Sultan Mizan terpaksa menarik diri kerana tahap kesihatan kuda tidak mengizinkan
HARAPAN rakyat Malaysia untuk menyaksikan kelibat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin beraksi pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tidak kesampaian apabila baginda membuat keputusan menarik diri kelmarin.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo pada sidang akhbar pengumuman senarai akhir atlet dan pegawai kontinjen negara di Wisma MOM, Kuala Lumpur semalam.
Katanya, Sultan Mizan yang dijadualkan beraksi dalam acara ekuestrian kategori endurance di Terengganu pada 20 Ogos ini telah menarik diri susulan kuda peliharaan baginda tidak sihat.
“Kami dimaklumkan bahawa Sultan Mizan terpaksa menarik diri ekoran kuda yang bakal ditunggangnya tidak berada dalam keadaan yang baik. Baginda membuat keputusan tersebut demi kebaikan pasukan.
“Namun, saya percaya ia adalah keputusan yang sukar memandangkan baginda begitu komited menjalani latihan setiap hari. Baginda bangun seawal pukul 5 pagi untuk menjalani latihan,” kata Beng Choo.
Sebagai rekod, Sultan Mizan serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bakal menjadi tumpuan selepas masing-masing mengesahkan penyertaan pada KL2017 bulan lalu.
Khairy yang akan beraksi dalam acara polo bakal mencipta sejarah selaku menteri pertama di rantau Asia Tenggara membuat penampilan pada temasya sukan dwitahunan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Beng Choo turut mengesahkan bahawa Malaysia akan tampil selaku kontinjen terbesar pada KL2017 dengan 844 atlet diikuti juara bertahan, Thailand yang dibarisi 818 atlet.
No comments:
Post a Comment