Tuesday, 31 December 2013

Aceh haramkan sambutan tahun baru (Utusan)

BANDA ACEH 31 Dis. - Polis di wilayah Aceh yang mengamalkan pentadbiran syariah, merampas ribuan mercun dan terompet kadbod selepas pihak berkuasa untuk kali pertama mengharamkan sambutan Tahun Baharu, kata pegawai hari ini.
Serbuan dijalankan malam tadi di gerai-gerai dan kedai yang menjual barangan tersebut.
Ia bagi memenuhi fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Ulama bahawa sambutan Tahun Baharu atau mengucapkan "Merry Christmas" sebagai haram di sisi Islam.
Kerajaan Banda Aceh mempertahankan fatwa itu dengan turut mengharamkan sambutan Tahun Baharu di bandar ini. - AFP

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131231/lu_12/Aceh-haramkan-sambutan-Tahun-Baharu#ixzz2p6SEEtSn © Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, 28 September 2013

Kuala Kangsar bak bandar kolonial British(Kosmo)

Oleh Muhammad Ayman Ghaffa


MULA berkecimpung dalam bidang seni tekat sejak 35 tahun lalu, Azizah Adam cukup mahir menyulam benang emas di atas kain baldu.
Wanita berusia 53 tahun itu menyulam benang yang diimport dari Jepun dan Jerman mengikut mempulur atau acuan kertas untuk membentuk bunga kerawang pada kain baldu di atas pemidang bersaiz sederhana di hadapannya.
Hasil tekatan tangan Azizah bersama 10 pekerja syarikat miliknya iaitu Azydar Enterprise amat teliti dan halus.
Setiap hari, kerja-kerja tekatan itu dilakukan di bengkel yang terletak bersebelahan kediamannya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak.
Menurut beliau, pada zaman dulu tekat merupakan aksesori mewah dan eksklusif bagi golongan kerabat diraja.
Tekat popular dalam kalangan masyarakat Melayu terutama pada majlis-majlis rasmi. Azizah merupakan individu penting dalam pembuatan pelamin perkahwinan tiga orang cucu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
"Tekat biasanya digunakan dalam istiadat dan upacara simbolik adat Melayu seperti kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan dan majlis khatam al-Quran," jelas beliau.
Seni tekat terbahagi kepada dua iaitu tekat timbul bunga emas dan tekat gubah. Tekat timbul bunga emas menggunakan benang berwarna emas dan acuan kertas untuk membentuk rekaan bunga di atas kain baldu manakala tekat gubah pula menggunakan benang pelbagai warna serta tanpa acuan.
Rekaan tekat timbul bunga emas hanya menggunakan corak tradisional turun-temurun iaitu bunga kekwa, bunga padi, bunga raya dan bunga kerawang. Benang emas ditekat di atas kain baldu berwarna merah, biru dan hitam untuk dijadikan set tempat tidur, pelamin, tepak sirih dan cenderamata.
"Harga bagi set perkahwinan seperti tilam, bantal, cadar, kusyen dan kipas tangan antara RM3,000 hingga RM6,000. Ia juga boleh mencecah hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada rekaan," katanya yang pernah mengadakan demonstrasi kraf tangan dan pelancongan di India, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Perancis.

Istana Kenangan @ Muzium Diraja Perak kini dalam proses penyelenggaran & dijadualkan dibuka dalam masa terdekat

Bandar kolonial
Bekas syiling, tepak sirih kecil dan perhiasan kereta merupakan produk pelancongan tekat popular di Kuala Kangsar. Ia dijual pada harga RM18 hingga RM20 setiap satu.
Tekat merupakan antara produk pelancongan yang sinonim dengan daerah Kuala Kangsar selain industri labu di Kampung Sayong, pembuatan parang dan keris di Kampung Padang Changkat.
Berkunjung ke Kuala Kangsar seperti berada di sebuah bandar kolonial British. Seni bina British masih jelas kelihatan di sekitar bandar Kuala Kangsar terutama pada bangunan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford.
Keluasan kawasan pentadbiran daerah Kuala Kangsar meliputi 204.94 kilometer (km) persegi. Bagi yang ingin berkunjung ke daerah bersejarah di negeri Perak itu, pastikan anda membuat sedikit kajian mengenai destinasi-destinasi yang ingin dilawati.
Dengan hanya berjalan kaki, pelancong dapat menerokai tempat-tempat menarik di sekitar bandar Kuala Kangsar. Jeti penambang yang terletak di Dataran Sungai Perak atau Lembah merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan pelzancong di bandar itu.
Dengan bayaran RM1, anda boleh menaiki bot menyeberangi Sungai Perak ke Persisiran Sayong. Bagi yang ingin merasai pengalaman berbeza, anda perlu menyediakan tambang sebanyak RM6 untuk menikmati pemandangan Istana Iskandariah di Bukit Chandan dan jambatan Sultan Abdul Jalil dengan menaiki bot.

Mohd Rizman masih men gekalkan ramuan asli dalam laksa di restorannya.

Pondok telefon
Sekiranya berkunjung ke Dataran Sungai Perak pada hari Ahad, anda berpeluang ke Pasar Minggu Lembah untuk membeli barangan runcit, buah-buahan dan makanan tempatan yang dijual oleh masyarakat setempat.
Selain itu, kawasan Dataran Putra yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Kangsar menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong. Replika jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia dan pondok telefon merah seperti di ibu kota London pasti mencuri perhatian anda.
Tidak lengkap kunjungan anda ke Kuala Kangsar tanpa mencuba laksa Kuala Kangsar di restoran Laksa Pak Ngah di Jalan Dato Sagor. Restoran yang menghidangkan hidangan tradisi daerah itu menjadi tumpuan pelancong terutamanya pada hari minggu.
Jenama Laksa Pak Ngah bermula sejak tahun 1950-an oleh Md. Rashid Uda Jaafar yang menjual laksa dengan menaiki basikal di sekitar Kuala Kangsar.
Mohd. Rizman, 37, merupakan generasi keempat menguruskan restoran tersebut sejak mengambil alih daripada bapanya, Mohd. Tajidi Abd. Rashid pada tahun 2000.
"Kuah laksa Kuala Kangsar lebih cair berbanding laksa negeri lain. Ikan sardin, cili kering, garam dan asam gelugur merupakan ramuan penting kuah laksa ini.
"Laksa yang dihidangkan juga lebih tebal dan lembut kerana ia diproses sendiri menggunakan tepung gandum, air panas dan garam sebagai bahan utama," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Setelah puas menikmati laksa, luangkan masa seketika untuk melawat Jambatan Victoria di Karai yang dibina pada tahun 1897. Ia terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Kangsar dan merupakan antara landasan kereta api tertua di Malaysia.

Rekaan bangunan MCKK berasaskan seni bina Greece & Rom merupakan tempat yg wajib dikunjungi pelancong

Terdapat sebuah kubu Perang Dunia yang masih kukuh yang dibina berhampiran jambatan itu.
Menurut seorang penduduk yang tinggal di Kampung Seberang Karai, Mohd. Fuad Nordin, 50, jambatan itu menjadi laluan utama penduduk kampungnya ke pekan Karai sama ada dengan menaiki motosikal ataupun berjalan kaki.
"Seminggu sekali, saya akan memancing di Sungai Perak menggunakan koyan di atas jambatan ini. Sungai Perak terkenal sebagai lubuk ikan lampam, jelawat, lawang dan kelah.
"Walaupun jambatan ini berusia lebih 100 tahun, ia masih utuh dan menjadi tumpuan para pelancong malah pengarah filem terkenal, Mamat Khalid juga pernah mengadakan penggambaran di sini," ujarnya yang bekerja sebagai penoreh getah dan membuat labu di kampungnya.

Tuesday, 17 September 2013

Cira Cinta Sejati Black



TERKENA buatan orang, gosip putus tunang dan ditipu perancang perkahwinan adalah antara cerita panas yang mengisi perjalanan cinta penyanyi Black Hanifah dan pasangannya, Cira atau Naquia Yasirah Mohamad Khairi, 28, sebelum mereka sah bergelar suami isteri pada pukul 12.06 tengah hari Jumaat lalu.
Usai majlis pernikahan selesai dengan sekali lafaz di Zebra Square, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, terpancar kelegaan pada wajah Black kerana akhirnya, wanita berasal dari Pulau Pinang itu menjadi suri hidupnya.
"Alhamdulillah, saya gembira tidak terkata kerana majlis pernikahan berjalan lancar. Sekarang, saya masih menyesuaikan diri dengan panggilan suami dan memanggil Cira dengan panggilan isteri," katanya yang tersasul menyebut perkataan tunang ketika ditemu bual pihak media selepas majlis pernikahan selesai.
Walaupun detik perkenalan mereka cukup singkat, hanya dua bulan sebelum mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 26, yakin dia tidak tersalah pilih.
"Saya memang mencari wanita yang tidak mengenali saya sebagai penyanyi sebaliknya sebagai lelaki biasa. Ketika pertama kali bertemu dengannya, dia langsung tidak tahu saya penyanyi, reaksinya itu yang menambat hati saya.
"Sejak pertemuan yang diaturkan oleh rakan saya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu, saya berusaha menambat hatinya kerana bagi saya sukar untuk bertemu dengan wanita yang tidak kisah tentang glamor dan status saya sebagai penyanyi," ujarnya.
Isterinya yang duduk di sebelah mengakui cerita Black itu kerana ketika Black menyertai program realiti Mentor, dia terbang ke Melbourne, Australia untuk menyambung pelajaran dan menguruskan restoran milik ibu saudaranya di sana.
"Memang saya tidak kenal siapa Black, saya tahu lagu-lagunya tetapi saya tidak sangka dialah penyanyi tersebut.
"Dia seorang yang kelakar, manis, penyayang dan sangat menjaga keluarganya, sebab itu saya tertarik kepadanya dan rasa dia mampu menjaga saya dengan baik," ucapnya sambil tersipu malu.


Tidak sorok isteri
Meskipun majlis pertunangan mereka berlangsung senyap-senyap dan tidak dihebohkan kepada pihak media, Black menjelaskan dia tidak pernah mahu menyorokkan identiti isterinya itu.
Majlis pertunangan mereka tidak dihebahkan atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak, selain Black bimbang andai perhubungan mereka tidak kekal lama.
"Keluarga minta pertunangan tidak dihebahkan dan saya juga kalau boleh tidak mahu kecoh-kecoh. Kalau tidak jadi kahwin nanti apa orang akan kata, akhirnya saya juga yang malu.
"Saya langsung tidak berniat untuk sorok identiti isteri saya, cuma ketika itu waktunya belum tepat. Saya minta maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak. Saya tunaikan janji dengan kongsi berita perkahwinan kerana ketika itu sah kami akan berkahwin," ceritanya.
Cira yang merupakan anak saudara kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, suami aktres Datin Paduka Umie Aida pula memberitahu, dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan identitinya kerana tidak mahu menganggu kerjaya Black.
"Saya bukannya menyorok dan saya juga bukannya selebriti, jadi buat apa saya mendedahkan diri kepada peminat suami dan media.
"Ketika itu memang saya tidak mahu masuk campur langsung dengan urusan kerjayanya. Saya tidak mahu dengan kehadiran saya nanti menyebabkan wujudnya halangan antara dia dengan peminat," balasnya tegas.
Disoal sudah bersedia untuk menghadapi segala dugaan selepas bergelar isteri kepada penyanyi popular, Cira hanya tertawa dan berkata, dia tidak akan berkahwin dengan Black andai dia tidak bersedia.
"Sebelum kami berkahwin pun sudah dengar macam-macam cerita. Selagi kami percaya antara satu sama lain dan saya sokong kerjayanya bagi saya tidak ada masalah," katanya.
Anak
Bercakap tentang perancangan keluarga, terus-terang Black memberitahu dia inginkan sebuah keluarga yang besar kerana mereka berdua lahir daripada keluarga yang kecil.
"Kalau boleh saya inginkan anak segera dan tidak mahu tangguh. Bagi saya anak adalah rezeki daripada Allah. Saya anak bongsu daripada tiga adik-beradik dan Cira anak kedua juga daripada tiga adik-beradik, jika boleh saya mahu anak yang ramai (ketawa)," tuturnya.
Justeru, Black sedar dia harus memantapkan ekonomi keluarga selepas berkahwin.
"Perancangan saya tentang kerjaya pula adalah bekerja dengan lebih keras. Saya akan bekerja seperti biasa selepas majlis perkahwinan ini kerana sekarang sudah ada keluarga sendiri yang ingin ditanggung.


"Bagaimanapun, saya bukanlah cari duit sebab ingin terlalu kaya. Cukuplah bersederhana, asal cukup makan, pakai itu sudah memadai buat kami," katanya jujur.
Black merancang membawa isterinya berbulan madu sambil menunaikan umrah di Mekah bersama ahli keluarganya awal tahun depan.
"Jika tiada aral melintang kami mahu tunai umrah dahulu sebelum bercuti. Cara itu lebih baik pada pandangan saya," ucapnya mengakhiri bicara.
Penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti itu memberi mas kahwin sebanyak RM80 serta wang hantaran berjumlah RM12,000 kepada pengantin perempuan.
Rombongan pengantin lelaki memberi tujuh dulang hantaran berbalas sembilan. Barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah minyak wangi, cincin, telekung, set kosmetik, iPad mini dan sepersalinan baju.
Barangan hantaran pihak perempuan pula ialah jam tangan, kasut, sirih junjung, al-Quran, songkok, tali pinggang dan dompet, cincin serta minyak wangi.

Thursday, 12 September 2013

Lihat anak maut depan mata(Sinar Harian)

Lihat anak maut depan mata
Lihat anak maut depan mata
PARIT BUNTAR - “Ayah, adik dekat belakang mati kena langgar!” Hanya itu mampu diungkapkan kakak kanak-kanak berusia dua tahun yang maut dirempuh kereta bapanya di kediaman mereka di Taman Kerian di sini, semalam.

Lebih memilukan, kejadian tragis itu berlaku di hadapan mata bapa kanak-kanak malang itu.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Adam Mohd Ali difahamkan berada di belakang kereta Toyota untuk mengambil seliparnya manakala abangnya, Aiman Yasin Mohd Ali yang berusia empat tahun berada dalam kereta terbabit dan cuba menghidupkan kenderaan itu.

Bapa mangsa, Mohd Ali Hussin, 53, berkata, ketika kejadian, dia baru tiba di rumah selepas menghantar isterinya berniaga di Alor Pongsu, Bagan Serai dan ingin bergegas menghantar anak perempuannya ke sekolah.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumahnya, dia masuk ke dalam sebentar untuk mengambil barang sebelum terdengar bunyi bising dari luar rumah.

“Saya segera keluar dan melihat Aiman sedang bermain di tempat duduk pemandu, manakala arwah berada di belakang kereta untuk memakai selipar. Saya mendekati kereta dan terkejut melihat Aiman cuba menghidupkan enjin kereta.

“Saya cuba menahan tindakannya itu, namun dia terus menghidupkan enjin dan secara tiba-tiba kereta mengundur ke belakang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohd Ali berkata, dia kemudiannya terdengar jeritan yang diselangi suara anak perempuannya mengatakan Mohd Adam meninggal dunia akibat dilanggar.

Dia segera meluru ke belakang kereta yang mengundur hingga menyentuh dinding rumah itu dan mendapati mangsa dalam keadaan melutut sambil memegang selipar, manakala bahagian kepalanya dihimpit belakang kereta.

“Saya melihat Mohd Adam kaku di belakang kereta dan apabila kereta dialihkan ke hadapan, arwah terus terduduk.

Kepala arwah cedera dan saya segera memeriksa keadaannya serta mendapati arwah sudah tidak bernyawa.

“Saya tidak sangka kereta akan mengundur dan saya percaya Aiman memasukkan gear mengundur secara tidak sengaja ketika sedang bermain dalam kereta,” katanya.

Mohd Ali berkata, melihat keadaan mangsa, anak keempatnya, Akmal Yasin pada mulanya menyangka mangsa sedang ‘tidur’ dan mengangkatnya ke bahagian hadapan rumah.

Katanya, bagaimanapun sebaik sahaja mengetahui adik bongsunya itu sudah tidak bernyawa, kanak-kanak itu terus meluru ke arah kakaknya sambil menangis kerana dia rapat dengan arwah.

“Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga kerana arwah langsung tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Mohd Ali turut meluahkan kekesalan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir arwah yang berulang kali mengajak mereka sekeluarga pergi melancong.

“Kami sekeluarga pasrah dengan pemergian arwah, cuma saya sedih kejadian tragis ini berlaku di hadapan mata kami sekeluarga,” katanya.

Suasana pilu turut menyelubungi lokasi kejadian apabila ibu mangsa menangis teresak-esak tanpa henti sambil memeluk jenazah mangsa sehingga saat mangsa ingin dibawa polis ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikannya kes sebagai kematian mengejut.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas  Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak yang turut hadir ke lokasi kejadian meminta orang ramai terutama golongan ibu bapa supaya lebih berhati-hati mengendalikan kenderaan di pekarangan rumah masing-masing.

“Kejadian tragis wajar dijadikan iktibar kepada semua ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak kecil terutama apabila mereka berada di luar rumah,” katanya.

  • Eddie Kamarul Yahya ·  Top commenter · ITM Shah Alam.
    'Mohd Ali turut meluahkan kekesalan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir arwah yang berulang kali mengajak mereka sekeluarga pergi melancong.'....ini yang dikesalkan bapak nye tu? Sepatutnye kesal kerana LALAI dan CUAI tinggalkan kunci kereta dalam kereta!

     ·  Top commenter · Kuala Lumpur, Malaysia
    Ajal maut di tangan tuhan, berhati hati macamana sekalipun, tapi kalau itu sudah janji Nya, kita sebagai manusia harus redha. Sebagai ibu bapa jgn jemu ingatkan anak2 tentang bahaya ini.. ingatkan anak2 agar tidak berada di depan atau belakang kenderaan walaupun enjin kenderaan tak dihidupkan...
    • YB Shehan
      berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika kita katakan mak bapak cuai, kita nak hukum mak bapak tu pula? nak take action sbb cuai? dah la perit anak xdak, org nak take action pulak ke? apa perasaan kita sbg mak pak tu? so, juz igt la.. xyh ssh payah kutuk mak pa tu cuai. mak pak ni x reti jaga anak. benda kalau nak jd, anak dalam dukungan pn bleh mati. doakan saja buat arwah..
    Sherry Lynn · British Council
    Jagalah bahasa, bapa dia pun x minta benda ni jadi. Dah la mereka sedih nak cakap dia mcm tu...takziah dan sedekahkan al-fatihah. Dia pun x minta semua ni terjadi, jadikan tauladan untuk semua


    Maslina Dzul ·  · Works at Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak PTG PERAK
    bila dah terjadi jgn persoalkan lg qadaq dan qadar Allah SWT. Menyalahkan bapa mangsa sm la kita tak pndng diri sendiri, kita tau ke benda nak jd, tak ada manusia yg sempurna dan maksum smpi tau ajal maut segala...



    Monday, 29 July 2013

    Kartun tiada batasan(Gen-Y/HMetro)

    Oleh Shuhada Mansor
    Komik, baju-T , ‘action figure’, patung dan cakera padat antara barangan digilai mereka yang obses terhadap kartun. Hingga ada antaranya tidak pernah jemu mengumpul sekali gus memiliki beratus komik dan barangan yang dikumpul sejak kecil.
    Meskipun kartun sinonim dengan kanak-kanak tetapi bagi mereka, usia bukan penghalang untuk terus meminati apa yang disukai sejak kecil. Mengakui ada yang memandang sinis apabila mengetahui diri masih meminati kartun, apa yang penting kepuasan diri menjadi keutamaan.
    Sehingga kini, kartun atau animasi masih tetap wujud dan tidak ditelan zaman walaupun dunia semakin moden. Difahamkan, kewujudannya sudah lama iaitu sejak zaman perang dunia pertama lagi. Menurut sumber, antara yang popular dan terawal adalah Mickey Mouse.
    Hanya untuk lelaki?
    Pada zaman sekarang, pelbagai kartun dan animasi dicipta. Ada berpendapat, agak pelik apabila melihat wanita obses terhadap kartun. Benarkah peminat kartun dan animasi ini hanya sesuai diminati kaum lelaki saja? Pada pandangan penulis, ada logiknya. Kenyataan ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan kartunis terdiri daripada lelaki dewasa contohnya Datuk Lat dan Ujang.

    Jika diimbas kembali, sejak kecil lagi, kanak-kanak lelaki lebih suka menonton rancangan kartun berbanding kanak-kanak perempuan. Mungkin jiwa lelaki lebih terarah kepada watak adiwira seperti Dragon Ball Z, Suria Perkasa Hitam, Power Rangers dan sebagainya. Namun seiring itu, terdapat juga kartun lain yang berjaya menarik minat si gadis untuk setia meminati hingga kini seperti Power Puff Girls dan Hello Kitty.


    Minat terbahagi dua

    Menurut beberapa individu tegar, dikatakan peminat kartun, komik ataupun seangkatannya terbahagi kepada dua. Pertama, setakat suka-suka baca tetapi tidak kumpul dan keduanya, mereka yang obses dan kumpul. Bagi kelompok kedua, mereka tergolong dalam kumpulan yang panggil ‘collectors’. 

    ‘Collectors’ ini juga wujud dalam hobi lain seperti mengumpul barangan antik, setem, poskad, wangian mahupun kasut. Selalunya, mereka yang obses ini mempunyai beratus barangan berkaitan watak kartun yang digilai. Sebagai contoh Transformers, daripada baju, patung, pen, beg, komik, CD hinggalah kepada cadar, kertas dinding bilik dan kereta, semuanya berkaitan Transformers.

    Walaupun begitu, dikatakan bilangan peminat tegar semakin berkurangan. Tak ramai remaja atau belia suka kartun dan dianggarkan antara lima hingga 10 peratus saja jumlahnya kerana majoritinya gila bola sepak dan kereta.

    Bagi salah seorang peminat kartun, Izlan Fahmi, 26 berkata, jika ditanya mengenai minatnya kepada komik bukanlah sebab pengaruh kawan. Katanya, dia menyukai seni yang ditonjolkan.

    “Tidak seperti novel yang penuh melodrama, komik menggunakan bahasa lebih ringan dan mudah difahami. Lagi menarik apabila ceritanya penuh dengan gambar menjadikan pembacaan kita ada visual untuk lebih mengikuti jalan cerita berkenan. Bagi peminat komik tegar, bukan saja penceritaan dalam komik yang diminati, tetapi kebolehan pelukis menggambarkan emosi sesuatu watak sangat dikagumi,” katanya.


    Cambah kreativiti

    Kebanyakan remaja sekarang yang menonton filem kartun adalah untuk inspirasi kerja seni. Selepas menonton, mereka dimotivasikan dengan jalan cerita dan visual yang dipaparkan dalam filem. Ia membantu mereka untuk berfikir lebih kreatif sama ada menghasilkan filem kartun lebih baik atau imaginasi idea baru.

    Jika ada berpendapat kartun hanya sesuai untuk kanak-kanak ternyata tanggapan itu tidak sesuai. Kartun juga bagus untuk remaja dalam mengembangkan daya imaginasi dan cipta sesuatu yang baru. Tiada batasan umur untuk kita letakkan minat seseorang terhadap hobinya tetapi ia haruslah berpada-pada dan tidak terlalu obses hingga mengganggu perbelanjaan bulanan dan orang lain.

    Ditanya kepada peminat tegar ini bilakah mereka akan berhenti meminati kartun? Jawapannya hingga mempunyai anak sendiri kerana dikhuatiri koleksi kesayangan dirampas dan dirosakkan.


    Pandangan terhadap lelaki suka kartun

    Hobi adalah sesuatu yang tak boleh dihalang. Bagi wanita, ada menganggap lelaki yang meminati kartun tidak matang. Tetapi ada juga menyokong dengan berpendapat, selalunya berperwatakan lucu dan tidak terlalu serius. Comel dan mudah disenangi antara sifat yang jelas kelihatan. Hal ini dapat dibuktikan apabila beberapa selebriti tempatan yang obses kartun antaranya Dr Fazley, Afdlin Shauki dan Faizal Tahir.

    Bagi penulis sendiri, tak kisah untuk minat kartun hingga hujung nyawa asalkan tahu beza dan tidak terbawa-bawa fantasi kartun itu dalam kehidupan seharian, sudahlah.
    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

    Saturday, 27 July 2013

    Pengunjung panik bazar Ramadan dilanda ribut(Kosmo)



    BEGINILAH keadaan khemah peniaga yang rosak selepas bazar Ramadan Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak dilanda ribut semalam

    TELUK INTAN - Pengunjung bazar Ramadan di Kampung Bahagia, di sini kelam-kabut semalam apabila kawasan itu dilanda ribut selama tiga minit sehingga mengakibatkan beberapa khemah peniaga rosak.
    Kejadian pada pukul 3.45 petang itu turut menerbangkan hampir kesemua kuih-muih dan lauk-pauk yang diletakkan di atas meja gerai beberapa orang peniaga.
    Seorang peniaga nasi campur, Mohd. Ali Kassim, 47, berkata, kejadian tersebut berlaku sewaktu operasi peniagaan di bazar Ramadan itu baru bermula.
    Dia sebelum itu sudah berasa bimbang melihat cuaca mulai mendung sebelum kelihatan pusaran angin umpama puting beliung melanda kawasan peniaga makanan.
    "Mujur saya dan beberapa pelanggan yang berada berhampiran gerai sempat menyelamatkan diri.
    "Hampir semua lauk-pauk yang saya bawa bertaburan diterbangkan angin kencang," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

    Bayi 13 bulan tersepit mesin pengadun kuih(Sinar)

    Bayi 13 bulan tersepit mesin pengadun kuih
    Anggota bomba membantu mengeluarkan tangan bayi tersebut
    Bayi 13 bulan tersepit mesin pengadun kuih
    Maznah cuba memujuk anaknya yang menangis kesakitan
    MUAR – Seorang bayi berumur 13 bulan terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam apabila tangan kirinya tersepit di mesin pengadun ketika mengikut ibunya bekerja membuat kuih raya di sebuah kilang di Taman Utama Bakri, semalam.

    Berikutan kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohd Uqshah Iman Ramli bengkak tangan kiri serta berdarah dan bengkak di bahagian mulutnya.

    Ibunya, Maznah Osman, 37, berkata, sebelum kejadian Mohd Uqshah bermain-main berhampiran mesin itu yang diletakkan di atas lantai dan dikendalikan olehnya.

    “Melihat perbuatannya, saya beberapa kali melarangnya daripada bermain berdekatan mesin itu.

    “Tiba-tiba saya dikejutkan dengan tangisan serta jeritannya dan mendapati tangan kirinya tersepit di mesin tersebut yang sedang bergerak,” katanya kepada Sinar Harian.

    Katanya, dia cuba membantu menyelamatkan anaknya tetapi tidak berjaya. Badan Mohd Uqshah bergerak sama mengikut mesin itu yang sedang berpusing sehingga menyebabkan mulutnya terhantuk sebelum berdarah dan bengkak.

    “Seorang pekerja bertindak pantas menutup suis mesin, namun tangan anak yang tersepit antara bekas tepung dan badan mesin berkenaan masih tidak dapat ditarik keluar.

    “Tiga anggota bomba yang datang membantu terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membuka skru sebelum tangan anak berjaya ditarik keluar,” katanya.

    Maznah berkata, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan segera.

    Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Norhadidah Harun, 43, berkata, semasa kejadian dia berada dalam tandas di tingkat atas sebelum mendengar bayi berkenaan menjerit.

    "Mujur salah seorang pekerjanya bertindak pantas menutup suis mesin dan jika tidak dikhuatiri keadaan lebih buruk boleh berlaku," katanya.

    Friday, 26 July 2013

    Buaya besar tersadai di tebing sungai(HMetro)

    KUALA SELANGOR: Penduduk sekitar Bukit Belimbing dekat sini gempar selepas dua nelayan menemui bangkai buaya besar yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing kira-kira lewat malam kelmarin.
    Nelayan, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak menyangka suluhan lampu rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang tertumpu pada objek besar yang disangka kayu yang tersangkut pada dahan kayu di tebing sungai.
    “Kami mula menjarakkan sampan dan meneliti dari jauh. Namun, beberapa minit kemudian kami memberanikan diri untuk melihat lebih dekat kerana buaya itu tidak bergerak. Saya cuba menguis menggunakan pendayung dan dapati buaya itu sudah tidak bergerak.

    “Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat keadaan fizikal buaya itu yang mungkin cedera di mana-mana yang mengakibatkan kematian, namun hanya didapati gigi dan kuku sudah tiada,” katanya ketika ditemui petang semalam.
    Foto
    Dua nelayan terkejut menemui bangkai buaya yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang.

    Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, berkata, penemuan itu menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya sepanjang tempoh 10 tahun menjadi nelayan sungai di kawasan itu kerana berdepan dengan buaya jenis muara tembaga yang cukup besar.

    “Namun ramai rakan lain pernah cakap mereka pernah terserempak dengan buaya jenis itu dengan saiz lebih besar namun reptilia itu tidak pernah mengganggu atau mengganas terhadap nelayan yang mencari makan di sepanjang Sungai Selangor yang kaya dengan udang dan pelbagai jenis ikan.

    “Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing di kawasan sungai ini tapi tidak pernah haiwan itu mengganggu nelayan atau kaki pancing yang sering mengunjungi Sungai Selangor untuk memancing udang yang terkenal dengan saiz yang agak besar,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor Rahim Ahmad menjelaskan, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan dengan penemuan itu dan mengangkut bangkai buaya terbabit ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk bedah siasat.

    “Kita tidak boleh memberi sebarang komen buat masa ini berhubung punca kematian, usia, jenis jantina dan saiz sebenar kerana menunggu keputusan bedah siasat nanti dan penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan kepada Perhilitan di negeri ini,” katanya.

    “Sebelum ini kita tidak pernah menerima laporan penemuan buaya dengan saiz yang agak besar bagaimanapun sehingga kini kita juga tidak pernah menerima aduan berhubung keganasan buaya di sepanjang sungai ini yang mengakibatkan kematian,” katanya.
    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

    Opick pernah dilamar wanita



    OPICK atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus merupakan nama besar dalam industri muzik Indonesia, terutamanya lagu berkonsep ketuhanan.
    Bertemu sendiri dengan penyanyi ini pada pelancaran album kesembilannya yang berjudul Ya Maulana di Restoran Hadramawt, Kuala Lumpur baru-baru ini, orangnya cukup ramah.
    Penampilannya juga cukup sederhana. Memadai memakai kain sarung dan berserban putih, tutur katanya juga tersusun rapi, sesekali bercanda dengan pihak media.
    Walaupun berstatus penyanyi lagu ketuhanan tetapi diakui, ramai yang menghormati keperibadian Opick lebih daripada itu. Ada yang menganggapnya seperti ustaz dan menawarkannya untuk membuat ceramah tetapi ditolaknya dengan baik.
    "Saya bukan ustaz tetapi penyanyi. Jika diminta untuk memberi ceramah motivasi, saya tidak keberatan. Namun, jika ceramah agama saya tidak mahu, lebih ramai orang yang bijaksana dan tinggi ilmu agamanya daripada saya," katanya jujur.
    Ditebak mengapa tidak mengambil peluang untuk berceramah sedangkan itu merupakan salah satu cara untuk berdakwah.
    Jawabnya: "Kalau saya berceramah, saya sudah seperti ustaz, nanti ramai yang protes atau mempersoalkan kenapa ustaz menyanyi?
    "Jadi, saya lebih selesa bergelar seniman. Mudah untuk saya masuk ke mana-mana saluran, hiburan boleh, dakwah pun boleh juga."
    Bukan itu sahaja, suami kepada Dian Rosita, 30, dan bapa kepada empat cahaya mata itu juga pernah dilamar oleh beberapa wanita yang sudi menikahinya walaupun sedar statusnya sebagai suami orang.
    "Godaan itu banyak termasuk ada yang mengajak saya bernikah. Perkara ini memang berlaku tetapi wanita-wanita yang mengajak saya bernikah sekarang hanya mengenali diri saya yang sudah popular dan berimej sopan dengan serban.
    "Kalau mereka bertemu ketika saya masih berambut panjang, menyanyi lagu rock, bekerja hanya sebagai pembersih studio muzik dan tidak mempunyai wang rasanya mereka mahu atau tidak mengajak saya kahwin?
    "Pastinya tidak, satu-satunya wanita yang mahu menikahi saya ketika itu hanyalah isteri saya sahaja. Dia sahaja yang mahu saya walaupun saya tidak popular dan mempunyai wang," ceritanya panjang lebar.

    OPICK cukup bersyukur kerana kehadirannya diterima baik oleh semua peminat.


    Godaan Opick
    Selain diajak kahwin, Opick juga banyak menerima godaan apabila ramai wanita yang cuba meluahkan perasaan dan masalah kepadanya.
    Bagaimanapun, Opick mempunyai cara yang terbaik untuk menghalang hubungan melebihi batas antara peminat wanitanya dengan dirinya.
    "Ada yang datang cuba meluahkan perasaan dan masalah masing-masing. Senang sahaja, saya katakan pada mereka, jangan curahkan masalah hati pada saya tetapi curahkan pada Allah sahaja.
    "Saya cuba menjaga batas hubungan antara peminat. Bukan apa, saya takut mungkin pada mulanya saya hanya mendengar masalah tetapi lama-lama mungkin orang itu suka pada saya dan saya juga suka pada dia. Itu sudah masalah besar, saya tidak mahu jadi begitu," katanya.
    Bercakap tentang poligami, kata Opick jodoh yang ditentukan oleh Allah tidak dapat diramal tetapi sehingga ke hari ini dia hanya setia pada isterinya seorang.
    Bahkan, pada majlis pelancaran album itu, Opick turut membawa isterinya sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.
    "Kebetulan tarikh ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada tanggal 15 Julai, jadi saya ajak sekali isteri untuk berkunjung ke Kuala Lumpur.
    "Kami hanya berada di Kuala Lumpur sehari sahaja, selepas pulang ke Indonesia, jadual saya cukup padat dengan aktiviti promosi album di beberapa kota," balasnya.
    Kehidupan berubah
    Bercerita lanjut mengenai masa silamnya, Opick menjelaskan, sebelum ini dia terpesong cukup jauh. Dia bergaul dengan orang yang mengamalkan seks bebas, mengambil dadah dan mengusung muzik rock yang liriknya berkisar tentang protes terhadap kerajaan.
    Namun, selepas memperoleh hidayah dan diajak oleh seorang rakan bernama Agus Idwar untuk menyanyi lagu ketuhanan, kehidupannya berubah sama sekali.
    "Ketika saya menyanyi lagu rock dan berbangga dengan imej rambut panjang, saya tidak mempunyai wang, bahkan album rock saya tidak laku (ketawa).
    "Sejak muncul dengan lagu Ubat Hati yang merupakan lagu ketuhanan saya yang pertama, kehidupan saya berubah dan taraf ekonomi juga makin meningkat selepas itu," ujarnya.

    OPICK bersama isterinya, Dian Rosita yang telah dinikahinya selama 11 tahun.


    Terangnya, selain berdakwah, menyanyi lagu ketuhanan juga merupakan caranya menasihati dirinya sendiri supaya sentiasa ingat kepada Allah.
    "Saya menyanyi untuk hiburkan orang serta berdakwah tetapi pada masa yang sama itu cara untuk saya mengingatkan diri sendiri juga," balasnya.
    Menariknya sejak memilih lagu ketuhanan, inspirasi luar biasa datang kepadanya tanpa disedari. Kadangkala bapanya juga mempersoalkan lagu-lagu ciptaannya.
    "Saya tidak tahu membaca nota muzik dan bermain piano tetapi bila mencipta lagu saya hanya tekan sahaja piano dan rakam bunyi yang terhasil.
    "Kemudian, saya akan panggil pemuzik untuk mendengar bunyi itu dan menulis nota muziknya. Bapa saya sering kata, rasanya bukan saya yang mencipta lagu itu sebaliknya atas bantuan orang lain.
    "Saya percaya Allah yang memberi inspirasi kepada saya," tuturnya.

    Sunday, 21 July 2013

    Lagi kes ibu tinggal anak dalam kereta(Berita harian)

    Lagi kes ibu tinggal anak dalam keretaBimbang kejadian budak lemas dalam kereta berulang, orang ramai menggoyangkan sebuah kereta apabila mendapati seorang kanak-kanak tertidur di dalamnya dengan pintunya berkunci di depan pasar raya di Telipok, semalam.
    Kota Kinabalu: Tidak sampai sehari selepas seorang kanak-kanak lemas dalam kereta ibunya di Subang Jaya, Selangor, seorang lagi budak hampir menerima nasib sama di sini, malam kelmarin. 

    Dalam kejadian terbaru itu, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang sedang tidur ditinggalkan ibunya dalam kenderaan yang dikunci dari dalam serta enjinnya hidup sebelum keluar membeli-belah. 
    Bagaimanapun, kali ini, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan orang ramai selepas melihatnya tidur seorang diri dalam kereta berkunci. 


    Goyang kereta baru terjaga 

    Menurut saksi, orang ramai berjaya mengejutkan kanak-kanak itu dengan menggoyangkan kereta itu beberapa kali sebelum budak perempuan terbabit terjaga setengah jam kemudian dan membuka pintunya. 

    Dalam kejadian jam 8.30 malam di Taman Putra Jaya dekat Telipok di sini, wanita lingkungan usia 20-an itu mengaku meninggalkan anaknya berseorangan dalam kenderaan kerana keluar membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya berhampiran. 

    Wanita itu memberitahu orang ramai, dia meninggalkan anaknya dalam kereta kerana tidak sihat. 
    Khamis lalu, Nawal Iris Samsudin, tiga tahun, ditemui lemas dalam kereta yang ditinggalkan ibunya di pekarangan sekolahnya di USJ4, Subang Jaya. 

    Ibu kanak-kanak itu, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dikatakan terlupa anaknya berada dalam kereta ketika tergesa-gesa menghadiri mesyuarat di sekolahnya jam 11 pagi. 

    Mayat Nawal ditemui dalam keadaan kebiruan dalam kereta itu jam 5.30 petang ketika ibunya bersiap untuk pulang selepas sesi sekolah. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, menasihatkan ibu bapa supaya tidak mengulangi perkara sama kerana ia bukan saja membahayakan kanak-kanak, malah boleh mengakibatkan kejadian tidak diingini termasuk ancaman jenayah.