Tuesday, 19 November 2019

Tak Rasa Diperguna

PERSAHABATAN lapan anak muda ini terjalin sejak usia mereka masih remaja, namun karier nyanyian mereka secara rasmi baru saja genap setahun pada 7 Julai lalu.
Tampil dengan lagu Mimpi bekerjasama dengan Alif, kumpulan hip hop K-Clique yang dianggotai Tuju, Somean, Noki, MK, Kdeaf, FareedPf, Gnello dan NastyNas kini dilihat sebagai satu fenomena dalam perkembangan muzik hip hop tanah air.
Siapa sangka, lagu berkenaan meledakkan nama mereka di persada seni. Mungkin kelebihan mereka adalah bergerak sebagai satu kumpulan yang masing-masing punya cara dan keunikan rap tersendiri.
Meniti populariti, jadual K-Clique sangat padat dan hampir dalam setiap acara mereka pasti dijemput untuk turut sama menghiburkan penonton dan memeriahkan suasana.
Ada individu yang melihat seolah-olah kumpulan ini dipergunakan sebagai daya tarikan supaya lebih ramai tetamu yang hadir tambahan pula lapan sahabat itu menjadi kegilaan remaja dan kanak-kanak.
Bagaimanapun, Tuju menepis tanggapan berkenaan dan memaklumkan pembabitan mereka dalam setiap acara adalah atas dasar profesional.
Tidak timbul isu dipergunakan kerana apa yang dilakukan itu adalah kerja mereka.
“Ya memang benar kami agak sibuk dengan pelbagai jemputan sama ada majlis kecil atau besar. Ini termasuk memeriahkan majlis pelancaran produk.
“Kami tidak rasa dipergunakan kerana menghiburkan tetamu atau penonton adalah pekerjaan kami. Tambahan pula ia memberikan impak positif pada karier yang baru bermula.
“Saya boleh katakan ia adalah situasi menang-menang. Saya harap kehadiran kami dalam setiap acara itu dapat membantu mencapai matlamat penganjur dan pada masa sama membantu menaikkan nama K-Clique,” katanya.
Sebelum popular dengan lagu Mimpi, kumpulan itu sudah melancarkan lagu seperti Sah Tu Satu dan Lane Lain Line serta bekerjasama dengan penyanyi rap lain.
Bagi mereka, lagu Mimpi bukan punca utama K-Clique menempa nama di pentas seni suara.
“Mungkin pandangan orang lain, mereka lihat nama K-Clique mula dikenali semua peringkat usia kerana lagu Mimpi. Bagaimanapun, bagi kami karya itu adalah ‘booster’ pada kerjaya.
“Kami sangat berterima kasih kepada Alif dan syarikat rakaman kerana memberikan peluang kepada K-Clique untuk cuba masuk ke muzik arus perdana. Ia sememangnya membantu melancarkan lagi karier seni kami,” kata Tuju.
Menerima banyak tawaran persembahan di Sabah dan sekitar Semenanjung, K-Clique yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah belum terfikir untuk berpindah dan menetap di Kuala Lumpur.
Kata FareedPf, mereka tidak kisah berpenat lelah setiap hari terpaksa berkejar ke lapangan terbang asalkan masih berada di Kota Kinabalu dan dekat dengan keluarga.
“Kami akui penat. Selepas beberapa persembahan di Kuala Lumpur, kami terpaksa balik ke Kota Kinabalu untuk memenuhi beberapa jemputan. Berehat dalam satu atau dua hari kemudian terbang lagi.
“Bagaimanapun, kami bermula di Kota Kinabalu dan akan terus seperti itu. Tiada perancangan untuk menetap di Kuala Lumpur walaupun tawaran lebih banyak di sana,” katanya.
Sabtu lalu, K-Clique membuat persembahan bersama DJ Cza bersempena pelancaran produk Voom.Asia. Walaupun hanya membuat persembahan di ruangan kecil di The Bee, Publika namun persembahan mereka tetap bertenaga.
Mereka puas setiap kali melihat penonton bersorak serta menyanyi bersama mereka. Ia menjadi pemangkin semangat buat K-Clique terus memberikan yang terbaik.
“Walaupun penat, tetapi kami puas melihat penonton terhibur, bersorak, melompat dan menyanyi bersama-sama kami. Itu sudah cukup memberikan kami semangat untuk terus berusaha,” kata Noki.

Friday, 15 November 2019

Rafizi tidak berminat aktif politik...nak jadi orang biasa


SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli menyatakan mahu kembali menjadi orang biasa pada masa ini, selepas kes rayuannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, selesai.
Mahkamah hari ini melepas dan membebaskannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 30 bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari tahun lalu, membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).
Katanya, pada masa ini beliau tidak berminat untuk memberi tumpuan kepada politik.
“Ramai kurang faham ketika dalam medan politik, ia mengambil masa cukup panjang dan tenaga serta masa daripada keluarga. Saya memang sebut dari awal tidak berminat untuk ‘laju’ dalam politik seperti sebelum ini. Juga tidak minat ada jawatan bersabit kerajaan atau awam. Saya ingat masa tiga, empat tahun ini untuk kembali jadi orang biasa.
“Masalah utama orang politik, baik BN (Barisan Nasional) dan sekarang PH (Pakatan Harapan), bila menang jadi kerajaan, dia tak hidup seperti orang biasa. Dia jadi lupa daratan, terpisah dengan realiti.
“Jadi saya rasa, masa PH berkuasa adalah zaman saya kembali jadi orang biasa. Cari makan macam orang biasa dan punyai masa untuk keluarga dan diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, selepas kes di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, selesai.

Ditanya kemungkinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan bantuannya, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata perkara berkenaan adalah hak pemimpin utama parti.
Katanya, Anwar dan rakan politik dalam PKR sendiri mengetahui apabila beliau meninggalkan jawatannya dalam dunia korporat kira-kira 10 tahun lalu, ia bukan bertujuan untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan.
“Kita ada misi... misi masa itu ialah bukti pada negara, pada rakyat kita boleh tukar kerajaan. Psikologi tukar kerajaan itu penting. Kalau tidak tukar, orang kata tukar kerajaan kiamat dan sebagainya. Kini terbukti dan kita semua sepatutnya meneruskan kehidupan.
“Dan kita akan tempuhinya bila kita sudah berada di situ. Tetapi saya memang tak ada tanda-tanda berminat. Tempoh 10 tahun adalah masa yang lama untuk berada di hadapan, ceramah tengah-tengah panas, dan adil bagi saya untuk kembali dan meluangkan masa dengan keluarga saya. Saya rasa semua orang patut menghormatinya,” katanya.
Mohd Rafizi juga berkata, soal sama ada beliau akan mempertimbangkan jika Anwar meminta bantuan, ia isu antaranya dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu dan lebih baik dibincangkan dengan pemimpin itu berbanding secara terbuka.
“Supaya orang tak bertanya, saya sebenarnya tiada niat untuk segera kembali di barisan hadapan politik. Saya gembira dapat berhubung semula dengan kawan seperti ini kerana kami sudah bersahabat sejak 20 tahun lalu.
“Yang hadir ini sebagai sahabat, bukan hadir sebagai pemimpin. Selama 10 tahun lalu saya tidak ada masa untuk duduk minum bersama-sama kawan.
“Saya fikir, dalam empat lima tahun ini adalah masa yang baik untuk sekurang-kurangnya saya duduk dan meluangkan masa dengan kawan-kawan. Akan ada masa untuk politik, tidak perlu terburu-buru,” katanya.

Saturday, 9 November 2019

Bukan Islam tak perlu bimbang Undang2 Syariah

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul kepada Datuk Seri Daud Muhammad (kiri) di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan undang-undang syariah kerana ia tidak tertakluk kepada mereka.
Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M, Datuk Seri Daud Muhammad, berkata beliau berharap undang-undang Islam dapat dilaksanakan di negara ini, walaupun Malaysia negara berbilang kaum.
“Undang-undang Islam tertakluk kepada penganut agamanya sahaja, jadi sebagai negara Islam yang menghidupkan suasana rahmah, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan (pelaksanaan undang-undang syariah),” katanya pada sidang media selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Axiata Arena di sini, hari ini.
Daud berkata, beliau berharap kerajaan dapat melaksanakan Undang-undang Jenayah Syariah berkenaan kerana ia penting untuk pembentukan akhlak ummah.
“Khidmat saya dalam Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Peringkat Persekutuan sudah lama, iaitu dari 2008.
“Banyak perkara dibincangkan termasuk Akta Guaman Syarie yang sekarang kita sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan dari kerajaan untuk melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah di negara ini.
“Jadi, saya berharap perkara itu dapat direalisasikan,” katanya.
Daud yang juga Ketua Hakim Syarie Kelantan, menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.
Empat lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini, masing-masing menerima wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan.
Mereka ialah ahli akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail; aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye; pelopor Hospital Mesra Ibadah (HMI), Datuk Dr Khalid Ibrahim dan aktivis kemanusiaan, Mohd Azmi Abdul Hamid.