Saturday, 21 March 2015

Kehilangan besar dunia seni : Harun Salim Bachik (metro)

Ahad lalu, kita dikejutkan dengan berita kematian pelakon dan pelawak terkenal, Harun Salim Bachik, 55, yang rebah ketika singgah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Bukit Merah, Perak dan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhatul Sakinah Batu Muda, Batu Caves, Selangor jam 11 pagi esoknya.

Image result for Harun Salim Bachik

Harun atau Haron Aminar Rashid Salim mula dikenali melalui drama bersiri popular awal 1990-an, Rumah Kedai dan mantan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut membina nama melalui sitkom bersiri Gado-Gado. Selain berlakon, Harun pernah menghasilkan album Belilah pada 1996. Antara lagu popularnya ialah Banjir yang diinspirasi daripada insiden banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur waktu itu. 

Biarpun digelar pelawak, anak kepada pelakon veteran 1950-an, Salim Bachik ini juga pelakon yang berkarakter dan menang anugerah Pelakon TV Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2001 menerusi drama Hangatnya Salju Dinginnya Bara. Malah, telefilem Cikgu Limau Kasturi memegang watak guru bahasa Inggeris bernama Cikgu Halim pada 1989 turut meninggalkan kesan kepada peminat sehingga kini. 

Akhir-akhir ini namanya dikenali apabila menyertai Maharaja Lawak Mega 2013 bersama Afdlin Shauki melalui kumpulan Boboi dan menang tempat kedua. Afdlin menyifatkan Harun sebagai sahabat yang baik dan berbakat selain sangat terkesan dengan pemergian sahabat gandingannya. Lebih mengejutkan kerana Afdlin baru berjumpa Harun dua hari sebelum pemergiannya dan sempat bergurau seperti pertemuan sebelum ini. Afdlin turut berkongsi gambar terakhirnya bersama arwah di laman sosialnya. Mereka sempat bertepuk bertampar dan bergurau senda. Harun turut melahirkan rasa gembira dengan projek terbaru mereka di Istana Budaya nanti. Mereka juga berbincang mengenai hala tuju Boboi untuk terus berkembang di masa akan datang dan beliau akan cuba memastikan segala yang dirancang berjaya dilaksanakan. 

Afdlin turut berbincang mengenai keputusannya untuk tidak lagi tampil sebagai watak Datin Maimon selepas mendapat nasihat Mufti Perak. Kata Afdlin, mereka memang rapat dan berkongsi tarikh lahir yang sama pada 19 Mei serta mempunyai matlamat hidup sama iaitu untuk memartabatkan bidang komedi.

Hampir semua filem terbitan dan arahan Afdlin turut menampilkan Harun sebagai pelakon. Antaranya Baik Punya Cilok, Apa Kata Hati, Cuci dan Papadom. 

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Suriati Mohd Nor, enam anak dan tiga cucu, dalam perjalanan pulang bersama keluarganya dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri satu majlis perkahwinan. Mereka sekeluarga berhenti di R&R Gunung Semanggol, Bukit Merah untuk mengisi minyak sebelum Harun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia. Anak ketiga Allahyarham, Ikram Al Rashid, 26, berkata, ayahnya sudah lama menghidap asma dan penyakitnya semakin teruk sejak kebelakangan ini. 

“Saya tak sangka dia akan meninggalkan kami sekeluarga secepat ini kerana keadaan­nya sihat ketika kali terakhir kami bertemu,” katanya. Anak kedua, Danial Al-Rashid, 29 mengakui satu sebab kesihatan arwah terjejas kerana terlalu kuat bekerja. Katanya, penyakit asma yang dihidapinya sejak lima tahun lalu dilihat semakin menjadi-jadi selepas menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013 dan sering mendapatkan rawatan di hospital. “Kami pernah menasihatinya supaya berehat tapi ayah memberi alasan akan memperlahankan aktiviti seni tahun ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment