Ahad lalu, kita dikejutkan dengan berita kematian pelakon dan pelawak terkenal, Harun Salim Bachik, 55, yang rebah ketika singgah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Bukit Merah, Perak dan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhatul Sakinah Batu Muda, Batu Caves, Selangor jam 11 pagi esoknya.
Harun atau Haron Aminar Rashid Salim mula dikenali melalui drama bersiri popular awal 1990-an, Rumah Kedai dan mantan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut membina nama melalui sitkom bersiri Gado-Gado. Selain berlakon, Harun pernah menghasilkan album Belilah pada 1996. Antara lagu popularnya ialah Banjir yang diinspirasi daripada insiden banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur waktu itu.
Biarpun digelar pelawak, anak kepada pelakon veteran 1950-an, Salim Bachik ini juga pelakon yang berkarakter dan menang anugerah Pelakon TV Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2001 menerusi drama Hangatnya Salju Dinginnya Bara. Malah, telefilem Cikgu Limau Kasturi memegang watak guru bahasa Inggeris bernama Cikgu Halim pada 1989 turut meninggalkan kesan kepada peminat sehingga kini.
Akhir-akhir ini namanya dikenali apabila menyertai Maharaja Lawak Mega 2013 bersama Afdlin Shauki melalui kumpulan Boboi dan menang tempat kedua. Afdlin menyifatkan Harun sebagai sahabat yang baik dan berbakat selain sangat terkesan dengan pemergian sahabat gandingannya. Lebih mengejutkan kerana Afdlin baru berjumpa Harun dua hari sebelum pemergiannya dan sempat bergurau seperti pertemuan sebelum ini. Afdlin turut berkongsi gambar terakhirnya bersama arwah di laman sosialnya. Mereka sempat bertepuk bertampar dan bergurau senda. Harun turut melahirkan rasa gembira dengan projek terbaru mereka di Istana Budaya nanti. Mereka juga berbincang mengenai hala tuju Boboi untuk terus berkembang di masa akan datang dan beliau akan cuba memastikan segala yang dirancang berjaya dilaksanakan.
Afdlin turut berbincang mengenai keputusannya untuk tidak lagi tampil sebagai watak Datin Maimon selepas mendapat nasihat Mufti Perak. Kata Afdlin, mereka memang rapat dan berkongsi tarikh lahir yang sama pada 19 Mei serta mempunyai matlamat hidup sama iaitu untuk memartabatkan bidang komedi.
Hampir semua filem terbitan dan arahan Afdlin turut menampilkan Harun sebagai pelakon. Antaranya Baik Punya Cilok, Apa Kata Hati, Cuci dan Papadom.
Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Suriati Mohd Nor, enam anak dan tiga cucu, dalam perjalanan pulang bersama keluarganya dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri satu majlis perkahwinan. Mereka sekeluarga berhenti di R&R Gunung Semanggol, Bukit Merah untuk mengisi minyak sebelum Harun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia. Anak ketiga Allahyarham, Ikram Al Rashid, 26, berkata, ayahnya sudah lama menghidap asma dan penyakitnya semakin teruk sejak kebelakangan ini.
“Saya tak sangka dia akan meninggalkan kami sekeluarga secepat ini kerana keadaannya sihat ketika kali terakhir kami bertemu,” katanya. Anak kedua, Danial Al-Rashid, 29 mengakui satu sebab kesihatan arwah terjejas kerana terlalu kuat bekerja. Katanya, penyakit asma yang dihidapinya sejak lima tahun lalu dilihat semakin menjadi-jadi selepas menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013 dan sering mendapatkan rawatan di hospital. “Kami pernah menasihatinya supaya berehat tapi ayah memberi alasan akan memperlahankan aktiviti seni tahun ini,” katanya.
Saturday, 21 March 2015
Saturday, 14 March 2015
Ustaz Haslin ulas teguran mufti [Utusan]
KUALA LUMPUR 13 Mac – Penceramah bebas, Haslin Baharim menerima teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria secara terbuka tetapi mempertahankan pendekatan yang digunakannya dalam berdakwah.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood bagaimanapun mempersoalkan apakah menjadi satu kesalahan bagi seseorang pendakwah menyampaikan dakwah dalam bentuk jenaka atau nyanyian bagi menarik perhatian orang ramai.
Katanya, setiap pendakwah mempunyai pendekatan atau cara yang tersendiri dalam menyebarkan ilmu, yang bukannya untuk dijadikan ikutan oleh mana-mana pihak.
“Saya menerima kritikan dan teguran daripada mana-mana pihak namun persoalannya, apakah cara gurauan nyanyian menjadi satu kesalahan besar dalam dunia dakwah pada zaman moden ini yang dilihat lebih dekat dengan jiwa masyarakat.
“Dalam dakwah umum contohnya, kita tidak tahu latar belakang khalayak yang hadir. Bagi menarik minat mereka, cara dakwah perlu digarap dengan unsur humor untuk menarik minat mereka mendengar ilmu disampaikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Harussani dalam laporan akhbar semalam menegur beberapa pendakwah yang disifatkan beliau sebagai ‘penglipur lara’ kerana berjenaka ketika berceramah serta menggunakan nama fasik seperti panggilan ‘Ustaz Bollywood’.
Mengulas lanjut, Haslin berkata, pendekatan dakwah yang diselitkan bersama unsur-unsur humor dan nyanyian, hanya digunakan mengikut kesesuaian sesebuah majlis ilmu itu.
“Seseorang pendakwah itu perlu tahu membezakan keadaan majlis dakwah mengikut kesesuaian tempat, audiens dan masa,” katanya.
Mengulas mengenai nama gelaran ‘Ustaz Bollywood’ yang dikatakan menggunakan nama fasik, Haslin berkata, perkara tersebut telah dijelaskan di hadapan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan tahun lalu.
“Nama tersebut bukan saya sengaja letak, sebaliknya diberikan oleh peminat kerana menggunakan pendekatan nyanyian lagu-lagu Bollywood yang digunakan dalam penyampaian dakwah.
“Segala-galanya telah diperjelaskan dan tiada larangan daripada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Lebih menarik lagi, penggunaan perkataan tersebut berjaya menarik minat penduduk dari kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak hadir ke ceramah yang diadakan,” jelasnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)