MULA berkecimpung dalam bidang seni tekat sejak 35 tahun lalu, Azizah Adam cukup mahir menyulam benang emas di atas kain baldu.
Wanita berusia 53 tahun itu menyulam benang yang diimport dari Jepun dan Jerman mengikut mempulur atau acuan kertas untuk membentuk bunga kerawang pada kain baldu di atas pemidang bersaiz sederhana di hadapannya.
Hasil tekatan tangan Azizah bersama 10 pekerja syarikat miliknya iaitu Azydar Enterprise amat teliti dan halus.
Setiap hari, kerja-kerja tekatan itu dilakukan di bengkel yang terletak bersebelahan kediamannya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak.
Menurut beliau, pada zaman dulu tekat merupakan aksesori mewah dan eksklusif bagi golongan kerabat diraja.
Tekat popular dalam kalangan masyarakat Melayu terutama pada majlis-majlis rasmi. Azizah merupakan individu penting dalam pembuatan pelamin perkahwinan tiga orang cucu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
"Tekat biasanya digunakan dalam istiadat dan upacara simbolik adat Melayu seperti kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan dan majlis khatam al-Quran," jelas beliau.
Seni tekat terbahagi kepada dua iaitu tekat timbul bunga emas dan tekat gubah. Tekat timbul bunga emas menggunakan benang berwarna emas dan acuan kertas untuk membentuk rekaan bunga di atas kain baldu manakala tekat gubah pula menggunakan benang pelbagai warna serta tanpa acuan.
Rekaan tekat timbul bunga emas hanya menggunakan corak tradisional turun-temurun iaitu bunga kekwa, bunga padi, bunga raya dan bunga kerawang. Benang emas ditekat di atas kain baldu berwarna merah, biru dan hitam untuk dijadikan set tempat tidur, pelamin, tepak sirih dan cenderamata.
"Harga bagi set perkahwinan seperti tilam, bantal, cadar, kusyen dan kipas tangan antara RM3,000 hingga RM6,000. Ia juga boleh mencecah hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada rekaan," katanya yang pernah mengadakan demonstrasi kraf tangan dan pelancongan di India, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Perancis.
Istana Kenangan @ Muzium Diraja Perak kini dalam proses penyelenggaran & dijadualkan dibuka dalam masa terdekat
Bandar kolonial
Bekas syiling, tepak sirih kecil dan perhiasan kereta merupakan produk pelancongan tekat popular di Kuala Kangsar. Ia dijual pada harga RM18 hingga RM20 setiap satu.
Tekat merupakan antara produk pelancongan yang sinonim dengan daerah Kuala Kangsar selain industri labu di Kampung Sayong, pembuatan parang dan keris di Kampung Padang Changkat.
Berkunjung ke Kuala Kangsar seperti berada di sebuah bandar kolonial British. Seni bina British masih jelas kelihatan di sekitar bandar Kuala Kangsar terutama pada bangunan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford.
Keluasan kawasan pentadbiran daerah Kuala Kangsar meliputi 204.94 kilometer (km) persegi. Bagi yang ingin berkunjung ke daerah bersejarah di negeri Perak itu, pastikan anda membuat sedikit kajian mengenai destinasi-destinasi yang ingin dilawati.
Dengan hanya berjalan kaki, pelancong dapat menerokai tempat-tempat menarik di sekitar bandar Kuala Kangsar. Jeti penambang yang terletak di Dataran Sungai Perak atau Lembah merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan pelzancong di bandar itu.
Dengan bayaran RM1, anda boleh menaiki bot menyeberangi Sungai Perak ke Persisiran Sayong. Bagi yang ingin merasai pengalaman berbeza, anda perlu menyediakan tambang sebanyak RM6 untuk menikmati pemandangan Istana Iskandariah di Bukit Chandan dan jambatan Sultan Abdul Jalil dengan menaiki bot.
Mohd Rizman masih men gekalkan ramuan asli dalam laksa di restorannya.
Pondok telefon
Sekiranya berkunjung ke Dataran Sungai Perak pada hari Ahad, anda berpeluang ke Pasar Minggu Lembah untuk membeli barangan runcit, buah-buahan dan makanan tempatan yang dijual oleh masyarakat setempat.
Selain itu, kawasan Dataran Putra yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Kangsar menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong. Replika jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia dan pondok telefon merah seperti di ibu kota London pasti mencuri perhatian anda.
Tidak lengkap kunjungan anda ke Kuala Kangsar tanpa mencuba laksa Kuala Kangsar di restoran Laksa Pak Ngah di Jalan Dato Sagor. Restoran yang menghidangkan hidangan tradisi daerah itu menjadi tumpuan pelancong terutamanya pada hari minggu.
Jenama Laksa Pak Ngah bermula sejak tahun 1950-an oleh Md. Rashid Uda Jaafar yang menjual laksa dengan menaiki basikal di sekitar Kuala Kangsar.
Mohd. Rizman, 37, merupakan generasi keempat menguruskan restoran tersebut sejak mengambil alih daripada bapanya, Mohd. Tajidi Abd. Rashid pada tahun 2000.
"Kuah laksa Kuala Kangsar lebih cair berbanding laksa negeri lain. Ikan sardin, cili kering, garam dan asam gelugur merupakan ramuan penting kuah laksa ini.
"Laksa yang dihidangkan juga lebih tebal dan lembut kerana ia diproses sendiri menggunakan tepung gandum, air panas dan garam sebagai bahan utama," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Setelah puas menikmati laksa, luangkan masa seketika untuk melawat Jambatan Victoria di Karai yang dibina pada tahun 1897. Ia terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Kangsar dan merupakan antara landasan kereta api tertua di Malaysia.
Rekaan bangunan MCKK berasaskan seni bina Greece & Rom merupakan tempat yg wajib dikunjungi pelancong
Terdapat sebuah kubu Perang Dunia yang masih kukuh yang dibina berhampiran jambatan itu.
Menurut seorang penduduk yang tinggal di Kampung Seberang Karai, Mohd. Fuad Nordin, 50, jambatan itu menjadi laluan utama penduduk kampungnya ke pekan Karai sama ada dengan menaiki motosikal ataupun berjalan kaki.
"Seminggu sekali, saya akan memancing di Sungai Perak menggunakan koyan di atas jambatan ini. Sungai Perak terkenal sebagai lubuk ikan lampam, jelawat, lawang dan kelah.
"Walaupun jambatan ini berusia lebih 100 tahun, ia masih utuh dan menjadi tumpuan para pelancong malah pengarah filem terkenal, Mamat Khalid juga pernah mengadakan penggambaran di sini," ujarnya yang bekerja sebagai penoreh getah dan membuat labu di kampungnya.
No comments:
Post a Comment