Saturday, 15 February 2020

Ali sedia galas tugas Abam


PELAWAK Ali Puteh yang juga adik kepada Allahyarham Abam Bocey bersedia menggalas dan mengganti tempat Abam bagi komitmen kerja yang ditinggalkan.
Ali, 31, atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, dia tidak menolak jika
ada permintaan untuk dirinya berbuat demikan.
“Saya tidak tahu berapa banyak komitmen kerja yang arwah belum selesaikan. Jika pihak berkenaan perlukan pengganti dan meminta saya berbuat sedemikian, saya okey.
“Lagipun, saya berada dalam bidang sama dengannya, jadi tidak ada masalah. Saya akan cuba memberikan yang terbaik seperti mana prestasi arwah.
“Dalam masa sama, saya anggap ini tanggungjawab yang perlu dipikul mulai sekarang. Bukan saja sebagai ketua keluarga, tapi juga untuk kerja arwah lain termasuk menjaga anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lapan bulan,” katanya.
Ali berkata, sebagai adik dia merasa sangat kehilangan apatah lagi Abam menjadi tulang belakang keluarga selama ini.

“Dalam keluarga, saya angah. Apabila along iaitu Abam sudah tiada, saya rasa sangat ke
hilangan. Banyak kenangan kami bersama yang sukar untuk dikongsikan. Saya masih tidak percaya dia sudah pergi meninggalkan kita. Kali terakhir kami bekerjasama pada pentas akhir Maharaja Lawak Mega 2019 lalu. Di rumah pula ketika ada makan malam bersama keluarga.
“Selebihnya kami banyak berborak dalam WhatsApp keluarga. Dia pun sibuk dengan kerja. Cuma, minggu lalu dia memang banyak tinggalkan pesan untuk saya termasuk minta saya ambil alih tugas menjaga emak yang tidak sihat,” katanya.
Menurut Ali, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak terdiri daripada keluarga, jiran, penduduk kampung, sahabat, rakan artis, pihak media dan peminat yang tanpa henti menziarahi dan mengirimkan ucapan doa kepada Abam.
“Walaupun dia pelawak, tapi sebenarnya dia pendiam. Itu ramai yang tidak tahu. Saya bersyukur apabila arwah sangat disenangi ramai. Doa dan kata-kata yang diterima buat arwah sangat dihargai. Malah, boleh dikatakan setiap masa ramai yang datang menziarah,” katanya.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor kira-kira jam 7.15 pagi Isnin lalu.

Jadikan Abam Bocey ikon masyarakat

PENYANYI popular Datuk Hattan, 56, mencadangkan Allahyarham Abam Bocey dijadikan ikon untuk golongan remaja serta masyarakat.
Hattan berkata, cadangan itu difikirkan selepas melihat perkara positif dilakukan Abam ketika hayatnya.
"Benar Abam sudah tiada, tapi tak salah jika kita angkat dia sebagai ikon kerana tak banyak artis yang sehebatnya. Bayangkan, budak sekolah berusia 10 tahun boleh menangis teresak-esak apabila mendapat berita dia meninggal dunia.
“Abam sangat merendah diri dan tak banyak cakap, tapi dia tunjukkan teladan yang baik kepada kita semua. Ambil contoh, seorang wanita bersama anaknya sanggup datang menziarahi kubur Abam walaupun sudah jam 8 malam kerana mengenangkan budi arwah yang tampung persekolahan anaknya," katanya.
Menurutnya, Abam sendiri tidak pernah menghebohkan perkara ini, sebaliknya hanya terbongkar selepas dia meninggal dunia.
"Bukankah semua benda yang dibuatnya itu amalan mulia dan dituntut dalam Islam? Dia juga menjaga ibunya, adik-beradik dan orang lain. Apa salahnya dia dijadikan contoh. Sekurang-kurangnya kerajaan atau mana-mana pihak harus buat sesuatu bagi mengenang jasanya," katanya.
Hattan berkata, impak yang dicetuskan Abam memang kuat dan sehingga kini cerita kematiannya masih diperkatakan di media sosial.
"Saya akui apa yang berlaku memang dahsyat. Saya sendiri menangis dari masjid sampai ke kubur pada hari kematiannya. Bayangkan, belum pernah lagi saya menangis sampai begitu sekali. Malah penceramah, Imam Muda Hassan pun kata kematiannya dalam 'khusnul khatimah'.
"Sebagai orang yang masih hidup, kita cemburu apa yang arwah dapat. Saya berdoa supaya satu hari nanti, saya pun akan dapat begitu," katanya.
Menurut Hattan, dia orang paling gembira sekiranya cadangan ini diterima dan menjadi kenyataan.
"Kita boleh jadikan dia ikon untuk anak-anak muda yang sudah menyimpang supaya mencontohi kebaikan yang dilakukannya.

"Abam seorang artis popular tapi tengoklah bagaimana cara pembawakan dia sehingga disukai ramai. Kita minta kebenaran cara baik dengan keluarganya untuk buat benda ini, sekurang-kurangnya dapat tambah pahala untuk arwah," katanya.
Hattan turut mencadangkan supaya dihasilkan produk jualan seperti baju jenama Abam dan pendapatannya boleh dimanfaatkan banyak pihak.
"Keuntungan daripada jualan ini boleh digunakan untuk keluarga Abam serta untuk terus bantu mereka yang pernah dibantu Abam terutamanya anak-anak yatim dan golongan miskin. Kalau ada pihak nak wujudkan Yayasan Abam pun boleh juga. Tujuannya untuk bantu semua pihak yang memerlukan. Mungkin Abam tak belajar tinggi, tapi dia berjaya dalam hidupnya. Rugi kalau tak manfaatkan kelebihan itu untuk kebaikan kita semua," katanya.