LIVERPOOL - Liverpool membelasah pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal 5-1 dengan mempamerkan permainan menyerang yang menakjubkan di Anfield seterusnya mengukuhkan peluang mereka untuk merebut tempat ke Liga Juara-juara, sedangkan peluang The Gunners untuk meraih trofi liga musim ini menjadi tanda tanya.
Empat gol tuan rumah hadir dalam tempoh 20 minit, apabila mereka menghukum kealpaan Arsenal sedikit demi sedikit, seterusnya meletakkan mereka sebagai pasukan yang mampu untuk mencabar kejuaraan liga apabila sebelum ini hanya tertumpu kepada tiga pasukan sahaja, termasuk Manchester City dan Chelsea selain Arsenal.
Kemenangan Liverpool itu menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam empat perlawanan dan berjaya merapatkan jurang kepada lima mata untuk mengukuhkan kedudukan di tempat keempat.
Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila pemain pertahanan, Martin Skrtel berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol seawal minit pertama melalui sepakan dari dalam petak penalti, berpunca daripada sepakan bebas yang dilakukan ketua pasukan, Steven Gerrard.
Skrtel sekali lagi menghukum kealpaan pertahanan Arsenal apabila menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Gerrard pada minit kesepuluh untuk jaringan kedua peribadinya dan pasukan tuan rumah.
The Reds seolah-olah seperti singa lapar apabila mendahului 3-0 pada minit ke-17, kali ini giliran penyerang muda, Raheem Sterling pula menumpaskan penjaga gol lawan, Wojciech Szczesny apabila menerima umpanan leret daripada Luis Suarez dari bahagian kanan.
Liverpool terus berpesta gol apabila menambah jaringan pada minit ke-20 menerusi penyerang antarabangsa England, Daniel Sturridge, selepas menerima hantaran ke depan yang cantik daripada Philippe Coutinho.
Kebangkitan yang diharapkan anak buah Arsene Wenger pada separuh masa kedua tidak berlaku apabila mereka dihukum lagi menerusi gol kelima dan juga jaringan kedua Sterling selepas merembat masuk dari dalam petak penalti.
Arsenal akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-69 apabila Mikel Arteta menyempurnakan sepakan penalti, selepas pengadil perlawanan, Michael Oliver menghukum kesalahan Gerrard yang mengasari Alex Oxlade-Chamberlain dalam petak penalti.
Arsenal berpeluang membalas dendam kekalahan mereka di Anfield apabila kedua-dua pasukan bertemu semula pada 16 Februari di Stadium Emirates untuk perlawanan pusingan kelima Piala FA. - REUTERS
No comments:
Post a Comment