Memang sesuatu yang mengejutkan melihat bekas penyanyi Raihan, Nazrey Johani menyanyi di pasar tani beberapa tahun lalu. Jika sebelum ini pentas besar menjadi lokasi dia melontarkan suara, ternyata pasar tani dilihat terlalu asing buat Nazrey.
Melalui gambar yang tersebar itu ada yang berpendapat dia sebenarnya kini sudah hidup melarat. Malah apa yang lebih teruk ada yang menggambarkan Nazrey kini hanya mendambakan bantuan untuk meneruskan hidup selepas memilih untuk meninggalkan kumpulan Raihan.
Itu persepsi yang bermain pada fikiran peminatnya ketika melihat dia mengadakan persembahan di pasar tani. Bagaimanapun Nazrey tidak menyalahkan sesiapa untuk mempunyai persepsi seperti itu. Baginya manusia bebas menilai dengan apa yang mereka lihat. Namun untuk menjelaskan perkara sebenar, kata Nazrey, pilihan dia untuk menyanyi di pasar tani itu tidaklah menggambarkan kehidupan sebenarnya kini.
“Jangan menilai seseorang itu melalui luarannya sahaja. Tetapi jujurnya saya memang tidak kisah apa juga persepsi orang mengenai diri saya. Melihat gambar saya membuat persembahan di pasar tani, saya juga sebenarnya tidak percaya Allah beri kekuatan buat saya untuk melakukan perkara tersebut.
“Sebenarnya tujuan utama saya turun ke pasar tani itu untuk bertemu dengan orang. Dalam masa yang sama memberitahu mereka mengenai kewujudan Al-Tahfiz Bayu Syahadah yang dibangunkan saya. Jadi tidak salah rasanya untuk saya dalam masa yang sama turun ke pasar itu, untuk meneruskan niat saya ini,” katanya.
Sudah meninggalkan bumi Kuala Lumpur dan menetap terus di Sabah. Kata Nazrey, bukanlah bermakna dia menutup terus periuk nasinya dalam bidang nyanyian. Namun dalam masa yang sama dia yakin menguruskan sebuah sekolah tahfiz memerlukan tumpuan yang banyak menyebabkan dia berkorban untuk memantau hasil usahanya itu dari dekat.
“Memang selepas berniat untuk membuka sebuah sekolah tahfiz. Saya nekad untuk berpindah terus ke Sabah. Sebab saya mahu bantu orang Sabah, bagi saya tiada orang lain yang faham mengenai tempat ini selain orang yang dibesarkan di sini seperti saya.
“Tetapi tidaklah saya menutup terus peluang saya untuk membuat persembahan. Ironinya selepas ramai yang tahu saya buka sekolah ini, makin banyak pula tawaran untuk bernyanyi. Malah tidak sekadar di Sabah tetapi seluruh negara dan beberapa negara luar,” katanya.
Membuka rahsia sebenar kehidupannya kini, Nazrey tidak menolak sebenarnya untuk membuka sebuah rumah tahfiz, dia perlu menjadi lebih kaya dari apa yang orang bayangkan. Katanya, pandangan orang yang mengatakan dia hidup melarat dan miskin langsung tidak benar kerana untuk menjalankan sebuah sekolah memerlukan perbelanjaan yang banyak.
“Saya memerlukan hampir RM20,000 sebulan untuk memastikan sekolah tahfiz itu berjalan dengan baik. Jadi khabar angin mengatakan saya hidup miskin adalah tidak benar. Bahkan saya sebenarnya perlu lebih kaya dari dahulu.
“Namun bukan itu yang mahu sampaikan, apa juga cabaran yang dilalui, saya buat dengan ikhlas untuk membantu menegakkan syiar Islam di bumi Sabah. Alhamdulillah setakat ini ada bantuan yang sampai kepada saya untuk sama-sama membantu sekolah tahfiz ini,” katanya.
Mempunyai tiga orang tenaga pengajar dan hampir 20 orang murid yang sedang mendalami ilmu agama di sekolah tersebut. Nazrey tidak melihat usahanya ini akan terbantut di situ sahaja. Malah sudah ada perancangan untuk membuka beberapa pusat pembelajaran lagi, khas untuk mereka yang berumur dan pelajar perempuan pula.
“Lokasi sekolah saya ini terletak di Ranau, kebanyakan pelajar pula bukan mudah mahu diuruskan. Tetapi dalam beberapa tahun ini saya belajar untuk mendalami keperluan sekolah ini. Tetapi bukan mudah sebenarnya, saya anggap ini ujian yang harus diterima untuk berdakwah di sini.
“Perancangan untuk membuka lebih banyak sekolah pengajian islam ini memang ada. Sebabnya di Sabah ini berbeza, tidak banyak sekolah agama. Jadi saya sahut cabaran,” katanya.
Menyebut nama Raihan kita sudah boleh membayangkan zaman kegemilangan kumpulan ini pada awal tahun 2000. Selain penjualan album yang membanggakan, populariti Raihan ketika itu juga memberi sebab untuk mereka berlakon dalam sebuah filem. Ketika itu nama Raihan tidak sekadar fenomena di Malaysia tetapi juga seluruh dunia melalui lagu-lagu nasyid mereka yang tidak pernah dilupakan sehingga kini.
Bertanyakan semula apakah melalui popularili yang diraih, Raihan seakan tidak langsung menyimpan harta menerusi perniagaan. Namun, jawapan yang diberikan Nazrey mudah, mereka hanya diberikan jalan untuk Allah untuk menyanyi tetapi bukan dalam bidang perniagaan.
“Kalau ikutkan saya memang suka berniaga, tetapi rakan-rakan saya ketika itu tidak. Saya anggap Allah lebih memberi kami rezeki dalam bidang nyanyian sahaja dan bukan perniagaan.
“Sehingga ke hari ini juga saya sebenarnya masih mendapat royalti melalui lagu-lagu Raihan. Tetapi tidaklah banyak mana,” katanya.