Monday, 21 November 2016

Pelajar 6A meninggal dunia (kosmo)

PASIR MAS – Murid cemerlang yang memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu lalu meninggal dunia semalam selepas bertarung nyawa melawan penyakit kanser kelenjar darah atau limfoma sejak September lalu.


Wan Mazlan (tengah) menurunkan jenazah Wan Adibah Farhani ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemal semalam.

Bapa kanak-kanak pe­rempuan itu, Wan Mazlan Wan Hassan, 50, berkata,­ Wan Adibah Farhani menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 4 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kota Bharu.


“Arwah dilihat cukup gembira pada Khamis lalu selepas dia diberitahu memperoleh keputusan 6A dalam UPSR. Itu me­rupakan detik dia paling gembira sepanjang mendapat rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, pada sebelah petang hari yang sama, tahap kesihatan Wan Adibah Farhani semakin menurun sehinggalah dia menghembuskan nafas awal pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Thursday, 27 October 2016

Saya tak hidup melarat (Utusan)

Memang sesuatu yang mengejutkan melihat bekas penyanyi Raihan, Nazrey Johani menyanyi di pasar tani beberapa tahun lalu. Jika sebelum ini pentas besar menjadi lokasi dia melontarkan suara, ternyata pasar tani dilihat terlalu asing buat Nazrey.
Melalui gambar yang tersebar itu ada yang berpendapat dia sebenarnya kini sudah hidup melarat. Malah apa yang lebih teruk ada yang menggambarkan Nazrey kini hanya mendambakan bantuan untuk meneruskan hidup selepas memilih untuk meninggalkan kumpulan Raihan.
Itu persepsi yang bermain pada fikiran peminatnya ketika melihat dia mengadakan persembahan di pasar tani. Bagaimanapun Nazrey tidak menyalahkan sesiapa untuk mempunyai persepsi seperti itu. Baginya manusia bebas menilai dengan apa yang mereka lihat. Namun untuk menjelaskan perkara sebenar, kata Nazrey, pilihan dia untuk menyanyi di pasar tani itu tidaklah menggambarkan kehidupan sebenarnya kini.
“Jangan menilai seseorang itu melalui luarannya sahaja. Tetapi jujurnya saya memang tidak kisah apa juga persepsi orang mengenai diri saya. Melihat gambar saya membuat persembahan di pasar tani, saya juga sebenarnya tidak percaya Allah beri kekuatan buat saya untuk melakukan perkara tersebut.
“Sebenarnya tujuan utama saya turun ke pasar tani itu untuk bertemu dengan orang. Dalam masa yang sama memberitahu mereka mengenai kewujudan Al-Tahfiz Bayu Syahadah yang dibangunkan saya. Jadi tidak salah rasanya untuk saya dalam masa yang sama turun ke pasar itu, untuk meneruskan niat saya ini,” katanya.
Sudah meninggalkan bumi Kuala Lumpur dan menetap terus di Sabah. Kata Nazrey, bukanlah bermakna dia menutup terus periuk nasinya dalam bidang nyanyian. Namun dalam masa yang sama dia yakin menguruskan sebuah sekolah tahfiz memerlukan tumpuan yang banyak menyebabkan dia berkorban untuk memantau hasil usahanya itu dari dekat.
“Memang selepas berniat untuk membuka sebuah sekolah tahfiz. Saya nekad untuk berpindah terus ke Sabah. Sebab saya mahu bantu orang Sabah, bagi saya tiada orang lain yang faham mengenai tempat ini selain orang yang dibesarkan di sini seperti saya.
“Tetapi tidaklah saya menutup terus peluang saya untuk membuat persembahan. Ironinya selepas ramai yang tahu saya buka sekolah ini, makin banyak pula tawaran untuk bernyanyi. Malah tidak sekadar di Sabah tetapi seluruh negara dan beberapa negara luar,” katanya.


Membuka rahsia sebenar kehidupannya kini, Nazrey tidak menolak sebenarnya untuk membuka sebuah rumah tahfiz, dia perlu menjadi lebih kaya dari apa yang orang bayangkan. Katanya, pandangan orang yang mengatakan dia hidup melarat dan miskin langsung tidak benar kerana untuk menjalankan sebuah sekolah memerlukan perbelanjaan yang banyak.
“Saya memerlukan hampir RM20,000 sebulan untuk memastikan sekolah tahfiz itu berjalan dengan baik. Jadi khabar angin mengatakan saya hidup miskin adalah tidak benar. Bahkan saya sebenarnya perlu lebih kaya dari dahulu.
“Namun bukan itu yang mahu sampaikan, apa juga cabaran yang dilalui, saya buat dengan ikhlas untuk membantu menegakkan syiar Islam di bumi Sabah. Alhamdulillah setakat ini ada bantuan yang sampai kepada saya untuk sama-sama membantu sekolah tahfiz ini,” katanya.
Mempunyai tiga orang tenaga pengajar dan hampir 20 orang murid yang sedang mendalami ilmu agama di sekolah tersebut. Nazrey tidak melihat usahanya ini akan terbantut di situ sahaja. Malah sudah ada perancangan untuk membuka beberapa pusat pembelajaran lagi, khas untuk mereka yang berumur dan pelajar perempuan pula.

“Lokasi sekolah saya ini terletak di Ranau, kebanyakan pelajar pula bukan mudah mahu diuruskan. Tetapi dalam beberapa tahun ini saya belajar untuk mendalami keperluan sekolah ini. Tetapi bukan mudah sebenarnya, saya anggap ini ujian yang harus diterima untuk berdakwah di sini.
“Perancangan untuk membuka lebih banyak sekolah pengajian islam ini memang ada. Sebabnya di Sabah ini berbeza, tidak banyak sekolah agama. Jadi saya sahut cabaran,” katanya.
Menyebut nama Raihan kita sudah boleh membayangkan zaman kegemilangan kumpulan ini pada awal tahun 2000. Selain penjualan album yang membanggakan, populariti Raihan ketika itu juga memberi sebab untuk mereka berlakon dalam sebuah filem. Ketika itu nama Raihan tidak sekadar fenomena di Malaysia tetapi juga seluruh dunia melalui lagu-lagu nasyid mereka yang tidak pernah dilupakan sehingga kini.
Bertanyakan semula apakah melalui popularili yang diraih, Raihan seakan tidak langsung menyimpan harta menerusi perniagaan. Namun, jawapan yang diberikan Nazrey mudah, mereka hanya diberikan jalan untuk Allah untuk menyanyi tetapi bukan dalam bidang perniagaan.
“Kalau ikutkan saya memang suka berniaga, tetapi rakan-rakan saya ketika itu tidak. Saya anggap Allah lebih memberi kami rezeki dalam bidang nyanyian sahaja dan bukan perniagaan.
“Sehingga ke hari ini juga saya sebenarnya masih mendapat royalti melalui lagu-lagu Raihan. Tetapi tidaklah banyak mana,” katanya.

Saturday, 15 October 2016

Tanam ini untuk halau nyamuk

KKMN saran tanam bunga tahi ayam, serai wangi & lidah buaya utk halau nyamuk

Kuala Lumpur: Tumbuh-tumbuhan seperti bunga tahi ayam, serai wangi, lidah buaya dan tongkat Ali boleh digunakan untuk menghalau nyamuk dalam usaha mencegah demam denggi dan jangkitan virus Zika.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga menamakan lima tumbuhan lain yang turut mempunyai fungsi sama iaitu akar wangi, bunga selasih, 'floramaster', mahogani atau mambu dan jeremin.
"KKM menyarankan masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan menggunakan kaedah lain untuk mencegah demam denggi dan jangkitan Zika sebagai tambahan kepada aktiviti kawalan sedia ada.
"Antaranya menggunakan beberapa tumbuhan yang berfungsi sebagai penghalau nyamuk yang boleh ditanam di kawasan perumahan," kata KKM dalam kenyataan di Facebook.
Beberapa kajian oleh Zaridah et.al (2005) di Kepong, Ferreira et.al (2011) di London, Pattanayak et.al (2015) dan Satpute et.al (2015) di India mendapati tumbuhan itu juga boleh menghalau serangga lain.
Menurut KKM sepanjang minggu ke-40 tahun ini iaitu dari 2 hingga 8 Oktober lalu, 1,550 kes demam denggi dilaporkan, menurun 151 kes berbanding minggu ke-39 yang mencatatkan 1,701 kes.
Pada minggu ke-40 itu, empat kematian akibat demam denggi dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian 190 berbanding 261 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Tuesday, 11 October 2016

Murid terperangkap 20 minit gagal keluar longkang [kosmo]


BEGINILAH keadaan mangsa yang terperangkap dalam longkang di sekolahnya di Klang semalam.

KLANG – Seorang murid lelaki berusia 8 tahun berjaya diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap selama 20 minit di dalam longkang di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Belah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa dikatakan cuba mengambil duit belanja sekolahnya sebanyak RM1 yang terjatuh ke dalam longkang sedalam 0.4 meter itu.
Ketua Balai Bomba Sungai Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, mangsa yang gagal mengambil duit itu menggunakan tangannya kemudian bertindak masuk ke dalam longkang dan berjaya mengambil wangnya.
Bagaimanapun katanya, mangsa gagal keluar semula daripada longkang itu.

Monday, 3 October 2016

Anugerah khas bagi menghargai sumbangan Haron Din [kosmo]


SERDANG – Pemilihan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din (gambar) sebagai penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1438H bagi menghargai sumbangan besar ulama tersebut dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global.
Anugerah itu diterima oleh anak sulung Allahyarham, Dr. Huda Haron yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Huda ketika ditemui, menyifatkan anugerah berkenaan amat bermakna bagi keluarganya dan merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan dan juga pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengusahakan pengiktirafan tersebut.
“Secara peribadi, anugerah ini amat bermakna bagi keluarga kami.
“Tidak ketinggalan ia juga sangat bererti bagi semua anak murid Allahyarham yang pernah menimba ilmu daripada ayahanda saya selama ini di seluruh dunia dan sesiapa sahaja yang mengenali beliau,” katanya ketika ditemui di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini semalam.

Sejarah manis Caliph Buskers di APM 2016


PEMBAKAR SEMANGAT Biarpun kejayaan demi kejayaan telah diraih mereka dalam beberapa majlis anugerah besar, namun Caliph Buskers masih menunduk ke bumi dengan menganggap kejayaan pada APM2016 selaku pembakar semangat untuk mereka memperbaiki diri pada masa akan datang.


“Kami sangat berterima kasih kepada beliau kerana memberi kepercayaan kepada Caliph Buskers untuk membawa lagu ini. Jadi, kami anggap kemenangan ini adalah hak bersama,” ujar vokalis kumpulan itu, Azmi.
Tergamam saat nama mereka disebut selaku penerima anugerah utama iaitu Lagu Terbaik APM, Caliph Buskers menambah bicara, mereka sememangnya tidak menyangka mampu melakar sejarah dan menewaskan ramai artis besar yang lain.
“Perasaannya seperti kami bermimpi. Sewaktu mula-mula bernyanyi di kaki lima dahulu, dalam kepala kami tidak pernah terlintas akan sampai ke tahap sebegini, apatah diiktiraf di atas sebuah pentas besar membabitkan negara jiran yang lain,” ujar Azmi terharu.
Pernah dijulang sebagai pemenang tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30) pada awal tahun ini, Caliph Buskers mengakui kemenangan ini adalah tanda aras baharu kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti mereka.
“Apa yang kami harapkan, kemenangan sebegini dapat memberi kesedaran dan membuka peluang kepada bukan sahaja buskers seperti kami, tetapi semua golongan OKU untuk mencipta kejayaan dalam apa sahaja kerja yang dilakukan.
“Seperti kejayaan atlet paralimpik negara dalam Sukan Paralimpik Rio baru-baru ini, ia menjadi bukti bahawa manusia seperti kami juga boleh berdiri sama tinggi dengan orang lain,” ujar Azmi yang berharap agar kejayaan dalam APM2016 akan membuka ruang untuk mereka menembusi pasaran negara jiran.
Sejarah Ayda Jebat, Yuna
Jika Caliph Buskers diiktiraf sebagai terbaik, lain pula dengan kejayaan yang diraih oleh penyanyi Ayda Jebat apabila membawa pulang tiga kategori anugerah popular.
Pada malam tersebut, Ayda, 24, yang tercalon dalam lima kategori merangkul kemas anugerah Artis Paling Popular APM2016, Lagu Paling Popular APM2016 dan Ikon Media Sosial.


“Kejayaan pada malam ini menjadi saksi kepada jatuh bangun saya dalam industri. Terima kasih semua,” ujarnya.

Paling membanggakan, APM2016 memilih penyanyi kelahiran negara yang semakin galak membina nama di persada antarabangsa, Yuna selaku penerima Anugerah Rentas Planet.
Pengiktirafan itu diberi kepada Yuna atau nama penuhnya, Yunalis Zarai kerana kejayaan yang dilakar penyanyi itu dalam bidang nyanyian di negara Amerika Syarikat. Yuna bagaimanapun tidak dapat hadir kerana terikat dengan siri jelajah konsertnya di New York.
Menerusi satu kiriman video, Yuna merakamkan perasaan syukur atas pengiktirafan itu selain mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan keluarga kerana sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti seninya.
Bukan hanya itu, beberapa kategori dalam APM2016 juga menobatkan beberapa muka baharu antaranya penyanyi dari Indonesia, Raisa yang membawa pulang dua kategori iaitu Artis Terbaik Wanita menerusi lagu Kali Kedua dan Duo/Kumpulan Terbaik bersama Afgan menerusi lagu Percayalah.
Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasi 2015 (AF2015), Sufi Rashid turut membawa pulang dua anugerah bagi kategori Lagu Paling Popular menerusi lagu Kisah Dua Muka dan Artis Paling Popular (Singapura) APM2016.
Malam anugerah APM2016 turut mengiktiraf komposer terkenal S. Atan sebagai penerima Anugerah Khas Planet Muzik.
Biarpun era kegemilangan komposer itu bukanlah pada masa kini, tetapi jasanya kepada industri dunia hiburan sangat besar. Sejak menjadi komposer sekitar tahun 1972, beliau sudah bekerja dengan banyak nama besar seperti Tan Sri SM Salim, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah dan Allahyarham Sudirman Arshad selain menjadi pencipta lagu-lagu popular antaranya Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Kenangan Manis.
Tidak hanya itu, kumpulan Musikimia turut melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan selaku pemenang anugerah Band Terbaik dan Lagu Terbaik (Indonesia) menerusi lagu Dan Bernyanyilah.
Apa yang pasti, objektif pentas APM menjadi medan sebenar untuk mengiktiraf karya-karya terbaik dan popular dari gabungan tiga buah negara serantau iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura tercapai.
Sejak APM2011 sehingga kini, sudah enam kali APM yang turut dibawakan oleh One Drop Perfumes bersiaran secara langsung dari negara Singapura selepas kali terakhir diadakan di negara ini menerusi APM2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tuesday, 20 September 2016

Harta benda rosak dilanda ‘tsunami kecil’

Beberapa kawasan di Banting yang terjejas ekoran air pasang besar melanda Pantai Bagan Makmur, Kampung Sungai Nibong, semalam. – Sumber laman sosial 

KLANG 19 Sept. – Penduduk di Kampung Tok Muda, Kapar di si­­ni yang rumah mereka terjejas teruk akibat fenomena air pasang besar mengeluh kerana terpaksa menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM10,000 akibat barangan serta kelengkapan masing-masing rosak.

Antara harta benda milik mereka yang rosak adalah mesin basuh, peti sejuk, perabot dan kenderaan kerana dimasuki air masin.

Fenomena air pasang besar yang melanda kampung berke­naan sejak semalam juga disifatkan mereka sebagai yang terburuk dalam tempoh 25 tahun.

Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati, kebanyakan pendu­duk menyatakan tidak sempat menyelamatkan barangan ma­sing-masing kerana paras air naik begitu pantas.

Seorang penduduk, Adanan Suratman, 52, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana sejak 25 tahun menetap di kampung berkenaan, tidak pernah kawasan tersebut dilanda air pasang besar.

“Ketika kejadian iaitu kira-kira pukul 7 pagi semalam, saya bersama ahli keluarga sedang tidur sebelum terdengar bunyi air yang kuat.

“Pada mulanya, saya me­nyang­­ka hanya hujan lebat tetapi sebaik sahaja melihat ke luar, air laut telah sampai ke pekarangan rumah, seolah-olah tsunami kecil melanda kediaman saya.

“Air naik sehingga paras betis dan banyak barangan elektrik termasuk buku-buku sekolah anak saya rosak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Azhari Soraji, 45, pula memberi­tahu, air naik dengan pantas iaitu dalam tempoh hanya kira-kira seminit.

“Walaupun rumah saya terletak beberapa ratus meter dari pantai, tetapi ini kejadian pertama rumah saya dilanda air pasang besar.

“Sebab itu kami tidak membuat persediaan. Air pula naik terlalu pantas menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan ba­rang-barang kami.

“Banyak barangan elektrik se­perti peti sejuk, mesin basuh, sofa, almari rosak, selain kereta jenis Proton Persona saya turut tenggelam hingga paras tempat duduk,” jelasnya.

Menurut Rudyari Rosmin, 30, kereta Proton Iswara miliknya di­teng­gelami air hingga paras cermin ma­­nakala dua motosikalnya turut tenggelam.

Pemilik Res­toran Aroma Ikan Bakar di Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor, Mohd. Naim Omar memberitahu, kejadian air pasang besar itu turut melanda premisnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, keja­dian di kawasan itu merupakan yang paling buruk sejak 15 tahun lalu sehingga mewujudkan trauma kepada penduduk.

Menurutnya, berdasarkan mak­lumat penduduk kampung Tambak Jawa, ban pecah menyebabkan air laut begitu deras memasuki kawasan rumah mereka manakala golongan nelayan melaporkan ribut kuat berlaku di tengah laut.