Saturday, 29 September 2018

Pertandingan 7 penjuru di Port Dickson


PORT DICKSON - Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen P.132 Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Pas dan lima calon Bebas.
Pertandingan itu disahkan selepas Pengurus Pilihan Raya Parlimen Port Dickson , Khairy Maamor mengumumkan senarai calon yang bertanding pada pukul 11 pagi ini.
PH diwakili Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, manakala calon Pas ialah Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazri Mokhtar, 57.
Sementara dua calon Bebas terdiri daripada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 69 dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd.Saiful Bukhari Azlan, 33
Tiga lagi calon Bebas lain ialah Stevie Chan Keng Leong, 51, Lau Seck Yen, 51, dan Kan Chee Yuen, 45, manakala pencalonan A. Rajendra, 50,  sebagai calon Bebas ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Proses penamaan calon bagi PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson dibuka pada 9 pagi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.
Ia diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Seramai 75,770 pemilih berdaftar dengan 68,468 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.
SPR menetapkan 13 Oktober depan sebagai hari mengundi, manakala hari mengundi awal pada 9 Oktober 2018.
PRK Parlimen Port Dickson merupakan PRK keempat diadakan sejak PRU-14 iaitu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor. - K! ONLINE

Saturday, 22 September 2018

Saleem separuh sedar di ICU


KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda Saleem yang terlibat dalam kemalangan semalam kini dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang.
Isterinya, Julia Bachok berkata, suaminya itu kini berada dalam keadaan separuh sedar selepas dilanggar sebuah kereta ketika keluar membeli barang berdekatan rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras di sini.
Kata isterinya lagi, Saleem atau nama sebenar A. M Salim Abdul Majeed dijadualkan bertemu peminat di Shah Alam pada sebelah malam hari kejadian.
"Dia ada beritahu hendak keluar sebentar beli barang dan tidak sangka pula terlibat dalam kemalangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Mengulas tentang gambar keadaan Saleem yang tersebar di laman Facebook, Julia memohon orang ramai tidak menularkannya dan mendoakan yang terbaik.
"Saya tiada niat untuk menyembunyikan cerita tapi tidak mahu orang ingat saya minta simpati," katanya lagi.
Plantun lagu Suci Dalam Debu itu kini dalam proses untuk dipindah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut. – K! ONLINE

Friday, 14 September 2018

Accapan sembunyi derita sakit daripada keluarga


PUCHONG - Penderitaan pelakon dan pelawak terkenal era 80-an, Accapan atau nama sebenarnya R. Samynathan, yang meninggal dunia kerana kegagalan buah pinggang pagi tadi, hanya diketahui keluarganya tiga bulan lepas.
Anak sulung mendiang, S. Vikneshwaran, 31, berkata, mendiang bapanya jarang bercerita tentang penyakitnya kepada keluarga.
"Sewaktu bapa dirujuk ke Hospital Putrajaya sebulan lepas, penyakitnya sudah mencapai tahap tiga. Setelah empat hari masuk wad, doktor memberitahu status kesihatannya telah pun berada di tahap kritikal dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan doktor pakar," kata Vikneshwaran yang bekerja sebagai pengurus bank di Sydney, Australia ketika ditemui Bernama di sini.
Beliau menyifatkan kehilangan bapanya yang berusia 63 tahun itu sebagai satu tamparan hebat kepada keluarganya terutama ibunya, S. Yogeswari, 53, serta adik perempuan bongsunya, S. Yhuveneshwary, 24, kerana mereka tinggal bersama dan sangat rapat.
"Bapa sempat berpesan pada saya supaya menjaga ibu dan adik serta sentiasa menjaga kebajikan mereka," kata Vickneshwaran. - Bernama

Friday, 7 September 2018

HKL kutip RM36 Juta, Andy Lau hadir ke KL beri sokongan


KUALA LUMPUR - Pelakon ternama Hong Kong, Andy Lau hadir memeriahkan majlis makan malam bagi meraikan kejayaan filem pecah panggung, Hantu Kak Limah di Hotel Berjaya Times Square, di sini malam ini. 
Andy yang cukup dikenali menerusi filem Internal Affairs merupakan salah seorang pengasas Infinitus Entertainment Group yang menaungi Infinitus Gold.
Pada majlis berkenaan, penerbit Astro Show dan Infinitus Gold turut mendedahkan Hantu Kak Limah semakin menghampiri angka kutipan RM40 juta apabila sudah mengaut RM36 juta selepas 27 hari tayangan di pawagam.
Turut hadir pada majlis itu adalah pengarah filem komedi seram terbabit iaitu Mamat Khalid serta barisan pelakonnya seperti Datuk Awie, Dalimawati, Zul Ariffin, Ropie, Mus May, Jue Aziz dan ramai lagi. 
Pada majlis yang itu, turut diumumkan bonus untuk semua kru produksi dan para pelakon. - K! ONLINE

Saturday, 1 September 2018

Lelaki maut dibelasah warga Bangladesh ketika cuba menyamun

Mayat mangsa yang maut selepas dibelasah sekumpulan warga bangladesh ketika cuba menyamun mereka.


KLANG - Niat seorang lelaki untuk menyamun warga Bangladesh akhirnya memakan diri apabila dia maut diserang sekumpulan warga asing itu dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Bandar Baru Klang di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, lelaki berusia 35 tahun maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan dipercayai dipukul dengan beberapa senjata.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, menurut saksi  yang juga seorang pekerja hotel sebelah tempat kejadian, dia melihat seorang lelaki sedang mengumpil pintu jeriji besi di bawah premis yang dihuni sekumpulan lelaki warga Bangladesh.
Katanya, sejurus kemudian saksi berkenaan terdengar suara pekerja Bangladesh menjerit memberitahu ada orang datang menyamun sebelum berlakunya pergaduhan antara suspek dan sekumpulan warga Bangladesh.
"Lelaki berkenaan (penyamun) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan akibat dipukul dengan pelbagai senjata.
"Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui beberapa senjata antaranya sebilah pisau pemotong, kayu panjang serta besi penutup pintu hidraulik,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mazelan, pemeriksaan pada sebuah beg galas milik simati telah menjumpai beberapa barangan seperti kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, telefon bimbit jenis samsung, kunci kereta dan perkakas hisap dadah.
"Selain itu kita turut menemui sebuah kereta jenis proton saga warna emas milik mangsa yang terletak di lorong belakang sebuah hotel di kawasan berkenaan. 
"Semakan rekod mendapati lelaki terbabit mempunyai lima rekod termasuk kes samun di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan sekitar  tahun 2014 hingga tahun ini serta rekod jenayah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya pada tahun 2008,"katanya.
Tambah beliau, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 20-an yang merupakan penyewa utama rumah kedai terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 5 petang semasa menunggu penerbangan ke Dhaka, Bangladesh.
Jelasnya, pihaknya turut mengesan beberapa penyewa premis rumah kedai berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut. - K! ONLINE

Kelantan mundur kerana rakyatnya sendiri tidak menyumbang kepada pembangunan


KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa musykilnya mengenai kemampuan rakyat dari Kelantan yang boleh berjaya dalam pelbagai bidang terutama perusahaan dan perniagaan di tempat lain, namun tidak dapat melakukannya atau menyumbang kepada pembangunan negeri asal mereka.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri tidak tahu bagaimana keadaan itu berlaku dan menimbulkan persoalan sama ada 'persekitaran' di Kelantan yang menyebabkan rakyatnya tidak dapat membangunkan negeri mereka.
"Sebenarnya orang Kelantan ini bijak-bijak belaka, kalau kita perhatikan di mana negeri pun yang ada perusahaan dan perniagaan adalah orang Kelantan, kenapa mereka tidak boleh buat perkara itu di Kelantan adalah soalnya.
"Pekerja-pekerja kita di Singapura juga ramai orang Kelantan yang tinggal di Johor, mereka cekap, mereka boleh, tetapi persekitaran barangkali tidak kena di Kelantan. Sama-samalah kita kaji persekitaran itu untuk tentukan kenapa ia jadi demikian," kata Perdana Menteri dalam sesi dialog pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di sini hari.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada seorang peserta yang bertanya mengenai langkah kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur untuk Kelantan termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)  yang akan memberi manfaat besar kepada negeri itu.
Mahathir berkata ramai rakyat Kelantan juga memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk salah seorang yang kini menjadi setiausahanya dan ia membuktikan kemampuan mereka.
Perdana Menteri seterusnya mendedahkan bahawa tanpa bantuan daripada kerajaan pusat, kerajaan Kelantan sebenarnya tidak mampu untuk menguruskan negeri dan pentadbiran negeri itu.
Katanya, pendapatan negeri itu termasuk menerusi kutipan cukai tidak mencukupi kerana ia disifatkan sebagai sebuah negeri yang miskin.
"Saya yakin kalau orang Kelantan dapat betulkan sesuatu maka mereka dapat membantu membangunkan Kelantan lebih pesat lagi berbanding tempat lain," katanya.
Mengenai ECRL, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan tidak mampu menampung perbelanjaan projek tersebut buat masa ini  dan menangguhkan sehingga mempunya dana yang mencukupi.
Terdahulu Mahathir turut menyampaikan ucaptama pada majlis yang dihadiri beberapa menteri kabinet selain disertai 2,500 peserta dan delegasi. - Bernama