MELALUI perkahwinan pertama hampir lima tahun tanpa zuriat, wanita ini pernah dituduh mandul oleh sesetengah pihak yang bermulut ‘jahat’ dan celupar. Malah apa yang lebih menyakitkan, ada yang cuba menuding jari punca perceraian dengan suami pertama, Megat Bashirun Qhuyum, juga kerana kegagalannya untuk memberikan zuriat kepada lelaki tersebut.
Sehingga ke detik ini, Raja Farah enggan menolak fakta bahawa. Rasa sedih dengan tuduhan tersebut masih bersisa di hatinya sehingga ke hari ini. Satu tuduhan yang amat kejam dan tidak bertanggungjawab dengan mudah dilemparkan oleh manusia-manusia yang tidak punya hati dan perasaan.
Namun melalui kehidupan dengan penuh rasa bersyukur atas apa juga ujian yang menimpa, Raja Farah percaya doa adalah pengubat paling mujarab buat segala masalah yang timbul dalam hidupnya.
Kembali berumah tangga dengan Iskandar Ismail, 34, kira-kira tujuh bulan lalu, pelakon ini diragut bimbang dan ragu jika perkahwinan kedua ini juga gagal memberikan seorang zuriat kepada suami. Pastinya, segala tuduhan itu akan tiba-tiba dikaitkan kembali dengan dirinya. Bagaimanakah keadaan dirinya, kalau memang tidak mampu mengandung dan melahirkan zuriat seperti wanita normal yang lain?
Ternyata fikiran itu sedikit sebanyak memberi tekanan buat dirinya sendiri. Berkongsi kebimbangan dengan suaminya Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 28, beruntung kerana suami cukup positif dan tidak pernah meletakkan dirinya dalam kebimbangan. “Pernah saya tanyakan kepada suami, jika benar saya tidak boleh mengandung, apa yang dia akan lakukan? Sampai sebegitu sekali rasa ragu dan bimbang saya,” cerita Farah, perlahan-lahan. Sesekali tersenyum, sesekali dia kelihatan serius, sebelum menyambung semula ceritanya.
“Ternyata saya telah mengahwini seorang lelaki yang sangat positif. Dia tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang menakutkan. Jawapannya buat saya ketika itu amat mudah dan ringkas `tidak mengapa kita terus berdoa dan berdoa. Itu sahaja,” ceritanya lagi dalam rasa syukur yang kekal bertaut. Menurut Farah, kata-kata orang sebelum ini tentang keadaan dirinya telah memakan diri. Malah perasaan takut untuk tidak mempunyai zuriat juga banyak membelenggu dirinya beberapa tahun kebelakangan ini.
“Macam-macam saya fikir dek kerana termakan kata-kata orang. Percaya tak, saya pernah mahu buat pembedahan membetulkan rahim? Memang teruklah. “Sebab itu, bila sah mengandung, saya rasa sangat lega, Allah Maha Besar. Bukan kita mahu dengar sangat kata orang, tetapi kadang-kadang perkara itu memang terkesan sebenarnya,” katanya. Sedia melepaskan mereka yang selama ini menuduhnya dengan macam-macam kenyataan yang menyakitkan, Raja Farah sudah lama memaafkan mereka. “Ada yang meminta maaf kerana pernah menuduh saya macam-macam sebelum ini. Bagi saya perkara ini normal semua orang membuat kesalahan. Berhati-hati sebelum menjatuhkan hukuman kepada orang lain juga. Sebab bagi saya yang melalui perkara itu, ternyata bukan mudah untuk diri ini menelan setiap pertuduhan. Kita sebagai wanita cepat sensitif dan emosi kita mudah dipengaruhi,” katanya yang dijangka bersalin pada Ogos ini.
Kandungan masuk minggu 18 Masih mengalami tanda-tanda awal kehamilan, saat ini Raja Farah sedikit pun tidak mahu mengeluh dengant ujian-ujian kecil yang diberi sewaktu awal kehamilan. Selepas beberapa lama menunggu, dia yakin untuk melalui setiap saat sebagai ibu hamil dengan indah. “Bab alahan itu tidak ada sangat, cuma perbezaan selera itu memang agak ketara. Jika sebelum ini tidak suka masakan pedas, tetapi sepanjang hamil ini memang suka makanan yang pedas. “Saya juga ada rasa loya kalau terbau masakan goreng, rasanya itu sahaja, tidak teruk sangat,” katanya gembira. Bercerita saat pertama dia mendengar jantung ‘si buah hati’ yang dalam kandungan, itu adalah detik yang tidak akan dilupakan selama-lamanya. Mengingati kembali perkara tersebut membuatkan dia cukup rasa dihargai.
“Saya tidak pernah tahu akan tanda-tanda orang mengandung sebab tidak pernah merasa. Bila saya periksa menggunakan alat penguji kehamilan dan ia positif saya terus lakukannya sebanyak tiga kali sebab tak percaya. “Bila jumpa doktor kami minta lakukan imbasan, dan itu merupakan kali pertama buat saya melihat jantung kandungan. Perasaan ketika itu sukar digambarkan, tetapi memang saya menangis,” katanya. Sudah pun mengetahui jantina bayi yang dikandung, buat masa ini dia masih enggan mendedahkannya kepada umum. Namun untuk soal untuk berkongsi gambar anak, bukan waktu yang sesuai ditanya ketika ini memandangkan kandungnya baru mencecah empat bulan. “Kalau ikutkan jantina anak sudah saya ketahui, tetapi belum masanya untuk dedahkan. Apa yang paling penting anak ini sihat dan membesar dengan baik.
“Memang kalau mahu bandingan saiz perut ketika ini tidak terlalu nampak sebab jelas doktor mungkin atas sebab faktor anak pertama jadi perut itu tidak terlalu besar. “Soal tunjuk anak bagi saya masih terlalu awal untuk cakap soal itu. Buat masa ini anak juga tidak ada depan mata. Kita lihat sahaja macam mana nanti.
Kalau diikutkan memang ada waktu yang sesuai untuk saya kenalkan anak saya selepas dia lahir nanti. Kita tengok macam mana,” katanya. Raja Farah dijangka bersalin pada Ogos ini di ibu negara dan menjalani proses berpantang di Shah Alam. Jangan cari salah bekas suami Jika sebelum ini Raja Farah banyak menerima tekanan, hari ini, bekas suaminya pula yang menjadi sasaran pengguna laman sosial. Macam-macam tuduhan yang diberikan kepada lelaki itu.
Justeru, Raja Farah dengan rendah hati, memohon semua pihak agar menghentikan perkara yang tidak berperikemanusiaan itu. “Kenapa perlu mengganggu kehidupan orang lain? Tolonglah, jangan jatuhkan hukuman ke atas orang lain. Mungkin sudah ditakdirkan ketika kami berkahwin dahulu tidak dikurniakan anak. Mungkin ada rezeki dia dengan orang lain selepas ini, seperti saya juga. “Bagi saya pihak yang sentiasa mencari salah orang ini ada masalah. Mereka sepatutnya kena faham rezeki adalah pemberian Allah. “Tolonglah, jangan tuding jari cari kesalahan orang untuk menyedapkan tekaan diri masing-masing,” pintanya, sekali gus mendoakan bekas suami sentiasa beroleh bahagia dalam kehidupannya.
No comments:
Post a Comment