Saturday, 17 June 2017

PLUS diarah bayar ganti rugi [kosmo)

Keadaan motosikal Harley Davidson yang ditunggang Imran Kamali selepas terbabas akibat terlanggar kayu Kilometer 342.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Tapah pada 29 April 2015

IPOH – Mahkamah Sesyen di sini semalam mengarahkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membayar tuntutan ganti rugi sebanyak RM158,961 kepada isteri kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas akibat terlanggar kayu di Kilometer 342.6, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tapah dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim D. Sunita Kaur Jessy setelah mendapati PLUS bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian tersebut selepas gagal memastikan keselamatan pengguna di lebuh rayanya.
Peguam bela Sukhdave Singh ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, ganti rugi yang perlu dibayar kepada anak guamnya, Hawa Liyana Hashim, 34, itu termasuk RM10,000 untuk tuntutan kedukacitaan dan RM3,000 bagi kos pengebumian.

Thursday, 8 June 2017

Muhammad Syahid sudah tiada [kosmo]

BAZLI menunjukkan trofi kemenangannya sebagai juara Gema Gegar Vaganza ketika Muhammad Syahid sedang menerima rawatan pada Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Selepas enam bulan bertarung dengan penyakit kanser limfoma, adik Muhammad Syahid iaitu anak kepada penyanyi nasyid Unic, Bazli Hazwan Che Osman akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 pagi semalam bersamaan 12 Ramadan.
Berita pemergian Muhammad Syahid yang berusia tiga tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu disahkan sendiri oleh bapanya menerusi laman Instagram @bazliunic.
“Anak kesayangan ayah sudah pergi meninggalkan kita sebentar tadi. Allah sayangkan Syahid,” tulisnya.
Jenazah Syahid selamat dikebumikan di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor selepas solat Zuhur semalam.
Bazli berkata, dia harus reda dengan pemergian anaknya yang disifatkan sebagai sebutir bintang ­syurga.
“Saya reda dengan pemergian Syahid kerana sebagai bapa saya tidak tahan melihat dia merintih dan menanggung kesakitan.
“Walaupun saya dan isteri sedih dengan pemergiannya, namun kami menerima ketentuan Allah. Dia anak syurga yang akan menanti kami di sana nanti,” katanya.

Tuesday, 6 June 2017

Panik seorang bapa (HMetr0)

Anggota bomba menyerahkan Ahmad Amsyar Naufal kepada bapanya selepas dibawa keluar dari kereta yang terkunci di Taman Mutiara


BAPA kepada kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan terpaksa meminta bantuan bomba untuk menyelamatkan anaknya yang terperangkap di dalam kereta selama sejam di Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim, hari ini.
Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Ahmad Amsyar Naufal terperangkap dalam Honda Accord ketika bapanya, Ahmad Ishak, 48, masuk ke rumah untuk mengambil dompet.
Ahmad berkata, ketika kejadian itu mereka ingin pulang ke kampung di Kuala Ketil.
Menurutnya, selepas menghidupkan enjin dan penghawa dingin, dia keluar semula untuk mengambil dompet namun sebaik kembali, dia terkejut melihat pintu berkunci.
"Anak saya juga menutup penghawa dingin. Saya cuba membuka pintu itu dengan pelbagai cara namun gagal.
"Selepas sejam, anak saya mula menangis menyebabkan saya terus menghubungi pihak bomba kerana bimbang dengan keselamatannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mujur anaknya berjaya diselamatkan dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Mohd Azizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.45 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota serta sebuah jentera.
“Pintu berjaya dibuka dalam masa lima minit dan kami menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum menyerahkan kepada keluarga.
"Operasi menyelamatkan mangsa tamat pada 11 pagi," katanya.