Friday, 28 February 2014

Terkilan sikap petugas lebuh raya (Sinar Harian)

Terkilan sikap petugas lebuh raya Kereta Mohd Sabri yang tersadai di tepi lebuh raya dalam keadaan panas terik. Gambar kecil: Cucu Mohd Sabri yang berusia setahun lebih mengalami muntah-muntah dan lesu akibat kepanasan

KUANTAN – Seorang pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Mohd Sabri Abd Malek, 55, terkilan dengan sikap peronda lebuh raya dan polis peronda lebuh raya yang didakwanya tidak dapat menghulurkan bantuan sewajarnya ketika dia memerlukan pertolongan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia mendakwa, anggota petugas berkenaan gagal menjalankan tugas dengan baik dan tidak mementingkan keselamatan pengguna.

Sabri berkata, pada 23 Februari lepas dia bersama keluarga dari Melaka menuju ke Kemaman atas urusan keluarga.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan berhampiran kawasan rehat dan rawat (RnR) Kuantan, kenderaan dipandunya rosak secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang dan ketika itu cuaca panas terik, sekali gus menimbulkan keadaan yang tidak selesa.

“Malah, cucu saya yang berusia lebih setahun mengalami muntah-muntah kerana kepanasan.

Katanya, ketika itu dia menahan sebuah kereta peronda lebuh raya untuk meminta bantuan menunda kereta yang rosak ke RnR yang hanya berjarak kira-kira 1 kilometer sahaja.

“Ketika saya sedang berbincang dengan peronda LPT, sebuah kereta peronda polis lebuh raya datang dan mereka berbincang sebelum meninggalkan kami di tepi lebuh raya berkenaan.

“Walaupun telah diletak kon atau tanda amaran, keadaan itu masih berbahaya kerana kebanyakan pengguna lebuh raya memandu dalam keadaan laju,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, memandangkan petugas yang sepatutnya enggan membantu, dia terpaksa meminta bantuan orang ramai.

“Kami bernasib baik kerana ada sebuah kereta yang berhenti dan menolong tunda kereta ke kawasan rehat.

“Sepatutnya pihak pengurusan LPT dan pihak berkuasa dapat memastikan anggota mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian mendapatkan maklum balas pihak pengurusan LPT bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara ini.

Senior Eksekutif, Bahagian Komunikasi Korporat ANIH Berhad, Hafizah  Mohd Sabri berkata, segala perkhidmatan di LPT mengikut prosedur syarikat yang ditetapkan dan menjadi satu kesalahan
sekiranya ada warga kerja melanggarnya, sekali gus tindakan disiplin boleh dikenakan.

“Kami di ANIH Berhad memohon maaf dan kesal di atas kejadian yang berlaku kepada pengguna tersebut.

“Sekiranya terdapat apa sahaja aduan atau masalah, pengguna boleh menghubungi  LPT-Line di  talian 09-5479111 atau Bahagian Komunikasi Korporat di 03-61951111,” katanya.

  • Azmi Tajudin · Works at Malaysian Red Crescent
    Ini lah yg berlaku kepada kebanyakan pengguna lebuhraya . lebih - lebih lagi jika terlibat dgn kemalangan ... belum pasti yg cedera diberikan Rawatan Awal sebelum ketibaan Ambulans.. sanggup melihat pengguna berdarah dan merayu kerana sakit .. kerana itu dikatakan POLISI SYARIKAT .. bagaimana dgn bayaran toll yg pengguna bayar ikut kehendak syarikat.. PERIHATIN LA SIKIT.. Kalau kena dekat BOSS Syarikat adakah mereka akan mengikut POLISI Syarikat...
    • Tiye Api · Works at Penternak, Petani & Nelayan
      btul tu,,,kalo kna kt org vip xde pun ikut polisi,hampeh punya pengurusan...dh la duit tol rembat,org dlm kesusahan xnk tolong plk
  • Abdul Wahab Khalid Khatboard · Kuala Lumpur, Malaysia · 242 subscribers
    Pengurusan LPT mmg hampeh....sy terlanggar lubang sebelum Rnr gambang bulan dis lepas....call no kecemasan LPTberpukuh x tak berjawab....bukan sy sorang j yg kena...ramai lg yg terlanggar lubang tu...knapa buarkan lubang tu sampai membesar dan dalam...bila buat report sampai skrg senyap...gambar tayar pecah pula x dpt ambil sbb kamera pegawai bertugas kehabisan bateri...mmg hampeh...
    • Steady Eady ·  Top commenter · Sekolah menengah meru
      sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan semasa berada di lebuhraya atau kawasan penyelenggaraan tersebut..ambil gmbr..kumpulkan bukti..dan bole claim utk semua kerosakan yg diakibatkn oleh keadaan jalan..atau kerosakan disebabkan terlanggar sesuatu diats jalan..

Sunday, 9 February 2014

Perak kejutkan Kelantan di Ipoh {Kosmo}


KANAN: Pemain Perak, Azmeer Yusoff (tengah) diasak pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak (kiri) pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak malam tadi yang menyaksikan tuan rumah menang 2-1.

BARISAN muda Perak melakar kejutan apabila mengecewakan pasukan berstatus elit, Kelantan 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Pemain gantian Perak, Khairul Asyraf Sahizah muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-79.
Jaringan tersebut terus mematikan langkah Kelantan yang berhasrat untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Ipoh.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan bermula garang dan tidak menunggu lama untuk menguji gawang tuan rumah menerusi sepakan percuma kapten, Mohd. Badri Radzi. namun percubaannya berjaya ditepis keluar penjaga gol Perak, Razi Effendi.
Pelawat sekali lagi memiliki peluang pada minit kesembilan menerusi Mohamed Shawky, namun Razi sekali lagi bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan tersebut.
Selang dua minit, pemain sayap The Bos Gaurus, Muhamad Ridzuan pula melepaskan percubaan deras namun ia sedikit tersasar.
Tanpa kehadiran ayam tambatan yang merupakan kapten pasukan bawah 23 tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win yang digantung perlawanan, ia tidak merencatkan perencanaan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu.
Skuad Seladang akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-12 apabila Ahmad Shukri berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk gol pertama Perak.
Gol tersebut diperoleh selepas berlaku salah faham antara pertahanan Kelantan yang gagal mengeluarkan bola hasil sepakan penjuru Mohd. Noor Hazrul.
Tersentak dengan jaringan itu Kelantan menggandakan asakan ke kubu tuan rumah dan memperoleh peluang pada minit ke-22 menerusi sepakan gunting Ahmad Fakri Saarani namun Razi tenang menafikannya.
Sebaik babak kedua bermula, kedudukan sudah berubah dan Kelantan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Mohamed Shawky pada minit ke-55.
Gol tersebut melonjakkan semangat pemain Kelantan yang terus mengasak kubu pasukan tuan rumah, namun jentera pertahanan Perak bijak bertahan.
Tuan rumah yang mendapat sokongan kira-kira 20,000 penyokong kembali di depan menerusi jaringan Khairul Asyraf pada minit ke-79 melalui untuk menjadikan kedudukan 2-1 dan ia kekal sehingga tamat permainan, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Perak.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, T-Team mengikat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keputusan seri 2-2.
Skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah itu mempamerkan aksi cukup bertenaga bagi memastikan mereka memperoleh satu mata berharga.
Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu memecah kebuntuan melalui rembatan kencang Azlan Ismail pada minit-12.
Pasukan ATM yang dikemudi bekas pemain Terengganu, Hairuddin Omar mengikat kedudukan melalui jaringan cantik Nor Fazly Alias pada minit ke-38.
Pada minit ke-59, pemain import ATM, Bruno Sebastian Marteloto menambah derita skuad The Titans melalui sepakan deras ke gawang T-Team.
Skuad ATM hampir menambah gol ketiga apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-66.
Bagaimanapun, penjaga gol T-Team menghampakan sepakan penyerang import ATM, Juan Manuel Arostegui.
Pemain tengah T-Team, Khairan Ezuan muncul penyelamat apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-90.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, Lions XII seri tanpa jaringan dengan Terengganu sementara Selangor terus mengukuhkan cengkaman selepas menewaskan Sime Darby 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Selangor kini memimpin kedudukan liga dengan 9 mata.

Liverpool aibkan Arsenal di Anfield (Utusan)


PEMAIN Liverpool, Martin Skrtel (tengah) dan rakan-rakan sepasukan meraikan golnya ketika menentang Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield, Liverpool semalam. Liverpool menang 5-1. - REUTERS


LIVERPOOL - Liverpool membelasah pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal 5-1 dengan mempamerkan permainan menyerang yang menakjubkan di Anfield seterusnya mengukuhkan peluang mereka untuk merebut tempat ke Liga Juara-juara, sedangkan peluang The Gunners untuk meraih trofi liga musim ini menjadi tanda tanya.

Empat gol tuan rumah hadir dalam tempoh 20 minit, apabila mereka menghukum kealpaan Arsenal sedikit demi sedikit, seterusnya meletakkan mereka sebagai pasukan yang mampu untuk mencabar kejuaraan liga apabila sebelum ini hanya tertumpu kepada tiga pasukan sahaja, termasuk Manchester City dan Chelsea selain Arsenal.

Kemenangan Liverpool itu menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam empat perlawanan dan berjaya merapatkan jurang kepada lima mata untuk mengukuhkan kedudukan di tempat keempat.
Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila pemain pertahanan, Martin Skrtel berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol seawal minit pertama melalui sepakan dari dalam petak penalti, berpunca daripada sepakan bebas yang dilakukan ketua pasukan, Steven Gerrard.

Skrtel sekali lagi menghukum kealpaan pertahanan Arsenal apabila menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Gerrard pada minit kesepuluh untuk jaringan kedua peribadinya dan pasukan tuan rumah.
The Reds seolah-olah seperti singa lapar apabila mendahului 3-0 pada minit ke-17, kali ini giliran penyerang muda, Raheem Sterling pula menumpaskan penjaga gol lawan, Wojciech Szczesny apabila menerima umpanan leret daripada Luis Suarez dari bahagian kanan.

Liverpool terus berpesta gol apabila menambah jaringan pada minit ke-20 menerusi penyerang antarabangsa England, Daniel Sturridge, selepas menerima hantaran ke depan yang cantik daripada Philippe Coutinho.
Kebangkitan yang diharapkan anak buah Arsene Wenger pada separuh masa kedua tidak berlaku apabila mereka dihukum lagi menerusi gol kelima dan juga jaringan kedua Sterling selepas merembat masuk dari dalam petak penalti.

Arsenal akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-69 apabila Mikel Arteta menyempurnakan sepakan penalti, selepas pengadil perlawanan, Michael Oliver menghukum kesalahan Gerrard yang mengasari Alex Oxlade-Chamberlain dalam petak penalti.

Arsenal berpeluang membalas dendam kekalahan mereka di Anfield apabila kedua-dua pasukan bertemu semula pada 16 Februari di Stadium Emirates untuk perlawanan pusingan kelima Piala FA. - REUTERS