Sunday, 27 March 2016

Bukti bukan mandul


MELALUI perkahwinan pertama hampir lima tahun tanpa zuriat, wanita ini pernah dituduh mandul oleh sesetengah pihak yang bermulut ‘jahat’ dan celupar. Malah apa yang lebih menyakitkan, ada yang cuba menuding jari punca perceraian dengan suami pertama, Megat Bashirun Qhu­yum, juga kerana kegagalannya untuk memberikan zuriat kepada lelaki tersebut.

Sehingga ke detik ini, Raja Farah enggan menolak fakta bahawa. Rasa sedih dengan tuduhan tersebut masih bersisa di hatinya sehingga ke hari ini. Satu tuduhan yang amat kejam dan tidak bertanggungjawab dengan mudah dilemparkan oleh manusia-manusia yang tidak punya hati dan perasaan.

Namun melalui kehidupan dengan penuh rasa bersyukur atas apa juga ujian yang menimpa, Raja Farah percaya doa adalah pengubat paling mujarab buat segala masalah yang timbul dalam hidupnya.


Kembali berumah tangga dengan Iskandar Ismail, 34, kira-kira tujuh bulan lalu, pelakon ini diragut bimbang dan ragu jika perkahwinan kedua ini juga gagal memberikan seorang zuriat kepada suami. Pastinya, segala tuduhan itu akan tiba-tiba dikaitkan kembali dengan dirinya. Bagaimanakah keadaan dirinya, kalau memang tidak mampu mengandung dan melahirkan zuriat seperti wanita normal yang lain? 

Ternyata fikiran itu sedikit sebanyak memberi tekanan buat dirinya sendiri. Berkongsi kebimbangan dengan suaminya Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 28, beruntung kerana suami cukup positif dan tidak pernah meletakkan dirinya dalam kebimbangan. “Pernah saya tanyakan kepada suami, jika benar saya tidak boleh mengandung, apa yang dia akan lakukan? Sampai sebegitu sekali rasa ragu dan bimbang saya,” cerita Farah, perlahan-lahan. Sesekali tersenyum, sesekali dia kelihatan serius, sebelum menyambung semula ceritanya.

“Ternyata saya telah mengahwini seorang lelaki yang sangat positif. Dia tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang menakutkan. Jawapannya buat saya ketika itu amat mudah dan ringkas `tidak mengapa kita terus berdoa dan berdoa. Itu sahaja,” ceritanya lagi dalam rasa syukur yang kekal bertaut. Menurut Farah, kata-kata orang sebelum ini tentang keadaan dirinya telah memakan diri. Malah perasaan takut untuk tidak mempunyai zuriat juga banyak membelenggu dirinya beberapa tahun kebelakangan ini. 

“Macam-macam saya fikir dek kerana termakan kata-kata orang. Percaya tak, saya pernah mahu buat pembedahan membetulkan rahim? Memang teruklah. “Sebab itu, bila sah mengandung, saya rasa sangat lega, Allah Maha Besar. Bukan kita mahu dengar sangat kata orang, tetapi kadang-kadang perkara itu memang terkesan sebenarnya,” katanya. Sedia melepaskan mereka yang selama ini menuduhnya dengan macam-macam kenyataan yang menyakitkan, Raja Farah sudah lama memaafkan mereka. “Ada yang meminta maaf kerana pernah menuduh saya macam-macam sebelum ini. Bagi saya perkara ini normal semua orang membuat kesalahan. Berhati-hati sebelum menjatuhkan hukuman kepada orang lain juga. Sebab bagi saya yang melalui perkara itu, ternyata bukan mudah untuk diri ini menelan setiap pertuduhan. Kita sebagai wanita cepat sensitif dan emosi kita mudah dipengaruhi,” katanya yang dijangka bersalin pada Ogos ini. 

Kandungan masuk minggu 18 Masih mengalami tanda-tanda awal kehamilan, saat ini Raja Farah sedikit pun tidak mahu mengeluh dengant ujian-ujian kecil yang diberi sewaktu awal kehamilan. Selepas beberapa lama menunggu, dia yakin untuk melalui setiap saat sebagai ibu hamil dengan indah. “Bab alahan itu tidak ada sangat, cuma perbezaan selera itu memang agak ketara. Jika sebelum ini tidak suka masakan pedas, tetapi sepanjang hamil ini memang suka makanan yang pedas. “Saya juga ada rasa loya kalau terbau masakan goreng, rasanya itu sahaja, tidak teruk sangat,” katanya gembira. Bercerita saat pertama dia mendengar jantung ‘si buah hati’ yang dalam kandungan, itu adalah detik yang tidak akan dilupakan selama-lamanya. Mengingati kembali perkara tersebut membuatkan dia cukup rasa dihargai. 

“Saya tidak pernah tahu akan tanda-tanda orang mengandung sebab tidak pernah merasa. Bila saya periksa menggunakan alat penguji kehamilan dan ia positif saya terus lakukannya sebanyak tiga kali sebab tak percaya. “Bila jumpa doktor kami minta lakukan imbasan, dan itu merupakan kali pertama buat saya melihat jantung kandungan. Perasaan ketika itu sukar digambarkan, tetapi memang saya menangis,” katanya. Sudah pun mengetahui jantina bayi yang dikandung, buat masa ini dia masih enggan mendedahkannya kepada umum. Namun untuk soal untuk berkongsi gambar anak, bukan waktu yang sesuai ditanya ketika ini memandangkan kandungnya baru mencecah empat bulan. “Kalau ikutkan jantina anak sudah saya ketahui, tetapi belum masanya untuk dedahkan. Apa yang paling penting anak ini sihat dan membesar dengan baik. 

“Memang kalau mahu bandingan saiz perut ketika ini tidak terlalu nampak sebab jelas doktor mungkin atas sebab faktor anak pertama jadi perut itu tidak terlalu besar. “Soal tunjuk anak bagi saya masih terlalu awal untuk cakap soal itu. Buat masa ini anak juga tidak ada depan mata. Kita lihat sahaja macam mana nanti. 

Kalau diikutkan memang ada waktu yang sesuai untuk saya kenalkan anak saya selepas dia lahir nanti. Kita tengok macam mana,” katanya. Raja Farah dijangka bersalin pada Ogos ini di ibu negara dan menjalani proses berpantang di Shah Alam. Jangan  cari salah bekas suami Jika sebelum ini Raja Farah banyak menerima tekanan, hari ini, bekas suaminya pula yang menjadi sasaran pengguna laman sosial. Macam-macam tuduhan yang diberikan kepada lelaki itu. 

Justeru, Raja Farah dengan rendah hati, memohon semua pihak agar menghentikan perkara yang tidak berperikemanusiaan itu. “Kenapa perlu mengganggu kehidupan orang lain? Tolonglah, jangan jatuhkan hukuman ke atas orang lain. Mungkin sudah ditakdirkan ketika kami berkahwin dahulu tidak dikurniakan anak. Mungkin ada rezeki dia dengan orang lain selepas ini, seperti saya juga.  “Bagi saya pihak yang sentiasa mencari salah orang ini ada masalah. Mereka sepatutnya kena faham rezeki adalah pemberian Allah. “Tolonglah, jangan tuding jari cari kesalahan orang untuk menyedapkan tekaan diri masing-masing,” pintanya, sekali gus mendoakan bekas suami sentiasa beroleh bahagia dalam kehidupannya. 

‘Walaupun tua, saya sukakannya’

DUNGUN 24 Mac – “Walaupun usia jauh berbeza namun saya kahwin dengan dia sebab saya sukakannya, bukan kerana duit atau terhutang budi.”

Nur Nasirah Mohd. Nazri bersama suaminya, Ismail Lombok.

Itu pengakuan Nur Nasirah Mohd Nazri, 18, yang memilih Ismail Lombok, 66, seorang warga emas sebagai suaminya.
Nur Nasirah berkata, perkenalan mereka bermula kira-kira dua tahun lalu apabila Ismail, seorang pesara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang juga pekebun sering minum di restoran ibunya, Salma Abdullah, 42, di Paka.

Ketika itu Nur Nasirah selalu berada di restoran untuk melakukan kerja-kerja dapur selain mengambil pesanan daripada pe­langgan.

Kata Nur Nasirah, dia mula tertarik dengan perwatakan duda lapan anak itu yang sering bertanya khabar keadaannya dan keluarga.

Pada masa itu, dia tidak tahu bahawa Ismail turut menaruh hati padanya dan dia melayan lelaki itu seperti pelanggan lain yang berkunjung ke restoran milik ibunya.

Namun, sikap Ismail yang sanggup berterus terang kepada ibu bapanya dan sedia menunggu untuk mengahwininya, berjaya membuka pintu hati gadis itu.

Nur Nasirah ketika itu baru sahaja menamatkan persekolahan tingkatan lima.

“Biar apa orang hendak kata kepada saya namun saya terimanya seadanya, dia begitu mengambil berat dan menyayangi saya sepenuh hati.

‘Lagipun perkahwinan kami direstui keluarga, kami berkahwin dengan cara yang sah, ikut adat, cuma jarak usia sahaja berbeza, ia bukan penghalang cinta kami,” kata Nur Nasirah ketika dihubungi petang ini.

Selepas mendapat persetujuan daripada keluarga kedua-dua pihak, akhirnya Nur Nasirah yang juga anak ketiga daripada lima beradik pasangan Salma dan Mohd. Nazri Mat Kidi, 54, selamat diijabkabulkan dengan Isma­il dengan hantaran kahwin sebanyak RM7,000.

Majlis akad nikah berlangsung di rumah pengantin lelaki di Jalan Santong, Paka kira-kira jam 10.30 malam, 18 Mac lalu namun gambar-gambar perkahwinan mereka mulai menjadi viral di media sosial dengan ulasan-ulasan yang mempersendakan pasangan itu.

Sementara itu, ibu Nur Nasirah, Salma yang juga rakan baik Ismail yang kini menjadi menantunya berkata, dia telah lama mengenali lelaki yang dikenali panggilan Pok Wil kerana mereka tinggal sekampung.

“Selepas anak saya tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia berkali-kali meluahkan hasratnya itu, namun saya tidak memberikan keputusan kerana perlu berbincang dengan Nur Nasirah dahulu.

“Akhirnya Nur Nasirah memberikan jawapan, barulah kami buat perbincangan lanjut lalu menetapkan tarikh perkahwinan mereka,” kata Salma yang merestui perkahwinan pasangan itu.

Buli: Murid tahun dua dipaksa potong lidah

KLANG 26 Mac - Dalam satu kejadian buli yang disifatkan paling tragis pernah berlaku, seorang murid tahun dua, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, dipaksa memotong lidahnya sendiri di sebuah sekolah rendah di sini.
Dia mendakwa dipaksa berbuat demikian oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama ketika waktu rehat.



Menurut Muhammad Alif Shukran, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 petang Khamis lalu semasa dia ke tandas berseorangan.

Ketika hendak keluar dari tandas, dia ditahan oleh murid-murid tersebut yang memaksanya menggunting lidah sendiri.
‘‘Saya terpaksa mengikut arahan mereka kerana takut ditumbuk,’’ katanya ketika ditemui di rumah­nya di Bukit Tinggi di sini hari ini.

Dalam keadaan berlumuran darah dan menangis kerana kesakitan, Muhammad Alif Shukran kembali ke kelas manakala kesemua murid berkenaan melarikan diri.

Bagaimanapun, jelasnya, dia tidak dapat mengecam murid yang memaksanya melakukan perbuat­an tersebut kerana kesemua mereka memakai topeng kertas.

Muhammad Alif Shukran mendakwa, dia sebelum ini sering­ dibuli termasuk ditumbuk oleh murid-murid lain.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Nurhuda Ibrahim, 29, berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 6 petang sebelum bergegas ke sekolah.

Dia kemudiannya menghantar Muhammad Alif Shukran mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Katanya, akibat kejadian itu, lidah anaknya putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.

“Doktor bagaimanapun mengesahkan ia tidak memberi kesan apa-apa kerana hanya sebahagian kecil yang terpotong tetapi bahagian yang terpotong itu tidak akan tumbuh semula.

“Keadaan anak saya kini juga telah stabil dan dia tidak takut ke sekolah. Dia hanya boleh makan makanan yang lembut dan minum menggunakan penyedut,” jelasnya.

Siti Nurhuda mendakwa, sebelum ini dia telah memaklumkan kepada pihak sekolah yang anaknya sering dibuli, tetapi tiada tindakan diambil sehinggalah kejadian ini berlaku.

‘‘Sebelum ini, saya pernah ke sekolah dan berjumpa beberapa murid yang membuli anak saya selepas mendapati mata anak saya lebam,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti murid yang terlibat serta punca kejadian.