Lima penumpang termasuk tiga penuntut IPT cedera dalam kemalangan
KUALA LUMPUR – Lima penumpang dan seorang pemandu bas cedera apabila bas ekspres Starmart dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori simen di Kilometer 27.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Sungai Buloh menghala ke Plaza Tol Duta di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, bas yang membawa 18 penumpang berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke ibu kota sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu bas ekspres berkenaan melanggar belakang lori simen yang berada di lorong paling kiri.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan pemandu bas, Abdullah Bakar, 53, patah tulang bahu dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
“Lima lagi penumpang yang mengalami pelbagai jenis kecederaan pula dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.