Monday, 29 October 2012

Lif flat kena bakar, komponen dicuri

Oleh MAHFUZ MOHAMAD(mahfuz.mohamad@kosmo.com.my)


KUALA LUMPUR - Kira-kira 3,000 penduduk Flat 700, Pandan Perdana, Cheras di sini kesal apabila perbuatan merosakkan kemudahan perkhidmatan lif oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Terbaru, sebuah lif yang baru sahaja dibaiki kembali rosak selepas dibakar oleh individu yang dipercayai juga merupakan penduduk di flat 10 tingkat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Flat 700, Tong Tick Chong berkata, kebakaran kira-kira pukul 9 malam itu disedari oleh penduduk yang kebetulan lalu di kawasan tersebut sebelum dia sempat memadamkannya daripada merebak.
"Flat ini mempunyai lapan buah lif dan lima sahaja yang berfungsi termasuk yang dibakar, manakala baki tiga lagi tidak boleh dibaiki langsung kerana mengalami kerosakan yang teruk.
"Pada mulanya penduduk menyangka kerosakan tersebut boleh dibaiki, tetapi setelah jawatankuasa pengurusan yang baharu menyiasat, didapati komponen seperti kabel serta mesin untuk menggerakkan lif telah dicuri," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan Dewan Undangan Negeri kawasan Teratai, Ben Liew Pok Boon memberitahu, kerugian yang ditanggung akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu mencecah RM200,000.
"Ekoran kejadian itu, satu laporan polis dibuat dan suspek telah pun dikenal pasti.
"Hasil daripada laporan tersebut, pihak polis telah membuat rondaan di setiap tingkat dan melantik wakil penduduk untuk memaklumkan kepada mereka jika terdapat sebarang perkara yang mencurigakan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Flat itu sebelum ini bukan sahaja menghadapi masalah lif rosak akibat vandalisme tetapi juga kerosakan pam air yang mengakibatkan penduduk kadangkala terpaksa menanggung masalah tekanan air rendah.

Saturday, 27 October 2012

Beli kucing berharga RM100,000

Oleh ADHAM SHADAN(adham.shadan@kosmo.com.my)


KOTA BHARU – Seorang peminat kucing dari Adelaide, Australia sanggup membelanjakan RM100,000 bagi memenuhi hasratnya memelihara seekor kucing Bengal dari Moscow, Rusia.
Kucing betina yang bernama Polar Day itu pada awalnya dibeli oleh Julie Menadue Sancheita, 50, dengan harga RM30,000 tetapi melonjak sehingga mencecah RM100,000 apabila terpaksa menanggung kos perjalanan, insurans, kuarantin, perubatan dan makanan.
Polar Day sempat membesar di Malaysia apabila dikehendaki dikuarantin sekurang-kurangnya enam bulan di negara transit seperti yang disyaratkan kerajaan Australia terhadap kemasukan haiwan asing.
Ketika dihantar oleh pemiliknya, Svetlana Ponomareva, 50, dari Moscow Februari lalu, kucing tersebut baru berusia tiga bulan dan kini telah mencecah usia setahun.
Kelmarin, kucing itu yang dikuarantin di pusat pemeliharaan dan pembiakan kucing di negeri ini, Cattery Kittun Katz, telah dihantar ke Australia untuk diserahkan kepada Julie.
Pemilik Cattery Kittun Katz, Hezlin Fazrina Abdul Hadi Nor, 34, berkata, Polar Day terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 20,000 kilometer kerana perlu melalui beberapa siri kuarantin sebelum bertemu pembelinya itu.
link : http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Saturday, 20 October 2012

Kelantan Juara Piala Malaysia 2012



SHAH ALAM - Kelantan mengesahkan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam babak akhir, semalam.
Indra Putra Mahayuddin layak dijulang selaku wira The Red Warriors apabila jaringannya pada masa tambahan pada minit ke-96 hasil serangan pantas, menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 sekali gus menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam sejarah bola sepak Kelantan.

Jaringan kemenangan daripada Indra itu seolah-olah mengesahkan kata-kata pengendali Kelantan, Bojan Hodak pada sidang media pengurus pasukan kelmarin, yang mengatakan ATM tidak dapat bertahan sehingga penghujung perlawanan kerana terdiri daripada ramai pemain berumur.
Berpunca daripada gerakan pantas Shakir Shaari dan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya yang tidak dapat dibendung pemain ATM, Indra pantas mencari ruang kosong sebelum melepaskan rembatan menarik ke arah sebelah kanan pintu gol.

Sebelum itu, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dua kali meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-44 dan 50, namun dapat disamakan sebanyak dua kali oleh ATM melalui Rezal Zambery Yahya pada minit ke-49 dan Marlon Alex James pada minit ke-62.

Kekalahan ATM bermakna tiada lagi magis Hairuddin Omar dalam penampilan final kelima Piala Malaysia apabila buat pertama kali pemain berusia 33 tahun itu gagal membawa pulang trofi keagungan bola sepak negara bersama pasukan yang diwakilinya selepas melakukannya empat kali sebelum ini bersama Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Dalam aksi akhir yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra serta kira-kira 80,000 penonton itu, kedua-dua pasukan berjaya menampilkan permainan menghiburkan tetapi diselangi kekecohan di babak terakhir perlawanan ekoran keputusan pengadil yang mengundang kontroversi.

Malah, hampir terjadi pergaduhan ketika perlawanan tinggal lima minit untuk ditamatkan selepas pemain ATM bertindak meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir yang cedera diberikan rawatan namun pengadil, Nafeez Abd. Wahab pantas membendung insiden lebih buruk daripada terjadi.
Barisan tengah ATM dilihat cukup pincang pada babak pertama biarpun dibarisi pemain berpengalaman seperti Rezal Zambery Yahya dan Bruno Martelotto apabila gagal merencanakan sebarang gerakan menarik.

Christie Jayaseelan dilihat sedikit gugup pada penampilan pertama di final selain Marlon Alex James dapat dirantai kemas oleh Obinna Nwaneri.

Situasi itu bijak dieksploitasi oleh Kelantan sepenuhnya yang mempamerkan rentak penuh bertenaga dengan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat dengan salah satunya menembusi gawang ATM pada minit ke-44.

Kesilapan Farizal Harun yang tidak menangkap kemas rembatan Mat Yo yang menerima umpanan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya membuka tirai jaringan Kelantan, ketika perlawanan separuh masa pertama hanya menunggu masa untuk ditamatkan.

Pengendali ATM, B. Sathianathan bagaimanapun ternyata mempunyai percaturannya tersendiri pada separuh masa kedua dan pasukannya hanya menunggu masa selama empat minit sebaik permainan bermula untuk menyamakan kedudukan melalui Rezal Zambery hasil sepakan leret dari jarak 25 meter.
Kegembiraan ATM bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila Norshahrul sekali lagi membuktikan bisanya belum hilang menerusi serangan balas pantas dan memperdaya K. Reuben sebelum melepaskan sepakan yang tidak diselamatkan Farizal.

Namun, semangat juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan dua pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.

Selepas Venice dijatuhkan berhampiran kotak penalti di sebelah kiri pintu gol Kelantan, Marlon melonjak tinggi menanduk masuk ke dalam gawang bagi gol penyamaan ATM pada minit ke-62.
Kelantan bagaikan berada dalam lamunan kira-kira 15 minit perlawanan selepas ATM dapat menyamakan kedudukan tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan sehingga memaksa perlawanan diheret masa tambahan.
             
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lawak tengah malam edisi selepas Piala Malaysia 2012 >

Tajuk surat khabar besok , " Penduduk Kelantan gagal mengeluarkan wang di mesin ATM . "

Friday, 19 October 2012

Mr. Os dirawat di Hospital Serdang kerana ketumbuhan tekak


KUALA LUMPUR - Pelakon dan pelawak, Mohd. Yusof Abdul Hamid atau Mr. Os, 50, dimasukkan ke Hospital Serdang, Selangor selepas disahkan menghidapi ketumbuhan pada tekak.
Selain itu, juara Maharaja Lawak Mega itu turut disahkan mengalami masalah saluran jantung.

"Pagi semalam (kelmarin), saya ke hospital untuk membuat pemeriksaan tekak sebab sakit dan sukar bercakap.
"Selepas diperiksa, doktor beritahu saya ada masalah jantung tersumbat dan ketumbuhan pada tekak," katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Mr. Os tidak dimaklumkan tempoh dia dirawat di hospital tersebut namun jika tiada sebarang komplikasi, pelakon filem Awang Spanar itu dibenarkan keluar hospital hari ini.

Saturday, 6 October 2012

Pengguna keliru kepada siapa patut aju aduan


KUALA LUMPUR: “Jalan raya rosak adalah masalah yang sentiasa berlarutan dan menjadi rumit apabila pengguna tidak tahu siapa yang patut diajukan aduan,” kata Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Malaysia (PPJM), Hamdan Taha.
Menurut Hamdan, kebanyakan masalah jalan raya rosak berlaku di sekitar Selangor mengikut aduan yang diterima PPJM menerusi panggilan telefon dan e-mel daripada pengguna.

“Bagi pengguna jalan raya, kita sebagai pembayar cukai mempunyai hak menuntut mana-mana pihak sama ada kerajaan pusat atau negeri agar mengambil kira keadaan jalan raya. “Apa yang berlaku, segelintir pengguna tidak faham jalan raya itu di bawah status jalan persekutuan atau negeri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Hamdan berkata, masalah jalan raya membabitkan lima pihak bertanggungjawab iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan Persekutuan, pihak swasta seperti konsesi lebuh raya dan pejabat daerah atau Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Situasi lazim berlaku apabila aduan dibuat pengguna, berlaku tolak-menolak antara pihak bertanggungjawab ini. Jika berlaku di lebuh raya, ia mudah dipastikan kerana syarikat swasta lebih peka pada perniagaan mereka,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 06/10/2012


Website PPJM http://www.ppjm.com.my