Thursday, 19 January 2017

Saya lelaki dewasa – Aedy Ashraf [kosmo]

Memulakan kerjaya sebagai pelakon pada usia lapan tahun, peminat drama dan filem tempatan pastinya masih boleh mengecam lakonan Aedy Ashraf menerusi karakter Asmawi dalam filem Tentang Bulan pada 2006.
Filem tersebut menjadi naskhah layar perak pertama bagi Aedy atau nama sebenarnya Mohammed Addy Ashraf Rosmadi membawakan watak utama.
Meskipun 10 tahun telah berlalu, segelintir peminat dan penggiat industri beranggapan bahawa Aedy masih dalam lingkungan usia kanak-kanak dan jarang mendapat tawaran watak utama.
Sedar skeptikal yang seperti melekat pada dirinya, jejaka berkumis nipis itu tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Dia sebaliknya berusaha mengubah penampilan agar kelihatan seperti lelaki dewasa, seiring usianya yang kini mencecah 24 tahun.

Aedy turut mengulas penglibatannya menerusi filem terbaharu bertajuk Dorm Melati arahan Eyra Rahman yang telah pun memulakan tayangannya pada 12 Januari lalu.
Selain Aedy filem tersebut turut dibintangi Julia Marin, Nadia Aqilah, Aizat Hassan, Syaa Nasir, Ardell Aryana, dan Sabrina Ali.
KOSMO!: Selepas muncul dalam filem Tentang Bulan sekitar 10 tahun lalu, Aedy seperti mengambil masa terlalu lama untuk tampil menerusi filem, kenapa?
AEDY:Filem Dorm Melati bukanlah karya kemunculan semula, sebaliknya ia merupakan naskhah layar perak yang kedua memperlihatkan saya sebagai teraju utama. Selepas Tentang Bulan, tidak dinafikan ramai beranggapan kerjaya seni saya kurang menyerlah.
Sejujurnya saya masih aktif namun disebabkan sering mendapat watak sama iaitu sebagai pelajar sekolah saya terpaksa tolak. Tidak pernah terdetik di hati saya untuk meninggalkan dunia hiburan apatah lagi menerusi kerjaya ini, saya membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Adakah disebabkan wajah keanak-anakan dan tidak memiliki bentuk badan sasa membuatkan anda sering menerima watak remaja atau pelajar sekolah?
Secara peribadinya, saya tidak menafikan faktor itu ada mempengaruhi tahap peningkatan karier lakonan saya, malah ada yang beranggapan saya masih kanak-kanak.
Apakah usaha atau langkah yang dilakukan bagi menangkis skeptikal tersebut dan mempertahankan bahawa anda kini sudah bersedia menggalas watak lelaki dewasa?
Demi memperlihatkan karakter sebagai seorang lelaki dewasa, saya mengambil langkah menyimpan rambut yang agak panjang dan bermisai agar kelihatan lebih matang.
Diharapkan cara ini membuatkan peminat dan penggiat seni melihat saya sebagai seorang lelaki dewasa yang telah berusia 24 tahun.
Melihat tempoh penglibatan dalam lapangan seni, adakah anda telah menemui kematangan, khususnya tentang karakter yang dibawa?
Sekiranya melibatkan soal lakonan, sukar untuk saya jelaskan atau beri pandangan kerana penonton yang seharusnya membuat penilaian tentang perkara tersebut. Secara peribadi, saya turut menonton semula karya lakonan saya bagi membetulkan kesilapan. Selepas menonton filem terdahulu, saya terfikir betapa cepatnya masa berlalu. Bermula sebagai pelakon kanak-kanak kini saya telah menjadi lelaki dewasa.
Baru-baru ini, anda juga terlibat dalam drama rantaian popular, Lara Aishah. Selepas ini, apa lagi drama anda yang akan menemui penonton?
Saya bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang menyokong drama tersebut. Selepas ini, peminat boleh menyaksikan lakonan saya menerusi drama rantaian Suami Paling Sweet. Buat masa ini, saya sedang sibuk menjalani penggambaran naskhah rantaian bertajuk Syurgaku Tak Sempurna.
Memandangkan filem Dorm Melati merupakan filem kedua yang menyaksikan lakonan anda membawa watak hero, boleh kongsikan pengalaman menjayakan naskhah tersebut?
Ia sebuah filem seram yang menjalani penggambaran selama 15 hari di sebuah banglo lama di Bukit Larut, Taiping, Perak.
Ketika menjalani sesi penggambaran, tidak dinafikan cuaca yang agak sejuk terutama pada waktu malam dan kami semua harus melalui jalan sempit untuk ke lokasi penggambaran. Ia sungguh mencabar.
Saya membawa watak sebagai Adam yang amat tertarik dengan kisah seram mengenai kematian seorang wanita bernama Melati Putih. Perkara itu secara tidak langsung membuatkan Adam bersama empat rakannya iaitu Zafirah lakonan Nadia Aqilah, Eddy (Aizat Hassan), Carol (Syaa Nasir) dan Raihana (Ardell Aryana) memasuki sebuah bangunan yang dinamakan Dorm Melati.
Membintangi filem bercorak seram, adakah anda ada mengalami sebarang kejadian pelik atau gangguan mistik sewaktu berada di lokasi penggambaran?
Semasa penggambaran tiada sebarang kejadian aneh atau mistik berlaku tetapi perasan takut itu ada kerana penggambaran dijalankan di sebuah banglo lama yang pastinya pelbagai perkara misteri bermain di fikiran (ketawa).
Setelah hampir 15 tahun terlibat sebagai pelakon, karakter bagaimanakah yang anda ingin lakonkan?
Saya mengharapkan peluang membawakan watak seperti Jocker dalam filem Batman atau seorang psiko yang mempunyai banyak karakter dan personaliti dalam satu masa.