Thursday, 8 June 2017

Muhammad Syahid sudah tiada [kosmo]

BAZLI menunjukkan trofi kemenangannya sebagai juara Gema Gegar Vaganza ketika Muhammad Syahid sedang menerima rawatan pada Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Selepas enam bulan bertarung dengan penyakit kanser limfoma, adik Muhammad Syahid iaitu anak kepada penyanyi nasyid Unic, Bazli Hazwan Che Osman akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 pagi semalam bersamaan 12 Ramadan.
Berita pemergian Muhammad Syahid yang berusia tiga tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu disahkan sendiri oleh bapanya menerusi laman Instagram @bazliunic.
“Anak kesayangan ayah sudah pergi meninggalkan kita sebentar tadi. Allah sayangkan Syahid,” tulisnya.
Jenazah Syahid selamat dikebumikan di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor selepas solat Zuhur semalam.
Bazli berkata, dia harus reda dengan pemergian anaknya yang disifatkan sebagai sebutir bintang ­syurga.
“Saya reda dengan pemergian Syahid kerana sebagai bapa saya tidak tahan melihat dia merintih dan menanggung kesakitan.
“Walaupun saya dan isteri sedih dengan pemergiannya, namun kami menerima ketentuan Allah. Dia anak syurga yang akan menanti kami di sana nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment