Malah, ada juga kata-kata nakal netizen yang mendakwa pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu mengambil jalan pintas untuk menang dengan membeli undi. Hal ini kerana selain Bintang Paling Popular, Wany turut membawa pulang anugerah Penyanyi Wanita Popular menewaskan Ara, Fazura, Siti Nordiana dan Stacy.
Menafikan dakwaan tersebut, penyanyi berusia 26 tahun itu menjelaskan tiada sebab untuknya membazir sejumlah wang semata-mata mahu membeli undi.
“Jika orang lain terkejut dengan kemenangan ini, saya bertambah terkejut kerana langsung tidak jangka menang sebagai Bintang Paling Popular. Saya memang tidak membeli undi. Jika benar saya beli undi, tidak perlulah peminat saya bersengkang mata siang malam untuk membuat undian.
“Walhal saya sendiri menyaksikan usaha peminat yang membuat undian setiap sejam menggunakan banyak komputer tanpa tidur. Lagipun tiada sebab untuk saya membazirkan wang semata-mata membeli undian,” ujar Wany yang membawa pulang sebuah kereta Citroen C4 Picasso berharga RM126,000 dan trofi.
Bercerita lanjut mengenai kecaman yang diterima dek kemenangannya, penyanyi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dari Management and Science University (MSU), Shah Shah Alam, Selangor itu sedar pandangan negatif netizen terhadapnya.
“Sebaik membaca banyak komen netizen yang mempertikaikan kemenangan dalam ABP, saya jadi sedih,” kata Wany cuba tawa.
Layak
Menyeka kesedihan daripada merosakkan emosinya, trofil Bintang Paling Popular yang dijulang tersebut disifatkan Wany tidak hanya hadiah, bahkan hadir sebagai satu tanggungjawab berat.
Mengakui tertekan, Wany mahu memastikan dirinya benar-benar layak menggenggam anugerah tersebut. Justeru, dia mahu mengatur langkah untuk menjadi seorang penyanyi benar-benar berkualiti.
“Sudah tentu saya tertekan kerana harapan orang terhadap saya semakin tinggi. Sebenarnya, saya telah mula mengikuti kelas vokal secara mingguan untuk meningkatkan kemahiran nyanyian.
“Saya pasti akan terus dikecam. Jadi, saya harus kuat dari segi fizikal dan mental. Menang anugerah Bintang Paling Popular tidak bermakna saya boleh berasa lega, sebaliknya semakin banyak kerja yang perlu dilakukan demi keyakinan diri dan peminat merasakan saya benar-benar layak mendapat anugerah tersebut,” tutur Wany.
Selain anugerah berprestij tersebut, jurucakap produk penjagaan diri Himalaya itu dilamar sebagai duta sebuah jenama telefon terkenal. Bersyukur dengan rezeki yang diterimanya, Wany yang mendapat beberapa tawaran lakonan bagaimanapun memberitahu, dia hanya mahu fokus terhadap kerjaya nyanyian.
“Saya pernah berlakon dalam sebuah video untuk kempen buli siber yang memerlukan saya menangis. Biarpun sekadar video pendek tetapi saya perlu berlakon sambil menangis sampai sakit kepala. Pengalaman itu membuka mata saya bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang pelakon.
“Jadi, buat masa ini biarlah saya fokus terhadap kerjaya nyanyian sahaja. Namun, saya tidak tahu seandainya pada masa depan akan terbuka hati dan mempunyai masa untuk berlakon, mungkin saya akan pertimbangkan,” kata Wany.
Rezeki berkahwin
Sementara itu, pasangan pelakon popular Fattah Amin dan Nur Fazura pula meraih perhatian apabila mereka membawa pulang anugerah Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan dalam kategori online sebagai Pasangan Serasi Bersama. Kesemua kemenangan tersebut adalah impak persembahan cemerlang mereka menerusi drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella.
Menurut Fattah, kemenangan yang diterimanya pada ABP31 kali ini cukup bermakna, apatah lagi drama Hero Seorang Cinderella mempertemukan jodoh mereka sehingga bergelar pasangan suami isteri.
“Memang sangat bermakna sebab drama tersebut yang mempertemukan jodoh dan buat kami menang. Tambahan, menang sebagai pasangan suami ini boleh dikatakan sebagai rezeki kahwin,” tutur Fattah yang berjaya mempertahankan kategori Pelakon TV Lelaki Popular untuk dua tahun berturut-turut.
Kemenangan Fatah secara tidak langsung membuktikan pembubaran kelab peminat Fattah The FA Team langsung tidak menggugat statusnya sebagai salah seorang bintang popular di Malaysia. Sokongan umum terhadapnya masih padu meskipun tanpa kelab peminat rasmi.
“Sebagai isterinya, saya melihat sendiri kesabaran dan keikhlasan Fattah dalam menghadapi pelbagai dugaan. Kemenangan ini membuktikan, 10 orang peminat hilang ia berganti dengan 10,000 lagi pengikut setia yang menyokongnya tanpa sebarang syarat,” jelas Fazura.
Fazura yang setia di sisi suaminya juga terkejut apabila pertama kali membawa pulang anugerah Pelakon TV Wanita Popular. Menerusi acara yang sama pada tahun lalu, Fazura membawa pulang anugerah Pelakon Filem Wanita Popular.
“Sudahlah saya berlakon sebuah drama 10 tahun sekali sahaja, apabila menang dengan sebuah drama, saya rasa cukup bertuah dan berterima kasih kepada peminat. Maknanya, drama Hero Seorang Cinderella benar-benar meninggalkan impak kepada peminat,” kata Fazura sambil memberitahu mempunyai perancangan untuk bergandingan bersama suaminya dalam sebuah drama terbaharu tidak lama lagi.
Tidak kurang menarik perhatian adalah penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima oleh primadona Noor Kumalasari.
Pernah menghasilkan 12 buah album dan berlakon dalam 19 buah filem termasuk Bayangan Maut dan Esok Untuk Siapa, wanita berusia 62 tahun itu merupakan emas tempawan pada zamannya.
Menyentuh tentang anugerah yang diterima, kata Noor Kumalasari, ia merupakan suatu kejutan apabila masih dihargai walaupun sudah mengambil keputusan untuk bersara sekitar 10 tahun lalu. Bagaimanapun, beliau tetap diburu pihak produksi sehingga akur untuk kembali dengan sebuah telefilem, Pintu No. 9 dua tahun lalu.
“Saya hampir menangis apabila mereka menayangkan semula filem dan lagu-lagu saya di atas pentas. Ia membuatkan saya mengimbau kembali zaman silam ketika masih aktif sebagai anak seni. Terima kasih kerana masih sudi menghargai saya di atas pentas glamor seperti ini,” luah Noor Kumalasari.
Biarpun baru dua tahun bergelar penyanyi, Wany Hasrita mencetus kejutan apabila membawa pulang trofi Bintang Paling Popular pada acara Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Ahad lalu.