Showing posts with label World Cup 2014. Show all posts
Showing posts with label World Cup 2014. Show all posts
Saturday, 19 July 2014
Saturday, 28 June 2014
Hukuman ke atas Suarez keterlaluan - Chiellini (Utusan)
LONDON - Suarez tidak dibenarkan terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan, dan bintang penyerang Uruguay itu turut didenda sebanyak 82,000 pounds (RM449,015).
Bagaimanapun, hukuman yang dikenakan ke atas penyerang itu mendapat simpati Giorgio Chiellini, pemain Itali yang digigit Suarez sewaktu pertemuan Kumpulan D antara Uruguay, dan Azzurri pada Piala Dunia di Brazil, Rabu lalu.
"Buat masa ini, ingatan saya tertumpu kepada Luis, dan keluarganya, kerana mereka bakal berdepan masa yang sukar. Saya selalu beranggapan hukuman disiplin yang dijatuhkan oleh badan bertanggungjawab adalah jelas, tetapi dalam masa sama saya percaya hukuman tersebut keterlaluan," kata Chiellini dalam kenyataannya di laman web rasmi pemain itu, giorgiochiellini.com.
Suarez telah meninggalkan skuad kebangsaan Uruguay di Brazil, dan pulang ke Montevideo, tetapi Chiellini berkata, Suarez sepatutnya dibenarkan menyertai rakan sepasukannya meskipun dia digantung.
"Saya dengan ikhlas amat berharap dia dibenarkan, sekurang-kurangnya berada dekat dengan rakan sepasukan sewaktu perlawanan kerana hukuman penggantungan mampu merenggangkan hubungan sesama pemain.
"Sekarang, dalam hati saya langsung tidak ada perasaan gembira, mahu balas dendam atau pun marah terhadap Suarez kerana insiden berlaku di atas padang. Apa yang tinggal adalah kemarahan, dan rasa kecewa terhadap insiden yang berlaku pada perlawanan tersebut," ujarnya.
Sementara itu, Liverpool kini sedang mengkaji mengenai hukuman penggantungan selama empat bulan ke atas Suarez dari sudut undang-undang, tetapi kelab itu masih belum membuat keputusan muktamad untuk mencabar FIFA di mahkamah.
The Reds turut menafikan dakwaan oleh peguam Suarez, Alejandro Balbi bahawa kelab itu menghantar wakil untuk bertemu dengannya, dan ejen pemain, Pere Guardiola di Barcelona, kelmarin.
Ketua Eksekutif, Ian Ayre, dan Guardiola mempunyai hubungan yang baik, dan mereka saling berhubung antara satu sama lain, dan Persatuan Akhbar Sukan difahamkan, Ayre kerap menghubungi pemilik Liverpool, John Henry sejak insiden tersebut berlaku.
Sama ada pertemuan di Barcelona itu benar-benar berlaku atau tidak, difahamkan Balbi telah diarahkan menemani Suarez pulang ke Montevideo selepas pemain itu diusir daripada Piala Dunia. Liverpool masih berusaha mengumpul maklumat terperinci, dan implikasi terhadap hukuman tersebut ke atas bintang antarabangsa Uruguay itu. - AGENSI
Saturday, 21 June 2014
Ecuador contoh negara miskin berjaya dalam Piala Dunia (Utusan)
ESMERALDAS, Ecuador - Kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan Ecuador penting kepada wilayah miskin ini.
Ini kerana 10 daripada 23 pemain yang berada dalam skuad Ecuador berasal dari kawasan yang sama iaitu wilayah Esmeraldas yang mewakili tiga peratus atau 530,000 jumlah keseluruhan penduduk negara itu yang berjumlah kira-kira 15 juta orang.
Ini menjadikan seolah-olah Esmeraldas menentang seluruh dunia dalam Piala Dunia.
Lebih menarik, hampir kesemua pemain dalam skuad itu adalah dari keturunan Afro-Ecuador, etnik minoriti kulit hitam yang mewakili tujuh peratus penduduk Ecuador yang setakat ini telah tiga kali layak ke pusingan akhir Piala Dunia iaitu pada 2002, 2006 dan 2014.
Esmeraldas merupakan hab bagi pelabuhan perkapalan, kilang penapisan minyak dan industri perikanan yang besar, namun tiga suku daripada penduduk wilayah itu hidup dalam kemiskinan manakala kemudahan sukan pula serba kekurangan.
Menurut portal Global Post Di sebalik kekurangan itu, wilayah ini memiliki 37 pasukan bola sepak amatur dan profesional walaupun mereka hanya mempunyai lima buah padang untuk mereka berlatih dan bermain dalam pertandingan.
Oleh itu, kesemua pemain memilih untuk berkumpul di kawasan tepi pantai Lautan Pasifik yang menyaksikan mereka membentuk sebuah padang bola sepak pantai yang menjadi satu daripada rahsia kejayaan bola sepak wilayah Esmeraldas.
"Awak bermain di atas pasir, justeru itu memerlukan lebih banyak tenaga pada kaki. Ini menjadikan pemain lebih kuat, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Esmeraldas, Omar Estupinan.
Selepas berlatih di pantai, pemain kebanyakannya mula mencipta kejayaan dengan bermain di stadium di Esmeraldas yang padangnya turut ditumbuhi rumput liar manakala kekerapan gangguan bekalan air di bilik persalinan membuatkan pemain tidak mandi dan hanya menukar pakaian mereka di luar padang ,dan ada di antara mereka mencuci but bola sepak mereka di lopak air.
Dalam pada itu, terdapat insentif ekonomi yang kuat bagi meneruskan industri bola sepak akibat peluang pekerjaan di Ecuador agak terhad dan kebanyakan pemain muda yang miskin melihat bola sepak sebagai satu daripada cara untuk mereka membantu keluarga mereka dan berhijrah.
"Bola sepak menyebabkan saya berada di sini dengan cara bekerja keras dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarga, kata Alexander Rangel, bakat muda berusia 15 tahun yang tinggal di kawasan setinggan Esmeraldas dengan ibu dan bapa tirinya.
Rangel dan pemain-pemain bola sepak serta jurulatih mendakwa pemain kulit hitam lebih berbakat dan Esmeraldas yang dihuni bekas hamba-hamba Afrika merupakan kawasan yang dihuni majoriti kulit hitam di Ecuador.
"Ini merupakan faktor genetik, kata John Cagua jurulatih kelab semi profesional, Deportivo Esmeraldas Petrolero yang merujuk contoh Antonoio Valencia sebagai pemain itu yang kini bermain untuk Manchester United.
Itali mangsa kedua Costa Rica (Utusan)
RECIFE - Costa Rica berjaya menukar ramalan penyokong terhadap pasukan pilihan masing-masing pada Piala Dunia 2014 atau sekurang-sekurangnya menukar jangkaan setiap orang terhadap pasukan itu.
Costa Rica memulakan kejutan dengan menewaskan Uruguay dan kemudian sebuah lagi pasukan hebat yang pernah menjadi juara sebanyak empat kali iaitu Itali 1-0 semalam untuk layak ke pusingan kalah mati. Dan dalam proses itu mereka membuatkan England tersingkir daripada Piala Dunia.
Bermula sebagai pasukan yang dijangka bakal menjadi mangsa belasahan dalam Kumpulan D kerana perlu bersaing dengan tiga negara bekas juara dunia, kini Costa Rica sebaliknya mendahului.
"Mungkin orang tidak meletakkan harapan kepada kami disebabkan kami berada di dalam kumpulan maut.
"Namun, terdapat pihak lain yang kini menjadi pasukan yang maut dan kami pula yang berjaya ke pusingan seterusnya," kata ketua pasukan Costa Rica, Bryan Ruiz yang menjaringkan gol pasukannya semalam.
Ruiz menjaringkan gol untuk Costa Rica pada minit ke-44 dengan menanduk masuk di bawah palang gol selepas mendapat hantaran silang Junior Diaz.
Teknologi garisan gol digunakan bagi menunjukkan bahawa bola itu melantun melepasi garisan selepas terkena palang.
Penghujung babak pertama menyaksikan perdebatan berlaku beberapa minit sebelum Ruiz menjaringkan gol, apabila rayuan penalti Costa Rica ditolak setelah penyerangnya, Joel Campbell dikasari oleh pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini.
Costa Rica kini menerajui Kumpulan D dengan enam mata, sementara Itali dan Uruguay masing-masing memiliki tiga mata.
England pula tanpa mata selepas kalah kepada Itali dan Uruguay.
Itali, juara Piala Dunia 1934, 1938, 1982 dan 2006 manakala Uruguay (1930 dan 1950), sementara England juara pada 1966.
Satu-satunya kejayaan Costa Rica mara ke peringkat kalah mati sebelum ini ialah pada Piala Dunia 1990, apabila pasukan itu mengalahkan Sweden dan Scotland di bawah pimpinan jurulatih berpengalaman, Bora Milutinovic sebelum disingkirkan oleh pasukan Czechoslovakia.
"Kepada mereka yang tidak menyokong kami, boleh mempercayai kami sekarang, kata Ruiz.
Sementara itu, Itali, masih berpeluang ke peringkat 16 pasukan terakhir jika menang atau seri dengan Uruguay pada perlawanan 25 Jun ini (waktu Malaysia), kerana mereka memiliki kelebihan perbezaan jaringan yang merupakan kriteria pertama kelayakan untuk ke pusingan seterusnya.
"Kami telah berusaha yang terbaik. Mereka berjaya menyekat semua hataran bola kami. Tiada perlu bimbang. Kami sekarang hanya perlu mengumpul semula tenaga, kata jurulatih Itali, Cesare Prandelli.
"Tiada Cinderella lagi dalam bola sepak, terutamanya dalam pertandingan seperti Piala Dunia," ketua pasukan Itali, Gianluigi Buffon pula mengulas. - AGENSI
Subscribe to:
Posts (Atom)