Saturday, 28 September 2013

Kuala Kangsar bak bandar kolonial British(Kosmo)

Oleh Muhammad Ayman Ghaffa


MULA berkecimpung dalam bidang seni tekat sejak 35 tahun lalu, Azizah Adam cukup mahir menyulam benang emas di atas kain baldu.
Wanita berusia 53 tahun itu menyulam benang yang diimport dari Jepun dan Jerman mengikut mempulur atau acuan kertas untuk membentuk bunga kerawang pada kain baldu di atas pemidang bersaiz sederhana di hadapannya.
Hasil tekatan tangan Azizah bersama 10 pekerja syarikat miliknya iaitu Azydar Enterprise amat teliti dan halus.
Setiap hari, kerja-kerja tekatan itu dilakukan di bengkel yang terletak bersebelahan kediamannya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak.
Menurut beliau, pada zaman dulu tekat merupakan aksesori mewah dan eksklusif bagi golongan kerabat diraja.
Tekat popular dalam kalangan masyarakat Melayu terutama pada majlis-majlis rasmi. Azizah merupakan individu penting dalam pembuatan pelamin perkahwinan tiga orang cucu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
"Tekat biasanya digunakan dalam istiadat dan upacara simbolik adat Melayu seperti kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan dan majlis khatam al-Quran," jelas beliau.
Seni tekat terbahagi kepada dua iaitu tekat timbul bunga emas dan tekat gubah. Tekat timbul bunga emas menggunakan benang berwarna emas dan acuan kertas untuk membentuk rekaan bunga di atas kain baldu manakala tekat gubah pula menggunakan benang pelbagai warna serta tanpa acuan.
Rekaan tekat timbul bunga emas hanya menggunakan corak tradisional turun-temurun iaitu bunga kekwa, bunga padi, bunga raya dan bunga kerawang. Benang emas ditekat di atas kain baldu berwarna merah, biru dan hitam untuk dijadikan set tempat tidur, pelamin, tepak sirih dan cenderamata.
"Harga bagi set perkahwinan seperti tilam, bantal, cadar, kusyen dan kipas tangan antara RM3,000 hingga RM6,000. Ia juga boleh mencecah hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada rekaan," katanya yang pernah mengadakan demonstrasi kraf tangan dan pelancongan di India, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Perancis.

Istana Kenangan @ Muzium Diraja Perak kini dalam proses penyelenggaran & dijadualkan dibuka dalam masa terdekat

Bandar kolonial
Bekas syiling, tepak sirih kecil dan perhiasan kereta merupakan produk pelancongan tekat popular di Kuala Kangsar. Ia dijual pada harga RM18 hingga RM20 setiap satu.
Tekat merupakan antara produk pelancongan yang sinonim dengan daerah Kuala Kangsar selain industri labu di Kampung Sayong, pembuatan parang dan keris di Kampung Padang Changkat.
Berkunjung ke Kuala Kangsar seperti berada di sebuah bandar kolonial British. Seni bina British masih jelas kelihatan di sekitar bandar Kuala Kangsar terutama pada bangunan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford.
Keluasan kawasan pentadbiran daerah Kuala Kangsar meliputi 204.94 kilometer (km) persegi. Bagi yang ingin berkunjung ke daerah bersejarah di negeri Perak itu, pastikan anda membuat sedikit kajian mengenai destinasi-destinasi yang ingin dilawati.
Dengan hanya berjalan kaki, pelancong dapat menerokai tempat-tempat menarik di sekitar bandar Kuala Kangsar. Jeti penambang yang terletak di Dataran Sungai Perak atau Lembah merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan pelzancong di bandar itu.
Dengan bayaran RM1, anda boleh menaiki bot menyeberangi Sungai Perak ke Persisiran Sayong. Bagi yang ingin merasai pengalaman berbeza, anda perlu menyediakan tambang sebanyak RM6 untuk menikmati pemandangan Istana Iskandariah di Bukit Chandan dan jambatan Sultan Abdul Jalil dengan menaiki bot.

Mohd Rizman masih men gekalkan ramuan asli dalam laksa di restorannya.

Pondok telefon
Sekiranya berkunjung ke Dataran Sungai Perak pada hari Ahad, anda berpeluang ke Pasar Minggu Lembah untuk membeli barangan runcit, buah-buahan dan makanan tempatan yang dijual oleh masyarakat setempat.
Selain itu, kawasan Dataran Putra yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Kangsar menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong. Replika jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia dan pondok telefon merah seperti di ibu kota London pasti mencuri perhatian anda.
Tidak lengkap kunjungan anda ke Kuala Kangsar tanpa mencuba laksa Kuala Kangsar di restoran Laksa Pak Ngah di Jalan Dato Sagor. Restoran yang menghidangkan hidangan tradisi daerah itu menjadi tumpuan pelancong terutamanya pada hari minggu.
Jenama Laksa Pak Ngah bermula sejak tahun 1950-an oleh Md. Rashid Uda Jaafar yang menjual laksa dengan menaiki basikal di sekitar Kuala Kangsar.
Mohd. Rizman, 37, merupakan generasi keempat menguruskan restoran tersebut sejak mengambil alih daripada bapanya, Mohd. Tajidi Abd. Rashid pada tahun 2000.
"Kuah laksa Kuala Kangsar lebih cair berbanding laksa negeri lain. Ikan sardin, cili kering, garam dan asam gelugur merupakan ramuan penting kuah laksa ini.
"Laksa yang dihidangkan juga lebih tebal dan lembut kerana ia diproses sendiri menggunakan tepung gandum, air panas dan garam sebagai bahan utama," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Setelah puas menikmati laksa, luangkan masa seketika untuk melawat Jambatan Victoria di Karai yang dibina pada tahun 1897. Ia terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Kangsar dan merupakan antara landasan kereta api tertua di Malaysia.

Rekaan bangunan MCKK berasaskan seni bina Greece & Rom merupakan tempat yg wajib dikunjungi pelancong

Terdapat sebuah kubu Perang Dunia yang masih kukuh yang dibina berhampiran jambatan itu.
Menurut seorang penduduk yang tinggal di Kampung Seberang Karai, Mohd. Fuad Nordin, 50, jambatan itu menjadi laluan utama penduduk kampungnya ke pekan Karai sama ada dengan menaiki motosikal ataupun berjalan kaki.
"Seminggu sekali, saya akan memancing di Sungai Perak menggunakan koyan di atas jambatan ini. Sungai Perak terkenal sebagai lubuk ikan lampam, jelawat, lawang dan kelah.
"Walaupun jambatan ini berusia lebih 100 tahun, ia masih utuh dan menjadi tumpuan para pelancong malah pengarah filem terkenal, Mamat Khalid juga pernah mengadakan penggambaran di sini," ujarnya yang bekerja sebagai penoreh getah dan membuat labu di kampungnya.

Tuesday, 17 September 2013

Cira Cinta Sejati Black



TERKENA buatan orang, gosip putus tunang dan ditipu perancang perkahwinan adalah antara cerita panas yang mengisi perjalanan cinta penyanyi Black Hanifah dan pasangannya, Cira atau Naquia Yasirah Mohamad Khairi, 28, sebelum mereka sah bergelar suami isteri pada pukul 12.06 tengah hari Jumaat lalu.
Usai majlis pernikahan selesai dengan sekali lafaz di Zebra Square, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, terpancar kelegaan pada wajah Black kerana akhirnya, wanita berasal dari Pulau Pinang itu menjadi suri hidupnya.
"Alhamdulillah, saya gembira tidak terkata kerana majlis pernikahan berjalan lancar. Sekarang, saya masih menyesuaikan diri dengan panggilan suami dan memanggil Cira dengan panggilan isteri," katanya yang tersasul menyebut perkataan tunang ketika ditemu bual pihak media selepas majlis pernikahan selesai.
Walaupun detik perkenalan mereka cukup singkat, hanya dua bulan sebelum mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 26, yakin dia tidak tersalah pilih.
"Saya memang mencari wanita yang tidak mengenali saya sebagai penyanyi sebaliknya sebagai lelaki biasa. Ketika pertama kali bertemu dengannya, dia langsung tidak tahu saya penyanyi, reaksinya itu yang menambat hati saya.
"Sejak pertemuan yang diaturkan oleh rakan saya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu, saya berusaha menambat hatinya kerana bagi saya sukar untuk bertemu dengan wanita yang tidak kisah tentang glamor dan status saya sebagai penyanyi," ujarnya.
Isterinya yang duduk di sebelah mengakui cerita Black itu kerana ketika Black menyertai program realiti Mentor, dia terbang ke Melbourne, Australia untuk menyambung pelajaran dan menguruskan restoran milik ibu saudaranya di sana.
"Memang saya tidak kenal siapa Black, saya tahu lagu-lagunya tetapi saya tidak sangka dialah penyanyi tersebut.
"Dia seorang yang kelakar, manis, penyayang dan sangat menjaga keluarganya, sebab itu saya tertarik kepadanya dan rasa dia mampu menjaga saya dengan baik," ucapnya sambil tersipu malu.


Tidak sorok isteri
Meskipun majlis pertunangan mereka berlangsung senyap-senyap dan tidak dihebohkan kepada pihak media, Black menjelaskan dia tidak pernah mahu menyorokkan identiti isterinya itu.
Majlis pertunangan mereka tidak dihebahkan atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak, selain Black bimbang andai perhubungan mereka tidak kekal lama.
"Keluarga minta pertunangan tidak dihebahkan dan saya juga kalau boleh tidak mahu kecoh-kecoh. Kalau tidak jadi kahwin nanti apa orang akan kata, akhirnya saya juga yang malu.
"Saya langsung tidak berniat untuk sorok identiti isteri saya, cuma ketika itu waktunya belum tepat. Saya minta maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak. Saya tunaikan janji dengan kongsi berita perkahwinan kerana ketika itu sah kami akan berkahwin," ceritanya.
Cira yang merupakan anak saudara kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, suami aktres Datin Paduka Umie Aida pula memberitahu, dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan identitinya kerana tidak mahu menganggu kerjaya Black.
"Saya bukannya menyorok dan saya juga bukannya selebriti, jadi buat apa saya mendedahkan diri kepada peminat suami dan media.
"Ketika itu memang saya tidak mahu masuk campur langsung dengan urusan kerjayanya. Saya tidak mahu dengan kehadiran saya nanti menyebabkan wujudnya halangan antara dia dengan peminat," balasnya tegas.
Disoal sudah bersedia untuk menghadapi segala dugaan selepas bergelar isteri kepada penyanyi popular, Cira hanya tertawa dan berkata, dia tidak akan berkahwin dengan Black andai dia tidak bersedia.
"Sebelum kami berkahwin pun sudah dengar macam-macam cerita. Selagi kami percaya antara satu sama lain dan saya sokong kerjayanya bagi saya tidak ada masalah," katanya.
Anak
Bercakap tentang perancangan keluarga, terus-terang Black memberitahu dia inginkan sebuah keluarga yang besar kerana mereka berdua lahir daripada keluarga yang kecil.
"Kalau boleh saya inginkan anak segera dan tidak mahu tangguh. Bagi saya anak adalah rezeki daripada Allah. Saya anak bongsu daripada tiga adik-beradik dan Cira anak kedua juga daripada tiga adik-beradik, jika boleh saya mahu anak yang ramai (ketawa)," tuturnya.
Justeru, Black sedar dia harus memantapkan ekonomi keluarga selepas berkahwin.
"Perancangan saya tentang kerjaya pula adalah bekerja dengan lebih keras. Saya akan bekerja seperti biasa selepas majlis perkahwinan ini kerana sekarang sudah ada keluarga sendiri yang ingin ditanggung.


"Bagaimanapun, saya bukanlah cari duit sebab ingin terlalu kaya. Cukuplah bersederhana, asal cukup makan, pakai itu sudah memadai buat kami," katanya jujur.
Black merancang membawa isterinya berbulan madu sambil menunaikan umrah di Mekah bersama ahli keluarganya awal tahun depan.
"Jika tiada aral melintang kami mahu tunai umrah dahulu sebelum bercuti. Cara itu lebih baik pada pandangan saya," ucapnya mengakhiri bicara.
Penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti itu memberi mas kahwin sebanyak RM80 serta wang hantaran berjumlah RM12,000 kepada pengantin perempuan.
Rombongan pengantin lelaki memberi tujuh dulang hantaran berbalas sembilan. Barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah minyak wangi, cincin, telekung, set kosmetik, iPad mini dan sepersalinan baju.
Barangan hantaran pihak perempuan pula ialah jam tangan, kasut, sirih junjung, al-Quran, songkok, tali pinggang dan dompet, cincin serta minyak wangi.

Thursday, 12 September 2013

Lihat anak maut depan mata(Sinar Harian)

Lihat anak maut depan mata
Lihat anak maut depan mata
PARIT BUNTAR - “Ayah, adik dekat belakang mati kena langgar!” Hanya itu mampu diungkapkan kakak kanak-kanak berusia dua tahun yang maut dirempuh kereta bapanya di kediaman mereka di Taman Kerian di sini, semalam.

Lebih memilukan, kejadian tragis itu berlaku di hadapan mata bapa kanak-kanak malang itu.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Adam Mohd Ali difahamkan berada di belakang kereta Toyota untuk mengambil seliparnya manakala abangnya, Aiman Yasin Mohd Ali yang berusia empat tahun berada dalam kereta terbabit dan cuba menghidupkan kenderaan itu.

Bapa mangsa, Mohd Ali Hussin, 53, berkata, ketika kejadian, dia baru tiba di rumah selepas menghantar isterinya berniaga di Alor Pongsu, Bagan Serai dan ingin bergegas menghantar anak perempuannya ke sekolah.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumahnya, dia masuk ke dalam sebentar untuk mengambil barang sebelum terdengar bunyi bising dari luar rumah.

“Saya segera keluar dan melihat Aiman sedang bermain di tempat duduk pemandu, manakala arwah berada di belakang kereta untuk memakai selipar. Saya mendekati kereta dan terkejut melihat Aiman cuba menghidupkan enjin kereta.

“Saya cuba menahan tindakannya itu, namun dia terus menghidupkan enjin dan secara tiba-tiba kereta mengundur ke belakang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohd Ali berkata, dia kemudiannya terdengar jeritan yang diselangi suara anak perempuannya mengatakan Mohd Adam meninggal dunia akibat dilanggar.

Dia segera meluru ke belakang kereta yang mengundur hingga menyentuh dinding rumah itu dan mendapati mangsa dalam keadaan melutut sambil memegang selipar, manakala bahagian kepalanya dihimpit belakang kereta.

“Saya melihat Mohd Adam kaku di belakang kereta dan apabila kereta dialihkan ke hadapan, arwah terus terduduk.

Kepala arwah cedera dan saya segera memeriksa keadaannya serta mendapati arwah sudah tidak bernyawa.

“Saya tidak sangka kereta akan mengundur dan saya percaya Aiman memasukkan gear mengundur secara tidak sengaja ketika sedang bermain dalam kereta,” katanya.

Mohd Ali berkata, melihat keadaan mangsa, anak keempatnya, Akmal Yasin pada mulanya menyangka mangsa sedang ‘tidur’ dan mengangkatnya ke bahagian hadapan rumah.

Katanya, bagaimanapun sebaik sahaja mengetahui adik bongsunya itu sudah tidak bernyawa, kanak-kanak itu terus meluru ke arah kakaknya sambil menangis kerana dia rapat dengan arwah.

“Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga kerana arwah langsung tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Mohd Ali turut meluahkan kekesalan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir arwah yang berulang kali mengajak mereka sekeluarga pergi melancong.

“Kami sekeluarga pasrah dengan pemergian arwah, cuma saya sedih kejadian tragis ini berlaku di hadapan mata kami sekeluarga,” katanya.

Suasana pilu turut menyelubungi lokasi kejadian apabila ibu mangsa menangis teresak-esak tanpa henti sambil memeluk jenazah mangsa sehingga saat mangsa ingin dibawa polis ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikannya kes sebagai kematian mengejut.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas  Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak yang turut hadir ke lokasi kejadian meminta orang ramai terutama golongan ibu bapa supaya lebih berhati-hati mengendalikan kenderaan di pekarangan rumah masing-masing.

“Kejadian tragis wajar dijadikan iktibar kepada semua ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak kecil terutama apabila mereka berada di luar rumah,” katanya.

  • Eddie Kamarul Yahya ·  Top commenter · ITM Shah Alam.
    'Mohd Ali turut meluahkan kekesalan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir arwah yang berulang kali mengajak mereka sekeluarga pergi melancong.'....ini yang dikesalkan bapak nye tu? Sepatutnye kesal kerana LALAI dan CUAI tinggalkan kunci kereta dalam kereta!

     ·  Top commenter · Kuala Lumpur, Malaysia
    Ajal maut di tangan tuhan, berhati hati macamana sekalipun, tapi kalau itu sudah janji Nya, kita sebagai manusia harus redha. Sebagai ibu bapa jgn jemu ingatkan anak2 tentang bahaya ini.. ingatkan anak2 agar tidak berada di depan atau belakang kenderaan walaupun enjin kenderaan tak dihidupkan...
    • YB Shehan
      berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika kita katakan mak bapak cuai, kita nak hukum mak bapak tu pula? nak take action sbb cuai? dah la perit anak xdak, org nak take action pulak ke? apa perasaan kita sbg mak pak tu? so, juz igt la.. xyh ssh payah kutuk mak pa tu cuai. mak pak ni x reti jaga anak. benda kalau nak jd, anak dalam dukungan pn bleh mati. doakan saja buat arwah..
    Sherry Lynn · British Council
    Jagalah bahasa, bapa dia pun x minta benda ni jadi. Dah la mereka sedih nak cakap dia mcm tu...takziah dan sedekahkan al-fatihah. Dia pun x minta semua ni terjadi, jadikan tauladan untuk semua


    Maslina Dzul ·  · Works at Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak PTG PERAK
    bila dah terjadi jgn persoalkan lg qadaq dan qadar Allah SWT. Menyalahkan bapa mangsa sm la kita tak pndng diri sendiri, kita tau ke benda nak jd, tak ada manusia yg sempurna dan maksum smpi tau ajal maut segala...