Sunday, 23 September 2012

Eizlan Yusoff tidak jauh hati

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my





MESKIPUN pernah berada di kemuncak populariti, Datuk Eizlan Yusof tidak mendabik dada. Berpegang kukuh resam padi, makin berisi makin menunduk, tiada istilah ‘hanya hero’ dalam kanvas seninya.

Bahkan dari awal pembabitan jejaka kacak yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 14 Julai 1971, tidak memilih watak. Hero mahupun sampingan, andai ada impak pasti diterima dengan lapang dada. Justeru tidak hairanlah mengapa biarpun sudah ada nama, dia tidak segan melakonkan watak kecil dalam mana-mana produksi baik di layar perak mahupun kaca. 

Karier Eizlan berjalan lancar bahkan bakatnya diiktiraf di Anugerah Skrin TV3 97/98 untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Panas dan tahun berikutnya, mengungguli trofi Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia ke-14 melalui persembahan berkesan dalam filem Perempuan Melayu Terakhir.

Kini pada usia 41 tahun dan bapa kepada dua anak, Vee Zaara, 4, dan Zareef Yusof, 2, hasil perkongsian hidup dengan Vie Shantie Haroon Khan pada 7 Julai 2007, wajah Eizlan terus menghiasi skrin televisyen dan layar perak.

Bermula dengan Kad Cinta pada 1994, Eizlan membintangi Lurah Dendam, Amelia, Panas, Raja Melewar, Perempuan Melayu Terakhir, Mendam Berahi, Black Maria, Pontianak Harum Sundal Malam, Cinta, Impak Maksima, Sepi, Senario The Movie; Episode 1, Pisau Cukur, Damping Malam, Ratu The Movie, Senjakala, Songlap, Gerimis Mengundang dan 8 Jam. 

Ikuti temubual istimewa bersama aktor ini yang sudi berkongsi cerita terkini, pengalaman dan pandangannya.

Ramai artis senior mengeluh usia meningkat tawaran semakin kurang. Kalau muncul hanya watak abang atau bapa dan tiada lagi gelaran hero. Adakah senario itu turut Datuk lalui?

Jujur, dari dulu saya tidak kisah watak besar atau kecil kerana yang lebih penting bagi saya adalah keberkesanan watak itu. Pernah beberapa kali apabila ditawarkan watak besar, saya pilih watak kecil kerana ia lebih berkesan malah ada beberapa filem saya minta watak pembantu biarpun asalnya diberikan watak utama. Mungkin kerana itu apabila usia meningkat, saya dapat terima senario itu dengan hati terbuka. Sikit pun saya tidak mengeluh atau berjauh hati apabila diberikan watak abang atau bapa. Saya sudah pernah jadi hero, biarlah orang muda pula merasa. Bagusnya, permintaan untuk watak abang dan bapa lebih banyak dari hero. Industri perlukan ramai pelakon untuk memenuhi permintaan itu tetapi yang ada sekarang, hanya boleh dibilang dengan jari. Sebagai contoh, pelakon seangkatan saya ramai yang jadi ahli perniagaan, penerbit dan mengarah. Masa untuk mereka kembali ke lokasi penggambaran sangat terbatas maka banyak kekosongan dapat diisi mereka yang masih aktif. Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya tidak pernah putus dan saya akan terus beraksi selagi diperlukan.



Antara depan kamera dan belakang tabir, manakah keutamaan Datuk kini? 

Biarpun banyak terbabit dengan belakang tabir, aktif menulis skrip, bertindak selaku penyelaras dan terbaru bergelar pengarah, keutamaan saya tetap lakonan. Itu jiwa saya. Pun begitu, saya ‘enjoy’ dengan kedua-duanya. Sebelum ini saya diberi peluang membantu mengarah dalam beberapa projek dan buat pertama kalinya, saya mendapat kepercayaan mengarah sepenuhnya menerusi drama komedi Lima Bujang untuk RTM baru-baru ini.

Syukur ada yang mula panggil saya mengarah. Pernah pada 2008, saya tidak berlakon kira-kira 10 bulan kerana sibuk menguruskan syarikat yang baru saya tubuhkan, Blackstone Dagangan Sdn Bhd. Syarikat itu menjalankan perniagaan arang batu di Kalimantan. Ketika itu banyak tawaran berlakon tetapi terpaksa saya tolak berikutan tidak cukup masa. Nyaris saya mengumumkan mahu bersara tetapi selepas mendapatkan pandangan keluarga dan beberapa sahabat karib, niat itu tidak jadi. Sayang pula mahu tinggalkan bidang seni yang sudah jadi makanan saya.

Apabila putuskan untuk terus aktif, saya kena bijak bahagikan masa antara keluarga, perniagaan dan karier seni. Alhamdulillah setakat ini saya tidak ada masalah dengan pembahagian masa malah keluarga sangat memahami terutama isteri.

Selain bakat, Datuk mempunyai rupa paras kacak dan ia menjadi tarikan yang membolehkan Datuk berada di puncak populariti satu ketika dulu. Secara peribadi, adakah Datuk percaya rupa itu aset penting untuk berjaya dalam industri ini atau ia sekadar bonus? 

Bagi saya ia bonus, bukan aset penting. Apabila ada rupa, peluang lebih terbuka dan kita kena bijak menggunakan kesempatan itu untuk perbaiki diri agar dikenali sebagai pelakon berbakat besar. Saya mula menceburi bidang ini pada 25 Oktober 1994 menerusi filem Kad Cinta. Puan Julie Dahlan memberi peluang saya berlakon di samping Nasha Aziz selepas diperkenalkan anaknya, Harry Boy. Sejak itu, saya berusaha keras memperbaiki mutu lakonan kerana tidak mahu dicop pelakon yang hanya bersandarkan rupa saja. Syukur, bakat saya diiktiraf apabila menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 1997/1998 menerusi Panas.



Projek terbaru? 

Saya terbabit dengan penggambaran filem Balun arahan Bob Aziz Singah. Filem lakonan saya, Aji Noh Motor sudah menjengah pawagam Khamis lalu manakala filem Pak Pong dalam peringkat proses akhir. Selain berlakon dan sibuk dengan kerja belakang tabir, saya terbabit secara aktif sebagai penyelaras filem tempatan khususnya dalam aspek promosi. Saya dapat jalan untuk bawa filem kita ke pasaran luar. Setakat ini dua penerbit sudah bersetuju untuk bekerjasama. Sudah sampai masanya kita ambil langkah berani untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Jika tidak terikat dengan komitmen kerja, bagaimana Datuk menghabiskan masa senggang? 

Saya akan fokuskan perhatian sepenuhnya terhadap isteri dan anak-anak. Saya suka lepak di rumah dan bawa anak-anak berjalan pada hujung minggu. Kerana tidak selalu dapat lapangkan masa untuk anak-anak, saya sangat memanjakan mereka. Saya lebih suka guna pendekatan berlembut dengan anak. Biasanya yang lebih tegas isteri saya. Setakat ini dua anak sudah memadai bagi saya tetapi jika ada rezeki lagi selepas ini saya tidak tolak.

No comments:

Post a Comment