Thursday, 29 November 2012

‘Usah terlena kemenangan ini’

CANTIK...jaringan keempat skuad negara dijaringkan Khyril Muhymeen Zambri (tengah).
CANTIK...jaringan keempat skuad negara dijaringkan Khyril Muhymeen Zambri (tengah).


“LUPAKAN kemenangan malam ini (semalam) dan fokus kepada perlawanan seterusnya. Itu mesej jelas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal selepas menyaksikan anak buahnya mencatat kemenangan pertama menewaskan Laos 4-1 pada aksi Kumpulan B Piala Suzuki AFF malam tadi.
Katanya, kebangkitan yang dipamerkan pemain selepas tewas 0-3 di tangan Singapura pada perlawanan pertama Ahad lalu memberikan keyakinan untuk berdepan Indonesia Sabtu ini bagi mencari tempat ke separuh akhir.

“Saya mengarahkan pemain bermain dengan agresif dalam permainan. Kami mengawal permainan tapi kesilapan Safiq Rahim memberikan bola kepada pasukan lawan membolehkan Laos menyamakan kedudukan.
“Gol penyamaan itu memberikan keyakinan kepada Laos dan sepatutnya kita menjaringkan empat dan lima gol pada babak pertama. Pemain beraksi dengan baik dan kami berhak menang perlawanan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Saingan Kumpulan B kini terbuka dengan Indonesia mendahului menerusi empat mata, diikuti Singapura dan Malaysia berkongsi tiga mata manakala Laos satu mata di tangga tercorot.

Rajagobal berkata saingan merebut dua tempat ke separuh akhir pasti menarik Sabtu ini.

“Semua pasukan mahu menang, ia bukan mudah. Indonesia bermain dengan bagus pada perlawanan kedua, saya harap kami boleh meneruskan kecemerlangan ini,” katanya.

Bagi jurulatih Laos, Kokichi Kimura beliau memuji permainan Malaysia dan mengakui anak buahnya gagal menyaingi kepantasan skuad juara bertahan itu.

“Perlawanan hari ini agak pantas dan pada babak pertama kami bernasib baik menjaringkan gol. Pemain saya kurang stamina manakala pemain Malaysia pula bermain dengan baik.

“Pemain Laos tidak mempunyai pengalaman, perlawanan terakhir lebih sukar tapi kami tidak akan berputus asa. Walaupun tenaga kurang dan pemain mengalami kecederaan kami tidak akan putus asa,” katanya.

Laos mengikat Indonesia pada perlawanan pertama 2-2 namun beliau menganggap kekuatan Malaysia dan Indonesia tidak jauh berbeza.

Skuad kendalian Kimura akan membuat perhitungan terakhir Kumpulan B menentang Singapura di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.


‘Anggap saya sudah kembali’

PENYERANG negara, Safee Sali.
PENYERANG negara, Safee Sali.

MALAYSIA 4 LAOS 1


PENYERANG negara, Safee Sali mengakui sudah mendapat kembali keyakinannya selepas membantu skuad negara menewaskan Laos malam tadi.
Penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu nyata mempunyai aura tersendiri apabila diperlukan seperti mana edisi dua tahun lalu.

“Walaupun hanya satu jaringan, ia tetap memberikan keyakinan kepada saya untuk meneruskan memburu lagi gol dalam saingan selepas ini.
“Lebih penting, gol yang saya jaringkan itu menaikkan keyakinan dan semangat rakan sepasukan untuk memburu tambahan jaringan,” katanya yang turut membuat lambang S menggunakan jarinya selepas menggegarkan gawang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Safee meledak jaringan kedua selepas Safiq Rahim membuka jaringan untuk skuad negara, diikuti jaringan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd Khyril Muhyameen Zambri.

Bagaimanapun Safee tetap kecewa apabila gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan lebih banyak gol.

“Mungkin saya terlalu gopoh dan ghairah mahu menjaringkan gol," katanya yang turut bimbang mengenai keadaan padang teruk.

Saturday, 17 November 2012

Iqram hilang trauma



TERSELAMAT daripada terlibat sama dengan kemalangan yang menimpa kru Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) pada awal November ini, pelakon dan pengacara Iqram Dinzly, 31, mendapat iktibar yang cukup besar.
Segalanya nampak mudah tetapi jika dimuhasabah secara dalam, dia melihat satu keajaiban depan mata.
"Semasa turun dan melihat van yang terbalik itu saya jadi sebak. Bukan sahaja sebak kerana menyaksikan kawan-kawan yang cedera parah, tetapi sebak kerana membayangkan saya sendiri sepatutnya berada dalam van berkenaan," katanya menceritakan kelewatan telah menyelamatkan nyawanya baru-baru ini.
"Kalau hendak diceritakan, mungkin orang tidak akan percaya. Tapi saya sendiri pelik, pagi itu saya terbangun lambat, kira-kira pukul 6.30 pagi. Kalau fikir hendak cepat, boleh sahaja saya 'lepaskan' solat Subuh, tapi saya buat juga. Hendak dijadikan cerita, saya terlupa doa qunut, jadi saya ulangi semula solat pagi itu. Apabila selesai, barulah mulakan perjalanan ke TV3 kerana orang yang sepatutnya menjemput saya tidak dapat dihubungi. Tak sangka, itu yang terjadi," katanya masih bersisa sebak di dada.

Pierre sudah lima bulan masuk tabligh



GAMBAR Pierre siap berkopiah putih yang diambil dari Intagramnya.

UCAPAN Pierre Andre saat menerima trofi Anugerah Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2012 menggegarkan banyak jiwa. Bermacam persoalan dan andaian juga dibuat. Paling utama, kecenderungan anak sulung pelakon handalan Khatijah Tan itu terhadap ilmu agama terbuka jelas.
"Ya, benar sekarang saya sedang dalam penghijrahan untuk lebih mengenal agama dan Allah dan Rasul tetapi hijrah saya ini tidak akan berlaku secara drastik, saya takut fitnah," katanya membuka cerita tentang kehidupan baharu yang sedang dilaluinya ketika ini.
Jumaat lalu, Pierre membuka mulut di pentas yang disaksikan lebih empat juta penonton dengan kalimah 'Bismillah.'
"Anugerah paling hebat ialah kalimah 'Lailahaillallah,' jagalah kalimah ini dalam diri kita, love Allah dan love Muhammad," ucap Pierre dalam majlis itu.
Menghuraikan lagi mesej sebenar yang ingin disampaikannya, kata Pierre:
"Itu juga satu dakwah daripada saya. Saya memang minta doa kepada Allah agar jalan dakwah saya dibuka, dan Alhamdulillah saya diberikan kesempatan. Selama 10 tahun dalam bidang seni, itulah kali pertama saya diberi anugerah dan itulah siaran langsung pertama yang saya dapat untuk menyuarakan sedikit dakwah saya," katanya sambil meneruskan dengan satu pengakuan.
Demi untuk tidak mengelirukan khalayak terhadap perubahan yang berlaku ke atas dirinya, Pierre mengakui bahawa sudah lima bulan dia bergerak aktif dengan dengan mengikuti kumpulan tabligh.
"Saya sudah jadi pengarah filem sejak umur 21 tahun. Selama ini saya fikir itulah matlamat hidup saya. Akhirnya saya dapati hidup saya 'kosong.' Saya rasa dibohongi oleh dunia dan saya mula mencari.
"Seorang sahabat ajak saya menyertai tabligh. Pertama kali mencuba, saya terus jatuh cinta. Setakat ini, sudah empat kali saya keluar mengikuti aktiviti jemaah tabligh. Biasanya kami keluar selama tiga hari dan bermalam di masjid dan surau yang kami singgah. Alhamdulillah, Allah telah membuka pintu hati saya," katanya menyertai jemaah tabligh di Taman Permata, Ulu Kelang.

Monday, 12 November 2012

Chelsea mungkin hilang Terry


JOHN Terry menahan kesakitan akibat berlaga dengan pemain Liverpool, Luis Suarez dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge semalam. - AGENSI

LONDON - Chelsea bimbang musim John Terry mungkin berakhir selepas dia mengalami kecederaan lutut yang teruk ketika Blues seri 1-1 dengan Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam.
Ketua pasukan Blues berusia 31 tahun itu diusung keluar padang akibat berlaga dengan penyerang Liverpool, Luis Suarez pada babak pertama.

Bos Blues, Roberto Di Matteo berkata: "Sudah tentu kami bimbang dengan keadaan John dan kami harap kecederaannya tidak serius."

Dalam masa sama, Di Matteo kesal kerana anak-anak buahnya banyak melepaskan peluang untuk meraih kemenangan ke atas Liverpool.

Biarpun pernah mencatat kemenangan ke atas Liverpool pada perlawanan akhir Piala FA, Reds mempunyai rekod yang lebih baik ketika berdepan Chelsea dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah kepada empat perlawanan di Stamford Bridge.

Luis Suarez menjadi penyelamat Liverpool dengan gol penyamaan 17 minit sebelum tamat perlawanan bagi memadamkan kelebihan Chelsea yang mendapat gol pendahuluan melalui John Terry pada minit ke-20.
Keputusan itu menjadikan Liverpool belum tewas dalam enam perlawanan sementara Chelsea belum mampu meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

"Gol kedua cukup penting dalam perlawanan ini. Kami mempunyai banyak peluang gol namun penjaga gol Chelsea beraksi cemerlang," katanya.

Chelsea jatuh ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kehilangan dua mata berharga yang menyebabkan mereka dipintas Manchester City yang naik ke tangga kedua sementara Manchester United kekal pada tangga teratas liga.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penipu internet masuk perangkap

Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN(farhana.mydin@kosmo.com.my)



SEBAHAGIAN daripada lima lelaki Afrika yang direman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan internet semalam.

KUALA LUMPUR - Taktik licik satu sindiket yang membeli maklumat sulit pemegang kad kredit daripada pihak tertentu dengan harga murah sebelum berbelanja sakan di internet terbongkar apabila polis memberkas lapan individu termasuk tiga wanita Afrika di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan (gambar kecil) berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 28 tahun itu diberkas selepas pihaknya menerima laporan mangsa mengatakan mereka kehilangan wang atas pembelian yang tidak dilakukan pada 19 Oktober lalu.
Katanya, modus operandi sindiket ialah akan mendapatkan nama, kata laluan dan nombor telefon mangsa menggunakan taktik PhishingSelepas berjaya memerangkap mangsa, sindiket akan membeli maklumat daripada pihak tertentu dengan harga RM61 bagi setiap butiran tersebut.
Phishing ialah menggunakan alamat palsu ke laman utama sesebuah bank.
"Sindiket kemudian akan membeli barangan berjenama atau lain-lain perkhidmatan di internet seperti pakaian, beg, sewa kereta, membayar pelbagai jenis bil dan tas tangan.
"Semua barangan itu akan dijual dengan harga murah kepada rakan atau sesiapa yang berminat. Selain tangkapan, kita turut merampas tujuh buah komputer riba, 15 telefon bimbit, sebuah Ipad, dua buah cakera keras luaran, tiga pemacu pena, sejenis alat yang digunakan untuk membuat panggilan menerusi internet dan dua kad mesin pengeluaran wang automatik," katanya.
Dalam kes berasingan, Syed Ismail memberitahu, pihaknya menahan lima lelaki Afrika bagi membantu siasatan berhubung kes tipu kononnya menjual beberapa produk berjenama dengan harga murah.
"Suspek berusia antara 27 hingga 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Nilai, Negeri Sembilan semalam (kelmarin) selepas polis menerima 15 laporan daripada syarikat terlibat yang mengalami kerugian RM1.86 juta," katanya.
Ujar Syed Ismail, antara barangan tiruan yang dijual ialah sarung tangan dan pelbagai gajet terkini.
"Mangsa yang terpedaya dengan iklan tipu di beberapa laman web kemudian diarahkan untuk memasukkan wang pendahuluan sebanyak 30 peratus daripada harga yang ditawarkan. Sebaik wang dimasukkan, barangan yang dijanjikan tidak dihantar.
Katanya, polis turut merampas telefon bimbit dan komputer riba yang mengandungi bukti-bukti.

Saturday, 3 November 2012

031112 Farid Kamil & Diana Danielle


Diana, Farid bulan madu di Turki


DIANA menyarungkan cincin pada jari Farid selepas mereka diijabkabulkan di Ampang semalam.


AMPANG - Pasangan selebriti, Diana Danielle dan Farid Kamil yang selamat dinikahkan semalam memilih destinasi bulan madu mereka di Istanbul, Turki pada bulan depan.
Walaupun pada mulanya mereka merancang untuk mengerjakan umrah tetapi ia terpaksa ditunda gara-gara kesukaran mendapatkan visa ke Tanah Suci pada bulan Disember.
"Sebab itu, kami akan pergi bulan madu ke Istanbul dulu dan selepas itu mungkin terus ke Mekah," ujar Diana ketika ditemui selepas majlis akad nikah semalam.
Farid Kamil, 31, dan Diana, 21, selamat dinikahkan di Hotel Flamingo by The Lake di sini pada pukul 9.10 pagi.
Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak, Daim Jajuli berwalikan hakim disebabkan Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson tidak dapat mengesan bapa kandungnya.
Majlis turut dihadiri ibu Diana, Norsiah Ramli dan ibu bapa Farid, Datuk Dr. Zahari Che Dan dan Datin Sharifah Bardah Idid Syed Abdyllah Idid serta kira-kira 300 tetamu.

Nadia Aqilah sukar jadi diva


Petikan akhbar Kosmo 4 Nov 2012
TIADA satu pun sensasi yang melekap pada tubuhnya untuk dijadikan topik bicara. Duduk berbual dengan Nadia Aqilah Bajuri lebih tiga jam tetapi semuanya berlegar soal kerja, kerja dan kerja.
Licik sungguh si bunga yang mesra disapa Nadia ini menjaga tingkah laku. Biarpun ada nama, namun gadis berumur 27 tahun nekad bebas gosip.
Nadia bukan lagi wajah baharu dalam dunia hiburan, malah Nadia Aqilah kini sudah menjadi bualan. Jika dihitung daripada segi masa, dia sudah merasai ranjau seni sejak berusia 14 tahun. Nadia pernah menubuhkan kumpulan Luscious bersama Eenaz dan Ruzana untuk mencuba nasib dalam rancangan realiti televisyen Gangstarz pada 2007.
Dalam kerja-kerja lakon pula, gadis berbintang Leo ini sudah lima tahun bergelar anak wayang. Namun bakat yang dipahat itu masih lagi terselindung. Empunya diri ada alasan mengapa dia mahu menyorok daripada mendapat liputan luas.
Dia enggan menghulur salam perkenalan dengan peminat secara semberono biarpun sedar publisiti itu penting. Sebaliknya Nadia ada jalan positif untuk dikenali.
"Bukannya menyorok daripada media, cuma tiada apa yang mahu diceritakan. Lagipun saya tidak gemar berkongsi cerita pasal peribadi.
"Saya masih berpegang kepada kata-kata abang saya sendiri yang pernah berpesan. Katanya, kalau kita bagus, suatu hari nanti orang akan cari kita. Itulah cara yang mahu saya amalkan.
"Memang benar suatu ketika dahulu saya pernah berasa tidak senang kerana tidak dikenali. Sebaliknya kini saya sudah boleh menerima keadaan itu, bahkan selesa dengan keadaan sekarang," kata gadis yang tingginya hanya 167 sentimeter itu.
Kelibat Nadia begitu eksklusif. Kerja lakonannya tampak mengalir perlahan. Tetapi dalam senyap Nadia sibuk melakukan itu dan ini. Setelah habis dengan suatu persembahan teater, dia beralih pula kepada jadual penggambaran drama.
"Kalau tidak berlakon dalam drama, saya akan terlibat dalam produksi teater sama ada komersial mahupun skala kecil. Ada juga tawaran berlakon yang terpaksa saya tolak kerana tidak mahu jadualnya bertindih.
Lampias panggung
"Syukur kerana sehingga kini rezeki masih tidak putus. Sesuai dengan jiwa saya yang kuat bekerja ini. Jika tidak berteater atau berlakon saya akan menerima undangan nyanyian. Itu sebabnya saya tidak selalu muncul di kaca televisyen," katanya yang pernah terlibat dalam produksi teater Secret Life of Nora, Puteri Gunung Ledang The Musical, P. Ramlee The Musical dan Terima Kasih Cinta.
Tahun ini Nadia bakal menutup diari hidupnya dengan senyuman lebih melebar. Sejak Khamis lalu, filem pertama lakonannya, Zaiton Ceritaku sudahpun menjengah panggung.
Ada pengkritik filem yang menganggap naskhah itu sekadar sebuah filem lampias panggung, Nadia pula, jauh di sudut hatinya naskhah itu terakam cantik menjadi sejarah baharu buat dirinya.
"Mungkin kalau empat, lima tahun lalu saya menerima tawaran ini, saya akan terkejut. Mungkin juga saya akan sedikit menolak atau terkejut kerana mendapat tawaran sebegini. Tetapi untuk masa kini, saya sekadar menerimanya sebagai perkara biasa.


"Dari satu sudut lain pula saya bertuah kerana diberi kepercayaan membawa watak Zaiton Sameon yang begitu disanjung ketika zaman kegemilangannya. Filem ini menuntut saya bermain emosi dan diberi peranan utama," katanya yang mengenali lagu-lagu Zaiton terutamanya Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar sejak berusia tiga tahun.
Zaiton Ceritaku garapan pengarah dan pelakon Esma Daniel itu mengisahkan kehidupan Zaiton yang pernah berada di puncak populariti pada suatu ketika dahulu.
Puas jadi Zaiton
Filem biografi Zaiton yang diangkat sebagai diva itu merakam kisah ketika dia berusia sekitar 20-an hingga 50-an.
Antara yang dipaparkan termasuklah insiden kemalangan jalan raya yang merubah kehidupan Zaiton secara total. Dalam kemalangan itu Zaiton kehilangan anak lelakinya Azirwan Abu Bakar yang maut di tempat kejadian di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Batang Kali, Selangor, lebih dua dekad lalu.
Jelas Nadia, garapan yang penuh emosi itu turut memberi cabaran besar buat dirinya terutama untuk menggalas watak seorang diva yang pernah terang cahaya popularnya itu.
"Naskhah itu benar-benar ditunggu. Bukan sahaja diberi peluang untuk menggalas watak utama, tetapi dapat menyelami kehidupan seorang bintang hebat pada zamannya dan menyelami emosi Zaiton menuntut usaha yang tak sedikit.
"Biarpun orang akan menganggap ia sebagai satu kejayaan buat saya kerana menjadi teraju utama dan buat pertama kalinya berlakon dalam filem, saya tetap tidak mahu berasa hebat. Apa yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan saya ialah mendapat kepuasan dengan filem itu," katanya yang pernah terlibat dalam drama seperti Emel Emelda, Sinderella, Merah Putih, Puteri Rania dan Tari Tirana.
Perbualan tentang kerja memang tidak memenatkan mahupun membuatnya bosan. Satu persatu jika mahu diceritakan pastinya masa tidak akan mencukupi untuk meneroka lebih jauh.
Tambah Nadia yang tidak letih bercerita soal filem terbaharunya itu, penonton pasti akan pulang dengan kepuasan apatah lagi dapat mengenali kehidupan sebenar Zaiton.
"Tontonlah filem ini kerana anda akan tahu kisah hidupnya. Banyak cerita tidak benar yang disampaikan daripada mulut ke mulut. Sebenarnya dia bukannya tidak waras seperti diperkatakan, cuma perasaannya sahaja yang tertekan," kata Nadia bersemangat.
Sudah berpunya
Lumrah yang harus ditelan buat seorang yang bergelar selebriti termasuklah untuk dikorek perihal isi peribadinya. Tidak kiralah artis itu terkenal atau pun tidak, setiap gerak-geri yang diperhatikan boleh menjadi bahan bualan, sekurang-kurangnya di meja makan kedai tepi jalan.
Tidak mahu alah dengan lumrah itu, Nadia seboleh-bolehnya cuba mengunci kisah peribadi. Baginya cukuplah sekadar dia mempertaruhkan bakat dan jiwa luarannya sahaja buat tatapan peminat. Hal yang privasi mahu ditutup erat-erat.
NADIA AQILAH lebih rela menjauhkan diri daripada bercerita atau menjaja kisah peribadi .


Sengaja diusik sedikit tentang cerita peribadi, dengan kata tersusun, Nadia menolak untuk bercerita. Katanya, dia enggan menjaja kisah hidup sendiri berbanding galak berkongsi kisah kerjaya.
"Tiada apa yang perlu saya kongsikan dengan orang lain kerana ia mungkin menyusahkan saya kelak. Contohnya kalau saya jawab persoalan tentang sama ada diri sudah berpunya atau masih solo, pasti akan ada soalan susulan selepas itu.
"Lepas menjawab pasal hubungan, nanti orang mahu bertanya pula mengenai siapakah nama lelaki itu, apakah ketinggiannya ataupun dia kerja apa. Perkara ini yang lama kelamaan boleh menjerat diri saya juga. Lebih elok rasanya saya bercerita soal kerjaya sahaja," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Selain cerita lakonannya hangat di panggung, peminat boleh menonton aksi Nadia menerusi drama Dendam Pencinta di TV9. Selain bakal muncul dengan telemovie Atas Cinta Bawah Cinta di TV3 dan siri televisyen berbahasa Inggeris, I Eat KL di saluran televisyen berbayar, Nadia juga sedang sibuk berlatih untuk majlis Royal Art Charity Show pada 12 November ini.
Nadia pernah menghasilkan sebuah album solo yang mengandungi tujuh buah lagu berbahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu berjudul DIVA. Bagaimanapun album itu dianggap gagal setelah dua tahun berada di pasaran.
"Album itu tidak berjaya kerana silap percaturan dan perancangan. Tetapi saya menerimanya secara positif untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik.
"Namun buat masa ini masih belum ada hitam putih untuk menghasilkan album seterusnya. Sekadar ada perancangan sahaja. Semoga tercapai jua suatu hari nanti," ujar Nadia.