) dua tahun lalu sedikit terubat apabila mereka melawat pusara orang yang tersayang itu pada pagi 1 Syawal.



Nur Firuza Amira, 9, dan Nur Firuza Aqila, 6, berasa ceria apabila dapat memeluk dan mencium batu nisan ibunya, Allahyarham Nova Safitri Azhari, 27, bapa, Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, dan adik bongsu mereka, Nur Firuza Annisa sebagai tanda kasih sayang.
Bercerita lanjut, Amira memberitahu, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ibu saudara, mereka menziarahi pusara ibu dan bapa bagi melepaskan rindu yang terbuku di hati.
Jelas anak kecil itu, dia dan adiknya akan berdoa selain membaca surah al-Fatihah buat ibu, bapa dan adik mereka.
“Saya juga membawa kuntuman bunga kekwa untuk diletakkan di atas pusara sebagai tanda kunjungan kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Gombak dekat sini baru-baru ini.

Saturday, 17 June 2017

PLUS diarah bayar ganti rugi [kosmo)

Keadaan motosikal Harley Davidson yang ditunggang Imran Kamali selepas terbabas akibat terlanggar kayu Kilometer 342.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Tapah pada 29 April 2015

IPOH – Mahkamah Sesyen di sini semalam mengarahkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membayar tuntutan ganti rugi sebanyak RM158,961 kepada isteri kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas akibat terlanggar kayu di Kilometer 342.6, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tapah dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim D. Sunita Kaur Jessy setelah mendapati PLUS bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian tersebut selepas gagal memastikan keselamatan pengguna di lebuh rayanya.
Peguam bela Sukhdave Singh ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, ganti rugi yang perlu dibayar kepada anak guamnya, Hawa Liyana Hashim, 34, itu termasuk RM10,000 untuk tuntutan kedukacitaan dan RM3,000 bagi kos pengebumian.

Friday, 17 March 2017

Pemandu wanita disah positif dadah

SUSPEK kes memandu melawan arus sehingga menyebabkan seorang pemandu maut di Permatang Pauh, kelmarin, diiringi polis untuk direman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. – UTUSAN/Sazali Che Din

BUKIT MERTAJAM 15 Mac ­– Remaja perempuan yang meng­a­kibatkan seorang lelaki maut selepas memandu secara me­lawan arus di Kilometer 134, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Permatang Pauh di sini semalam, bukan sahaja dikesan berada dalam keadaan mabuk malah turut positif dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ujian air ken­cing remaja berusia 19 tahun itu didapati positif amphetamine.
Menurutnya, remaja itu yang memandu kereta Proton Gen2 dan baru pulang dari sebuah pusat hiburan di Bukit Mertajam terlebih dahulu bergesel dengan tiga kenderaan lain iaitu sebuah Perodua Alza, sebuah van dan sebuah lagi kereta yang tidak dikenal pasti di Kilometer 128 lebuh raya berkenaan sebelum Plaza Tol Sungai Dua.
“Remaja terbabit yang datang dari arah Bukit Mertajam menghala ke Sungai Dua secara tiba-tiba membuat pusingan U sebelum plaza tol dan bergesel dengan tiga kenderaan terbabit sebelum dia terus memecut keretanya melawan arus sejauh lima kilometer sebelum terlibat kemalangan kedua,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pu­kul 7.50 pagi itu, seorang pekerja kilang, Mohamad Fandi Rosli, 26, terbunuh akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di atas jejambat Permatang Pauh.
Dia yang memandu kereta Perodua Kelisa kemudian terbabas ke arah kiri jalan dan me­rempuh sebuah motosikal ditunggangi Razali Abdullah, 27, yang dalam perjalanan ke Lahar Tiang, Kepala Batas.
Mohamad Fandi yang baharu tiga bulan berkahwin meninggalkan isteri Norashikin Halim, 26, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Selayang, Se­langor dan sedang mengandung empat minggu.
Kereta Proton Gen2 itu kemudiannya merempuh sebuah lagi kereta jenis Perodua Kenari, sebuah van pekerja jenis Nissan dan kereta Hyundai Sonata yang turut mengakibatkan kesemua pemandunya cedera ringan.
Tambah Nik Ros Azhan, pi­haknya menerima empat laporan polis daripada pemandu yang terlibat dalam kejadian itu manakala tiga lagi laporan dibuat oleh pemandu kende­raan yang terlibat kemalangan di Sungai Dua.
Selain itu, pihak polis juga telah merakam keterangan daripada lapan saksi termasuk empat saksi awam yang menyaksikan kejadian itu.
“Remaja perempuan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.
“Pihak polis akan melengkap­kan siasatan segera bagi tujuan pendakwaan,” ujarnya.

Sunday, 26 June 2016

Hidup bersama mati berdua

Bayan Lepas : Seperti kebiasaan, Yusoff Bidin, 73, menunggang motosikal bersama isterinya, Samsiah Hassan, 69, untuk urusan seharian termasuk ke kedai namun hari ini, pasangan warga emas itu tidak bernasib baik apabila maut digilis lori simen di Bayan Baru di sini.
Dalam kejadian 11.20 pagi itu, mereka dalam perjalanan pulang dari Sungai Ara ke rumah mereka di Balik Pulau, dekat sini, selepas membeli tali pinggang Yusoff dan keperluan lain.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, kemalangan berlaku di satu persimpangan lampu isyarat apabila pasangan berkenaan terjatuh ke atas jalan dari motosikal ketika lampu isyarat bertukar hijau menyebabkan mereka dilanggar lori simen berkenaan.
Menurutnya, pasangan suami isteri itu maut di tempat kejadian dan mayat dihantar dan bedah siasat di Hospital Balik Pulau mendapati punca kematian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kematian yang membawa hukuman penjara dan denda.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Barat Daya di talian 04-8662222 atau balai polis berhampiran.

Monday, 20 July 2015

Wanita, anak maut nahas ngeri


Kereta Perodua Kenari yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dan mengorbankan dua beranak semalam.

HULU SELANGOR – Kemala­ngan jalan raya musim Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini berterusan.
Semalam seorang wanita mati dalam keadaan ngeri apabila pahanya tertusuk besi penghadang jalan sehingga buah pinggang­nya terburai dalam kemalangan di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim di sini semalam.
Lebih menyayat hati, anak mangsa yang berusia setahun mati dalam pangkuannya.
Dua mangsa yang maut itu ialah Mahfuzah Ishak, 28, dan anaknya, Muhammad Harraz Zafran Shahrul Raziman.
Bagaimanapun, suami Mahfuzah, Shahrul Raziman Osman, 33, dan anak sulungnya, Nur Adni Afeefa, 3, dan ibu Mahfuzah hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Hulu Se­langor, Superintendan R. Supramaniam berkata, kemalangan itu berlaku pada pukul 5.51 pagi dan kereta Perodua Kenari itu dipandu Shahrul dalam perjalanan dari Pahang menghala ke Kedah untuk beraya.
Menurut beliau, setiba di lokasi, kereta dipandu Shahrul ter­babas ke kiri lebuh raya lalu me­langgar besi penghadang jalan.
“Mahfuzah yang memang­ku Muhammad Harraz yang duduk di tempat duduk penumpang depan mengalami kecederaan parah menyebabkan dua beranak itu me­ninggal dunia di lokasi kejadian,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Monday, 6 July 2015

Pemain Bolasepak Sabah parah


ANGGOTA bomba mengeluarkan Md. Rozami dan Awangku Mohd. Farris dari kenderaan mereka yang remuk dekat SJKC Shan Tao, Likas, Kota Kinabalu semalam
- - - - - -- - - - - -- - - -- - - -- - - -- - - -- - - - - -- - - - - - - - -- - - - - - - -- - - - - - - - - - - - - - - - -- - - - 

KOTA KINABALU – Bekas penyerang muda skuad bola sepak kebangsaan yang sekarang bermain untuk pasukan Sabah, Md. Rozaimi Abd. Rahman, 23, cedera parah manakala anak saudaranya meninggal dunia selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Jalan Tuaran di sini semalam.
 <pic gugel>
Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, kereta Honda Civic yang dipandu anak saudara Md. Rozaimi, Awangku Mohd. Farris Mahamud, 21, merempuh pokok, tiang telefon dan tembok sebuah rumah dekat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shan Tao, Likas di sini.
Awangku Mohd. Farris merupakan bekas pemain skuad bola sepak Piala Presiden Sabah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu dalam perjalanan dari Inanam ke Kota Kinabalu apabila ia hilang kawalan.

Saturday, 9 May 2015

Pemandu Myvi mengaku tak salah (kosmo)


Kereta Perodua Myvi warna putih (kiri) dan Myvi warna kuning yang didakwa terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya DUKE, Kuala Lumpur mengorbankan tiga beranak pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Dua pemandu kereta Perodua Myvi yang didakwa menyebabkan kematian tiga beranak termasuk seorang bayi berusia enam bulan di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik di sini semalam.



Tertuduh, Siti Noor Aini Mohd. Said, 35, penolong pengurus restoran, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, juruteknik komputer bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd. Nayan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh ma­sing-masing didakwa memandu kereta Perodua Myvi secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa Fairuz Nizam di Kilometer 6.2 Lebuh Raya DUKE dari arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini pada pukul 1.05 pagi 2 Mei lalu.
Siti Noor Aini yang memandu Perodua Myvi warna kuning manakala Mohammad Fizal yang memandu Perodua Myvi warna putih didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun berserta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.

Ismail Sabri, anak lawat keluarga Amira, Aqila



KUALA LUMPUR – Nasib Nur Firuza Amira Fairuz Nizam dan adiknya Nur Firuza Aqila yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka terkorban dalam kemalangan di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) di sini terus mendapat perhatian daripada masyarakat.
Tidak terkecuali, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tersentuh hati dengan kejadian menimpa kanak-kanak itu turut melawat mereka di Taman Batu Muda, Batu Caves semalam.
Ismail Sabri dengan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Azizan Mohamad Sidin meluangkan masa kira-kira setengah jam bagi memberi kata-kata semangat selain bantuan peribadi kepada kanak-kanak berkenaan.
Turut menyertai lawatan itu ialah dua anak Ismail Sabri iaitu Nina Sabrina, 25, dan Nashriq, 22.

Friday, 13 February 2015

Tiga beranak maut nahas jalan raya (kosmo)

 BEGINILAH keadaan Toyota Hilux yang bertembung dengan kenderaan Perodua Alza.

BACHOK – Tiga beranak dari Marang, Terengganu yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis pengebumian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ditimpa kemalangan tragis apabila mereka terbunuh manakala lima yang lain cedera parah dalam kejadian di Kampung Telong, dekat sini petang semalam.

Sepasang suami isteri, Roslan Mamat, 34, dan Mimi Suharti Abdul Ghani, 38, yang berasal dari Bukit Payong, Marang, Terengganu serta bayi bongsu mereka berusia enam bulan, Nur Airish Alisya maut dalam nahas itu.
Empat lagi anak mereka iaitu Nur Dina Qistina, 12; Mohammad Zarfan Daniel, 10; Mohammad Zakuan Danish, 6; dan Mohammad Rizqi Darwish, 3, bersama seorang kakak Roslan, Sakiah Mamat, 50, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, kesemua mangsa dikatakan menaiki kendera­an Perodua Alza dari arah Melawi ke Tok Bali sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Saturday, 24 January 2015

Pemergian Mohammad Azlan sukar dicari ganti (SinarHarian)

Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengusung jenazah atlet paralimpik Mohammad Azlan Mat Lazim ke dalam van jenazah di bilik mayat Hospital Serdang bagi di bawa ke Kemaman, Terengganu untuk dikebumikan malam ini. - Foto Bernama Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengusung jenazah atlet paralimpik Mohammad Azlan Mat Lazim ke dalam van jenazah di bilik mayat Hospital Serdang bagi di bawa ke Kemaman, Terengganu untuk dikebumikan malam ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pemergian atlet paralimpik negara, Mohammad Azlan Mat Lazim yang maut dalam kemalangan jalan raya di Serdang Raya dekat sini hari ini, disifatkan beberapa rakan sepelatih sebagai sukar dicari ganti.
   
Atlet rejam lembing paralimpik, Faridul Masri, 34, berkata beliau menganggap Allahyarham sebagai adik sendiri kerana sentiasa bersamanya terutama ketika menjalani latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.
   
Beliau mengenali Allahyarham sejak 2012 ketika terpilih menyertai Program Paralimpik MSN.
   
"Walaupun dia seperti seorang yang spastik, Azlan peramah dengan semua orang ... kami baru selesai menjalani latihan pagi tadi dan tidak menyangka arwah terlibat dengan kemalangan jaya raya," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Mayat Hospital Serdang.
   
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah turut menziarahi jenazah Allahyarham.  
   
Berkongsi pandangan sama ialah atlet lontar peluru paralimpik negara, Addevih Majuvin, 33, yang berkata Allahyarham seorang individu yang tebal dengan sifat setiakawan dan sentiasa membantu rakan dalam kesusahan.
   
Anak jati Sabah yang menyertai Program Paralimpik MSN pada 2011 berkata: "Bila dia (Mohammad Azlan) sudah tiada, saya berasa agak sunyi kerana boleh dikatakan kami agak rapat terutama apabila turun berlatih sekali.
   
"Paling saya tidak boleh lupakan adalah kejayaan cemerlang Allahyarham meraih tiga pingat emas pada Sukan Para Asia 2014 di Korea Selatan," katanya yang turut beraksi dalam acara lempar cakera.
   
Mohammad Azlan, 24, terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya bersama atlet lompat jauh paralimpik Farisan Jasna, 25, dilaporkan dilanggar sebuah van yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun.
   
Kejadian kira-kira 1.45 tengah hari itu menyaksikan Mohammad Azlan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Farisan mengalami keretakan di tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Serdang. - Bernama

  pic gugel
Mohammad Azlan Mat Lazim <<< pic Utusan (*rasanya pic ini masa anugerah maulidul rasul 2015 baru2 ni)





Pemergian Mohamad Azlan Kehilangan Besar Buat Negara - Khairy (malaysiandigest)

KJ tidak dpt menahan sebak ketika bersama keluarga  Allahyarham  Azlan Mat Lazim  atlet paralimpik  negara/Foto: Twitter TV3 KJ tidak dpt menahan sebak ketika bersama keluarga Allahyarham Azlan Mat Lazim atlet paralimpik negara/Foto: Twitter TV3
SERDANG: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar cukup terkesan dengan kehilangan wira paralimpik olahraga negara, Mohamad Azlan Mat Lazim yang maut akibat kemalangan jalan raya, hari ini.
Khairy jelas tidak mampu menahan sebak ketika berhadapan media dengan arwah Mohamad Azlan yang juga pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan digambarkan bintang sukan yang berpotensi cerah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Malah pemergian atlet kelahiran Kemaman, Terengganu itu dianggap satu kehilangan yang besar buat sukan di Malaysia.
"Azlan adalah idola bagi sukan negara terutama sukan paralimpik. Sekalipun arwah baru saja masuk dalam sistem MSN (Majlis Sukan Negara) pada 2012, tapi kita sudah kenal pastinya sebagai bintang harapan dan sedang dilatih untuk Kejohanan Dunia tahun ini serta Sukan Olimpik di Rio, Brazil tahun depan.
"Negara kehilangan atlet yang hebat, yang mempunyai masa depan yang cerah," kata Khairy yang menjadi antara kenamaan pertama yang hadir ke hospital.
Pada kejadian yang dilaporkan berlaku pada 1.45 tengah hari tadi, Mohamad Azlan, 24, dikatakan membonceng motosikal bersama rakan yang juga atlet paralimpik negara, Farisan Jasna dalam perjalanan pulang dari makan tengah hari sebelum terbabit nahas itu.
Farisan, 25, dalam pada itu mengalami kecederaan patah tulang lengan kanan dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.
Dalam pada itu, Khairy turut menyifatkan arwah Mohamad Azlan sebagai ceria, ramah dan sentiasa tersenyum ketika mengimbas kali terakhir dia bertemu arwah Azlan sebelum kontinjen negara bergerak ke Incheon.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah ialah sebelum ke Sukan Asia dan seperti biasa, perwatakannya ceria, ramah dan sentiasa senyum.
"Arwah juga berjanji kepada saya yang dia akan membawa pulang tiga pingat emas. Menurut ibu saudaranya, dia juga anak yang baik dan sentiasa membantu ibu dan bapanya di kampung," katanya.
Pada temasya di Incheon, arwah meraih tiga pingat emas pada temasya itu menerusi acara 100 meter lelaki, 200 meter lelaki dan 400 meter lelaki dalam kategori kecacatan T38.
Selain itu, Mohamad Azlan juga dinobatkan pemenang Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2013/2014 kategori Anugerah Khas Paralimpiad.
Difahamkan, arwah Mohammad Azlan Akan dikebumikan malam ini di negeri kelahirannya, Terengganu.

Atlet Paralimpik Mohammad Azlan Meninggal Akibat Kemalangan (Bernama)

Atlet Paralimpik Mohammad Azlan Meninggal Akibat Kemalangan

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan Mohammad Azlan Mat Lazim meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Serdang Raya dekat sini, hari ini.

Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrushahar Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu yang turut melibatkan seorang lagi atlet lompat jauh paralimpik, Farisan Jasna.

Mohammad Azlan 24, yang juga juara pecut Sukan Para Asia dan Farisan 25, yang tinggal di asrama MSN, dikatakan menunggang motosikal untuk ke tempat riadah sempena cuti hujung minggu setelah berehat dari sesi latihan.

"Saya difahamkan motosikal ditunggangi Mohammad Azlan dan Farisan kemalangan dengan sebuah van. Mohammad Azlan dikatakan meninggal di tempat kejadian manakala Farisan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

"Mayat Mohammad Azlan juga dibawa ke Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Safrushahar juga melahirkan rasa sedihnya di atas kehilangan atlet paralimpik itu yang cemerlang dan merupakan ikon harapan negara ke Sukan Paralimpik di Rio 2016.



"Ini satu kehilangan besar...apa lagi yang boleh saya katakan. Sasaran utama Azlan sendiri mahu meraih emas di Kejohanan Dunia di Dubai, seterusnya meraih mata untuk melayakkan dirinya ke Sukan Paralimpik di Rio," tambahnya.

Beliau berkata motosikal yang dinaiki Mohammad Azlan dan Farisan dibeli daripada insentif kewangan hasil kemenangannya di Incheon.

Pada temasya Para Asia di Incheon Oktober tahun lepas, Mohammad Azlan, 24, yang berasal dari Kemaman, Terengganu menampilkan aksi cemerlang dengan membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki dalam kategori kecacatan T38 dan T36.

Farisan, yang berasal dari Sarawak, merupakan atlet lompat jauh kategori kecacatan T37 yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2013 Nay Pyi Taw, Myanmar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razimi Ahmad berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dilanggar oleh sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun.

Pemandu terbabit berasal dari Taman Maluri, Cheras di sini.

Beliau berkata mayat Mohammad Azlan telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Mangsa yang meninggal berasal dari Kampung Batu 3 Jalan Air Putih, Kemaman, Terengganu, manakala maklumat mengenai rakannya tidak diperoleh kerana telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi.

-- BERNAMA

Saturday, 13 September 2014

Mangsa nahas anak sendiri (sinar)

Zamri sedih apabila mengetahui mayat tersebut adalah anak kesayangannya, Amirul. Zamri sedih bila mengetahui mayat tersebut adalah anak kesayangannya, Amirul

KUALA PILAH – Seorang bapa tidak menyangka salah seorang mayat yang terbaring di atas jalan raya yang dilihatnya di hadapan Sekolah Menengah Tuanku Muhammad (TMS), pagi semalam adalah anak lelaki bongsunya.

Zamri Zakaria, 53, seorang Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Pilah pada awalnya melalui jalan terbabit kerana ingin ke Gemas atas urusan kerja.

Namun selepas melihat sebuah motosikal Yamaha LC 135 berwarna hitam dan hijau remuk di atas jalan, dia mulai rasa tidak sedap hati sebelum mendekati mayat itu.

Dia sangat terkejut apabila mendapati mayat di bawah kain putih adalah anak kesayangannya yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan, kira-kira jam 10.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Azmi Abdul Rahim berkata, mangsa yang merupakan pelajar Universiti Teknologi Nasional (Uniten) dan seorang tukang besi terbunuh selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 2, Jalan Kuala Pilah-Tampin,

Kedua-dua mangsa iaitu Amirul Zamri, 22, dan Chin Kok Shong, 51, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan akibat perlanggaran kuat.

Menurut Azmi, Amirul dipercayai dalam perjalanan pulang dari Uniten, Bangi, Selangor menuju ke rumahnya di Desa Permai, Selaru, Johol, dekat sini, sempena cuti hujung minggu dan Hari Malaysia.

Katanya, Kok Shong pula dikatakan dalam perjalanan dari bengkel besi di Senaling untuk ke pekan Kuala Pilah.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, Amirul dipercayai cuba memotong sebuah kereta sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal jenis Yamaha CDI 80 yang ditunggangi Kok Shong.

“Pertembungan kuat itu menyebabkan Kok Shong tercampak di bahu jalan kanan, manakala Amirul terbaring di atas jalan raya.

"Kedua-dua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala motosikal mereka rosak teruk,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Sesyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najijah untuk bedah siasat.

"Pihak polis meminta kerjasama saksi kejadian supaya mohon tampil memberi maklumat kepada pihak polis atau boleh menghubungi di talian 064542222," katanya.

Ini Foto dr akhbar Metro:
Foto

Thursday, 31 July 2014

Terkulai bagai kena tembak (Sinar Harian)

Abdul Rahman Endot Bapa mangsa
SIMPANG RENGGAM -  Kegembiraan mengikut kumpulan marhaban bagi meraikan 1 Syawal bertukar tragedi buat Abdul Rahman Endot, 43, apabila anak kesayangannya, Mohd Hafi Rayan Abdul Rahman, 2, maut selepas terkena mercun bola dalam kejadian di Kampung Ithnin Maarof, di sini Isnin lalu.

Mangsa, Mohd Hafi Rayan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kluang, dekat sini, akibat kecederaan di dada, muka, tangan kiri dan bahagian dalaman.

Abdul Rahman berkata, dia bersama Hafi Rayan menyertai kumpulan marhaban bersama penduduk kampung berkenaan ketika kejadian kira-kira jam 12.45 tengahari.


Mercun bola popular pada musim perayaan. Mercun bola popular di waktu perayaan
“Sebaik memberhentikan motosikal di hadapan sebuah rumah bagi menantikan kunjungan kumpulan marhaban berkenaan, tiba-tiba sebiji bola mercun jatuh dari atas pokok dipercayai dibaling oleh seseorang meletup betul-betul di hadapan kami berdua.

“Sebaik saja mercun bola itu meletup, Hafi Rayan yang berada dalam dakapan saya terus terkulai bagaikan terkena tembakan," katanya.


Meter motor yang pecah akibat letupan mercun. Meter motor yang pecah akibat letupan tersebut
Dia bagaimanapun bergegas ke Klinik Simpang Renggam untuk mendapatkan rawatan awal dan kemudian dirujuk ke Hospital Kluang,

Abdul Rahman turut mengakui sedih dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya masih tidak dapat menerima kematian anak saya disebabkan kecuaian orang lain bermain mercun.

“Akibat kejadian itu, saya kini trauma setiap kali mendengar bunyi mercun dan kemungkinan menghadapi masalah pendengaran di telinga kiri," katanya.

Mengimbas kembali sebelum kejadian, Abdul Rahman berkata anaknya itu sungguh gembira apabila dapat mengikutnya marhaban.

"Namun saya tidak sangka rupa-rupanya itulah petanda dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya..., kehilangan Hafi Rayan amat dirasai kami sekeluarga.

"Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung insiden ini,” katanya.

Katanya, akibat kejadian itu, dia turut mengalami kecederaan ringan di muka, telinga dan bibir selain kerosakan di bahagian meter motosikalnya.

Sementara itu, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari berkata, siasatan itu dijalankan walaupun pihaknya sehingga kini masih belum menerima apa-apa laporan daripada keluarga mangsa.

Menurutnya, polis tetap memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 304(b) dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta mengakibatkan kecederaan kepada mangsa.

“Polis sudah mengambil keterangan bapa mangsa dan beberapa saksi lain bagi bantu siasatan," katanya.


=======================================================================
pistonezz (signed in using yahoo)
Undang2 tak guna pun.Hari Raya lepas kat kampong sampai pukul 2 pagi mercun bola dibaling didepan rumah.Apa nak buat.diam jelah esok nak raya.Kat Highway pun sama.Masih ramai yang memotong dilaluan kecemasan.Ada yang menganjing lagi dilorong kecemasan.Kata nak saman serta merta.Kalau tak mampu nak laksanakan jangan war2 kan undang2 tu.
bajet_bajet (signed in using yahoo)
Pengalaman beraya di Felda:
Sangat Bagus : Merhaban/Tahlil/Takbir dari rumah ke rumah dlm blok. pd pagi raya.

Paling Burok: Anak/cucu peneroka...main mercun mcm perang kat gaza....tak menghormati jiran....rasanya mereka tak beli mercun yg mahal tu. Mungkin dpt free ......

Mulai thn hadapan, polis dicadang tumpukan operasi menangkap pengedar,penjual dan pemain mercun. Tak payah tunggu tepi jln raya bawah canopy sambil layan telefon bimbit....
Zarhalim B Jamion Halim ·  Top commenter · UiTM Shah Alam
Undang-undang banyak, menteri kalau cakap macam dialah yang paling tegas dalam dunia. Tapi hakikatnya penguatkuasaan undang-undang tiada. Cina cakap apa cakap talak selupa bikin. Undang-undang bikin penguatkuasa kaya.