Monday, 12 November 2012

Chelsea mungkin hilang Terry


JOHN Terry menahan kesakitan akibat berlaga dengan pemain Liverpool, Luis Suarez dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge semalam. - AGENSI

LONDON - Chelsea bimbang musim John Terry mungkin berakhir selepas dia mengalami kecederaan lutut yang teruk ketika Blues seri 1-1 dengan Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam.
Ketua pasukan Blues berusia 31 tahun itu diusung keluar padang akibat berlaga dengan penyerang Liverpool, Luis Suarez pada babak pertama.

Bos Blues, Roberto Di Matteo berkata: "Sudah tentu kami bimbang dengan keadaan John dan kami harap kecederaannya tidak serius."

Dalam masa sama, Di Matteo kesal kerana anak-anak buahnya banyak melepaskan peluang untuk meraih kemenangan ke atas Liverpool.

Biarpun pernah mencatat kemenangan ke atas Liverpool pada perlawanan akhir Piala FA, Reds mempunyai rekod yang lebih baik ketika berdepan Chelsea dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah kepada empat perlawanan di Stamford Bridge.

Luis Suarez menjadi penyelamat Liverpool dengan gol penyamaan 17 minit sebelum tamat perlawanan bagi memadamkan kelebihan Chelsea yang mendapat gol pendahuluan melalui John Terry pada minit ke-20.
Keputusan itu menjadikan Liverpool belum tewas dalam enam perlawanan sementara Chelsea belum mampu meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

"Gol kedua cukup penting dalam perlawanan ini. Kami mempunyai banyak peluang gol namun penjaga gol Chelsea beraksi cemerlang," katanya.

Chelsea jatuh ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kehilangan dua mata berharga yang menyebabkan mereka dipintas Manchester City yang naik ke tangga kedua sementara Manchester United kekal pada tangga teratas liga.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment