Saturday, 3 November 2018

Bas ekspres langgar lori simen

Lima penumpang termasuk tiga penuntut IPT cedera dalam kemalangan



KUALA LUMPUR – Lima penumpang dan seorang pemandu bas cedera apabila bas ekspres Starmart dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori simen di Kilometer 27.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Sungai Buloh menghala ke Plaza Tol Duta di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, bas yang membawa 18 penumpang berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke ibu kota sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemala­ngan dipercayai berlaku selepas pemandu bas ekspres ber­kenaan melanggar belakang lori simen yang berada di lorong pa­ling kiri.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan pemandu bas, Abdullah Bakar, 53, patah tulang bahu dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
“Lima lagi penumpang yang mengalami pelbagai jenis kece­deraan pula dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Sunday, 14 October 2018

Saleem Iklim sudah tiada (1961-2018)

PENYANYI popular, Saleem, meninggal dunia pada 6.15 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.
Perkara ini disahkan oleh isterinya Juriah@Julia Bachok kepada Harian Metro.
Saleem atau nama sebenarnya Am Saleem Abd Majeed, 56, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital itu selepas kemalangan motosikal pada 20 September lalu.
Dalam kejadian di Kilometer (km) 16, Lebuhraya Grand Saga itu, 12 tulang rusuk Saleem patah termasuk satu daripadanya tertusuk paru-paru.
Kemalangan berlaku pada 3.20 petang apabila Saleem yang menunggang motosikal dari arah Kajang menghala ke Cheras dilaporkan terbabit kemalangan dengan kereta dari arah laluan yang sama berhampiran Plaza Tol Batu 11, Kajang.
Ketika kejadian, pemandu kereta dilaporkan cuba membelok ke kiri untuk masuk ke susur pejabat Grand Saga di Plaza Tol Batu 11, sebelum sisi kiri bahagian hadapan keretanya dirempuh oleh motosikal Saleem.

'Lagu Saleem peneman jiwa saya' - Guan Eng

SIAPA sangka dalam jutaan peminat yang bersedih dengan pemergian penyanyi terkenal Saleem atau AM Saleem Abdul Majeed, 57, salah seorang daripadanya adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Berkongsi kesedihan beliau di media sosial Facebook, Guang Eng berkata, lagu Suci Dalam Debu dendangan vokalis kumpulan Iklim itu meninggalkan kenangan manis buat dirinya.
Malah, katanya, lagu Allahyarham sentiasa menjadi ‘peneman’ jiwanya ketika aktif dalam politik selaku pembangkang sebelum ini.
'Karya arwah ayah akan terus hidup' - Syafiq Farhain

Saleem,57, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, hari ini selepas 22 hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kemalangan jalan raya.

Saturday, 13 October 2018

Sejarah tercipta 3 beranak di Dewan Rakyat

DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika meraikan kejayaannya selepas diisytiharkan memenangi PRK Parlimen Port Dickson di di Dewan MPPD. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat mencatat sejarah tersendiri apabila tiga beranak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka, Nurul Izzah akan berada serentak dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 bermula Isnin ini.
Ia susulan Anwar yang menang tanpa bertanding pada pemilihan PKR bagi jawatan Presiden, memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini dan akan mengangkat sumpah pada Isnin.
Kewujudan ‘legasi Anwar’ di Dewan Rakyat ini dijangka akan menghangatkan lagi persidangan dewan berikutan Dr Wan Azizah ketika ini adalah Timbalan Perdana Menteri dan turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK Parlimen Port Dickson atas tiket PH selepas memperoleh 31,016 undi dengan menewaskan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas memperoleh 4,230 undi sementara bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.
Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Ia adalah sebahagian daripada pelan PH bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr Wan Azizah yang bertanding di Parlimen Pandan mendapat 101,319 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Leong Kok Wee (12,190 undi), calon PAS, Mohamed Sukri Omar (8,336 undi), calon Bebas, Jenice Lee Ying Ha (442 undi) dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (73 undi).
Nurul Izzah yang menang di Parlimen Permatang Pauh pula memperoleh 35,534 menewaskan calon BN, Mohd Zaidi Mohd Said (19,866 undi) dan calon PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden (14,428 undi).
Ketika ini, dua beranak yang berada dalam Dewan Rakyat ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz; Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng serta Gobind Singh Deo dan Ram Karpal.

Friday, 12 October 2018

Wany Hasrita Bintang Paling Populor (ABP31)


SAAT nama Wany Hasrita diumumkan sebagai Bintang Paling Popular dalam acara Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31), bukan sahaja penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu itu yang terkejut besar, malah hampir kebanyakan penonton juga terpukul reaksi sama.
Masakan tidak, Wany telah memecah tradisi dengan mengembalikan kemenangan anugerah Bintang Paling Popular ke tangan seorang penyanyi.
Kali terakhir penyanyi yang memenangi anugerah terbesar itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza pada tahun 2009 dalam ABP22.

Bagaimanapun, tidak sampai beberapa minit dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada acara yang berlangsung di Pusat Konyensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad lalu itu, Wany sudah dihujani kecaman netizen yang mempersoalkan kemenangannya.

Rata-rata khalayak menyifatkan Wany yang baru dua tahun dalam industri seni tidak layak untuk menggenggam anugerah unggul tersebut.

Malah, ada juga kata-kata nakal netizen yang mendakwa pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu mengambil jalan pintas untuk menang dengan membeli undi. Hal ini kerana selain Bintang Paling Popular, Wany turut membawa pulang anugerah Penyanyi Wanita Popular menewaskan Ara, Fazura, Siti Nordiana dan Stacy.
Menafikan dakwaan tersebut, penyanyi berusia 26 tahun itu menjelaskan tiada sebab untuknya membazir sejumlah wang semata-mata mahu membeli undi.
“Jika orang lain terkejut dengan kemenangan ini, saya bertambah terkejut kerana langsung tidak jangka menang sebagai Bintang Paling Popular. Saya memang tidak membeli undi. Jika benar saya beli undi, tidak perlulah peminat saya bersengkang mata siang malam untuk membuat undian.
“Walhal saya sendiri menyaksikan usaha peminat yang membuat undian setiap sejam menggunakan banyak komputer tanpa tidur. Lagipun tiada sebab untuk saya membazirkan wang semata-mata membeli undian,” ujar Wany yang membawa pulang sebuah kereta Citroen C4 Picasso berharga RM126,000 dan trofi.
Bercerita lanjut mengenai kecaman yang diterima dek kemenangannya, penyanyi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dari Management and Science University (MSU), Shah Shah Alam, Selangor itu sedar pandangan negatif netizen terhadapnya.
“Sebaik membaca banyak komen netizen yang mempertikaikan kemenangan dalam ABP, saya jadi sedih,” kata Wany cuba tawa.

Layak

Menyeka kesedihan daripada merosakkan emosinya, trofil Bintang Paling Popular yang dijulang tersebut disifatkan Wany tidak hanya hadiah, bahkan hadir sebagai satu tanggungjawab berat.
Mengakui tertekan, Wany mahu memastikan dirinya benar-benar layak menggenggam anugerah tersebut. Justeru, dia mahu mengatur langkah untuk menjadi seorang penyanyi benar-benar berkualiti.
“Sudah tentu saya tertekan kerana harapan orang terhadap saya semakin tinggi. Sebenarnya, saya telah mula mengikuti kelas vokal secara mingguan untuk meningkatkan kemahiran nyanyian.
“Saya pasti akan terus dikecam. Jadi, saya harus kuat dari segi fizikal dan mental. Menang anugerah Bintang Paling Popular tidak bermakna saya boleh berasa lega, sebaliknya semakin banyak kerja yang perlu dilakukan demi keyakinan diri dan peminat merasakan saya benar-benar layak mendapat anugerah tersebut,” tutur Wany.
Selain anugerah berprestij tersebut, jurucakap produk penjagaan diri Himalaya itu dilamar sebagai duta sebuah jenama telefon terkenal. Bersyukur dengan rezeki yang diterimanya, Wany yang mendapat beberapa tawaran lakonan bagaimanapun memberitahu, dia hanya mahu fokus terhadap kerjaya nyanyian.
“Saya pernah berlakon dalam sebuah video untuk kempen buli siber yang memerlukan saya menangis. Biarpun sekadar video pendek tetapi saya perlu berlakon sambil menangis sampai sakit kepala. Pengalaman itu membuka mata saya bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang pelakon.
“Jadi, buat masa ini biarlah saya fokus terhadap kerjaya nyanyian sahaja. Namun, saya tidak tahu seandainya pada masa depan akan terbuka hati dan mempunyai masa untuk berlakon, mungkin saya akan pertimbangkan,” kata Wany.

Rezeki berkahwin

Sementara itu, pasangan pelakon popular Fattah Amin dan Nur Fazura pula meraih perhatian apabila mereka membawa pulang anugerah Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan dalam kategori online sebagai Pasangan Serasi Bersama. Kesemua kemenangan tersebut adalah impak persembahan cemerlang mereka menerusi drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella.
Menurut Fattah, kemenangan yang diterimanya pada ABP31 kali ini cukup bermakna, apatah lagi drama Hero Seorang Cinderella mempertemukan jodoh mereka sehingga bergelar pasangan suami isteri.
“Memang sangat bermakna sebab drama tersebut yang mempertemukan jodoh dan buat kami menang. Tambahan, menang sebagai pasangan suami ini boleh dikatakan sebagai rezeki kahwin,” tutur Fattah yang berjaya mempertahankan kategori Pelakon TV Lelaki Popular untuk dua tahun berturut-turut.
Kemenangan Fatah secara tidak langsung membuktikan pembubaran kelab peminat Fattah The FA Team langsung tidak menggugat statusnya sebagai salah seorang bintang popular di Malaysia. Sokongan umum terhadapnya masih padu meskipun tanpa kelab peminat rasmi.
“Sebagai isterinya, saya melihat sendiri kesabaran dan keikhlasan Fattah dalam menghadapi pelbagai dugaan. Kemenangan ini membuktikan, 10 orang peminat hilang ia berganti dengan 10,000 lagi pengikut setia yang menyokongnya tanpa sebarang syarat,” jelas Fazura.
Fazura yang setia di sisi suaminya juga terkejut apabila pertama kali membawa pulang anugerah Pelakon TV Wanita Popular. Menerusi acara yang sama pada tahun lalu, Fazura membawa pulang anugerah Pelakon Filem Wanita Popular.
“Sudahlah saya berlakon sebuah drama 10 tahun sekali sahaja, apabila menang dengan sebuah drama, saya rasa cukup bertuah dan berterima kasih kepada peminat. Maknanya, drama Hero Seorang Cinderella benar-benar meninggalkan impak kepada peminat,” kata Fazura sambil memberitahu mempunyai perancangan untuk bergandingan bersama suaminya dalam sebuah drama terbaharu tidak lama lagi.
Tidak kurang menarik perhatian adalah penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima oleh primadona Noor Kumalasari.
Pernah menghasilkan 12 buah album dan berlakon dalam 19 buah filem termasuk Bayangan Maut dan Esok Untuk Siapa, wanita berusia 62 tahun itu merupakan emas tempawan pada zamannya.
Menyentuh tentang anugerah yang diterima, kata Noor Kumalasari, ia merupakan suatu kejutan apabila masih dihargai walaupun sudah mengambil keputusan untuk bersara sekitar 10 tahun lalu. Bagaimanapun, beliau tetap diburu pihak produksi sehingga akur untuk kembali dengan sebuah telefilem, Pintu No. 9 dua tahun lalu.
“Saya hampir menangis apabila mereka menayangkan semula filem dan lagu-lagu saya di atas pentas. Ia membuatkan saya mengimbau kembali zaman silam ketika masih aktif sebagai anak seni. Terima kasih kerana masih sudi menghargai saya di atas pentas glamor seperti ini,” luah Noor Kumalasari.
Biarpun baru dua tahun bergelar penyanyi, Wany Hasrita mencetus kejutan apabila membawa pulang trofi Bintang Paling Popular pada acara Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Ahad lalu.

Saturday, 29 September 2018

Pertandingan 7 penjuru di Port Dickson


PORT DICKSON - Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen P.132 Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Pas dan lima calon Bebas.
Pertandingan itu disahkan selepas Pengurus Pilihan Raya Parlimen Port Dickson , Khairy Maamor mengumumkan senarai calon yang bertanding pada pukul 11 pagi ini.
PH diwakili Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, manakala calon Pas ialah Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazri Mokhtar, 57.
Sementara dua calon Bebas terdiri daripada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 69 dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd.Saiful Bukhari Azlan, 33
Tiga lagi calon Bebas lain ialah Stevie Chan Keng Leong, 51, Lau Seck Yen, 51, dan Kan Chee Yuen, 45, manakala pencalonan A. Rajendra, 50,  sebagai calon Bebas ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Proses penamaan calon bagi PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson dibuka pada 9 pagi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.
Ia diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Seramai 75,770 pemilih berdaftar dengan 68,468 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.
SPR menetapkan 13 Oktober depan sebagai hari mengundi, manakala hari mengundi awal pada 9 Oktober 2018.
PRK Parlimen Port Dickson merupakan PRK keempat diadakan sejak PRU-14 iaitu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor. - K! ONLINE

Saturday, 22 September 2018

Saleem separuh sedar di ICU


KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda Saleem yang terlibat dalam kemalangan semalam kini dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang.
Isterinya, Julia Bachok berkata, suaminya itu kini berada dalam keadaan separuh sedar selepas dilanggar sebuah kereta ketika keluar membeli barang berdekatan rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras di sini.
Kata isterinya lagi, Saleem atau nama sebenar A. M Salim Abdul Majeed dijadualkan bertemu peminat di Shah Alam pada sebelah malam hari kejadian.
"Dia ada beritahu hendak keluar sebentar beli barang dan tidak sangka pula terlibat dalam kemalangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Mengulas tentang gambar keadaan Saleem yang tersebar di laman Facebook, Julia memohon orang ramai tidak menularkannya dan mendoakan yang terbaik.
"Saya tiada niat untuk menyembunyikan cerita tapi tidak mahu orang ingat saya minta simpati," katanya lagi.
Plantun lagu Suci Dalam Debu itu kini dalam proses untuk dipindah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut. – K! ONLINE

Friday, 14 September 2018

Accapan sembunyi derita sakit daripada keluarga


PUCHONG - Penderitaan pelakon dan pelawak terkenal era 80-an, Accapan atau nama sebenarnya R. Samynathan, yang meninggal dunia kerana kegagalan buah pinggang pagi tadi, hanya diketahui keluarganya tiga bulan lepas.
Anak sulung mendiang, S. Vikneshwaran, 31, berkata, mendiang bapanya jarang bercerita tentang penyakitnya kepada keluarga.
"Sewaktu bapa dirujuk ke Hospital Putrajaya sebulan lepas, penyakitnya sudah mencapai tahap tiga. Setelah empat hari masuk wad, doktor memberitahu status kesihatannya telah pun berada di tahap kritikal dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan doktor pakar," kata Vikneshwaran yang bekerja sebagai pengurus bank di Sydney, Australia ketika ditemui Bernama di sini.
Beliau menyifatkan kehilangan bapanya yang berusia 63 tahun itu sebagai satu tamparan hebat kepada keluarganya terutama ibunya, S. Yogeswari, 53, serta adik perempuan bongsunya, S. Yhuveneshwary, 24, kerana mereka tinggal bersama dan sangat rapat.
"Bapa sempat berpesan pada saya supaya menjaga ibu dan adik serta sentiasa menjaga kebajikan mereka," kata Vickneshwaran. - Bernama