Saturday, 1 August 2015

Emosi & luahan hati Yazit



YAZIT masih berisi ketika dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada tahun 2013. Menemaninya adalah anak bongsunya, Shafiqa Nurlis (kiri) dan isterinya, Ramlah Zainal.

SAAT pintu rumah dibuka, terlihat jelas susuk badan seorang lelaki yang kelihatan uzur. Hanya berkemeja-T dan berkain pelekat, Yazit Ahmad, pemain drum kumpulan Search duduk di kerusi meja makan sudah bersiap sedia menerima kunjungan Kosmo! ke kediamaannya yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam keadaan lelah selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur pada sebelah pagi, beliau masih mempunyai kudrat untuk melayani tetamu yang hadir. Meskipun hanya duduk di atas kerusi dan isterinya, Ramlah Zainal, 56, sibuk untuk menghidangkan air, Yazit melayani tetamu dengan celotehnya.
Biarpun butir bicara lelaki berusia 53 tahun itu sekali-sekala tersekat kerana semput, namun tidak menghalangnya daripada berbual-bual setiap kali rumahnya dikunjungi tetamu.
“Saya seronok apabila orang datang ke rumah. Selain hospital, rumah ini adalah dunia saya. Saya tidak boleh pergi ke sebarang tempat kerana keadaan yang memerlukan persekitaran bersih,” katanya.
Celotehnya tetap sama, cuma susuk tubuhnya semakin mengecil berbanding dahulu. Jika sebelum ini Yazit mempunyai berat 90 kilogram (kg), kini disebabkan kegagalan buah pinggang, masalah jantung dan asma, berat badannya menyusut sehingga 65kg.
“Sejak sakit buah pinggang terlalu banyak pantang larang dalam pengambilan makanan. Waktu raya, orang lain makan rendang, saya hanya makan ketupat dan ikan kukus sahaja. Bukan tidak berselera tetapi tidak boleh makan. Kadangkala saya tidak boleh menelan makanan membuatkan saya terlalu berjaga-jaga dalam setiap makanan yang diambil,” tuturnya.
Apabila bicara dialih kepada masalah kesihatannya, Yazit mula merenung jauh. Terdiam cuba mengingat sesuatu barangkali lalu berkata, semuanya bermula sekitar sedekad yang lalu. Waktu itu beliau masih sihat dan tidak pernah gagal mengiringi setiap persembahan kumpulan Search di seluruh negara.
Bagaimanapun, Yazit sering dilanda demam pada waktu malam dan tidak pulih hanya dengan memakan ubat demam biasa. Bimbang dengan kesihatannya, Yazit menjalani pemeriksaan di hospital. Berita yang terluncur daripada mulut doktor pada waktu itu membuatkan dunia Yazit tiba-tiba menjadi gelap.
“Saya masih belum lupa apabila disahkan oleh doktor bahawa buah pinggang telah rosak. Berita itu membuatkan saya terduduk dan dunia menjadi gelap. Ketika itu saya tidak percaya pada takdir yang saya sakit. Sebab terlalu risau, saya tidak boleh tidur malam selama berbulan-bulan menyebabkan fikiran terganggu.
“Titik perubahan saya adalah selepas melihat keadaan seorang pesakit buah pinggang yang lebih kronik. Perkara itu secara automatik telah memberi kesedaran bahawa keadaan saya tidaklah terlalu teruk. Sejak itu, barulah saya berusaha untuk mendapatkan rawatan dialisis air,” ujarnya yang memberitahu turut dilanda kemurungan pada peringkat awal mengetahui buah pinggangnya telah rosak.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun, bagi Yazit terdapat keindahan sebalik kesakitan yang terpaksa ditanggung selama ini. Tanpa berselindung dengan mata hampir berkaca, Yazit memberitahu, pandangannya terhadap kehidupan berubah sejak sakit.
Beliau mengaku sakit merupakan ujian Allah dan hidayah buat dirinya yang selama ini terlalu hanyut dengan kehidupan duniawi.
“Sakit ini merupakan hidayah kepada saya. Saya mengaku seorang yang jahil tentang agama kerana sejak muda tidak pernah menunaikan solat. Ketika kecil sahaja saya bersolat dan mengaji al-Quran. Apabila dewasa dan sibuk bekerja, sekali-sekala sahaja pergi solat Jumaat manakala, solat lima waktu memang diabaikan terus.
“Jika tanpa sakit, saya mungkin terus hanyut dengan kehidupan dunia. Populariti dan wang hilang sekelip mata apabila jatuh sakit dan tidak boleh bekerja. Saya bersyukur kerana Allah masih sayangkan saya dan beri peluang kedua untuk bertaubat. Saya berharap Allah mengampunkan dosa yang pernah saya lakukan sebelum ini,” tuturnya yang percaya setiap kejadian mempunyai hikmah sebaliknya.
Dana RM400,000
Bercakap tentang wang, sekali lagi Yazit merenung kosong. Walaupun pernah berada di puncak populariti bersama kumpulan Search dan hidup senang, katanya beliau tidak pernah menjadi kaya-raya.
Wang yang diperoleh disimpan sebaik mungkin demi kelangsungan hidupnya sekeluarga. Namun, sejak buah pinggangnya gagal berfungsi, Yazit telah menghabiskan separuh daripada wang simpanannya untuk rawatan penyakitnya.
Katanya, tidak ramai yang tahu kos untuk membuat rawatan pesakit buah pinggang menelan belanja besar. Kos tersebut meningkat dengan mendadak apabila Yazit beralih daripada dialisis air kepada darah sejak dua tahun lalu.
Beritahunya, setiap kali melakukan rawatan dialisis, kos yang perlu dikeluarkan adalah sebanyak RM300. Beliau bagaimanapun perlu melakukan rawatan dialisis darah sebanyak tiga kali seminggu. Ini bermakna kos rawatan dialisisnya sahaja mencecah angka RM4,000 sebulan. Jumlah tersebut belum dicampur dengan kos rawatan jantung serta pemindahan buah pinggang yang bakal dilakukan pada masa akan datang.
“Saya tidak pernah minta duit orang tetapi setiap kali keluar jika bertemu dengan peminat, mereka bukan setakat bertanya khabar tetapi turut menghulurkan wang RM10 atau RM20. Mulanya memang segan, tetapi saya belajar menerima keikhlasan orang yang membantu. Buat masa ini saya memerlukan dana sebanyak RM400,000 untuk kos rawatan dan pembedahan. Setakat ini jumlah yang ada tidak sampai RM50,000,” ujarnya yang bersyukur dengan keprihatinan orang ramai.
Selepas terpaksa berehat sementara waktu daripada pentas muzik, beliau pernah berusaha menambah pendapatan dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual tauhu bakar dan otak-otak pada Januari lalu. Bagaimanapun, perniagaannya terpaksa ditutup kerana kesihatan semakin merosot dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada awal Julai lepas akibat jangkitan kuman pada jantungnya.
“Sepanjang hidup, saya hanya pandai bermain muzik sahaja dan tidak tahu melakukan kerja lain. Walaupun untung setakat 30 sen dan 40 sen, cukuplah untuk menampung kehidupan saya waktu itu. Selagi terdaya, saya akan bekerja menggunakan kudrat sendiri.
“Sekarang, kesihatan saya tidak mengizinkan. Bercakap pun cepat letih dan akan semput. Jadi, saya memang bergantung sepenuhnya terhadap isteri dan anak-anak. Alhamdulillah, sepanjang saya sakit mereka menjaga saya dengan cukup baik. Segala keperluan disediakan sebaik mungkin. Isteri saya berjaga siang dan malam termasuk membuat kraftangan untuk dijual bagi menambah pendapatan keluarga,” tuturnya.
Dalam kesukaran, Yazit diberi cahaya harapan apabila menerima tawaran daripada lima individu yang ingin mendermakan buah pinggang mereka kepadanya. Perkataan syukur tidak henti keluar daripada mulutnya kerana tidak percaya begitu ramai orang sanggup mengorbankan organ badan sendiri demi memastikan beliau kembali sihat seperti biasa.
Sungguhpun begitu, tegas Yazit, pembedahan pemindahan buah pinggang atau transplan itu bukanlah pilihan terbaik buat masa terdekat kerana jantungnya masih belum stabil.
“Saya sendiri tidak tahu apakah masalah sebenar jantung sendiri. Jika jantung sihat barulah pembedahan tersebut dapat dilakukan,” beritahu Yazit yang akan menjalani pemeriksaan jantung pada 5 Ogos ini di Hospital Serdang, Selangor.
Impian
Yazit ditanya adakah impian yang masih terpendam yang ingin ditunaikan andai kesihatannya kembali pulih kelak? Tanpa berfikir panjang, bapa kepada tiga orang anak itu memberitahu, beliau ingin menyeru kepada orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Berperang dengan kegagalan buah pinggang selama hampir sedekad telah memberi ilmu tambahan tentang kesihatan. Beliau mahu menjadi seorang penceramah motivasi tentang kesihatan di samping mengadakan klinik drum secara percuma kepada anak muda.
“Jika nafas saya dipanjangkan oleh Allah dan kembali sihat, niat saya hanya satu iaitu ingin berbakti kepada orang ramai. Saya ingin berkongsi pengalaman hidup dan penyakit yang saya hidap sebagai penceramah motivasi secara percuma kepada golongan muda supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat.
“Sebenarnya masyarakat Malaysia terlalu suka dengan makanan berlemak dan tanpa sedar mendatangkan penyakit kepada diri sendiri. Selepas sakit, menyesal keluar air mata darah pun tiada guna. Jadi, sebelum sakit baik dicegah sebaiknya sejak usia muda. Selain tentang kesihatan, saya ingin menurunkan ilmu bermain drum kepada sesiapa yang berminat secara percuma.
“Saya tiada harta, cuma ilmu muzik dan kehidupan sahaja yang boleh dikongsi bersama,” katanya yang merancang kerjasama berkenaan dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Sudah lima tahun Yazit mengamalkan diet makanan yang sihat tanpa lemak.
Setiap hari, Yazit harus memakan berbelas-belas pil untuk merawat penyakitnya.
Yazit mempunyai dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan Ramlah Ahmad sejak tahun 1984 iaitu Shamir Nuri, 30 dan Shafiqa Nurlis, 24. Isterinya mempunyai seorang anak, Razila Razali, 33, hasil perkahwinan terdahulunya.
Buat yang ingin menderma kepada Yazit, boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Yazit Ahmad - 01427121 9687.

No comments:

Post a Comment