Showing posts with label Pelajar. Show all posts
Showing posts with label Pelajar. Show all posts

Saturday, 3 February 2018

KPM zahir takziah, simpati

KUALA NERANG - Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan simpati, sedih dan takziah kepada keluarga mendiang pelajar perempuan Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, baru-baru ini. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan KPM menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan sebelum tindakan susulan dibuat.

"Kita melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mendiang, dan saya fikir biarlah siasatan penuh dibuat antara pihak sekolah, guru dan polis sebelum tindakan kita buat selepas ini," katanya kepada pemberita pada Program 'Estate Run 2018' di Homestay D'Belimbing di sini, hari ini.

M.Vasanthapiriya meninggal dunia kelmarin selepas tujuh hari dalam keadaan koma. - Foto media sosial


Dalam pada itu, Mahdzir berkata guru terbabit telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sementara menunggu siasatan lengkap dijalankan oleh polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Beliau juga berkata perlunya ada penambahbaikan serta penyesuaian ilmu psikologi dari semasa ke semasa bagi memantapkan lagi ilmu itu dalam kalangan guru.
"Ilmu psikologi memang sedia ada dan diterapkan di peringkat universiti atau di Institut Pendidikan Perguruan Malaysia (IPGM), cuma kita boleh lihat dari aspek pembaharuan dan penambahbaikan agar guru-guru ini lebih memahami cara berdepan dengan pelajar dalam keadaan situsi demikian," katanya.
Pada 1 Feb lepas, M.Vasanthapiriya meninggal dunia selepas tujuh hari dalam keadaan koma selepas menggantung diri di bilik rumahnya akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya dalam kejadian 24 Jan lepas. - Bernama

Sunday, 7 January 2018

'Sarjan Faiz' ajak kawin, kebas barang kemas


NUR Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 17, gadis dilarikan lelaki menyamar ‘Sarjan Faiz’ ingin melupakan kejadian malang menimpanya itu.
Katanya, dia menganggap kejadian itu ketentuan dan episod hitam enggan dilaluinya lagi pada masa depan.
Ketika dihubungi, pelajar itu memaklumkan dia dalam fasa memulihkan semangat dan menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
“Yang lepas biarlah berlalu, saya tidak mahu lagi bercakap soal itu. Apa yang penting dia (suspek) sudah ditangkap,” kata pelajar tingkatan lima itu.
Anak sulung daripada empat beradik itu memaklumkan, selama kira-kira tiga hari ‘ditawan’, suspek mengajaknya berkahwin.
Bagaimanapun, katanya, ajakan itu ditolak manakala gelang dan rantai emas miliknya diambil ‘Sarjan Faiz’.
Katanya, dia akan memulakan persekolahan minggu depan kerana mendapat cuti sakit daripada Hospital Kuala Lipis, Lipis, iaitu tempat dia dihantar untuk pemeriksaan selepas ditemui di stesen bas di Raub, pada 29 Disember tahun lalu.
Sementara itu, ibunya Wan Maziah Wan Mat, 38, berkata keluarganya bersyukur apabila suspek sudah ditahan polis sekali gus menyelesaikan kes berkenaan.
“Alhamdulillah...lega orang jahat itu dah ditahan. Saya akan lebih berhati-hati berdepan orang tidak dikenali,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu, berkata Nur Syaminn akan dipanggil sekali lagi polis untuk membantu siasatan sama ada esok atau lusa.

Naik bas pulang ke Raub | 'Sarjan Faiz' kena cekup depan hotel

NUR Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 16, yang dilarikan lelaki menyamar Sarjan polis bernama Faiz, kelmarin, ditemui selamat di Raub pada 11.05 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Raub dan anggotanya mengambil gadis berkenaan di sebuah stesen bas di bandar ini untuk siasatan lanjut.
Katanya, ketika ditemui mangsa hanya berseorangan dan lelaki yang dikatakan melarikan gadis itu tiada bersamanya.
"Mangsa dihantar ke Hospital Raub dan Kuala Lipis untuk pemeriksaan.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek berbadan kurus, kulit sawa matang, rambut pendek lurus, bermisai nipis dan berusia awal 30 tahun itu," katanya.
Menurutnya, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang serta menyamar sebagai penjawat awam.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

'Sarjan Faiz' kena cekup depan hotel

SUSPEK menyamar ‘Sarjan Faiz’ yang melarikan Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 17, dari rumahnya di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, 27 Disember lalu, ditahan polis di Ipoh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata lelaki 32 tahun beralamat di Taman Bukit Indah, Bentong, itu ditahan depan hotel di Jalan Dr Nazrin Shah, pada 2.05 pagi Sabtu.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam beberapa kes jenayah di Mentakab, Brinchang, Pekan dan negeri lain iaitu di Bakri, Johor; Chukai, Terengganu dan Kuala Lumpur.
“Ia membabitkan kesalahan menyamar sebagai penjawat awam, penipuan, mencabul, rogol dan mencuri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan ditahan reman empat hari sehingga Selasa ini untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 363 dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menculik serta menyamar sebagai penjawat awam.
Harian Metro pada 29 Disember 2017 melaporkan kehilangan Nur Syaminn selepas dia dikatakan dibawa suspek terbabit konon untuk membantu mengambil motosikal yang dibeli di pekan Sungai Ruan dengan meminta izin kepada ibu mangsa di rumahnya kira-kira 11 pagi, pada 27 Disember.
Pada kira-kira 3 petang hari sama, Nur Syaminn menghubungi Wan Maziah memaklumkan dia berada di Gua Musang, Kelantan, bersama suspek terbabit sebelum talian dimatikan.
Gadis itu kemudian ditemui selamat di stesen bas di bandar Raub pada 11.05 pagi, pada 29 Disember, selepas menaiki bas dari Kuala Lumpur dan dibawa polis untuk siasatan lanjut.
Sehubungan itu, polis melancarkan gerakan memburu suspek dan ditahan selepas 10 hari menyembunyikan diri.

Panggilan pilu dari Gua Musang [harian metro]

Nur Syaminn Nabila sempat hubungi ibunya dari Gua Musang

PELAJAR perempuan berusia 16 tahun dipercayai dilarikan seorang lelaki mengaku anggota polis bernama Faiz di rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, semalam.
Ibu mangsa Wan Maziah Wan Mat, 37, berkata, sebelum kejadian Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi keluar membeli buku adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Gali, menaiki motosikal kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka pada 11 pagi semalam.
Katanya, ketika pulang Nur Syaminn yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ruan singgah membeli pisang goreng di kedai berdekatan simpang Ulu Gali.
“Di situ dia bertemu seorang lelaki mengaku anggota polis meminta tolong untuk membawa balik motosikal yang didakwa baru dibelinya di kedai di Sungai Ruan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wan Maziah berkata, lelaki itu kemudian mengikut anaknya pulang ke rumah mereka dan bertemunya.
“Dia memperkenalkan diri sebagai Faiz, anggota bertugas di Balai Polis Sungai Ruan.
“Katanya dia mahu meminta tolong anak saya mengambil motosikal baru dibelinya. Tanpa syak wasangka saya membenarkan Nur Syaminn mengikut lelaki berpenampilan kemas berusia lingkungan 20-an itu menaiki kereta berwarna perak," katanya.
Surirumah itu berkata, kira-kira 3 petang dia mendapat panggilan telefon daripada anaknya mengatakan berada di Gua Musang, Kelantan.
“Sambil menangis dia memberitahu gelang emas dipakainya diambil lelaki itu sebelum talian diputuskan,” katanya.
Menurutnya, berikutan itu satu laporan dibuat di Balai Polis Sungai Ruan pada 4 petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dibuat ibu mangsa dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan pihaknya.

Monday, 21 November 2016

Pelajar 6A meninggal dunia (kosmo)

PASIR MAS – Murid cemerlang yang memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu lalu meninggal dunia semalam selepas bertarung nyawa melawan penyakit kanser kelenjar darah atau limfoma sejak September lalu.


Wan Mazlan (tengah) menurunkan jenazah Wan Adibah Farhani ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemal semalam.

Bapa kanak-kanak pe­rempuan itu, Wan Mazlan Wan Hassan, 50, berkata,­ Wan Adibah Farhani menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 4 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kota Bharu.


“Arwah dilihat cukup gembira pada Khamis lalu selepas dia diberitahu memperoleh keputusan 6A dalam UPSR. Itu me­rupakan detik dia paling gembira sepanjang mendapat rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, pada sebelah petang hari yang sama, tahap kesihatan Wan Adibah Farhani semakin menurun sehinggalah dia menghembuskan nafas awal pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tuesday, 11 October 2016

Murid terperangkap 20 minit gagal keluar longkang [kosmo]


BEGINILAH keadaan mangsa yang terperangkap dalam longkang di sekolahnya di Klang semalam.

KLANG – Seorang murid lelaki berusia 8 tahun berjaya diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap selama 20 minit di dalam longkang di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Belah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa dikatakan cuba mengambil duit belanja sekolahnya sebanyak RM1 yang terjatuh ke dalam longkang sedalam 0.4 meter itu.
Ketua Balai Bomba Sungai Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, mangsa yang gagal mengambil duit itu menggunakan tangannya kemudian bertindak masuk ke dalam longkang dan berjaya mengambil wangnya.
Bagaimanapun katanya, mangsa gagal keluar semula daripada longkang itu.

Saturday, 23 July 2016

Pelajar cedera cuba bunuh diri [metro]


guru & pelajar sedang memeberi bantuan kpd pelajar yg tercedera dipercayai cuba membunuh diri dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah dekat sini. (foto ihsan pembaca)

Kulim: Seorang pelajar perempuan patah paha kiri dan cedera di kepala serta badan selepas terjun dari tingkat dua sebuah sekolah menengah setinggi 12 meter di Padang, Serai, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa berusia 15 tahun bertindak demikian dipercayai selepas dimarahi ibunya kerana berhutang dengan rakannya sebanyak RM30.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Barudin Wariso berkata, kejadian dipercayai berpunca dimarahi ibunya ketika pulang ke rumah selepas sesi persekolahan akibat mangsa berhutang dengan rakannya.
Menurutnya, sebelum kejadian itu, rakannya datang ke rumah dan berjumpa dengan ibu mangsa sebelum memberitahu masalah hutang itu.
"€œAkibatnya sebaik mangsa pulang kira-kira jam 1.30 petang, dia terus dimarahi ibunya menyebabkan dia yang tidak tahan keluar semula menaiki motosikal.
"€œTidak lama kemudian beberapa pelajar terlihat mangsa berada di atas tembok koridor di tingkat dua sekolahnya namun mereka tidak sempat menolongnya apabila dia terus terjun,"€ katanya.
Barudin berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Kulim dan kini dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 3:14 PM

Saturday, 6 February 2016

6 remaja didakwa aibkan pelajar [kosmo]


PETALING JAYA – Enam remaja lelaki termasuk empat juvana yang rakaman perbuatan mereka memaksa dua pelajar sekolah mene­ngah menyalak bagai anjing dan menjilat jalan tar menjadi viral di laman sosial dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan meng­aibkan kehormatan kedua-dua remaja berkenaan.
Tiga tertuduh berusia 17 tahun yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd. Suah.
Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh, Lim Koo Boo Kean, 19, yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta, Tan Jze Keong, 18, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta seorang lagi tertuduh juvana berusia 17 tahun yang juga tidak lagi bersekolah mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Difahamkan, kesemua tertuduh pernah belajar di sekolah yang sama de­ngan kedua-dua mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea di sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat manakala Boo Kean dan Jze Keong diwakili peguam bela, Datuk Suraj Singh.

Friday, 15 January 2016

‘Lori hantu’ dilarikan pencuri – Polis (Utusan)

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Dua ‘teori’ itu kini menjadi tanda tanya dalam siasatan polis selepas lori ‘hantu’ yang sarat dengan barangan pembinaan itu menghentam 39 kenderaan sehingga menyebabkan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Damai Perdana dekat Kajang yang sedang menunggu maut di situ, semalam. 

Dalam kejadian tragis pada pukul 12.50 petang itu, terdapat saksi mendakwa lori berkenaan bergerak sendiri dari kawasan pembinaan yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah, lalu hilang kawalan semasa menuruni kawasan berbukit di situ.
Saksi juga mendakwa terlihat seorang warga asing telah melarikan diri dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, hari ini ‘teori’ berkenaan bertukar 360 darjah apabila polis memberitahu kejadian itu berpunca akibat lori itu dicuri oleh seorang yang tidak dikenali ketika pemandunya singgah di sebuah kedai makan berhampiran.

Lori itu dibawa lari sekurang-kurangnya satu kilometer sebelum kenderaan berkenaan gagal dikawal oleh pencuri lalu merempuh puluhan kenderaan lain yang kebanyakannya adalah motosikal.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard yang memberitahu, pihaknya kini sedang menyiasat punca sebenar kejadian termasuklah dakwaan berlakunya kecurian lori.

Menurutnya, siasatan polis setakat ini mendapati bahawa kemalangan itu berpunca apabila sebuah lori hantu telah hilang kawalan semasa menuruni bukit dan bergerak melanggar deretan kenderaan yang diletakkan berdekatan dengan sekolah.
“Lori tersebut gagal dikawal oleh pencuri itu lalu merempuh 39 buah kenderaan termasuklah dua buah sebuah motokar jenis Proton Wira dan Toyota Avanza, sebuah van jenis Toyota Hiace serta 36 buah motosikal.

“Kemalangan itu telah mengakibatkan dua gadis Cina yang juga merupakan pelajar tingkatan Dua Sekolah Menengah Damai Perdana itu maut. Mereka ketika itu sedang menunggu untuk sesi petang persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di Facebook Polis Selangor, di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, sejurus selepas kemalangan itu berlaku, pelajar serta ibu bapa yang berada di lokasi dan melihat kejadian cuba untuk menangkap pemandu yang ingin mencuri lori tersebut, namun tindakan mereka gagal apabila suspek berjaya memboloskan diri.

“Sungguhpun begitu, pihak polis telah menahan pemandu lori asal itu, seorang warganegara Indonesia yang berusia 39 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan atau tindakan yang menyebabkan kematian atas kecuaian.

“Pemandu itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan pihak polis kini masih meneruskan siasatan dan sedang giat melakukan siasatan rapi termasuk memburu suspek yang didakwa mencuri lori terbabit,” katanya.

Dalam kejadian semalam, dua pelajar iaitu Lau Zi Xin dan Wong Siow Xuen maut selain mencederakan seorang pemandu wanita dan seorang lagi wanita yang juga peniaga ayam.

Friday, 13 November 2015

Pelajar maut, kereta dihempap lelaki (Kosmo)



MELAKA – Seorang pelajar sebuah universiti awam maut apabila kereta dipandunya dihempap seorang lelaki yang dipercayai terjun dari tingkat 13 sebuah hotel bertaraf lima bintang di Jalan Parameswara, Banda Hilir di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, mangsa, Arfan Syazani Salahudin, 19, yang menaiki kereta Perodua Viva baru tiba di tempat letak kereta hotel tersebut sebelum dihempap lelaki berkenaan pada bahagian pemandu.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu mengalami kecederaan parah pada kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bumbung keretanya kemik manakala cermin kenderaan tersebut pecah akibat dihempap lelaki ber­kenaan yang mempunyai berat kira-kira 90 kilogram.
Lelaki yang terjatuh di atas bumbung kereta Arfan Syazani dari ketinggian le­bih 40 meter itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, lelaki yang terjatuh itu berusia 43 tahun dan berasal dari Bukit Katil di sini. Dia mendaftar masuk seorang diri di hotel berkenaan pada pukul 9.40 pagi semalam. (Kosmo)



Sementara itu, ibu Arfan Syazani, Aslina Ansari, 43, ketika ditemui berkata anaknya itu sedang bercuti semester 3 daripada pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan baru bekerja di hotel tersebut kira-kira 2 minggu.
“Sebelum pergi kerja pagi tadi dia sempat meminta bekal untuk dibawa ke tempat kerja walaupun biasanya dia tidak berbuat demikian.
“Dia tidak menunjukkan sebarang kelainan pada dirinya, namun pagi tadi saya sempat berpesan pada arwah supaya berhati-hati memandu,” katanya.
Aslina berkata dia dan keluarga reda dengan insiden itu dan mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cina di Melaka. – Bernama

Monday, 2 November 2015

Siasat pelajar baca Yasin di tepi LPT2 (HMETRO)

Kuala Terengganu: Jabatan Pendidikan Terengganu hari ini mengarahkan pentadbiran Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah di sini menyiasat guru pengiring yang menyuruh pelajarnya membaca Yasin di tepi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) semalam.

Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya juga akan memanggil guru terbabit dalam masa terdekat untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai perkara itu.

"Mereka sepatutnya perlu lebih peka dan berhati-hati kerana program seperti itu boleh membahayakan keselamatan mereka. Sepatutnya program sebegitu dilakukan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran kerana ia lebih selamat dan selesa," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, sumber sekolah berkenaan berkata, bacaan Yasin itu tiada dalam senarai program lawatan sambil belajar ke Kemaman yang disertai 35 pelajar dan tiga guru pengiring itu.

"Pelajar dan guru terbabit sebelum itu mengadakan lawatan sambil belajar ke Kemaman selepas tamat peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) dan dalam perjalanan pulang, guru terbabit mendapat idea dan menyuruh pemandu bas berhenti di tepi jalan untuk membolehkan mereka membaca yasin," katanya.